Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Panduan Membuat Roti

Membuat roti tidaklah susah jika kita tahu teknik dan kaedah asasnya.Bahan asas yang digunakan adalah yis(yis segera lebih mudah), tepung roti, tepung serbaguna, serbuk penaik, bread improver, bread softener dan lain-lain bahan tambahan. Roti komersil lebih menggunakan tepung roti berbanding tepung serbaguna. Tepung roti mengandungi kandungan protin tinggi sehingga 14 % dan ini akan menghasilkan roti yang lebih kenyal dan elastik. Sering kita tertanya-tanya mengapa roti yang dibeli di bakeri lebih lembut berbanding dengan roti yang dibuat di rumah. Pada pendapat saya perbezaan peralatan seperti mixer dan oven, kawalan mutu yang ketat dan teknik pembuatan mewujudkan perbezaan tersebut. Jika kita mahu mencapai standard seperti mereka, kenalah mengikuti kursus membuat roti di peringkat profesional.

Bagaimanapun, kita sebagai home-baker masih boleh menghasilkan roti-roti yang enak stail home-made dengan peralatan yang seadanya. Jika tiada mesin besar, boleh uli dengan tangan atau guna food processor.Oven setakad oven Europa tu bolehlah.Yang penting kita tahu dan faham perkara-perkara asas tentang pembuatan roti ini.

Proses Membuat Roti

1. Mencampurkan bahan-bahan
Sediakan bahan-bahan yang diperlukan diatas meja. Mencampurkan bahan boleh dilakukan secara manual (pakai tangan) , food processor atau mixer. Satukan bahan-bahan kering seperti yis, tepung , gula,garam, serbuk penaik, bread improver dan bread softener.Gaul rata adunan tersebut. Kemudian baru masukkan majerin/shortening dan bahan-bahan cecair seperti telur, susu dan air. Gaul hingga menjadi doh yang kasar .Kemudian pindahkan ke dalam dulang untuk diuli. Jika gunakan mesin, tidak perlu dipindahkan.

2. Menguli
Adunan beryis seperti pau, donat atau roti hendaklah diuli hingga menghasilkan glutin yang memberi kekenyalan pada roti. Menguli akan menjadikan doh lembut, licin, kenyal dan mengaktifkan yis yang menyebabkan roti kembang. Menguli boleh dilakukan dengan tangan, atau guna mesin. Jika diuli dengan tangan mengambil masa 15 - 20 minit. Jika guna mesin, masanya lebih singkat. Doh yang cukup diuli boleh ditarik nipis seperti roti canai. Jika doh tidak cukup diuli, roti akan jadi keras dan liat.

3. Mengembang kali pertama (Proving)
Jika di bakeri, mereka mempunyai oven khas untuk mengembangkan doh. Tetapi jika dirumah, letakkan saja di tempat yang agak hangat seperti di bilik yang bertutup atau mana saja yang bersesuaian. Bulatkan doh yang telah diuli tadi, dan masukkan dalam bekas besar(besen). Tutup dengan plastik supaya tidak kering. Biarkan doh naik 2 - 3 kali ganda dari saiz asal dalam lebih kurang 45 minit.

4. Membuang gelembung angin
Yis yang hidup mengeluarkan karbon dioksida atau angin dan ini menyebabkan doh mengembang.Jadi angin ini perlu dikeluarkan dengan cara menumbuk doh ini satu kali sehingga kempis. Uli semula doh itu ke bentuk asalnya.Di peringkat ini doh menjadi lebih lembut dan bolehlah dibentuk mengikut citarasa anda.

5. Mengembang kali kedua (2nd proving)
Setelah doh dibentuk, susunkan atas dulang pembakar dan biarkan ia naik dua kali ganda dari saiz asal selama lebih kurang 20 minit.

6. Gris
Doh yang telah kembang itu boleh digriskan dengan campuran susu dan telur ataupun dengan mentega cair. Anda boleh hiaskan dengan keju parut, bijan atau apa saja yang sesuai.

7. Membakar
Roti yang telah digriskan tadi bolehlah dibakar dalam suhu yang agak panas iaitu 200 darjah celcius selama 20 minit atau bergantung kepada jenis roti. Roti yang cukup masak akan kecut sedikit dan ringan.

8. Menyimpan
Supaya roti anda kekal lembut untuk beberapa hari, setelah roti sejuk bungkus dengan plastik atau simpan bekas kedap udara. Jika terdedah, ia akan cepat kering.




Donat Mak Yah

Resipi donat ini adalah resipi orang lama yang tak kenal tepung roti atau bread improver. Resipi ibu saya ini menggunakan bahan-bahan yang mudah dan tak perlu mencari barang di kedai bahan kek. Tapi resipi home-made ini menjadikan donat lembut dan boleh disimpan atau difrozenkan. Bahan-bahan yang digunakan untuk donat home-made ini agak berbeza dengan donat komersil tetapi tekniknya adalah sama iaitu membancuh, menguli, mengembang 2 kali dan menggoreng.Donat ini menghasilkan 40 biji donat bersaiz sederhana dan dibuat menggunakan tangan.Untuk mendapatkan donat yang lembut,masa menguli hendaklah lama (15 minit) hingga doh menjadi lembut, licin dan elastik.

Bahan-bahan :

1 kg. tepung gandum (all purpose flour)
11 gm (1 peket) yis segera Mauripan
50 gm majerin
1 biji telur B,dipukul dengan garfu
5 sudu besar gula kastor
2 sudu teh serbuk penaik
3 sudu besar susu pekat manis + 3 sudu besar air
500 ml air

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung gandum,yis, gula kastor dan serbuk penaik dalam sebuah bekas. Gaul bahan kering ini hingga rata.
2. Buat lubang di tengah dan tuangkan telur dan air susu pekat manis. Gaul rata.
3. Masukkan majerin dan gaul rata. Kemudian tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang kasar. Doh hendaklah basah dan lembut.
4. Sediakan sebuah dulang dan taburkan sedikit tepung. Uli doh dengan cara menolaknya ke depan dan membawanya semula ke belakang (seperti memberus kain).
5. Uli selama 15 minit hingga doh menjadi lembut, licin dan elastik. Bulatkan doh.
6. Masukkan semula ke dalam bekas dan tutup plastik atau dulang tadi. Biarkan doh mengembang selama 45 minit atau naik 3 kali ganda dari saiz asalnya. Letakkan di tempat hangat agar ia cepat mengembang.
7. Tumbuk doh satu kali untuk mengeluarkan angin atau karbon dioksida yang dikeluarkan oleh yis tersebut. Uli semula sebentar ke bentuk asal.
8. Ambil secubit doh dan bulatkan. Bentukkan seperti roda dan susun atas dulang yang telah ditabur sedikit tepung gandum. Biarkan ia mengembang selama 20 minit.
9. Panaskan minyak dan goreng dalam api yang kecil. Apabila donat kembang dan kekuningan,angkat dan toskan.
10. Apabila hampir sejuk, golekkan dengan gula kastor atau gula halus yang dikisar.
Boleh juga dicelup dengan coklat masakan yang dicairkan. Hiaskan atasnya dengan chocolate rice atau badam cincang.

Tips :
1. Goreng donat sekadar untuk keperluan sahaja. Jika lima orang makan, goreng 15 biji sahaja.
Ini untuk mengelakkan pembaziran dan donat yang lebih akan menjadi keras.
2. Donat boleh disimpan dalam peti sejuk atau difrozenkan. Caranya goreng donat hingga ia kembang tetapi masih putih. Proses ini untuk mematikan yisnya. Angkat dan toskan. Sejukkan dan susun dalam bekas plastik. Jika hendak dimakan esok, simpan di tempat chiller saja.Jika mahu disimpan lama, simpan dalam peti dinginbeku (frozen).
3. Apabila hendak digoreng, keluarkan donat 1 jam sebelumnya.Gorenglah seperti biasa hingga kekuningan.


>>>Donat selepas digoreng


>>>Donat yang telah digaul gula halus


>>>Donat yang dicelup coklat masakan dan dihias

Kek Berhias Untuk Kanak-Kanak


>>Kek Jejari Coklat
Kek ini diperbuat dari kek span coklat dan disaluti dengan asing krim mentega. Kelilingnya dihiasi dengan jejari coklat (chocolate fingers). Bahagian tengah dipicit tip bentuk rumput dan dihiasi patung-patung kecil kegemaran kanak-kanak seperti Doraemon dan lain-lain.



>>Kek Coklat Ganache
Kek ini diperbuat dari kek span vanila. Disaluti dengan aising krim mentega. Coklat Ganache dituangkan di bahagian atas kek. Buatkan bentuk rosette dan hiaskan dengan ceri marashino.Badut pula diletakkan di bahagian tengah.



>>Kek Badut
Kek ini diperbuat dari kek span vanila dan disaluti aising krim mentega.Di kelilingnya ditabur beberas coklat (chocolate rice) dan dihiasai bunga-bunga kecil. Di bahagian tengah, hiaskan dengan badut.



>>Lima jenis kek yang disediakan untuk majalah Keluarga.



>>Kek Mentega Belang
Diperbuat dari kek mentega. Dipotong kecil-kecil dan letakkan dalam cawan kertas.

Shooting untuk Majalah Keluarga

Semalam akak ada shooting dengan Majalah Keluarga. Akak buat 5 resipi kek untuk kanak-kanak. Resipinya Mufin Cip Coklat,Kek Mentega Belang, Kek Jejari Coklat, Kek Coklat Ganache dan Kek Badut. Nak tunggu bulan April baru keluar majalah,lama lagi. Jadi akak keluarkanlah dulu gambarnya dalam blog akak.Tapi gambar akak taklah secantik gambar dia orang .

Mufin Cip Coklat

Bahan-bahan :

200 gm mentega
200 gm gula kastor
250 gm tepung gandum
2 sudu teh serbuk penaik
40 gm serbuk koko
100 gm susu segar
4 biji telur
150 gm cip coklat
sedikit emulco coklat
sedikit garam

Cara Membuatnya :

1. Pukul mentega, gula , emulco coklat dan garam hingga gebu dan putih.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sebati.
3. Ayak tepung,serbuk penaik dan serbuk koko.
4. Masukkan ke dalam adunan mentega berselang-seli dengan susu.Gaul sebati adunan tersebut.
5. Ambil 1/2 cip coklat dan masukkan dalam adunan.Gaul rata.
6. Susun cawan kertas dalam tin mufin. Sudukan adunan dan isikan 3/4 penuh.
7. Taburkan lebihan cip coklat atasnya.
8. Bakar pada suhu 190 darjah celcius selama 25 minit hingga masak.

Nota : Boleh juga gunakan cawan mufin yang tinggi. Jika buat cupcake, boleh hiaskan atasnya mengikut kreativiti anda.

Kek Lapis Sarawak




>>Atas : Kek Lapis Senandung
>>Bawah : Kek Lapis Coklat Oren

Baru-baru ini saya ada buat dua biji kek lapis sarawak. Yang paling atas tu ialah Kek Lapis Senandung dan bawah ialah Kek Lapis Coklat Oren. Saya menggunakan resipi "Kek Lapis Semarak"(sila rujuk buku Variasi Kek lapis)

Cara Membuat Kek Lapis Senandung:
1. Gunakan 2 tin empat segi bersaiz 9 inci x 9 inci. Griskan dan lapik kertas serap minyak.
2. Bahagikan adunan kepada 4 bahagian. Warnakan kuning, ungu, merah dan hijau.
3. Untuk tin pertama, lapiskan warna ungu dan kuning berselang-seli hingga habis sebanyak 7 lapisan.
4. Untuk tin kedua, lapiskan warna merah dan hijau berselang-seli hingga habis sebanyak 7 lapisan.
5. Sejukkan kedua-dua tin semalaman.
6. Bancuh 1/2 adunan "Kek lapis Semarak" untuk membuat bahagian luarnya.
7. Sediakan tin empat segi bersaiz 8 inci. Lapiskan adunan luar sebanyak 5 lapisan.
8. Setelah masak, sapukan jem dan susun inti berselang-seli seperti dalam gambar.
9. Sapukan 5 lapisan atas bagi menutup kek inti. Setelah masak, sejukkan.

Cara Membuat Kek Lapis Coklat Oren :

1. Gunakan resipi yang sama seperti kek diatas.
2. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian dicampurkan 1 sudu teh pes koko dan sedikit emulco coklat dan satu bahagian lagi dicampurkan 1 sudu besar jus oren Sunquick dan sedikit pes oren.
3. Bakar setiap warna berselang-seli hingga habis. Sejukkan sebelum dipotong.

Usahawan Lapis Legit di Jakarta

Setelah membaca artikel ini dari sebuah laman web di Indonesia, saya tertarik untuk menterjemahkanya kedalam Bahasa Malaysia agar dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang berminat untuk berniaga kek lapis ataupun sekadar menambahkan ilmu pengetahuan.

Pak Gunaifi adalah seorang usahawan lapis legit (kek lapis) yang berjaya di Jakarta.Kegigihan beliau mengusahakan perniagaannya selama puluhan tahun memungkinkan beliau menuai hasilnya kini. Kek lapis beliau yang dinamakan Lapis Legit Happy sudah terkenal hingga ke Malaysia. Singapura, Brunei dan lain-lain negara.Menurut beliau, dia sengaja memilih nama "Happy" kerana lapis legit biasanya disajikan di hari gembira seperti hari ulang tahun atau hari lebaran (hari raya).

>>Lapis legit original dan lapis legit prun

Peralatan dan Pekerja
Beliau mempunyai 20 orang pekerja yang membuat 200 loyang kek sehari. Tetapi menjelang lebaran, mereka perlu menyiapkan 500 loyang sehari. Di bengkel belakang rumahnya, terdapat 5 pengadun bersaiz besar dan 9 buah oven yang boleh memuatkan 15 loyang kek berukuran 60 cmx 60 cm. Menurutnya, ia sengaja dibuat besar supaya lebih mudah. Jika sudah masak, ia dipotong-potong menjadi 9 biji kek berukuran 20 cmx20 cm (8 inci).

Kata Pak Gunaifi lagi, memanggang adalah proses yang paling lama kerana ia harus dilapisi satu demi satu.Tiap lapis adunan yang nipis itu perlu dipanggang/dibakar hingga coklat baru ditambah lapisan yang lain.Loyangnya pula harus dipusingkan sekali-sekala agar ia masak dengan rata.Justeru itu, orang yang bekerja di bahagian ini perlu orang yang sabar dan berpengalaman.

>> Pekerja sedang memutar mentega dengan mesin khas
>> Membakar kek lapis dengan ketuhar khas
Tahan Sebulan
Menurut Pak Gunaifi, lapis legit beliau tahan satu bulan bukanlah kerana menggunakan bahan pengawet tetapi kerana pengemasan yang canggih. Lapis legit yang telah masak dimasukkan ke dalam peket plastik dan diselipkan "oxygen absorber" supaya tahan lama. Bahan ini seperti vakum udara yang berfungsi untuk mematikan bakteria di dalam kemasan yang telah disterilkan dan diproses dengan menggunakan mesin yang khusus.

>> Setelah kek dibakar,ia disejukkan sebelum dibungkus .
Jaga Kualiti
Untuk menghasilkan lapis legit yang lazat, Pak Gunaifi menggunakan bahan yang berkualiti seperti mentega yang diimport dan rempah spekok (lapis) yang dibuat sendiri dari bahan seperti buah pala, cengkih dan kayu manis. Memandangkan mentega import mahal harganya, tentu tidak ramai yang mampu membeli lapis legit yang menggunakan bahan ini. Justeru beliau memperkenalkan 3 kategori harga mengikut kualiti bahan mentah yang digunakan. Yang menggunakan majerin, harganya lebih murah. Selain harga yang berpatutan, beliau turut mempelbagaikan perisa produk seperti lapis legit prun, moka, pandan, coklat, keju dan lain-lain.Kini beliau boleh berbangga kerana kek lapisnya sudah terkenal dan dieksport pula ke luar negeri.

Saya berharap kegigihan Pak Gunaifi dapat dijadikan teladan kepada kaum wanita yang bercita-cita menjadi usahawan kek lapis kerana kita juga ada produk yang bagus seperti kek lapis tradisonal dan kek lapis sarawak.Cuma kita perlukan keberanian dan kesungguhan untuk mencapai cita-cita tersebut.
(sumber : www.sedap-sekejap.com)

Bread and Butter Pudding (Puding Roti)

Puding roti ini mudah saja membuatnya. Ia boleh dibakar ataupun dikukus. Puding ini selalu dihidangkan sebagai pencuci mulut dan dimakan bersama sosnya. Roti yang digunakan dalam resipi ini tidak semestinya roti baru. Anda boleh gunakan roti yang telah keras atau yang hampir expired. Satu petua supaya roti anda tahan lama dan tidak berkulat ialah simpan di dalam peti sejuk. Walaupun ia dah expired , ia boleh digunakan untuk membuat puding roti ini ataupun bingka roti.Jika anda hendak menukar selera, cubalah resipi ini.


Bahan-bahan :
300 gm roti sandwic putih
100 gm mentega
800 gm susu segar
100 gm gula
5 biji telur

Sos Vanila :
200 gm susu segar
50 gm gula
1 biji kuning telur
1 sudu teh tepung jagung
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Sapukan mentega pada satu lapisan roti. Buat hingga habis.
2. Susun dan potong 4 bahagian. Susunkan setiap keping dalam acuan bulat atau empat segi bersaiz 9 inci.
3. Pukul gula dan telur hingga sebati (bukan kembang). Tuangkan susu segar dan kacau sebati.
4. Tuangkan adunan ini kedalam roti yang telah disusun tadi. Biarkan roti meresap cairan itu selama 15 minit.
5. Bakar dalam ketuhar bersuhu 170 darjah celcius selama 40 minit hingga bewarna perang.
6. Setelah masak, sejukkan.
7. Untuk membuat sosnya, didihkan susu segar .
8. Masukkan kuning telur yang telah digaul bersama gula dan tepung jagung.
9. Masukkan esen vanila dan kacau hingga adunan mendidih dan agak pekat. Angkat dan sejukkan.
10. HIdangkan puding roti bersama sosnya.

Kek Mentega Lemon



Bersua kembali. Kali ni akak sertakan resipi Kek Mentega Lemon. Kek ini adalah sejenis kek mentega tetapi mempunyai perisa lemon yang harum. Anda boleh gunakan esen lemon atau pes lemon. Tetapi akak lebih suka gunakan buah lemon yang asli, lebih fresh. Jika lemon sukar didapati, boleh gunakan esen lemon sahaja. Kaedah membuat kek ini adalah sama kek mentega yang lain iaitu Creaming Method. Anda boleh gunakan pure butter seperti Fernleaf, Valuemetric, Golden Churn atau lain-lain. Tetapi anda juga boleh gunakan lepa susu seperti Buttercup, Farmcow dll. Majerin dicampurkan sedikit ke dalam resipi untuk memberi volume yang lebih kasar pada kek.

Bahan-bahan :
180 gm mentega
80 gm majerin
250 gm gula kastor
3 biji telur A
30 gm jus lemon
220 gm tepung kek
1 sudu teh serbuk penaik

Cara Membuatnya :
1. Pukul mentega, majerin dan gula hingga gebu dan putih.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul hingga adunan sebati dan tidak berketul.
3. Masukkan jus lemon dan tepung yang telah diayak dengan serbuk penaik.
4. Gaul adunan hingga sebati dan rata .
5. Sediakan tin pembakar bersaiz 8 inci.Griskan dan lapik kertas serap minyak.
6. Tuangkan adunan dan bakar pada suhu 180 darjah celcius.
7. Sejukkan sebelum dipotong.

Resipi Kuih Pau


Bahan-bahan :

1 kg tepung pau
11 gm yis kering Mauripan
20 gm serbuk penaik double action
110 gm gula kastor
50 gm shortening (lemak putih)
15 gm ovalet
550 ml air

Inti :
Serikaya, kelapa atau kacang merah

Cara Membuatnya :

1. Satukan tepung pau, yis kering, serbuk penaik, gula kastor dan ovalet dalam sebuah besen atau mangkuk besar. Gaul sebati.
2. Tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh kasar yang agak lembik. Tambah air jika kurang lembut.
3. Pindahkan doh yang masih kasar itu ke atas sebiji dulang yang besar. Taburkan sedikit tepung gandum.
4. Letakkan shortening di tengah doh dan uli hingga ia sebati dengan doh.Mula-mula memang agak melekit, tetapi lama kelamaan ia akan menyerap dalam doh. Jika melekit, tabur sedikit tepung gandum.
5. Uli lagi selama 15 minit hingga doh menjadi lembut dan halus.
6. Masukkan doh ke dalam besen besar semula. Tutup dengan kain atau plastik. Letakkan di tempat yang hangat supaya ia cepat mengembang. Biarkan selama lebih kurang 45 minit atau sehingga doh naik 3 x ganda dari saiz asal.
7. Tumbuk doh dengan tangan bagi mengeluarkan anginnya. Uli sebentar ke bentuk asal.
8. Bentukkan doh mengikut saiz dikehendaki. Letak atas papan canai dan canaikan membulat.
9. Masukkan inti dan tutup doh. Letak atas kertas atau daun pisang yang dipotong empat segi.
10. Susunkan atas dulang aluminium yang muat dimasukkan dalam pengukus. Jangan susun terlalu rapat kerana doh akan mengembang.
11. Rehatkan doh 20 minit. Sambil itu, isikan air 3/4 penuh dan didihkan.
12. Setelah air mendidih, masukkan dulang berisi doh tadi. Tutup periuk dengan kain putih nipis dan kukus 15 minit dalam api besar.
13. Angkat dari api dan buka penutup.Sejukkan.

Nota : Resipi ini boleh mendapat lebih 40 biji pau bersaiz sederhana. Pau boleh dipanaskan semula keesokan harinya. Jika mahu buat sedikit, gunakan 1/2 resipi ini.

Mari Membuat Kuih Pau

Akak ni dah lama teringin nak makan kuih Pau. Hari tu pergi Jusco belilah Pau. Mak oi, mahalnya Rm2.00 seketul. Akak ni fobia nak buat pau sebabnya selalu tak menjadi. Sebelum kukus nampak ok naiknya tapi setelah dikukus,jadi kecut dan berkedut-kedut kulitnya. Tak tahulah apa sebabnya. Mungkin pakai tepung gandum , tak cukup uli atau tak letak serbuk penaik agaknya. Dipendekkan cerita, akak pun ronda-ronda dalam internet dan terjumpalah satu resipi pau yang agak berlainan sedikit resepinya dari biasa. Jadi akak cubalah resipi tu dan alhamdulillah, menjadi. Baru kali inilah resipi pau ku menjadi lembut dan kenyal. Anak-anak semua puji pau ni sedap. Intinya akak letak inti kaya (beli siap) dan inti kacang merah (buat sendiri). 2 hari makan pau ni, siap bawak bekal pergi sekolah lagi. Istimewanya pau ni boleh dipanaskan semula bila dah sejuk. Ia akan lembut semula.

Antara petua-petua membuat pau ini ialah :
1. Gunakan tepung pau kerana lebih putih .Pau akan jadi lembut dan kenyal.
2. Setelah diadun menjadi doh hendaklah diuli dengan tangan selama 15 minit hingga doh lembut. Jika guna mesin lebih baik.
3. Rehatkan doh selama lebihkurang 45 minit agar ia naik 3 x ganda.
4. Tumbuk doh bagi keluarkan angin dan boleh dicanai.
5. Setelah diisikan inti, rehatkan lagi doh 20 minit hingga ia naik 2 x ganda.
6. Air hendaklah mendidih baru masukkan pau.
7. Boleh gunakan pengukus aluminium atau pengukus buluh.
8. Pau yang telah dibentuk disusun dalam dulang kecil yang muat dimasukkan dalam pengukus.
9. Lapik penutup kukus dengan kain nipis agar air tak menitik.
10. Kukus pau selama 15 minit dengan api besar.
11. Simpan pau yang telah sejuk dalam bekas bertutup agar tidak kering.
12. Pau yang telah sejuk boleh dikukus semula dan menjadi lembut semula.

Siakap Masam Manis

Anak-anak akak memang suka makan lauk ni.Satu ekor tu,sekejap aje licin. Membuat siakap masam manis ni ringkas saje. Tak perlukan banyak barang. 30 minit aje boleh siap. Satu saja masalahnya ialah menyiang ikan siakap. Silap-silap haribulan boleh terluka tangan. Kalau beli di pasaraya,suruh mereka siangkan sekali. Senang kerja kita. Untuk sos, saya gunakan cili kisar yang dibuat sendiri. Ikuti posting sebelum ini.

Bahan-bahan :

1 ekor ikan siakap, sederhana
kunyit, garam - untuk menggaul
minyak untuk menggoreng ikan

Sambal:
4 sudu besar cili kisar
1/3 cawan sos cili
sedikit gula
sedikit garam
1 biji bawang, dipotong bulat
1/3 cawan minyak , untuk menumis

Cara Membuatnya :
1. Ikan dibersihkan dan digaul garam dan kunyit. Panaskan minyak dan goreng hingga garing.Angkat dan toskan. Letakkan dalam pinggan bujur.
2. Kurangkan minyak gorengan tadi hingga menjadi lebih kurang 1/3 cawan.
3. Tumiskan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.
4. Masukkan sos cili , gula dan garam. Gaul sebati. Jika agak pekat,tambahkan sedikit air.
5. Setelah agak pekat sosnya, angkat dan tuangkan ke atas ikan. Hiaskan.

Apam Tepung Beras


Apam tepung beras ni favourite mak akak. Kalau kenduri-kendara tak sah kalau tak buat apam ni. Apamnya lembut dan sedap.Susah nak jumpa resipi ni. Tak ramai orang yang pandai membuatnya. Ramuan istimewa dalam apam ini ialah tapai nasi dan Eno (garam buah-buahan)
Untuk membuat tapai nasi, gunakan nasi yang baru ditanak dan sejukkan. Jangan guna nasi semalam atau yang hampir basi. Ragi pula hendaklah yang masih elok dan cukup kering. Ragi ni tak jual di pasaraya. Cari di pasar biasa,tempat jualan sayur-sayuran kampung. Tanyalah makcik-makcik yang berjualan tu, adatak jual ragi.Satu keping ragi biasanya berharga 50 sen.
Untuk membuat tapai nasi, hancurkan 1/2 keping ragi dengan sudu hingga jadi serbuk.Masukkan nasi ke dalam mangkuk dan taburkan ragi.Gaul dengan sudu hingga sebati.Masukkan dalam bekas bertutup rapat dan peram 2 malam. Tapai yang elok bewarna putih dan airnya manis. Tapai anda tidak menjadi jika warnanya kuning dan rasanya masam.Buangkan tapai ini dan buatlah yang lain.
Bahan-bahan :
(A) - Tapai nasi
2 cawan nasi sejuk
1/2 keping ragi
(B)
3 cawan tepung beras Cap Teratai
3/4 cawan gula pasir
1 1/2 sudu makan Eno peket biru
3 cawan air
sedikit garam
sedikit pewarna merah, hijau atau kuning
(C)
kelapa parut dan sedikit garam, untuk hiasan
Cara Membuatnya :
1. Untuk membuat tapai nasi, hancurkan ragi hingga jadi serbuk dan taburkan atas nasi. Gaul sebati dengan sudu. Masukkan kedalam bekas bertutup dan simpan dalam almari. Peramkan 2 malam.
2. Ambil 1 cawan tapai nasi dan masukkan ke dalam mesin pengisar bersama 2 cawan air, garam dan gula.Kisar hingga gula hancur. Tuangkan dalam mangkuk dan ketepikan.
3. Tepung dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk. Tuangkan air tapai yang telah dikisar tadi. Gaul sebati. Kisar semula dengan menambah 1 cawan air lagi.
4. Tuangkan semula ke dalam mangkuk dan peram 5 - 6 jam. Bancuhan ini elok di buat pagi dan kukus pada sebelah petangnya.
5. Taburkan Eno ke dalam adunan yang telah diperam. Gaul sebati. Masukkan pewarna merah jambu atau warna kesukaan anda. Peram lagi 20 minit sebelum dikukus.
6. Sementara itu, didihkan air dalam pengukus.Panaskan acuan mangkuk kecil. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan kukus 15 minit dalam api yang besar.
7. Apabila masak, angkat dan sejukkan. Apam ini akan merekah di permukaannya.Hiaskan dengan kelapa parut yang digaul sedikit garam.
Nota : Adunan ini boleh mendapat 30 biji kuih apam.

Membuat Biskut Almond London

Setiap hari raya, pasti akak akan buat biskut ni. Walaupun ia dah lama popular,tapi masih mengekalkan popularitinya hingga kini. Tempahan yang paling banyak adalah biskut yang satu ni. Biskut ini memang agak remeh sikit membuatnya. Ialah kita kena buat kerja dua kali. Biskutnya perlu di bakar dahulu. Bila dah sejuk, baru disalut dengan coklatnya. Ada beberapa petua yang akak amalkan dalam membuat biskut ni. Biasanya akak akan buat biskutnya sekali banyak.Misalnya dalam dua ribu biji.Simpan dalam tin atau bekas kedap udara. Kemudian utk dua tiga hari, akak menyalut aje. Rasanya cara ini lebih memudahkan . Untuk menyalut coklat, akak gunakan coklat kompaun (coklat masakan).Masukkan dalam sebuah periuk dan cairkan secara double -boiler. Masukkan sedikit coco-butter agar coklat tidak terlalu pekat dan ia lebih berkilat. Jika dalam proses menyalut coklat cepat pekat,panaskan semula secara double-boiler supaya ia cair semula. Teknik yang akak gunakan untuk menyalut ialah akak masukkan lebih kurang 20 biji biskut dalam periuk coklat.Celupkan biskut agar coklat rata.Dengan garfu akak angkat sebiji dan masukkan dalam cawan kertas hitam. Susun dalam dulang dan taburkan badam cincang yang telah dibakar. Begitulah ceritanya. Memang nampak agak remeh, tapi kalau dah biasa, mudah saja. Bak kata pepatah, alah biasa tegal biasa.

Bahan-bahan :

(A)
250 gm mentega
150 gm gula kastor
450 gm tepung biskut (cap Red Rose)
100 gm tepung jagung
1 1/2 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh emplex (perangup biskut)
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila

(B)
150 biji badam, dibakar
100 gm badam cincang , dibakar
150 keping cawan kertas bewarna hitam

(C)
500 gm coklat masakan
1 sudu teh coco butter

Cara Membuatnya :
1. Ayak tepung gandum, tepung jagung, serbuk penaik dan emplex. Ketepikan.
2. Pukul mentega dan gula hingga kembang dan putih. Masukkan esen vanila dan telur. Pukul lagi hingga sebati.
3. Pindahkan ke dalam mangkuk lebih besar. Gaulkan tepung sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan plastik dan rehatkan 20 minit.
4. Ambil sedikit doh dan bulatkan. Masukkan badam dan buatkan bentuk bujur. Susun dalam dulang pembakar.
5. Masukkan biskut dalam oven yang telah dipanaskan dan bakar selama 25 minit hingga masak dan berbau wangi. Sejukkan biskut dalam dulangnya sebelum dialihkan ke dalam bekas lain.
6. Untuk membuat coklatnya, panaskan coklat secara double-boiler hingga cair. Masukkan coco-butter dan kacau hingga cair.
7. Celupkan biskut dan angkat dengan garfu. Letakkan dalam cawan kertas dan hiaskan dengan badam cincang. Biarkan coklat beku sebelum menyimpannya.

Tip:
Untuk mempercepatkan coklat beku, masukkan satu dulang biskut yang telah bersalut kedalam peti sejuk.Biarkan 10 minit hingga ia beku. Keluarkan.

Panduan Membuat Biskut

Akak ni buat biskut bila time Hari Raya saja. Akak memang ambil tempahan biskut raya sejak beberapa tahun yang lepas.Pernah juga tempahan akak sampai 35,000 biji sedangkan akak buat sorang dan keluarga adalah bantu sikit-sikit.Tak larat akak dibuatnya. Tahun lepas akak ambil separuh aje. Buat setakad yang mampu . Antara biskut yang menjadi kegemaran pelanggan akak ialah Biskut Almond London, Biskut Tat Gulung,Chocolate Chip dan lain-lain. Membuat biskut ni bukanlah susah sangat. Kita perlu memahami fungsi bahan-bahan, peralatan dan kaedah membuatnya.

Kaedah atau teknik yang saya gunakan untuk kebanyakan biskut ialah kaedah mengkerim .Kaedah mengkerim (creaming method) ialah teknik dimana kita memukul mentega dan gula hingga kembang dan berkerim. Kemudian dimasukkan telur, perisa dan cecair lain. Setelah semuanya sebati, barulah dimasukkan tepung, rempah, kekacang dan lain-lain. Langkah terakhir memasukkan tepung saya lakukan dengan tangan. Gaul perlahan-lahan hingga sebati dan menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan plastik dan rehatkan 15 minit . Anda juga boleh memasukkan doh ke dalam plastik dan simpan dalam peti sejuk selama 30 minit. Tujuannya agar doh menjadi lebih mantap dan mudah dicanai atau dibentukkan.

Antara beberapa tip membuat biskut ialah :

1. Gunakan tepung biskut (cookie flour) untuk mendapatkan biskut yang rangup. Tepung gandum biasa (all purpose) boleh juga digunakan tetapi biskut kurang rangup.

2. Anda juga boleh gunakan perangup biskut atau emplex tetapi bergantung kepada jenis biskut. Bukan semua biskut boleh gunakan emplex.

3. Mentega dan gula jangan terlebih pukul (overmix) kerana akan menjadi terlalu ringan dan akan menyebabkan biskut menjadi leper dan kembang.

4. Kebanyakan biskut sudah mengandungi kandungan mentega yang tinggi, jadi tidak perlulah tin pembakar digriskan dengan mentega lagi.

5. Panaskan ketuhar kepada 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan biskut.
Ia akan masak dalam masa 20 - 25 minit bergantung kepada jenis biskut dan saiznya.

6. Sejukkan biskut dalam dulangnya sebelum dikeluarkan. Biskut yang baru masak adalah lembut dan akan mengeras apabila sejuk.

Membuat Biskut





Sumber : www.Bagus.com.my

Membuat Aiskrim (home-made)

Akak memang tak pernah membuat aiskrim sendiri, selalu beli saja yang siap. Tetapi mungkin buatan sendiri lebih sedap, jadi akak siarkan resipi aiskrim home-made seperti yang diminta oleh Puan Nur. Dalam resipi ini menggunakan Non-Dairy Whipping Cream (Krim Putar Bukan Tenusu). Ia adalah krim putih dalam kotak yang digunakan untuk hiasan kek(topping).Ada banyak jenama krim seperti Rich, Anchor dll.Bahan ini tidak boleh didapati di pasaraya. Ia hanya dijual di kedai bahan-bahan kek.

AISKRIM COKLAT
Bahan:
(A)
2 biji kuning telur
1 biji telur
140 gm gula kastor

(B)
250 ml susu penuh krim
60 gm serbuk koko

(C)
400 gm Non Dairy Whipping Cream
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Pukul bahan A hingga putih dan berkerim.
2. Panaskan susu penuh krim hingga mendidih, masukkan serbuk koko dan kacau sebati.
3. Tuangkan adunan susu ini ke dalam adunan telur. Kacau hingga sebati dan biarkan sejuk.
4. Putar Non Dairy Whipping Cream sehingga kental dan gebu.
5. Masukkan esen vanila, adunan (3) yang telah sejuk dan gaul sebati.
6. Tuangkan ke dalam bekas plastik bertutup dan simpan dalam peti dinginbeku (freezer) semalaman.

AISKRIM VANILA
Bahan-bahan :
(A)
4 biji kuning telur
90 gm gula kastor

(B)
250 ml susu penuh krim
1 sudu teh esen vanila

(C)
300 gm Non Dairy Whipping Cream

Cara Membuatnya :
1. Pukul bahan A hingga putih dan berkerim.
2. Didihkan susu penuh krim dan campurkan bahan A kedalamnya. Kacau hingga sebati dan biarkan sejuk kemudian masukkan esen vanila.
3. Putar Non Dairy Whipping Cream hingga gebu dan masukkan ke dalam adunan diatas.
4. Gaul sebati adunan tersebut dan tuangkan dalam bekas plastik bertutup.
5. Simpan peti dinginbeku semalaman.

Membeli Peralatan Bakeri

Fad dari Kuantan bertanya dimana nak beli peralatan bakeri untuk membuat bisnes bakeri di rumah. Antara peralatan penting yang perlu ada ialah pengadun (mixer) dan ketuhar (oven).
Akak gunakan mixer Kenwood Chef dan ketuhar pula gunakan jenis Europa Jetcook. Peralatan ini adalah untuk kegunaan domestik (kegunaan rumahtangga) bukan untuk komersil. Tetapi boleh juga gunakan untuk bisnes kecil-kecilan. Tapi jika kita bercadang untuk membuat secara banyak setiap hari, kita perlu gunakan mesin komersil. Ada banyak syarikat yang menjual peralatan ini dan harganya adalah berbeza-beza. Jadi sebelum membeli, kenalah buat survey dahulu tentang harga,kapasiti,ruang utk menempatkan alat dan lain-lain. Di KL dan Selangor ada beberapa syarikat yang menjual peralatan ini tetapi di Kuantan, saya tidak pasti dimana.

1. Solid Cool Marketing Sdn.Bhd.

Jenis Produk : Petiais Komersil, Pengadun,Ketuhar,worktable dll
Alamat : No.24, Jalan Puteri 4/2, Bandar Puteri ,Puchong, Selangor
: Persiaran Tungku Ampuan Rahimah ,Klang
No.tel : 03-80618080 Fax : 603-80607953

2. CKE Marketing Sdn.Bhd.

Jenis Produk : Ketuhar, Pengadun,petiais, dll
Alamat : Cheras tel : 03-92823333
: Port Klang tel : 03-33739886
: Setapak tel : 03-40228632

3. Lian Huat Machinery Sdn.Bhd.

Jenis Produk : Peralatan bakeri berskala besar
Alamat : Pandan Indah, KL Tel : 03-42967106

Jadi sebelum anda membeli, lawati dahulu showroom mereka untuk melihat sendiri peralatan yang bersesuian dengan budget dan keperluan anda.

Kek Nanas Terbalik



Resipi ni saja akak buat, nak test resipi baru.Namanya Kek Nenas Terbalik. Nenas di susun di bahagian dasar tin pembakar , kemudian barulah dituang adunan kek atasnya. Sepatutnya gunakan nenas bentuk bulat dan bahagian tengah yang berlubang diletakkan ceri. Tetapi akak gunakan nenas yang dicincang (salah beli). Untuk adunan keknya, boleh gunakan resipi Kek Mentega Marmar atau Kek Cawan Bersusu (sila semak posting yang lepas). Jika gunakan resipi Kek Mentega Marmar, tak perlu dicampur pewarna merah.Hanya warna original. Kek ini enak dimakan sebagai pencuci mulut.

bahan-bahan topping ;
1 tin nenas bulat (ring)
3 sudu besar mentega cair
5 sudu besar gula perang
10 biji ceri merah, dibelah dua

Bahan-bahan kek:
Ikuti resipi Kek Mentega Marmar

Cara Membuatnya :

1. Griskan acuan bulat 9 inci dan lapik kertas serap minyak.
2. Ratakan mentega cair dan taburkan gula perang.
3. Toskan nenas dan lapkan kering. Susunkan di atas gula perang tadi.
4. Bahagian yang berlubang ditutup dengan belahan ceri merah.
5. Tuangkan adunan kek atasnya dan bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 1 jam hingga masak.
6. Setelah kek sejuk, terbalikkan kek atas pinggan. Topping nenasnya mesti di bahagian atas.

Belajar Buat Aiskrim

Puan Nur bertanya samada terdapat kursus membuat aiskrim pada bulan Mac ini. Setahu saya tak ada tempat yang mengajar membuat aiskrim kecuali Akademi Masakan Komersil (M)Sdn.Bhd. kepunyaan Chef Rosli (Chef Li). Malangnya saya tiada contact no. mereka. Nantilah saya bongkar majalah-majalah lama tengok kalau ada. Lagi satu saya nak tanya, Puan Nur ni nak belajar aiskrim untuk makan sendiri atau nak bisnes. Di akademi Chef Li , dia ajar cara buat aiskrim colek dengan mengunakan mesin aiskrim yang berharga lebih kurang RM2,000.Kalau untuk bisnes memang sesuailah, tapi kalau untuk makan sendiri, tak perlulah beli mesin.Kalau setakad resipi buat aiskrim memang saya ada. Ikuti posting saya selanjutnya.

Alamat Akademi Masakan Komersil/Institut Kulinari Anjung Utara
Lot 2822, Batu 11
Gesir Tengah
44020 Kuala Kubu Bharu, Selangor
Tel: 05-4542902 http://www.itkau.edu.my

Puan Nur bolehlah hubungi mereka untuk keterangan lanjut.

Kursus Kek Lapis

Bersua kembali. Ramai pengunjung laman ini yang bertanya adakah saya mengadakan kursus kek lapis. Buat masa ini memang tiada tetapi dalam perancangan tu ada. Mungkin selepas bulan Mac kerana saya masih mencari tempat yang sesuai. Pada tahun lepas, saya mengajar di Bagus Baking Center tetapi tahun ni ingat nak ubah angin pulak. Antara kriteria kursus kek lapis ini ialah :

Masa : 10 pagi - 5 petang
Jenis resepi : kek lapis tradisonal dan Lapis Sarawak
Jumlah resipi : 6 jenis
Jenis kursus : demonstrasi dan hands- on (praktikal)
Bayaran : RM150
Tarikh dan tempat : Belum pasti

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus ini bolehlah menghubungi saya di tel .o3-31675408/014-3247478 atau email : ani_z@ streamyx.com

Kek untuk Majalah Nur

Assalamualaikum, dah lama akak tak posting di blog ni sebab sebuk sikitlah. Akak kena sediakan 8 biji kek untuk ruangan Hidangan Majalah NUR, sebuah majalah terbitan Karangkraf. Mereka dah pun datang buat shooting semalam (15/1/08).Lega rasanya, satu tugas dah selesai.Untuk ruangan Hidangan, akak menyediakan 7 resipi iaitu, Kek Keju Yogurt, Kek Mentega Oren Popi,Kek Gula Hangus, Kek Sifon Pandan, Kek Coklat Kukus, Kek Cawan dan Mufin Pisang. Untuk ruangan Ilham Masakan, akak menyediakan Kek Mentega Pelangi dengan cara langkah demi langkah. Dalam blog ni, akak cuma dapat siarkan gambar aje,resipinya kenalah beli Majalah NUR keluaran Mac 2008. Tak mahal, cuma RM5.90 aje.


[ Kek Mentega Pelangi]



[Kek Sifon Pandan]



[Kek Gula Hangus]



[Kek Coklat Kukus]



[Mufin Pisang]


[Kek Oren Biji Popi]
[Kek Cawan Berhias]

Membuat Kuih Lapis

Kuih-muih tempatan enak dimakan untuk minum petang. Antara kuih-muih yang menjadi kegemaran keluarga saya ialah kuih lapis. Untuk memasak kuih lapis, kita menggunakan cara kukus. Didihkan air 3/4 penuh. Loyang yang digunakan dalam resipi ini berukuran 10 inci. Griskan loyang dengan sedikit minyak dan panaskan ia selama 3 minit kemudian barulah dituangkan adunan. Setelah masak, sejukkan selama beberapa jam barulah dipotong. Gunakan pisau tajam yang dibasahkan dan potong mengikut bentuk disukai.

Bahan-bahan :

2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung ubikayu
1 cawan gula pasir
600 ml santan pekat
800 ml air
sedikit garam
1 sudu teh esen ros
sedikit pewarna merah dan hijau

Cara Membuatnya :

1. Masukkan tepung beras, tepung gandum, gula, garam, santan dan air dalam sebuah mangkuk.Gaul hingga adunan sebati.Tapiskan untuk membuang gentel tepung.
2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Warnakan merah dan hijau.
3. Panaskan loyang dalam pengukus. Tuangkan dua senduk adunan hijau dalam loyang.
Tutup periuk kukus dan kukus 10 minit.
4. Tuangkan pula adunan merah dan kukus 10 minit. Buatlah cara yang sama hingga adunan habis. Lapkan penutup kukus setiap kali hendak menutupnya semula.
5. Apabila kuih telah masak, angkat dan sejukkan.

Soal-Jawab Mengenai Kek

Membuat kek ni kadang-kadang cantik gebunya dan kadang-kadang pula kurang menjadi. Walaupun kita menggunakan resipi yang sama,tetapi teknik yang digunakan tidak seragam. Contohnya masa memukul mentega dan gula atau cara menggaul berbeza setiap kali kita membuat kek.Itulah sebabnya hasilnya pun tidak sama. Jadi adalah penting kita menyeragamkan teknik mengadun seperti yang diamalkan oleh bakeri-bakeri supaya produk kita sentiasa sama terutama untuk orang yang mengambil tempahan kek.

Dalam perkara membuat kek ini memang sering timbul masalah. Antara masalah yang sering dihadapi ialah seperti berikut :

1. Kek Tenggelam Di Tengah

Didalam ketuhar, kek naik dengan elok tetapi apabila ia dikeluarkan dan disejukkan, permukaannya menjadi mendap.Ada beberapa perkara yang menyebabkan ini berlaku.Antaranya sukatan tepung dalam kek tidak mencukupi. Apabila tepung kurang, ia tidak dapat menampung struktur kek, jadi ia mendap di tengah. Kek juga kemungkinan belum cukup masak di bahagian tengahnya. Jadi adalah penting untuk anda menyucuk bahagian tengah kek dengan lidi apabila cukup masanya. Jika ada bahan yang melekit, bakar lagi 10 minit hingga bahagian tengah masak. Kemungkinan lain ialah mentega dan gula tidak dipukul sehingga gebu. Ini menyebabkan ia kekurangan gelembung udara yang akan mengembang apabila terkena haba.

2. Kek Merekah di permukaan

Perkara ini adalah biasa jika rekahannya kecil sahaja dan ia akan rapat apabila sejuk. Tetapi jika rekahannya besar, ia akan menjejaskan rupabentuk kek anda. Ada beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya ialah suhu ketuhar yang terlalu panas ataupun kek anda agak kering kerana terlebih tepung atau kekurangan cecair. Jadi setkan ketuhar pada suhu yang biasa untuk kek iaitu 180 darjah celcius. Semak semula resipi anda agar kandungan bahannya seimbang. Gunakan juga saiz tin pembakar yang bersesuaian.

3. Kek tidak masak di tengah tetapi hangus di bahagian tepi.

Perkara ini mungkin berkaitan dengan ketuhar anda. Ia mungkin tidak berfungsi dengan baik dan perlulah diservis ataupun ditukar baru.

4. Kek padat dan berminyak

Proses memukul mentega dan gula hendaklah dilakukan hingga ia benar-benar kembang dan gebu. Ia ringan dan warnanya kuning keputihan. Masa memukul bergantung kepada pengadun masing-masing. Apabila memasukkan telur pula,hendaklah dimasukkan sebiji dan dipukul sebati barulah dimasukkan yang lain.Kemudian barulah masukkan tepung dan susu. Jika proses dilakukan dengan betul, insyallah kek anda akan jadi gebu dan lembut.

Mari Buat Nasi Tomato

Semalam cuti Maal Hijrah, jadi akak masaklah special sikit. Hari-hari makan nasi putih jemu pulak. Anak-anak pun makan bertambah-tambah.Selera sungguh! Untuk beras nasi tomato ni, akak gunakan beras basmathi. Apa brand pun tak pe. Asal beras basmathi. Ada juga yang buat beras biasa tetapi tak tahulah macamana hasilnya.Membuat nasi tomato ni, lebih kurang sama dengan nasi briyani, cuma kita masukkan puri tomato untuk bagi nasi tu merah sikit. Resepi ini cukup untuk hidangan 5 orang makan.
Bahan-bahan :

4 cawan beras basmathi
3/4 cawan tomato puri (apa-apa brand)
1 cawan susu cair Ideal
4 1/2 cawan air
1/3 cawan minyak sapi
1/2 ulas bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
sedikit bunga cengkih
1 helai daun pandan
gula, garam secukupnya

Cara Membuatnya :

1. Beras direndam 15 minit, basuh dan toskan.
2. Bawang besar, bawang putih dan halia ditumbuk.
3. Panaskan minyak sapi dan tumiskan kulit kayu,bunga lawang dan cengkih. Masukkan bawang tumbuk dan tumiskan hingga kuning dan naik bau.
4. Masukkan tomato puri dan tumiskan sebentar.
5. Masukkan air, susu, gula, garam dan daun pandan. Gaul sebati dan biarkan mendidih.
6. Masukkan beras dan kacau sebati.
7. Perlahankan api dan tutup periuk. Biarkan ia masak perlahan-lahan. Kacau sekali-sekala.

Nota : Nasi tomato ini enak dimakan bersama kuah kari, ayam masak merah dan acar timun.

Ingin Mengikuti Kursus Masakan

Sudah ramai yang bertanya saya dimana boleh mengikuti kursus-kursus masakan. Sebenarnya di KL dan Selangor ni, banyak tempat dimana kursus-kursus masakan/baking ini diadakan. Ada yang kursus jangka pendek (1/2 hari - 1 hari) dan ada juga kursus profesional yang memakan masa 2 bulan hingga 3 tahun. Saya akan menyenaraikan beberapa tempat dimana anda boleh mempelajari pelbagai ilmu dalam bidang masakan ini.

1. Bagus Baking Center
Cawangan : Shah Alam, Taman Melawati, Taman Permata, Kajang, Gombak,Klang dan Kuching. Masa Kursus : 1/2 hari - 1 hari
Bayaran : RM10 - RM200 bergantung kepada kursus
Sila tel: 03-55110688 atau layari http://www.bagus.com.my/

2. Bakeri Ria Academy, Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor
Kursus : Pelbagai kursus membuat roti, kek, hiasan kek dll
Bayaran : RM 50 - RM300 bergantung kepada kursus
Sila tel : 019-3824067 atau layari http://cheffarid.blogspot.com/

3. Bake With Yen, Bandar Puteri, Puchong, Selangor.
Kursus : Pelbagai kursus membuat kek, biskut, hiasan kek dll
Bayaran : RM20 - RM100 (1/2 hari - 1 hari)
Tel: 03-80601828

4. Akademi Citra Klasik, Jalan Reko, Kajang
Kursus : Pelbagai kursus membuat kek, kuih-muih, frozen food dll
Bayaran : RM50 - RM 200 (1/2 hari - 1 hari)
Tel: 03 - 87346427 (Puan Pauziah Saaid)
Sila layari : http://www.citraklasik.e-rudit.com/


5. International Centre of Cake Artistry , Seksyen 14, Petaling Jaya.
Kursus : Hiasan Kek Buttercream dan Fondant
Bayaran : Ribu-ribu (tak pasti)
Sila layari : http://www.2decoratecakes.com/

6. Malaysian Institute of Baking (MIB), Petaling Jaya
Kursus : Profesional course (Diploma dan Sijil)
Bayaran : Tak Pasti
Sila layari : http://www.mib.edu.my/

7. Food Institute of Malaysia (FIM) Kelana Jaya
Kursus : Profesional Course (Diploma dan Sijil)
Bayaran : Tak Pasti
Tel: 03-78802150 atau layari http://www.fim.edu.my/

Selain dari tempat-tempat tersebut,ada banyak agensi kerajaan yang mengadakan kursus seperti Jabatan Pertanian, MARA, Mardi dll. Kesimpulannya, tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Begitulah sabda Nabi Muhammmad SAW bagi menggambarkan betapa pentingnya menuntut ilmu dan menjadi orang yang berilmu.

Membuat Air Soya dan Taufu Fa

Anak saya yang bongsu, si Najwa suka sangat minum air soya. Asyik beli aje.Saya terfikir kenapa tak buat sendiri. Membuat air soya tidaklah susah kerana kita hanya perlukan mesin pengisar biasa saja. Kacang soya pulak boleh dibeli di pasaraya. Selain dari air soya, kita juga boleh menghasilkan Taufu Fa atau tauhu lembut yang dimakan bersama air gula merah. Untuk membuat taufu fa kita perlu menggunakan sejenis garam buah-buahan atau nama komersialnya Glucono Delta Lactone (GDL) yang akan mengeraskan taufu fa itu. Air soya yang saya buat semalam menggunakan 1 kg .kacang soya dan dapat 7 liter air soya. Puaslah minum. Separuhnya diisikan dalam botol dan simpan dalam peti sejuk. Ia tahan sehingga 5 hari. Sebelum mengisar kacang soya, ia hendaklah direndamkan dengan air penuh selama semalaman atau sekurang-kurangnya 8 jam agar kacang itu kembang dan lembut.


Bahan-bahan :

500 gm kacang soya
3.5 liter air
2 helai daun pandan
1/3 sudu teh GDL
1/4 cawan air
500 gm gula
200 gm air

Cara Membuatnya :
1. Kacang soya yang telah direndam, ditoskan.
2. Kisar kacang soya sedikit-sedikit dan masukkan air secukupnya.
3. Tuangkan atas kain muslin atau apa-apa kain putih yang jarang. Perahkan ke dalam sebuah periuk.Buat cara yang sama hingga habis.
4. Masukkan daun pandan dalam periuk. Panaskan air soya hingga mendidih.
5. Untuk membuat taufu fa, ambil 1 liter air soya yang telah masak dan masukkan dalam periuk yang kecil.
6. Bancuh garam buah-buahan(GDL) dengan 1/4 cawan air dan tuangkan ke dalam periuk taufu fa.Kacau sebati.
7. Tutup periuk rapat-rapat dan diamkan ia satu jam agar taufu fa mengeras. Jangan gerakkan atau alihkan periuk.
8. Masak air gula hingga mendidih. Sejukkan.
9. Apabila hendak menikmati air soya, tambahkan air gula dan air batu secukupnya.
10. Taufu fa boleh dimakan sejuk atau panas bersama air gula atau air gula merah.

Salam Maal Hijrah

Assalamualaikum . Selamat Maal Hijrah diucapkan kepada anda semua. Semoga tahun baru Islam ini akan memberi lebih banyak kejayaan kepada anda . Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam Islam dimana ia menjadi detik permulaan perkiraan Hijrah dalam kelendar Islam. Detik hijrah diingati sebagai garis permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.

Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah SWT bermakna ia mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup.Justeru berhijrah adalah sebahagian dari misi ketakwaan kepada Allah SWT.Kita mesti berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah SWT.Mencapai apa jua kejayaan memerlukan pengorbanan dan satu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh yang singkat.Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulangkali sebelum mencapai kejayaan.

Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat hidup setiap Muslim . Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik dari semalam adalah orang yang rugi kerana masa tidak akan berulang.Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa.Allah SWT melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melaksanakan usaha hijrah . Semakin sukar laluan yang ditempuhi, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya."(Surah at-Taubah, ayat 20)
Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian dari maksud hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah SWT.Jadikanlah semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan kebaikan dalam hidup anda semua. Amin.

(Sumber: Berita Harian 8 Januari 2008)

Jemput-jemput Jagung

Resipi ini pula saya ambil dari Majalah Saji Mac 2005 dan chefnya ialah pelakon Zaibo.

Bahan-bahan :
3 tongkol jagung
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
10 tangkai daun kucai
130 gm udang kertas
30 gm udang kering
2 biji telur
180 gm tepung gandum
125 ml air panas
minyak masak secukupnya
sedikit garam

Cara Membuatnya :
1. Leraikan jagung dari batangnya. Bawang besar, cili merah dan daun kucai dipotong dadu. Manakala udang kertas dibelah dua dan udang kering ditumbuk halus.
2. Masukkan kesemua bahan dalam mangkuk. Kemudian pecahkan telur dan gaul rata.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit bersama air panas dan gaul hingga sebati.
4. Pastikan tepung tidak melekat pada tapak tangan. Jika masih melekat, tambahkan tepung.
5. Panaskan minyak. Jemputkan adunan dengan tangan dan goreng hingga garing.
6. Toskan dan hidangkan.

Nota : Enak dimakan panas-panas dan dicicah bersama sos cili.

Cucur Bilis Lembut

Assalamualaikum.Bersua lagi di ruangan ini. Hari ini posting saya bertajuk "Cucur Bilis Lembut. Cucur , jemput-jemput atau nama tak glamournya cekodok, menjadi hidangan sarapan pagi dan minum petang yang popular dikalangan masyarakat kita. Cucur diperbuat dari tepung gandum dan dicampur pelbagai bahan lain bagi menambahkan rasa dan kelembutannya. Antaranya cucur bawang,cucur bilis,cucur pisang, cucur jagung dan lain-lain. Hidangan ini mudah disediakan kerana anda hanya perlu menggaul dan mengoreng. Bagaimana untuk mendapatkan cucur yang lembut, tidak keras dan liat seperti biasa. Ha, rahsianya ialah dengan menggunakan air panas yang baru lepas mendidih. Dengan menggunakan air panas, tepung menjadi setengah masak dan apabila digoreng, ia menjadi ringan dan lembut isinya. Kulit luarnya pula menjadi rangup dan garing.Cucur ini juga enak dicicah bersama sambal kicap.

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air panas
sedikit air paip, jika perlu
sedikit hirisan bawang merah
sedikit ikan bilis, ditumbuk
sedikit garam
2 cawan minyak, untuk menggoreng

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung, garam, bawang dan bilis ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tuangkan air panas dan gaul hingga basah. Jika kurang basah, tambah sedikit air paip.
3. Adunan menjadi seakan berketul dan 1/2 masak.
4. Bulat-bulatkan adunan kecil-kecil.
5. Panaskan minyak dan masukkan cucur. Goreng hingga kekuningan.
6. Angkat dan toskan.

Sambal Kicap:
1 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1 sudu besar gula
3 sudu besar kicap pekat

Cara Membuatnya:
1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan gula hingga lumat.
2. Masukkan kicap dan gaul sebati. Hidangkan bersama cucur bilis.

Kek Keju Blueberi


Sumber : Chef Wendy Kor- Cakes Talk

Bahan-bahan :
(A)
350 gm krim keju
80 gm mentega
(B)
180 gm Krim Putar (Dairy Whipping Cream)
4 biji telur kuning
(C)
15 gm tepung kek
15 gm tepung jagung
(D)
4 biji telur putih
80 gm gula
1/4 sudu teh serbuk krim tartar

Lapisan biskut :
100 gm biskut cream crackers, dihancurkan
60 gm mentega, dicairkan

Cara Membuatnya :

1.Lembutkan krim keju dan mentega. Putar kedua-duanya hingga sebati.
2. Masukkan krim putar dan juga kuning telur. Kacau hingga sebati dan masukkan tepung ke dalamnya.Gaul rata.
3. Putar bahan D hingga hingga kembang dan gebu. Satukan dengan adunan diatas dan gaul sebati.
4. Untuk membuat lapisan biskut, hancurkan biskut hingga halus.Tuangkan mentega cair dan gaul sebati.
5. Sediakan tin springform bersaiz 8 atau 9 inci. Tekankan biskut ke dasarnya hingga rata. Sejukkan dalam peti dinginbeku selama 10 minit.
6. Tuangkan adunan kek keatas biskut. Lapik tin dengan kertas aluminium supaya tidak dimasuki air.
7. Bakar secara "steam bake" dan masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan ke suhu 160 darjah celcius. Setelah masak , sejukkan dan masuk dalam peti ais beberapa jam sebelum dihidang.

Nota : Kek ini boleh dihias dengan inti blueberi. Untuk mendapatkan gambaran jelas tentang membakar secara "steam-bake", sila tonton video 'Cake Baking' bertajuk Nigella Lawson- Chocolate Cheese Cake.

Panduan Membuat Kek Keju

Kek keju semakin popular di negara kita kerana keenakan dan keunikan rasanya.Walaupun harganya agak mahal berbanding kek-kek yang lain, namun ia tetap jadi pilihan para penggemarnya.Kek keju yang terkenal seperti Kek Tiramisu adalah berasal dari Itali. Ia adalah hidangan pencuci mulut yang popular dan dicipta pada tahun 1960 di Treviso,Itali."Tiramisu" bunyinya seakan-akan bahasa Jepun tetapi dalam bahasa Itali, ia bermaksud "pick me up" atau "carry me up". Resipi asal Tiramisu menggunakan 'sponge fingers' dan keju mascapone. Tetapi kita boleh ubahsuai resipi ini mengikut selera sendiri . Untuk mendapatkan bahan-bahan membuat kek keju lebih mudah mendapatkannya dari kedai-kedai menjual bahan kek seperti Bagus Marketing, Bake With Yen dan lain-lain. Harga krim keju juga lebih murah berbanding dengan membeli dipasaraya biasa. Keju mascapone sukar didapati dan harganya mahal.Anda boleh gunakan krim keju Philadelphia bagi menggantikan keju mascapone. Krim masam pula boleh digantikan dengan yogurt.

Panduan Membuat Kek Keju

1. Gunakan keju jenis krim keju( cream cheese) untuk kebanyakan resipi kek keju. Kecuali dinyatakan dalam resipi untuk menggunakan keju jenis lain.

2. Keluarkan keju 1 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan bersuhu bilik. Ini memudahkan kerja memutar dan supaya ia tidak berketul.

3. Kek keju mempunyai 2 kaedah membuatnya iaitu cara membakar dan cara dinginbeku (Chilled). Baca resipi dengan teliti untuk mempastikan kaedah mana digunakan.

4. Teknik water-bath/steam bake/bain-marie digunakan semasa membakar kek keju agar ia masak dengan perlahan dan tidak hangus. Suhunya pula 160 darjah celcius. Teknik ini bermaksud meletakkan sedulang air dibawah acuan kek agar kek masak melalui haba air tersebut.

5. Gunakan tin bulat jenis 'springform' agar mudah dibuka dari bahagian tepi. Anda juga boleh gunakan 'loose tin' yang boleh dibuka dari bahagian bawah. Jangan gunakan tin pembakar biasa kerana akan susah dikeluarkan.

6. Jika gunakan kaedah membakar water-bath, lapik tin dengan kertas aluminium untuk mengelakkan air masuk ke dalam kek.

7. Panaskan ketuhar kepada 160 darjah celcius selama 15 minit. Masa membakar pula adalah satu setengah jam (1 1/2 jam).

8. Kek keju enak dimakan apabila sejuk. Setelah kek sejuk ,masukkan ke dalam petiais sekurang-kurangnya 3 jam agar ia padat. Kemudian barulah dipotong ..

Cake Baking Video

Hari ini saya masukkan video Cake Baking yang saya ambil dari Youtube.com.Nasib baiklah ada anak bujang yang pandai dalam hal-hal komputer ni. Kalau tak,tak dapatlah nak posting.Dalam video ini ada banyak jenis kek seperti cara membuat kek epel, kek keju, kek span , kek aiskrim dan lain-lain. Nigella Lawson, selebriti chef yang selalu masuk tv tu ada tunjukkan cara-cara membuat kek keju coklat. Jadi melalui video ni, kita nampak sendiri bagaimana mereka melakukannya. Sudi-sudikanlah menonton video ini.Ada muzik sekali, taklah boring.



Kek Black Forest

Kek Black Forest memang menjadi kesukaan ramai orang. Kek yang disaluti krim segar ini sangat enak dimakan sejuk dan menjadi pencuci mulut yang popular. Apakah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kek ini?

Bahan-bahan :

1 biji kek span coklat 8 inci
10 biji ceri marashino (bertangkai)
1 mangkuk kecil inti blueberi
200 gm coklat masakan
1 liter Whipping Cream For Topping
sedikit beberas coklat untuk hiasan
papan kek bersaiz 10 inci

Cara Membuatnya :

1. Letakkan kek span atas papan kek.
2. Ambil pisau bergerigi dan belahkan 3 bahagian.
3. Putar 'whipping cream' hingga kembang dan gebu.
4. Ambil sedikit krim dan sapukan pada setiap lapisan.
5. Sapukan krim menyaluti seluruh kek.
6. Taburkan beberas coklat pada tepi kek. Buat corak rosette atas kek.
7. Hiaskan dengan ceri dan coklat diparut.

Nota : Anda boleh letak coklat hiris atau inti blueberi atas kek.




Menghias Kek Cawan




>>> Gambar atas menunjukkan kek yang belum berhias dan gambar berikutnya menunjukkan kek cawan yang telah dihias.

Kek cawan boleh dihias dengan pelbagai cara dan pelbagai aising. Cara menghias yang mudah adalah dengan menggunakan jem atau mentega kacang bercoklat . Anda hanya perlu sapukan jem atau mentega kacang dan taburkan manik-manik gula, beberas coklat, kekacang dan lain-lain. Untuk menampakkan ia lebih menarik, anda boleh gunakan aising krim mentega atau aising coklat. Jika untuk makan sendiri,hiasannya adalah ringkas tetapi jika untuk jualan, perlulah cantik dan menarik.

Ayam Ungkep

Hari ini nak perkenalkan satu masakan yang popular di kalangan masyarakat keturunan Jawa di kampung halaman suami saya di Muar. Cara memasaknya lebih kurang macam rendang tetapi bumbunya terdiri dari rempah ratus seperti jintan manis, ketumbar dll.Lauk ini mempunyai aroma yang memikat selera dan enak dimakan bersama kuah lodeh dan nasi putih. Selalunya masakan ini dihidangkan di hari raya bersama ketupat dan kuah kacang.

Bahan-Bahan :
1.5 kg ayam, dipotong kecil
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar, dihiris bulat
2 batang serai, diketuk
1/2 cawan minyak masak
garam dam perasa secukupnya
1 hiris asam keping
air secukupnya

Bumbu (rempah ratus di kisar)
2 sudu besar ketumbar
3 sudu besar jintan putih
3 sudu besar jintan manis
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 biji bawang besar (merah)
4 ulas bawang putih

Cara Membuatnya :
1. Bahan bumbu dibasuh dan kisar hingga lumat bersama sedikit air.
2. Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bawang besar, bunga lawang dan serai hingga naik baunya.
3. Masukkan bumbu kisar dan tumis lagi hingga naik bau dan garing. Jika kurang minyak, tambah sedikit lagi.
4. Masukkan ayam dan kacau sebati.Tambahkan dua cawan air dan asam keping.Kacau biar rata.Tutup kuali dan biarkan rendidih selama 30 minit hingga ayam empuk.
5. Tambahkan air jika ayam belum empuk.Masukkan garam dan perasa.
6. Angkat dan hidangkan.



>>> Ayam Ungkep dinikmati bersama Sayur Lodeh