Panduan Membuat Biskut

Akak ni buat biskut bila time Hari Raya saja. Akak memang ambil tempahan biskut raya sejak beberapa tahun yang lepas.Pernah juga tempahan akak sampai 35,000 biji sedangkan akak buat sorang dan keluarga adalah bantu sikit-sikit.Tak larat akak dibuatnya. Tahun lepas akak ambil separuh aje. Buat setakad yang mampu . Antara biskut yang menjadi kegemaran pelanggan akak ialah Biskut Almond London, Biskut Tat Gulung,Chocolate Chip dan lain-lain. Membuat biskut ni bukanlah susah sangat. Kita perlu memahami fungsi bahan-bahan, peralatan dan kaedah membuatnya.

Kaedah atau teknik yang saya gunakan untuk kebanyakan biskut ialah kaedah mengkerim .Kaedah mengkerim (creaming method) ialah teknik dimana kita memukul mentega dan gula hingga kembang dan berkerim. Kemudian dimasukkan telur, perisa dan cecair lain. Setelah semuanya sebati, barulah dimasukkan tepung, rempah, kekacang dan lain-lain. Langkah terakhir memasukkan tepung saya lakukan dengan tangan. Gaul perlahan-lahan hingga sebati dan menjadi doh yang lembut. Tutup doh dengan plastik dan rehatkan 15 minit . Anda juga boleh memasukkan doh ke dalam plastik dan simpan dalam peti sejuk selama 30 minit. Tujuannya agar doh menjadi lebih mantap dan mudah dicanai atau dibentukkan.

Antara beberapa tip membuat biskut ialah :

1. Gunakan tepung biskut (cookie flour) untuk mendapatkan biskut yang rangup. Tepung gandum biasa (all purpose) boleh juga digunakan tetapi biskut kurang rangup.

2. Anda juga boleh gunakan perangup biskut atau emplex tetapi bergantung kepada jenis biskut. Bukan semua biskut boleh gunakan emplex.

3. Mentega dan gula jangan terlebih pukul (overmix) kerana akan menjadi terlalu ringan dan akan menyebabkan biskut menjadi leper dan kembang.

4. Kebanyakan biskut sudah mengandungi kandungan mentega yang tinggi, jadi tidak perlulah tin pembakar digriskan dengan mentega lagi.

5. Panaskan ketuhar kepada 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan biskut.
Ia akan masak dalam masa 20 - 25 minit bergantung kepada jenis biskut dan saiznya.

6. Sejukkan biskut dalam dulangnya sebelum dikeluarkan. Biskut yang baru masak adalah lembut dan akan mengeras apabila sejuk.

No comments:

Popular Posts