Showing posts with label roti. Show all posts
Showing posts with label roti. Show all posts

Donat Homemade


Dah lama teringin nak makan donat tapi tak sempat-sempat nak buat kerana banyak sangat hal terutama kursus-kursus yang diadakan saban minggu. Semalam sempatlah buat tapi saya gunakan tepung gandum biasa (all purpose flour). Hasilnya alhamdulillah, lembut. 1 kg tepung saya mendapat lebih kurang 40 biji donat. Dari pengalaman saya membuat donat dengan tepung roti dan tepung gandum, saya dapati gunakan tepung gandum lebih lembut kerana saya menguli dengan tangan. Jika gunakan tepung roti, seeloknya gunakan mesin supaya dapat menghasilkan glutin yang memberi kekenyalan pada donat itu.Kelembutan donat juga bergantung kepada berapa kuat dan berapa lama kita menguli. Biasanya saya menguli dengan tangan selama 15 minit sehingga doh jadi lembut.


Donat homemade
Bahan-bahan :

1 kg tepung gandum
1 peket yis kering Mauripan(11gm)
5 sudu besar gula kastor
50 gm majerin
1 biji telur A
500 gm air (secukupnya)
1 sudu teh serbuk penaik

Cara Membuatnya :
1. Sediakan sebuah besen dan satukan tepung gandum,serbuk penaik, yis kering,gula, majerin dan telur. Gaul hingga rata.
2. Masukkan air sedikit-sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembap . Jika doh agak kering, tambah air sedikit lagi.
3. Pindahkan doh ke atas dulang yang telah ditabur sedikit tepung gandum.Uli dengan tangan selama 15 minit hingga lembut dan kenyal. Untuk memudahkan anda menguli. Bahagi dua doh tersebut dan ulilah satu-satu sehingga lembut.
4.Setelah lembut, satukan dua doh tadi menjadi seketul doh dan masukkan semula dalam besen dan tutup dengan kain atau plastik.Letakkan di tempat hangat seperti dalam bilik bertutup.Rehatkan selama 45 minit hingga doh naik 2 kali ganda.
5. Tumbuk doh untuk keluarkan angin dan uli sebentar.
6. Bulatkan doh kecil-kecil dan bentukkan ia. Susun dalam dulang yang ditabur sedikit tepung dan biarkan ia naik selama 20 minit.
7. Panaskan minyak dan goreng donat kekuningan. Angkat dan toskan.
8. Setelah suam-suam kuku, bolehlah digaul dengan gula kastor.

Tip :
1. Minyak menggoreng jangat terlalu panas kerana mudah hangus. Guna api kecil saja.
2. Donat boleh difrozen atau disimpan chiller. Caranya goreng donat hingga kembang tapi masih putih. Angkat dan toskan.Simpan dalam bekas tupperware dan letak dalam peti sejuk. Apabila hendak dimakan, keluarkan dan goreng semula hingga kuning.
3. Jika doh terlembik, tambahkan sedikit tepung dan uli hingga menjadi lembut.

Donat Coklat Kayumanis


Hari minggu ni nak buat apa untuk minum petang? Apa kata anda buat Donat Coklat Kayumanis . Selalunya kita buat donat yang bentuk roda tu tapi kali ini kita cipta kelainan pula. Buat donat yang bulat dan letakkan inti coklat di dalamnya.Lepas itu gaulkan dengan serbuk kayu manis dan gula kastor .Pasti sedap. Ada satu lagi donat ala Malaysia yang diletakkan sambal ikan bilis didalamnya. Biasa dijual di gerai-gerai di tempat tinggal saya.

Bahan-bahan :
300 gm tepung protin tinggi (tepung roti)
200 gm tepung gandum biasa
14 gm yis segera
70 gm gula kastor
3 gm garam
40 gm mentega
1 biji telur A
310 gm air
inti:
coklat masakan secukupnya
sedikit serbuk kayu manis dan gula kastor - untuk sadur

Cara Membuatnya:
1. Satukan semua bahan doh ke dalam sebuah mangkuk adunan kecuali air.
2. Gaul rata dan masukkan air sedikit-sedikit hingga habis.
3. Uli dengan tangan atau mesin hingga menjadi doh yang lembut.Pakai mesin uli 10 minit kelajuan sederhana. Uli dengan tangan ambil masa 15 - 20 minit.
4. Masukkan doh dalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik. Rehatkan 30 minit di tempat hangat hingga naik 2 kali ganda.
5. Tumbuk doh dan uli semula sekejap. Bahagikan doh kepada bebola kecil seberat 40 gm.
6. Canaikan dan masukkan seketul coklat masakan seberat 5 gm . Rehatkan doh 15 minit .
7. Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.
8. Serbuk kayu manis di gaul dengan gula kastor. Gaulkan donat yang suam itu ke dalam gula tadi. Hidangkan.

Roti Soft Bun


>>Ban sosej


>>Ban biasa juga boleh diletakkan topping kastad

Resipi asas ini boleh membuat pelbagai jenis ban seperti mini pizza, ban mexico, donat dan sebagainya .Anda cuma perlu mempelbagaikan bentuk, inti dan topping yang bersesuaian. Untuk membuat soft bun atau ban lembut ini,penggunaan mixer bersaiz besar adalah lebih baik kerana ia dapat menguli tepung dengan rata dan ke tahap optima. Ia mengambil masa dalam 15 minit hingga 20 minit.Apabila ban ini sudah cukup diuli, ambil secubit doh dan regangkan.Ia mestilah boleh ditarik nipis tanpa terkoyak. Jika roti sudah cukup diuli,ia akan menjadi roti yang lembut. Anda juga boleh menggunakan food processor tetapi dalam kuantiti yang sedikit kerana saiznya yang kecil. Jika semua peralatan ini tiada, terpaksalah kita menggunakan tangan. Ulilah
dalam masa 20 - 30 minit hingga doh lembut dan boleh ditarik nipis.

Bahan-bahan :
500 gm tepung roti
50 gm gula kastor
2 biji telur
15 gm yis kering (segera)
1/2 sudu teh garam
50 gm mentega/majerin
250 gm susu UHT (kotak)
sedikit air, jika perlu

Untuk glis(sapuan):
1 biji telur
sedikit air susu

Untuk topping :
5 batang sosej, direbus dan belah dua
sedikit sayur campuran
sedikit mayonis
sedikit sos cili

Cara Membuatnya :
1. Satukan semua bahan kecuali susu, ke dalam sebuah mangkuk pengadun.
2. Putar perlahan dengan alat hook supaya adunan sebati.
3. Masukkan susu sedikit-sedikit sambil memutar. Habiskan susu dan putar lagi hingga adunan lembut dan boleh ditarik nipis.
4. Bahagikan doh kecil-kecil seberat 50 gm. Tutup doh dengan plastik dan biarkan ia naik 2 kali ganda. Gelek doh kepada bentuk bulat.Rehatkan doh supaya ia naik lagi.
5. Mayonis dan sayur campuran di gaul bersama. Letakkan sosej di bahagian tengah doh dan taburkan sayur campuran. Picitkan sos cili atasnya.
6. Sapukan glis di sekelilingnya.
7.Panaskan oven ke suhu 200 darjah celcius. Sapukan dulang pembakar dengan majerin. Susun roti dan bakar selama 20 minit hingga masak.

Membuat Sos Pizza

Pizza takkan lengkap tanpa sosnya dan ditaburi dengan bahan-bahan topping. Anda boleh buat pelbagai jenis pizza dengan bahan-bahan topping yang pelbagai. Terserah kepada citarasa anda. Sos pizza adalah bahan asas yang disapukan ke atas pizza yang kosong sebelum meletakkan toppingnya . Jika anda tiada masa membuat sos pizza, anda boleh sapukan dengan sos cili atau sos tomato. Tetapi rasanya kurang enak berbanding membuat sos sendiri. Sos ini juga boleh difrozenkan untuk beberapa bulan jika tidak habis digunakan. Bahan istimewa yang dimasukkan dalam sos ini ialah daun bay dan rempah oregano. Bahan ini boleh didapati di kedai bahan kek dan pasaraya besar seperti Giant atau Tesco. Daun ini memberi rasa dan bau yang harum kepada pizza seperti pizza Itali! Untuk topping pula gunakan keju Mozarella kerana pizza akan bergetah apabila ditarik (macam iklan pizza hut).

Bahan-bahan sos pizza :
1/2 biji bawang besar (merah)
2 ulas bawang putih
1 biji tomato, dikisar
1 tin kecil tomato puri
3 sudu besar gula
1 sudu teh garam
2 sudu besar minyak masak
rempah oregano
beberapa helai daun bay
1 peket daging kisar Ramly

Bahan topping :
250 gm keju mozarella, diparut
1 biji cili benggala (capsicum), dihiris bulat
1 biji bawang besar , dihiris bulat
sedikit mix vegetable
1 tin nenas kiub, dihiris
5 ketul sosej ayam, dihiris

Cara Membuatnya :
1. Cincang atau tumbuk bawang merah dan bawang putih. Kisar tomato dengan sedikit air.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang tumbuk hingga naik bau dan kekuningan.
3. Masukkan tomato kisar, tomato puri dan daging kisar.
4. Masak atas api sederhana hingga daging kecut dan mendidih kira-kira 20 minit.
5. Masukkan 4 helai daun bay,1 sudu besar oregano, gula dan garam. Masak lagi selama 10 minit hingga sos pekat dan berbau harum.Tambah gula jika suka lebih manis.
6. Setelah masak, angkat dan sejukkan.
7. Sapukan sos atas roti pizza dan taburkan bahan-bahan topping dan terakhir taburkan keju mozarella.
8. Bakar selama 20 minit hingga masak pada suhu 200 darjah celcius.
9. Enak dimakan semasa masih hangat.

Roti Pizza

Membuat roti pizza adalah berlainan sedikit resipinya dengan ban manis. Ban manis menggunakan telur dan lebih gula manakala roti pizza tidak menggunakan telur dan hanya sedikit gula digunakan. Ini supaya roti pizza tidak terlalu lembut dan memudahkan kita meratakan topping diatasnya. Proses membuat roti pizza adalah sama dengan roti-roti yang lain.

Bahan-bahan :
500 gm tepung protin tinggi (tepung roti)
11 gm (1 peket) yis segera Mauripan
20 gm gula kastor
5 gm garam
30 gm shortening
20 gm susu tepung
330 ml air (tambah jika kurang)
5 gm bread improver

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung, yis, gula, garam,susu tepung dan bread improver. Gaul rata.
2. Buat lubang di tengah dan tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang kasar.
3. Masukkan shortening dan gaul/pukul lagi hingga menjadi lembut dan elastik. Jika uli dengan tangan 20 minit. Jika guna mesin, lebih cepat.
4. Biarkan doh naik 2 kali ganda. Tutup bekas dengan plastik.
5. Tumbuk doh dan uli kebentuk asal.
6. Timbang doh 150 gm dan canai ke bentuk bulat berukuran 8 inci.
7. Cucuk doh dengan garfu untuk menghalang ia menggelembung apabila dibakar.
8. Susun dalam tin pembakar dan biarkan doh naik 20 minit.
9. Bakar setengah masak selama 10 minit. Keluarkan doh dan biarkan ia sejuk.
10. Ratakan sos piza dan aturkan bahan-bahan topping. Akhir sekali taburkan keju mozarella.
11. Bakar semula selama 20 minit lagi pada suhu 200 darjah celcius.

Ban Manis (Sweet Bun)

Ban manis ini boleh membuat pelbagai jenis roti dengan bentuk dan isian yang berlainan. Jika anda pergi ke kedai bakeri, anda dapat saksikan bermacam-macam jenis ban. Semuanya menggunakan resipi asas yang sama tetapi dipelbagaikan bentuk, inti atau toppingnya. Dari ban manis ini anda boleh membuat Mexico Bun, Mini Bun, Cheese Bun, Coconut Twist Bun dan lain-lain lagi.

Bahan-bahan:

400 gm tepung roti
100 gm tepung superfine (kek)
100 gm gula kastor
5 gm garam
20 gm susu tepung
1/4 sudu teh bread improver
1 biji telur B, dipukul
1 peket (11 gm) yis segera Mauripan
40 gm shortening
250 gm air

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung, gula, garam, susu tepung, bread improver dan yis. Gaul rata.
2. Buatkan lubang di tengah dan tuangkan telur dan air. Gaul hingga menjadi doh yang kasar.
3. Masukkan shortening dan gaul/pukul lagi hingga menjadi doh yang lembut dan elastik. Jika guna mesin 10- 15 minit. Pakai tangan 20 minit. Doh yang cukup elok diuli boleh ditarik nipis seperti roti canai.
4. Masukkan dalam bekas besar dan biarkan ia mengembang selama 45 minit dan naik 2 kali ganda.
5. Tumbuk doh bagi membuang anginnya dan uli sebentar ke bentuk asal.
6. Timbang doh seberat 60 gm dan bentukkan. Boleh juga diletakkan inti di tengahnya.
7. Susun dalam dulang pembakar dan biarkan ia naik 30 minit lagi . Masa bergantung kepada suhu bilik. Ia perlukan suhu 35 - 40 darjah celcius untuk naik dengan elok.
8. Gliskan dengan campuran telur dan air susu .
9. Bakar pada suhu 200 darjah celcius selama 20 minit hingga masak.

Donat Mak Yah

Resipi donat ini adalah resipi orang lama yang tak kenal tepung roti atau bread improver. Resipi ibu saya ini menggunakan bahan-bahan yang mudah dan tak perlu mencari barang di kedai bahan kek. Tapi resipi home-made ini menjadikan donat lembut dan boleh disimpan atau difrozenkan. Bahan-bahan yang digunakan untuk donat home-made ini agak berbeza dengan donat komersil tetapi tekniknya adalah sama iaitu membancuh, menguli, mengembang 2 kali dan menggoreng.Donat ini menghasilkan 40 biji donat bersaiz sederhana dan dibuat menggunakan tangan.Untuk mendapatkan donat yang lembut,masa menguli hendaklah lama (15 minit) hingga doh menjadi lembut, licin dan elastik.

Bahan-bahan :

1 kg. tepung gandum (all purpose flour)
11 gm (1 peket) yis segera Mauripan
50 gm majerin
1 biji telur B,dipukul dengan garfu
5 sudu besar gula kastor
2 sudu teh serbuk penaik
3 sudu besar susu pekat manis + 3 sudu besar air
500 ml air

Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung gandum,yis, gula kastor dan serbuk penaik dalam sebuah bekas. Gaul bahan kering ini hingga rata.
2. Buat lubang di tengah dan tuangkan telur dan air susu pekat manis. Gaul rata.
3. Masukkan majerin dan gaul rata. Kemudian tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang kasar. Doh hendaklah basah dan lembut.
4. Sediakan sebuah dulang dan taburkan sedikit tepung. Uli doh dengan cara menolaknya ke depan dan membawanya semula ke belakang (seperti memberus kain).
5. Uli selama 15 minit hingga doh menjadi lembut, licin dan elastik. Bulatkan doh.
6. Masukkan semula ke dalam bekas dan tutup plastik atau dulang tadi. Biarkan doh mengembang selama 45 minit atau naik 3 kali ganda dari saiz asalnya. Letakkan di tempat hangat agar ia cepat mengembang.
7. Tumbuk doh satu kali untuk mengeluarkan angin atau karbon dioksida yang dikeluarkan oleh yis tersebut. Uli semula sebentar ke bentuk asal.
8. Ambil secubit doh dan bulatkan. Bentukkan seperti roda dan susun atas dulang yang telah ditabur sedikit tepung gandum. Biarkan ia mengembang selama 20 minit.
9. Panaskan minyak dan goreng dalam api yang kecil. Apabila donat kembang dan kekuningan,angkat dan toskan.
10. Apabila hampir sejuk, golekkan dengan gula kastor atau gula halus yang dikisar.
Boleh juga dicelup dengan coklat masakan yang dicairkan. Hiaskan atasnya dengan chocolate rice atau badam cincang.

Tips :
1. Goreng donat sekadar untuk keperluan sahaja. Jika lima orang makan, goreng 15 biji sahaja.
Ini untuk mengelakkan pembaziran dan donat yang lebih akan menjadi keras.
2. Donat boleh disimpan dalam peti sejuk atau difrozenkan. Caranya goreng donat hingga ia kembang tetapi masih putih. Proses ini untuk mematikan yisnya. Angkat dan toskan. Sejukkan dan susun dalam bekas plastik. Jika hendak dimakan esok, simpan di tempat chiller saja.Jika mahu disimpan lama, simpan dalam peti dinginbeku (frozen).
3. Apabila hendak digoreng, keluarkan donat 1 jam sebelumnya.Gorenglah seperti biasa hingga kekuningan.


>>>Donat selepas digoreng


>>>Donat yang telah digaul gula halus


>>>Donat yang dicelup coklat masakan dan dihias

Resipi Kuih Pau


Bahan-bahan :

1 kg tepung pau
11 gm yis kering Mauripan
20 gm serbuk penaik double action
110 gm gula kastor
50 gm shortening (lemak putih)
15 gm ovalet
550 ml air

Inti :
Serikaya, kelapa atau kacang merah

Cara Membuatnya :

1. Satukan tepung pau, yis kering, serbuk penaik, gula kastor dan ovalet dalam sebuah besen atau mangkuk besar. Gaul sebati.
2. Tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh kasar yang agak lembik. Tambah air jika kurang lembut.
3. Pindahkan doh yang masih kasar itu ke atas sebiji dulang yang besar. Taburkan sedikit tepung gandum.
4. Letakkan shortening di tengah doh dan uli hingga ia sebati dengan doh.Mula-mula memang agak melekit, tetapi lama kelamaan ia akan menyerap dalam doh. Jika melekit, tabur sedikit tepung gandum.
5. Uli lagi selama 15 minit hingga doh menjadi lembut dan halus.
6. Masukkan doh ke dalam besen besar semula. Tutup dengan kain atau plastik. Letakkan di tempat yang hangat supaya ia cepat mengembang. Biarkan selama lebih kurang 45 minit atau sehingga doh naik 3 x ganda dari saiz asal.
7. Tumbuk doh dengan tangan bagi mengeluarkan anginnya. Uli sebentar ke bentuk asal.
8. Bentukkan doh mengikut saiz dikehendaki. Letak atas papan canai dan canaikan membulat.
9. Masukkan inti dan tutup doh. Letak atas kertas atau daun pisang yang dipotong empat segi.
10. Susunkan atas dulang aluminium yang muat dimasukkan dalam pengukus. Jangan susun terlalu rapat kerana doh akan mengembang.
11. Rehatkan doh 20 minit. Sambil itu, isikan air 3/4 penuh dan didihkan.
12. Setelah air mendidih, masukkan dulang berisi doh tadi. Tutup periuk dengan kain putih nipis dan kukus 15 minit dalam api besar.
13. Angkat dari api dan buka penutup.Sejukkan.

Nota : Resipi ini boleh mendapat lebih 40 biji pau bersaiz sederhana. Pau boleh dipanaskan semula keesokan harinya. Jika mahu buat sedikit, gunakan 1/2 resipi ini.

Popular Posts