Showing posts with label aising. Show all posts
Showing posts with label aising. Show all posts

Bagaimana Gunakan Fresh Cream





Bersua kembali. Dah lama tak posting baru kerana banyak hal yang perlu diuruskan. Sessi fotografi pertama untuk buku Kompilasi Kek telahpun diadakan semalam dimana saya menyediakan 14 jenis kek bermacam-macam jenis.Dalam masa 3 jam shooting pun selesai.Nak mengadap 3 kali lagi sesi fotografi, adoi letih akak!Saya ada menyediakan beberapa biji kek yang disaluti dengan fresh cream atau nama lainnya Non-Dairy Whipping Cream. Saya menggunakan Bakers Mix dari brand Anchor.Ada beberapa panduan yang boleh anda ikuti dalam menyediakan topping fresh cream ini.

1. Fresh Cream ini perlu disejukkan, bukan dibekukan.Ia pekat dan boleh terus dituang ke dalam mangkuk adunan.
2. Krim yang telah diputar boleh bertahan dalam peti sejuk selama 4 hari.
3. Goncangkan kotaknya sebelum dituang dan isikan hanya 20 % dari saiz mangkuk pengadun supaya mudah diputar dan tidak terlalu penuh.
4. Putar dengan kelajuan sederhana dengan alat whisk (bulat)selama 5 minit sehingga terbentuk puncak yang lembut(berekor).
5. Jangan diputar terlalu lama kerana krim akan keras dan kering. Ia akan susah disapukan pada kek dan tekstur krim menjadi kasar.
6. Jika terlebih putar, masukkan sedikit krim yang cair dan putar semula kelajuan perlahan sehingga ia menjadi lembut.
7. Semasa menyapu krim pada kek, simpan lebihnya dalam peti sejuk supaya tidak kering dan kasar.
8. Setelah siap menyalut dan menghias, terus simpan dalam peti sejuk. Keluarkan hanya apabila hendak menghidang.
9. Krim yang lebih boleh dimasukkan dalam bekas plastik dan simpan peti sejuk.Kacau semula adunan apabila hendak digunakan.
10.Krim ini juga boleh diwarnakan mengikut warna disukai.
11.Sebaiknya,kerja-kerja menghias dengan krim ini perlu dilakukan di tempat sejuk, supaya krim tidak mudah rosak.

Menghias Kek Dengan Fresh Cream



>>Kek disaluti fresh cream dan dihiasi chocolate ganache




Di negara kita,fresh cream yang digunakan untuk menyalut kek dikenali sebagai Non-Dairy Whipping Cream (Krim Putar Bukan Tenusu) .Bahan ini ada dijual di kedai-kedai bahan kek dalam kotak 1 liter dan terdapat dalam bermacam jenama seperti Bakers Mix,Trans,Anchor dan lain-lain.Krim ini bewarna putih dan rasanya sudah manis, tidak perlu ditambah gula lagi. Untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut mengenai Dairy dan non dairy whipping cream, sila ke label aising atau label tip dan panduan. Ada jenis yang dibekukan dan ada yang tidak perlu dibekukan. Jika anda menggunakan jenis yang dibekukan, nyah-bekukan ia pada suhu bilik beberapa jam sebelum diputar. Krim segar hendaklah diputar dalam keadaan ia masih sejuk supaya ia mudah kembang. Tuangkan krim kedalam mangkuk adunan dan kuantitinya tidak melebihi 20 peratus dari saiz mangkuk. Ini untuk memudahkan proses mengembang.Jika dimasukkan terlalu banyak, ia akan melimpah keluar.Putar dengan kelajuan sederhana menggunakan alat whisk (bulat) sehingga kembang dan kental.Jangan terlalu lama dipukul kerana ia akan menjadi kasar,kering dan susah disapukan pada kek. Krim ini boleh dibuat filling dan juga menyalut kek. Kek yang bersalut krim segar perlu disimpan dalam peti sejuk kerana ia tidak tahan panas.Keluarkan hanya apabila hendak dipotong. Di dalam peti sejuk, ia tahan 4 - 5 hari. Contoh kek menggunakan topping fresh cream ialah Black Forest Cake, Blueberry Cake dan sebagainya.

Aising Krim Mentega


>>Kek perkahwinan disaluti aising krim mentega.


>>Kek cawan disaluti krim mentega.

Ada beberapa orang pengunjung blog yang minta Kak Ani siarkan resipi untuk membuat aising krim mentega. Untuk tidak menghampakan harapan anda semua ,Kak Ani turunkanlah petua-petua membuat aising ini.Aising krim mentega ini sesuai untuk menyalut sebarang kek seperti kek span, kek mentega, kek perkahwinan, harijadi dan hiasan kek cawan (cup cake). Selain
daripada menyalut kek,ia juga boleh membuat corak atau paten atas kek.

Ada banyak resipi untuk membuat aising krim mentega ini. Di Barat, mereka lebih suka mengunakan shortening dan gula aising. Di Malaysia pula kita menggunakan bahan-bahan seperti mentega (Buttercup), krimwell (majerin putih untuk aising),sirap gula, gula aising dan lain-lain. Terpulanglah kepada anda untuk menggunakan resipi yang mana satu. Tetapi di ruangan ini, Kak Ani memberikan resipi-resipi yang ringkas supaya mudah dicuba. Untuk huraian yang lebih detail berkenaan dengan subjek ini,tunggulah kemunculan buku hiasan kek Kak Ani pada masa akan datang (2009 insyaallah).

Aising Krim Mentega 1
Bahan-bahan :
250 gm mentega Buttercup
250 gm majerin krimwell
250 gm gula aising
2 sudu besar air susu

Cara Membuatnya :
1. Satukan mentega dan krimwell dan pukul kelajuan maksima sehingga kembang dan ringan.
2. Ayak gula aising dan masukkan ke dalam adunan diatas bersama air susu.
3. Pukul lagi hingga gebu dan ringan.

Tip : Mentega hendaklah dikeluarkan dari peti sejuk 30 minit sebelum digunakan.Mentega dan krimwell hendaklah dipukul hingga light and fluffy (gebu dan ringan) baru masukkan gula.Jika ia tidak cukup gebu,aising akan mudah cair dan lembik.

Aising Krim Mentega 2
Bahan-bahan :
250 gm mentega
250 gm krimwell
250 gm susu krimer manis @ sirap gula (glucose syrup)
1/2 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Satukan mentega dan krimwell dan pukul kelajuan tinggi hingga gebu dan ringan selama 15 minit.
2. Perlahankan kelajuan dan masukkan susu krimer manis atau sirap gula. Masukkan esen vanila.Pukul lagi kelajuan sederhana selama 5 minit hingga gebu dan rata.

Tip:
Aising ini cukup untuk menyalut dan menghias kek berukuran 9 inci. Krim yang berlebihan boleh disimpan dalam petisejuk selama 3 bulan. Untuk digunakan semula,keluarkan dari peti sejuk agar ia lembut dan kacau atau pukul semula.Sirap gula boleh dibeli di kedai menjual bahan kek. Aising yang telah siap boleh diwarnakan dan ditambahkan perisa seperti oren, pandan, mocca dan sebagainya.

Chocolate Fudge Frosting



>>Contoh kek yang dihias dengan chocolate fudge dan choc.cream.

Selain dari chocolate ganache, ada satu lagi aising yang boleh menyalut kek coklat iaitu chocolate fudge frosting. Jika chocolate ganache mempunyai dua bahan asas iaitu coklat dan krim, yang ini pula mempunyai lebih bahan seperti gula aising, mentega, serbuk koko dan lain-lain bergantung kepada resipinya. Apa yang membezakan keduanya ialah chocolate fudge lebih pekat dari chocolate ganache. Ia tidak boleh dituang, tetapi perlu disapu seperti membuat aising krim mentega .Ia juga tidak memberi kekilatan (shine) seperti chocolate ganache. Ia sesuai untuk disapu pada kek, untuk inti (filling) dan juga hiasan tepi kek (border).Untuk bunga ros,perlukan aising yang lebih kental ( stiff) seperti Chocolate Cream.

Resipi Chocolate Fudge
(Sumber ehow.com)

Bahan-bahan :
2 cawan gula kastor
1/4 cawan sirap gula (corn syrup)
1 cawan krim putar (dairy whipping cream)
180 gm coklat masakan
2 sudu besar mentega
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Satukan gula, sirap gula dan krim dalam sebuah periuk.
2. Kacau diatas api yang kecil hingga gula cair dan larut.
3. Didihkan 1 minit dan angkat dari api.
4. Masukkan coklat masakan yang dicincang dan kacau hingga coklat cair.
5. Masukkan mentega dan vanila.Biarkan coklat fudge sejuk dan pekat baru disapukan atas kek.
6. Hiaskan kek mengikut citarasa anda.

Chocolate Fudge Buttercream Frosting

Bahan-bahan :
115 gm mentega
50 gm shortening
30 gm serbuk koko
240 gm gula aising
30 ml susu
350 gm coklat masakan, dicairkan
5 ml esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Pukul mentega dan shortening hingga kembang.
2. Masukkan koko dan gula aising.
3. Masukkan susu , coklat masakan dan esen vanila.
4. Putar hingga sebati.
5. Bolehlah disapukan atas kek coklat. Hiaskan.

Chocolate Cream
Bahan-bahan :

750 gm coklat masakan, dicincang
175 gm mentega, dilembutkan
90 gm kuning telur
225 gm telur (seluruh)

Cara membuatnya :

1. Cairkan coklat secara double-boiler dan masukkan mentega. Kacau hingga sebati.
2. Masukkan telur ke dalam mangkuk pengadun dan tuangkan coklat cair.Putar dengan kelajuan sederhana hingga ringan dan berkerim.
3. Biarkan sebentar supaya krim agak pekat.Kemudian bolehlah digunakan untuk membuat bunga ataupun membuat hiasan tepi kek.

Chocolate Ganache


>> Kek yang telah siap disaluti chocolate ganache

>> Ganache yang telah siap dicairkan

>> Salutkan kek dengan aising mentega atau krim putar.Sejukkan hingga keras barulah disiram dengan chocolate ganache yang telah sejuk atau suam-suam.


Tentu anda pernah melihat di kedai-kedai bakeri, kek-kek yang dihiasi topping coklat yang sungguh menyelerakan. Sebenarnya topping coklat tersebut dikenali sebagai Chocolate Ganache. Ganache adalah berasal dari perkataan Peranchis yang bermaksud 'cushion'. Ganache mempunyai pelbagai fungsi seperti penambah perasa kepada puding atau kek, untuk hiasan dan untuk menyalut kek-kek coklat agar tambah lazat dan menyelerakan.

Dalam Ganache yang asas, digunakan dua bahan sahaja iaitu krim pekat/krim putar (Dairy Whipping Cream) dan coklat masakan. Bagaimanapun, anda boleh menambah mentega dan esen vanila ke dalam adunan ganache. Krim pekat pula boleh digantikan dengan air,susu cair (evaporated milk),susu segar(fresh milk) atau susu UHT. Tetapi penggunaan bahan-bahan gantian ini menjejaskan kualiti ganache dari segi kekilatan (shine) dan teksturnya. Oleh kerana itu, di hotel-hotel dan bakeri, mereka lebih suka menggunakan krim pekat/krim putar, kerana hasilnya lebih baik walaupun harganya lebih mahal dari susu biasa.Jika di tempat anda susah untuk mendapatkan krim ini, guna saja bahan gantian.

Kaedah asas membuat ganache:
1.Cincang coklat masakan kecil-kecil.
2.Panaskan krim hingga mendidih. Angkat dari api.
3.Masukkan coklat dalam krim dan kacau hingga coklat cair.
4.Biarkan ia sejuk beberapa jam sebelum digunakan.

Jika anda mahu topping atau glazing yang cair,anda bolehlah gunakan setelah beberapa jam disejukkan. Jika mahu topping yang lebih tebal ,sejukkan semalaman pada suhu bilik. Keesokannya barulah digunakan untuk menyalut kek anda. Ganache yang sudah pekat juga boleh digunakan untuk membuat filling atau isian yang disapu pada bahagian tengah kek. Satu perkara yang perlu diingatkan ialah,coklat tidak boleh dicairkan dalam haba yang terlalu panas kerana akan menyebabkan keluarnya minyak pada permukaan coklat.Ini menjejaskan tekstur ganache. Anda juga tidak boleh memasukkan ganache yang baru dicairkan terus ke dalam peti sejuk. Ganache perlu disejukkan secara perlahan-lahan untuk membantu molekul-molekul dalam coklat dan krim itu menjadi sebati dengan baik.

Resipi Chocolate Ganache
(Sumber : Temptation of Chocolate - Alex Goh)

Bahan-bahan :
300 gm krim pekat/krim putar
500 gm coklat masakan, dicincang
30 gm mentega

Cara Membuatnya :
1. Panaskan krim hingga mendidih. Angkat dari api.
2. Masukkan coklat dan kacau hingga ia cair semuanya.
3. Masukkan mentega dan kacau lagi hingga sebati.
4. Biarkan beberapa jam sebelum digunakan.

Gambar dipetik dari http://myfaverecipes.blogspot.com/
Terimakasih Mamahoney.

Menghias Kek Dengan Krim Putar


>>Sebelum menghias,kek span perlu dibelah 2 atau 3 lapisan

>> Sapukan krim yang telah dipukul untuk filling dan salut keseluruhan

>> Kek Black Forest yang simple

>> Kek boleh dihias coklat dan chocolate rice

>> Coklat juga boleh dilelehkan di tepi kek.


Dinegara kita,Non-Dairy Whipping Cream yang digunakan dalam hiasan kek mudah didapati di kedai-kedai menjual bahan kek.Tetapi saya tidak pasti di negara-negara lain. Krim ini dijual di dalam kotak 1 liter dan mencukupi untuk menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci. Krim ini bewarna putih bersih dan lebih digemari oleh kanak-kanak dan dewasa jika dibandingkan dengan kek beraising mentega. Rasanya tidak terlalu manis dan tidak muak memakannya. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Untuk kek pertunangan dan perkahwinan,kek bersalut krim ini tidak sesuai diletakkan di luar. Ia hendaklah disimpan di dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila hendak dihidangkan.

Kek yang selalu digunakan untuk hiasan krim ini adalah kek span dengan pelbagai perisa seperti vanila, strawberi, coklat dan lain.Untuk mendapatkan resipi kek span , sila rujuk posting terdahulu. Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan sebelum menghias kek iaitu :

1. Sediakan kek span bersaiz 8 inci.
2. Alas meja dengan kertas atau plastik supaya habuk kek tidak bersepah.
3. Letak kek atas papan kek bersaiz 10 inci (2 inci lebih besar dari saiz kek).
4. Gunakan pisau bergerigi dan belah kek dari bahagian bawah. Belah sebanyak 2 atau 3 lapisan. 5. Bersihkan kek dari habuk kek.
6. Masukkan krim putar yang sejuk ke dalam mangkuk adunan dan putar dengan alat whisk hingga gebu dan kental. Jangan terlebih pukul kerana akan menjadi kasar.
7. Kemudian sapukan filling dan salutkan krim disekeliling kek. Hiaskan.

Mengenai Whipping Cream


>>Whipping Cream for Topping dari pelbagai jenama

>>Sejenis dairy whipping cream dari jenama Pauls

Baru-baru ini seorang pengunjung blog saya dari Australia bertanyakan tentang whipping cream atau dalam bahasa Melayunya krim segar/krim putar/krim pukul. Beliau mengatakan whipping cream yang telah diputar tidak berapa kembang tetapi berair dan tidak cantik disapukan pada kek.

Saya ingin menjelaskan bahawa terdapat 2 jenis krim putar iaitu Dairy Whipping Cream dan Non-Dairy Whipping Cream For Topping . Dairy Whipping Cream adalah merupakan hasil tenusu dan mengandungi 35 % lemak susu. Ia sesuai digunakan dalam masakan-masakan Barat, membuat kek seperti tiramisu atau hiasan mudah untuk aiskrim atau pencuci mulut ala Barat. Ia hendaklah dipukul dengan kelajuan sederhana hingga ia menjadi kental dan bolehlah dimasukkan dalam masakan-masakan tersebut. Tetapi krim ini tidak sesuai untuk hiasan kek seperti Black Forest dan lain-lain kerana warnanya kekuningan dan kurang stabil. Ini bermakna ia tidak boleh mengekalkan bentuknya dalam masa yang lama. Kesimpulannya, Dairy Whipping Cream yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream tidak sesuai untuk dibuat hiasan kek kerana faktor-faktor yang saya telah jelaskan diatas.Krim ini terdapat dalam pelbagai jenama dan boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar.


Manakala Non-Dairy Whipping Cream For Topping adalah krim yang dibuat khas untuk hiasan kek. Ia dirumus daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit dan tidak megandungi bahan tenusu. Ini menjadikan ia lebih stabil,maknanya corak-corak yang dipaip menggunakan krim ini tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya. Ia juga mudah kembang jika dipukul dan menghasilkan kuantiti yang banyak. 1 liter krim ini boleh menyalut dan menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci.


Keistimewaan krim ini ialah ia lebih baik dari segi kesihatan berbanding krim mentega kerana tidak mengandungi lemak berlebihan.Warnanya putih bersih dan boleh dicampurkan pewarna lain. Rasanya juga enak kerana tidak memuakkan. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan hanya dikeluarkan jika hendak dihidangkan.Ia tahan seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Terdapat pelbagai jenama krim ini seperti Presto, Vivo, Richs, Trans, Anchor dan lain-lain. Krim ini hendaklah diputar dalam keadaan sejuk (krimnya) dan putar kelajuan sederhana hingga menjadi kembang dan kental. Jangan terlebih putar kerana krim akan menjadi kasar dan susah disapukan pada kek.Oleh kerana krim ini sudahpun manis, anda tidak perlu mencampurkan gula.Krim jenis ini hanya dijual di kedai-kedai bahan kek .


Aising Fondant











>>Contoh-contoh kek pertunangan dan perkahwinan berhias aising fondant.

Aising fondant adalah sejenis aising keras yang berasal dari negara Barat dan digunakan dengan meluas di Amerika dan negara-negara Eropah yang lain. Mereka membalut aising fondant untuk kek perkahwinan, pertunangan dan juga untuk kek harijadi. Tetapi di negara kita, tidak ramai yang gemarkan aising fondant kerana kulitnya yang keras. Biasanya kek yang dibaluti aising fondant terdiri dari kek buah atau lain-lain kek mentega yang padat. Kek span tidak sesuai kerana terlalu lembut untuk menampung berat fondant. Kek berhias aising fondant sangat indah hasil seninya apatah lagi dihiasai dengan bunga-bunga dari gumpaste.Ia juga sesuai dibawa dalam perjalanan yang jauh. Itulah sebabnya harganya agak mahal sehingga mencecah RM250 untuk sebiji kek bersaiz 9 inci. Tetapi pada hari penting seperti perkahwinan atau pertunangan, apalah salahnya memberi hantaran yang istimewa kepada yang tersayang! Pendekata, tepuk dada tanya selera.

Resipi Aising Fondant

Bahan-bahan :
1 kg. gula aising
500 gm gula aising tambahan
17 gm (2 sudu besar) serbuk gelatin halal
100 gm air
1 sudu besar sirap glukos (glucose syrup)
12 gm krimwell @ shortening
40 gm gliserin

Cara Membuatnya :
1. Tuang air dan gelatin ke dalam periuk kecil dan panaskan atas api perlahan hingga gelatin larut.
2. Masukkan sirap glukos, krimwell dan kacau hingga larut dan mendidih sebentar. Tutup api dan sejukkan.
3. Gula aising (1 kg) diayak dua kali atas meja atau dulang.
4. Buat lubang di tengah gula aising dan tuangkan adunan yang telah sejuk tadi. Kaup dan balikkan guna scrapper hingga adunan sebati. (guna mesin pun boleh). Tuangkan gliserin dan uli lagi 5 minit hingga lembut.
5. Jika adunan agak keras, renjis sedikit air panas dan uli hingga lembut. Jika lembik dan melekit,tambah sedikit gula aising lagi dan uli rata hingga lembut.
6. Masukkan dalam beg plastik dan simpan pada suhu bilik.Tak perlu dimasukkan dalam peti sejuk. Boleh digunakan dalam masa seminggu.


Tip dan panduan:


1. Doh jangan lama didedahkan kerana ia akan kering. Selepas digunakan simpan dalam plastik.
2. Doh adalah lembut dan boleh dibentuk bunga, daun, reben dan sebagainya.
3. Untuk warnakan doh,ambil lidi dan celupkan dalam pewarna.Kemudian calitkan atas doh dan uli hingga warna merata.
4. Doh sesuai dicanai atas meja marble atau meja stainless steel. Meja kayu tidak sesuai kerana akan melekat.
5. Apabila mencanai, taburkan gula aising atas meja supaya tidak melekat.
6. Kek buah yang hendak dibalut fondant hendaklah disapu jem panas atau aising buttercream yang nipis agar lembap.
Untuk dapatkan cara-cara membalut kek dengan fondant, sila layari http://www.shop.pattycakes.com/
http://www.wilton.com/ dan lain-lain laman web yang berkenaan.






Popular Posts