Membuat kek ni kadang-kadang cantik gebunya dan kadang-kadang pula kurang menjadi. Walaupun kita menggunakan resipi yang sama,tetapi teknik yang digunakan tidak seragam. Contohnya masa memukul mentega dan gula atau cara menggaul berbeza setiap kali kita membuat kek.Itulah sebabnya hasilnya pun tidak sama. Jadi adalah penting kita menyeragamkan teknik mengadun seperti yang diamalkan oleh bakeri-bakeri supaya produk kita sentiasa sama terutama untuk orang yang mengambil tempahan kek.
Dalam perkara membuat kek ini memang sering timbul masalah. Antara masalah yang sering dihadapi ialah seperti berikut :
1. Kek Tenggelam Di Tengah
Didalam ketuhar, kek naik dengan elok tetapi apabila ia dikeluarkan dan disejukkan, permukaannya menjadi mendap.Ada beberapa perkara yang menyebabkan ini berlaku.Antaranya sukatan tepung dalam kek tidak mencukupi. Apabila tepung kurang, ia tidak dapat menampung struktur kek, jadi ia mendap di tengah. Kek juga kemungkinan belum cukup masak di bahagian tengahnya. Jadi adalah penting untuk anda menyucuk bahagian tengah kek dengan lidi apabila cukup masanya. Jika ada bahan yang melekit, bakar lagi 10 minit hingga bahagian tengah masak. Kemungkinan lain ialah mentega dan gula tidak dipukul sehingga gebu. Ini menyebabkan ia kekurangan gelembung udara yang akan mengembang apabila terkena haba.
2. Kek Merekah di permukaan
Perkara ini adalah biasa jika rekahannya kecil sahaja dan ia akan rapat apabila sejuk. Tetapi jika rekahannya besar, ia akan menjejaskan rupabentuk kek anda. Ada beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya ialah suhu ketuhar yang terlalu panas ataupun kek anda agak kering kerana terlebih tepung atau kekurangan cecair. Jadi setkan ketuhar pada suhu yang biasa untuk kek iaitu 180 darjah celcius. Semak semula resipi anda agar kandungan bahannya seimbang. Gunakan juga saiz tin pembakar yang bersesuaian.
3. Kek tidak masak di tengah tetapi hangus di bahagian tepi.
Perkara ini mungkin berkaitan dengan ketuhar anda. Ia mungkin tidak berfungsi dengan baik dan perlulah diservis ataupun ditukar baru.
4. Kek padat dan berminyak
Proses memukul mentega dan gula hendaklah dilakukan hingga ia benar-benar kembang dan gebu. Ia ringan dan warnanya kuning keputihan. Masa memukul bergantung kepada pengadun masing-masing. Apabila memasukkan telur pula,hendaklah dimasukkan sebiji dan dipukul sebati barulah dimasukkan yang lain.Kemudian barulah masukkan tepung dan susu. Jika proses dilakukan dengan betul, insyallah kek anda akan jadi gebu dan lembut.
1 comment:
Boleh ke kalau nak ganti mentega dengan susu cair untuk buat kek batik ni??
Post a Comment