Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Alhamdulillah, kita telahpun memasuki hari pertama bulan Ramadan. Seronok rasanya dah melangkah ke bulan Ramadan. Bukannya apa, seronok berpuasa, seronok nak beraya dan berkumpul saudara-mara .Juga seronok nak buat biskut raya dan kek-kek yang sedap untuk santapan keluarga di pagi raya nanti.Seronok punya seronok, jangan lupa tingkatkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.Akhirkata, Selamat Menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada anda semua.

Pertanyaan di CBox

Assalamualaikum dan bersua kembali kepada para pengunjung ResipiNoraini. Beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadan AlMubarak. Jadi para peniaga biskut dan kek raya pun sebuklah membuat persediaan seperti membeli barang dan membuat sample.Termasuk jugalah saya. Tahun ini saya tak ambil banyak tempahan cuma saudara-mara , kawan-kawan dan jiran-jiran sahaja. Disamping menyiapkan tempahan, saya juga akan membuat biskut-biskut baru yang akan diajar dalam kelas biskut tahun depan juga untuk buku terbaru saya "Biskut Perayaan" yang akan muncul pada tahun depan.
Saya menerima banyak sekali pertanyaan dalam CBox , emel , mesej dan panggilan telefon yang bertanyakan tentang pelbagai perkara mengenai pembuatan kek dan biskut. Maklumlah, masing-masing sebuk nak buat kek dan biskut raya.Kadang-kadang tu, soalan yang sama tetapi ditanya oleh orang lain pula. Jenuh juga nak menjawabnya satu-satu.Disini saya turunkan beberapa soalan anda agar dapat dikongsi bersama pembaca lain.
1. Mengenai Oven (Ketuhar)
Kalau nak beli oven kenalah survey di kedai-kedai elektrik atau pasaraya besar seperti Jusco dan lain-lain. Banyak dijual pelbagai model.Saya hanya boleh cadangkan Europa kerana saya menggunakan oven ini. Cari jenis Jetcook System. Harganya dalam RM1000.Oven ini mempunyai mode api atas dan bawah. Sesuai untuk kek biasa, kek lapis , biskut dan pastri. Kalau untuk kek lapis, boleh guna oven elektrik yang kecil jenama Pensonic, Butterfly dan sebagainya.Harganya dalam RM200 - 400. Yang penting mesti ada api atas dan bawah. Jangan beli microwave oven kerana tak sesuai .
2. Kenapa Kek Lapis Kering
Kek kering ada banyak faktor.Antaranya oven terlalu panas, masa bakar terlalu lama, cara simpan tak betul atau guna telur yang kecil, jadi kurang cecair dalam adunan. Jika kek cepat hangus, kurangkan suhunya atau jangan bakar terlalu lama.Suhu yang saya gunakan antara 150 - 180 C bergantung kepada jenis oven. Dalam buku kek lapis saya, gunakan telur saiz A. Selepas kek sejuk, balut dengan kertas aluminium atau plastik wrap dan simpan peti sejuk semalaman. Esoknya keluarkan pada suhu bilik beberapa jam supaya lembut. Bila ia diperap,ia akan keluar minyak dan jadikan kek lebih lembut. Masa baru masak memang kering kerana masih panas.Jika kek masih kering, kurangkan tepung dan tambahkan susu pekat manis dalam resipi anda.
3. Pasal handmixer
Hand mixer adalah pengadun yang kecil dan powernya juga kecil. Jika buat kek atau biskut guna creaming method tiada masalah, tapi jika buat kek span atau kek lapis moden guna foaming method, ada masalah sikit kerana ia kurang power untuk memukul telur sehingga betul-betul kembang. Anda boleh buat separuh adunan atau pukul lebih lama hingga ia cukup kembang.Jika jadi alhamdulillah, tapi kalau tak jadi juga belilah mixer yang besar sikit.
4. Harga Biskut
Harga biskut tahun ni tentu naik dari harga tahun lepas. Kalau tahun lepas di pasaran jual rm20 untuk satu bekas (50 biji) tahun ini mungkin rm22 keatas. Tapi harga saya lebih murah dari itu. Saya jual rm18 untuk satu bekas.Kalau adik-beradik dan saudara-mara lagi murah. Semua biskut saya letak sama harga, senang cerita. Terpulang kepada anda untuk letakkan harga. Yang penting, lebih murah dari harga pasaran.
5. Nak Dapatkan Barang Murah
Saya tinggal di Klang dan saya nak beritahu tentang sebuah kedai yang jual barang-barang buat kek /biskut yang lebih murah dari kedai-kedai lain. Badam biji 1 kg -rm22.30,kedai lain rm25.00. Bekas kuih 1 kotak(24)- rm24.00 (kedai lain rm32) dan banyak lagi barang yang murah. Nama kedai TWO PLY SDN. BHD terletak di Jalan Meru ,Klang berdekatan Pasar Besar Klang. Tel : 03-33444222.
Nampaknya sampai setakad ini dulu kita berbicara. Lain kali sambung lagi.Bye.

Kursus Terakhir Biskut Raya - 24 Ogos 2008


Sebahagian peserta bersama biskut yang dihasilkan.

Kursus terakhir biskut raya telah diadakan semalam.Seramai 27 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Peserta yang datang dari pelbagai tempat seperti Kedah, Melaka dan sebagainya, menunjukkan kesungguhan masing-masing mempelajari kaedah membuat biskut ini. Saya berharap anda semua akan berjaya menghasilkan biskut-biskut yang enak untuk hari raya nanti.

Kursus Seterusnya.

Ramai yang bertanya tentang kursus seterusnya selepas ini. Yang pastinya, bulan September, Oktober dan November saya tidak mengadakan sebarang kursus. Insyallah bulan Disember dan seterusnya tahun depan akan ada kursus lagi. Pelbagai kursus baru akan diperkenalkan seperti Hiasan Kek (Cake Decoration) dari Krim Mentega, Coklat, Krim Segar dan Fondant. Kita juga akan turut memperkenalkan kursus roti, pastri, kek cawan, kuih-muih,frozen food, kek komersil dan lain-lain. Jadual kursus akan dimasukkan pada bulan November nanti. Harap anda semua dapat mengikuti info di blog ini.

Fungsi Bahan Membuat Kek


Terdapat beberapa jenis bahan asas yang sering digunakan dalam pembuatan kek.Bahan-bahan tersebut ialah tepung gandum, gula, lemak dan telur. Apakah fungsi bahan-bahan ini? Setiap satunya memainkan peranan penting untuk menghasilkan sebiji kek yang enak dan menyelerakan.
1. Tepung gandum - Dalam pembuatan kek, tepung yang sering digunakan adalah tepung protin rendah (low protein) seperti tepung kek, tepung superfine, Red Rose dan sebagainya. Anda boleh gunakan tepung gandum biasa(serbaguna/protin sederhana) tetapi teksturnya lebih kasar berbanding jika menggunakan tepung protin rendah yang menjadikan kek lebih halus.Tepung gandum berfungsi sebagai agen penyerap cecair dari telur/air dan membentuk struktur yang kukuh buat kek itu. Tanpa tepung yang cukup, kek menjadi lembik seperti puding.

2. Gula - Gula berfungsi memberikan rasa manis dan melembutkan adunan.Ada sesetengah kek yang mempunyai kandungan gula yang tinggi agar menjadi pengawet semulajadi supaya kek tahan lebih lama, contohnya kek buah. Dalam kek mentega, gula dicampur dengan mentega dan dipukul hingga kembang dan gebu.Gula ini membantu lemak memerangkap sel-sel udara yang penting untuk menaikkan adunan kek nanti. Dalam kek yang menggunakan kaedah membuih (foaming method) seperti membuat kek span, gula membantu menstabilkan buih-buih telur supaya mudah digaul dengan bahan-bahan lain seperti tepung gandum.

3. Lemak - Dalam pembuatan kek, lemak yang digunakan adalah seperti mentega atau majerin. Lemak berfungsi melembut dan melincirkan glutin dalam tepung dan menjadikan kek lembut dan halus. Dalam kek mentega, lemak yang digunakan adalah dalam bentuk pepejal seperti mentega atau majerin. Untuk mendapatkan kek yang lebih sedap, mentega adalah dicadangkan tetapi kebanyakan pengusaha bakeri mencampurkan mentega dan majerin untuk menjimatkan kos dan volume yang lebih baik bagi kek tersebut.Lemak ini dipukul bersama gula untuk memerangkap sel-sel udara dan menjadikan ia ringan dan gebu. Lemak yang digunakan dalam kek span adalah dalam bentuk cecair samada mentega cair, majerin cair atau minyak masak. Ia memberi kelembutan dan kelembapan kepada kek.

4. Telur - Telur berperanan menyebatikan semua adunan dan memberikan kelembapan kepada kek. Dalam kek mentega, telur yang merupakan cecair membantu menyebatikan mentega dan gula . Ia juga membantu mencairkan gula . Dalam kek span, telur adalah sumber penaik yang utama dimana sel-sel udara yang terperangkap dalam buih-buih telur itu akan mengembang apabila dibakar. Proses ini akan menaikkan kek dan menjadikan ia kembang dan gebu. Telur juga menyediakan rasa lemak dan warna kuning kepada kek.

Begitulah serba sedikit tentang peranan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan kek. Disamping bahan-bahan diatas, ada banyak lagi bahan-bahan tambahan yang dimasukkan untuk memberikan perbezaan rasa dan warna kepada kek.


Kursus Membuat Kek - 17 Ogos

Alhamdulillah, kursus membuat kek yang diadakan pada minggu lepas sudahpun selamat diadakan. Seramai 23 orang peserta telah menghadirinya. Masing-masing bersemangat untuk mempelajari cara-cara membuat kek yang popular seperti Blueberi Cheese Cake , Pandan Layer dan lain-lain.Saya berharap anda akan mempraktikkannya dan menjadikan kek-kek yang telah dipelajari sebagai hidangan istimewa di hari raya nanti.

Kursus Kek Raya


Kek Mentega Zebra


Kek Buah-buahan


Kek Keju Tiramisu


Pada hujung minggu ini (17 Ogos), saya akan mengadakan kursus kek raya yang terakhir. Sebanyak 8 jenis kek akan dipelajari di dalam kelas iaitu 1. Kek Mentega Oren 2. Kek Mentega Pelangi/Zebra 3. Blueberi Cheese Cake 4. Kek Span Vanila 5. Kek Span Pandan 6. Pandan Layer Cake 7. Kek Buah-buahan 8. Kek Chocolate Moist. Disamping itu saya akan memberi 4 resipi bonus yang gerenti jadi kerana ianya resipi yang sering saya gunakan iaitu 1. Kek Buah Kukus 2. Kek Gula Hangus 3. Kek Keju Tiramisu 4. Kek Coklat Brownies Kukus. Semuanya sedap-sedap belaka dan sangat sesuai untuk hidangan di hariraya nanti. Saya juga akan turut memberikan tip-tip dan panduan membuat kek supaya anda semua mendapat maklumat yang jelas tentang cara-cara pembuatan kek ini. Kelas ini masih ada kekosongan dan bagi anda yang berminat, bolehlah menghubungi saya di tel.no. 03-31675408 atau 014-3247478.

Kursus Kek Lapis - 10 Ogos


Sebahagian peserta bergambar kenangan.


Dua peserta dari Singapura,Mastura dan Mazna bergambar bersama cikgu.

Alhamdulillah, kursus kek lapis yang terakhir untuk tahun ini telahpun selesai. Seramai 27 orang peserta telah menghadiri kursus sehari itu. Ada yang datang dari Perak, Johor, Pahang, Melaka , Singapura dan juga sekitar Selangor dan KL. Masing-masing menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk mempelajari pembuatan kek lapis tradisional dan kek lapis moden terutama kek lapis Sarawak. Saya berharap ilmu yang dipelajari selama sehari itu dapat dipraktikkan. Makin banyak kita mencuba dan membuat praktikal makin bertambah kemahiran atau skill kita. Mula-mula buat kek lapis mungkin tidak perfect jadinya tetapi lama kelamaan anda akan bertambah pandai dan kek lapis yang dihasilkan juga akan bertambah cantik rupanya. Kek lapis ini boleh dibuat awal dan tahan 1- 2 bulan jika dibalut dengan plastic wrap atau kertas aluminium dan simpan di dalam petisejuk (chiller). Ia juga boleh dibekukan (frozen) sehingga 3 bulan walaupun tanpa pengawet. Jangan lupa menghidangkan kek lapis untuk hari raya nanti.

Membuat Kek Lapis


Hujung minggu ini saya akan mengadakan kelas kek lapis yang terakhir pada tahun ini.Insyaallah tahun depan akan disambung semula. Sudah ramai yang confirm untuk hadir pada minggu ni.Maklumlah ada yang nak bisnes dan ada juga yang nak buat makan sendiri atau hidangan istimewa pada hari raya nanti. Pastinya dalam banyak-banyak hidangan,kek lapis adalah 'ratu' kuih. Nak membuat kek lapis ni, bukanlah susah sangat jika kita tahu kaedah yang betul dalam proses membuatnya. Disamping itu, ia perlukan lebih kesabaran kerana hendak menghasilkan sebiji kek lapis memerlukan masa lebih tiga jam. Kita juga perlu mempunyai peralatan yang cukup seperti pengadun (mixer) dan oven yang bersesuaian. Untuk kek lapis tradisional, pakai hand-mixer pun boleh jadi, tapi kalau nak buat kek lapis moden seperti kek lapis Sarawak, kena pakai mixer berkuasa tinggi kerana dapat memukul telur supaya cukup kembang. Kalau telur tak cukup kembang , kek lapis gerenti tak jadi. Ia jadi padat dan berminyak.

Kalau setakad nak makan sendiri, tak perlulah beli oven hijau dari Indonesia tu. Hanya gunakan oven kecil yang banyak di jual di kedai-kedai elektrik tapi pastikan ia ada fungsi api atas dan bawah.'Built in oven' seperti Elba, Zanussi, Europa dan lain-lain juga boleh digunakan. Pendekata, walaupun membuat kek lapis ini agak 'leceh dan rumit' dari membuat kek biasa, tetapi ada kepuasan yang tersendiri jika kita berjaya menghasilkan sebiji kek lapis. Keunikannya menjadikan ia begitu istimewa. Sesuai sekali untuk dijamu kepada tetamu di hari raya nanti.

Kursus Biskut - 3 Ogos 2008


Peserta sedang tekun menyiapkan biskut tat gulung.
Kursus biskut raya telah diadakan pada 3 Ogos yang lalu. Seramai 23 orang peserta telah menghadiri kursus tersebut. Nampaknya para peserta berkobar-kobar untuk membuat biskut raya tahun ini. Ada yang berminat untuk bisnes biskut raya dan ada juga yang belajar untuk hidangan keluarga saja. Walau apapun, memang tak rugi anda belajar kerana harga biskutpun akan naik tahun ini. Kalau tak buat berniaga pun, tak perlulah membeli lagi. Saya mendoakan agar anda sukses selalu.

Popular Posts