Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Siakap Masam Manis

Anak-anak akak memang suka makan lauk ni.Satu ekor tu,sekejap aje licin. Membuat siakap masam manis ni ringkas saje. Tak perlukan banyak barang. 30 minit aje boleh siap. Satu saja masalahnya ialah menyiang ikan siakap. Silap-silap haribulan boleh terluka tangan. Kalau beli di pasaraya,suruh mereka siangkan sekali. Senang kerja kita. Untuk sos, saya gunakan cili kisar yang dibuat sendiri. Ikuti posting sebelum ini.

Bahan-bahan :

1 ekor ikan siakap, sederhana
kunyit, garam - untuk menggaul
minyak untuk menggoreng ikan

Sambal:
4 sudu besar cili kisar
1/3 cawan sos cili
sedikit gula
sedikit garam
1 biji bawang, dipotong bulat
1/3 cawan minyak , untuk menumis

Cara Membuatnya :
1. Ikan dibersihkan dan digaul garam dan kunyit. Panaskan minyak dan goreng hingga garing.Angkat dan toskan. Letakkan dalam pinggan bujur.
2. Kurangkan minyak gorengan tadi hingga menjadi lebih kurang 1/3 cawan.
3. Tumiskan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.
4. Masukkan sos cili , gula dan garam. Gaul sebati. Jika agak pekat,tambahkan sedikit air.
5. Setelah agak pekat sosnya, angkat dan tuangkan ke atas ikan. Hiaskan.

0 comments :