Assalamualaikum.Bersua lagi di ruangan ini. Hari ini posting saya bertajuk "Cucur Bilis Lembut. Cucur , jemput-jemput atau nama tak glamournya cekodok, menjadi hidangan sarapan pagi dan minum petang yang popular dikalangan masyarakat kita. Cucur diperbuat dari tepung gandum dan dicampur pelbagai bahan lain bagi menambahkan rasa dan kelembutannya. Antaranya cucur bawang,cucur bilis,cucur pisang, cucur jagung dan lain-lain. Hidangan ini mudah disediakan kerana anda hanya perlu menggaul dan mengoreng. Bagaimana untuk mendapatkan cucur yang lembut, tidak keras dan liat seperti biasa. Ha, rahsianya ialah dengan menggunakan air panas yang baru lepas mendidih. Dengan menggunakan air panas, tepung menjadi setengah masak dan apabila digoreng, ia menjadi ringan dan lembut isinya. Kulit luarnya pula menjadi rangup dan garing.Cucur ini juga enak dicicah bersama sambal kicap.
Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air panas
sedikit air paip, jika perlu
sedikit hirisan bawang merah
sedikit ikan bilis, ditumbuk
sedikit garam
2 cawan minyak, untuk menggoreng
Cara Membuatnya :
1. Satukan tepung, garam, bawang dan bilis ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tuangkan air panas dan gaul hingga basah. Jika kurang basah, tambah sedikit air paip.
3. Adunan menjadi seakan berketul dan 1/2 masak.
4. Bulat-bulatkan adunan kecil-kecil.
5. Panaskan minyak dan masukkan cucur. Goreng hingga kekuningan.
6. Angkat dan toskan.
Sambal Kicap:
1 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1 sudu besar gula
3 sudu besar kicap pekat
Cara Membuatnya:
1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan gula hingga lumat.
2. Masukkan kicap dan gaul sebati. Hidangkan bersama cucur bilis.
No comments:
Post a Comment