Selamat Hari Raya Aidilfitri

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI , MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA ANDA SEMUA. Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya dan saya sekeluarga akan pulang ke kampung suami di Muar,Johor pada hari ini hingga hari raya kedua. Kemudian kami akan beraya pula di Selayang Baru iaitu rumah ibu-bapa saya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun jari memohon kemaafan dari anda semua seandainya ada tersilap kata atau terkasar bahasa samada didalam kelas-kelas yang dianjurkan ataupun didalam blog ini. Kita hanya manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Harap maafkan saya.

Selama seminggu ini,tidak dapatlah saya menjawap pertanyaan didalam blog ataupun emel. Harap kita dapat berhubungan semula pada minggu hadapan. Kepada anda semua yang akan pulang ke kampung masing-masing, diharapkan akan tiba dengan selamat dan moga anda bergembira menyambut hari raya bersama sanak saudara .

Salam Ikhlas dari,

Noraini Zakaria dan keluarga

Buku Kompilasi Hidangan Kek Dah Terbit


Buku Kompilasi Hidangan Kek



Antara resipi yang terdapat didalamnya.



Alhamdulillah, buku saya yang kedua iaitu Kompilasi Hidangan Kek telahpun berada di pasaran. Dalam buku ini mengandungi 60 jenis pelbagai kek seperti kek mentega, kek span, sifon, bahulu dan sebagainya. Saya ingin memberi jaminan bahawa semua resipi yang disediakan didalam buku ini telahpun diuji dan berjaya. Jadi anda tidak perlu ragu-ragu untuk mencuba resipi-resipi ini. Bagaimanapun, kerana penggunaan bahan yang berlainan, pengalaman , skil dan teknik yang berbeza antara saya dan anda, mungkin akan didapati hasilnya sedikit berbeza dengan kek yang seperti dalam gambar tetapi ianya bukanlah menjadi masalah yang besar. Yang pentingnya, kek itu menjadi.Mungkin anda boleh menghasilkan kek-kek yang lebih baik dari saya, siapa tahu. Untuk menghasilkan kek-kek yang enak dan cantik rupanya perlukan banyak praktis.Banyak kali anda buat, hasilnya akan menjadi lebih sempurna.


Buku ini hanya berharga RM7.00 dan boleh didapati di kedai-kedai buku dan majalah seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Akhirkata, Selamat Mencuba diucapkan kepada anda semua.
Sekiranya ada kemusykilan, bolehlah emelkan sebarang soalan kepada ani_zakaria@yahoo.com.my

Biskut Menggunakan Minyak Sapi

Alhamdulillah, puasa kita dah masuk minggu ke tiga. Seminggu lagi kita akan berhari raya. Bagaimana dengan persiapan anda semua? Bagi saya dan keluarga persiapan adalah secara sederhana sahaja. Okaylah, hari ini nak bercerita tentang biskut yang menggunakan minyak sapi atau ghee.Ada banyak jenis jenama di pasaran seperti QBB, Windmill dan lain-lain. Tapi saya lebih suka gunakan QBB . Sekarang harga minyak sapi boleh tahan mahalnya. 500 gm harganya RM14 lebih. Itu sebab ada pengusaha biskut yang mencampurkan minyak masak dengan minyak sapi untuk membuat biskut makmur.Nak jimatkan kos agaknya.

Apa bezanya biskut makmur, arab dan suji? Pada pendapat saya nama saja yang berlainan tetapi rasanya lebih kurang sama. Kalau biskut makmur, saya letakkan inti kacang didalamnya dan biskut arab atau suji tiada inti kerana dohnya telah manis. Biskut makmur dilumurkan dengan gula kastor supaya rasanya manis.


BISKUT MAKMUR

Bahan-bahan :

200 gm minyak sapi
400 gm tepung gandum
1/2 cawan kacang tanah , digoreng kering dan tumbuk
1 cawan gula kastor
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya :

1. Minyak sapi digaulkan dengan tepung gandum hingga menjadi doh yang lembut. Jika agak lembik, tambah lagi tepung.Jika kering tambah minyak sapi lagi.
2. Ambil sedikit doh dan bulatkan.Leperkan dan isi inti kacang kedalamnya.
3. Susun atas dulang dan bakar hingga masak.Sejukkan
4. Apabila biskut telah sejuk, golekkan dengan gula kastor
5. Masukkan dalam cawan kertas dan simpan dalam bekas.


BISKUT SUJI
(Sumber : Majalah RASA)

Bahan-bahan :

250 gm minyak sapi
150 gm gula aising
150 gm tepung suji
300 gm tepung gandum
30 gm susu tepung
secubit garam
ceri merah - untuk hiasan
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya :

1. Pukul gula dan minyak sapi hingga kembang.
2. Masukkan garam, tepung suji, tepung gandum dan tepung susu.
3. Adunkan hingga jadi doh yang lembut. Rehatkan 15 minit.
4. Bulatkan dan masukkan dalam mangkuk kertas. Hiaskan dengan ceri yang telah dihiris kecil.
5. Bakar selama 20 minit hingga masak.

Mencuba Biskut Baru








Kalau tahun lepas tak ada masa nak cuba biskut baru, alhamdulillah tahun ini saya berpeluang untuk mencuba dan mencipta biskut-biskut baru yang akan diajar dalam kelas biskut tahun depan dan juga untuk buku baru saya. Biskut-biskut ini gerenti sedap dan rupanya juga sangat menarik dengan hiasan-hiasan terkini. Nak buat biskut ni bukan saja rasanya perlu sedap tetapi yang penting rupanya perlu menarik perhatian orangramai untuk membelinya. Apa yang saya perhatikan dalam majalah dan gerai-gerai menjual biskut raya, hiasan-hiasan dari coklat menjadi trend masa kini. Ada yang dihias dengan coklat biasa, coklat putih, coklat perisa strawberi, coklat perisa oren dan lain-lain. Pendekata, kita perlulah kreatif untuk menghasilkan biskut-biskut yang unik. Memanglah menghias dengan coklat ni agak remeh dan mengambil masa, tapi yang penting kepuasan.Walaupun penat membuat biskut, tapi melihat hasilnya kita akan tersenyum puas.

Sibuk Buat Biskut Raya

Selamat Berpuasa kepada para pembaca semua. Saya berharap anda semua sihat wallafiat menjalani ibadah berpuasa. Dah start ke dengan projek biskut raya? Saya rasa ramai yang dah mulakan terutama yang ambil tempahan biskut. Bagi pihak saya, tempahan dari kawan-kawan dan saudara-mara dah saya siapkan. Kini saya menyiapkan 30 resipi biskut untuk buku terbaru saya " Aneka Biskut". Sebanyak 15 resipi baru dan lama telah saya siapkan dan 15 lagi akan disiapkan sepanjang minggu depan. Minggu keempat saya akan sibuk buat kek pula, untuk makan sendiri dan dibawa ke kampung saya dan kampung suami. Ada juga yang telefon untuk menempah kek lapis tetapi minta maaf banyak-banyak, saya tak ambil tempahan kek.
Seronok juga mencuba pelbagai jenis biskut baru dan lama, resipi dari emak saya dulu seperti biskut semperit, biskut bangkit kelapa, bangkit asli dapat saya mencubanya tahun ini.Biskut-biskut ini memang jadi kegemaran saya kecil-kecil dulu.Tahun-tahun lepas takada peluang nak cuba kerana sibuk dengan tempahan orangramai yang sampai berpuluh ribu.Tahun ni, saya relaks sikit maka dapatlah mencubanya. Tapi masalahnya, resipi orang lama ni semua pakai cawan dan majerin ikut basah. Terpaksalah saya adjust supaya resipinya dalam sukatan gram. Beberapa perkara yang menarik tentang cara pembuatan biskut cara tradisonal ini ialah :
1. Menggunakan majerin Planta
2. Pukul majerin dengan senduk dalam besen
3. Majerin dipukul berasingan dari gula
4. Banyak gunakan kuning telur
5. Bakar guna oven Butterfly dan dapur minyak tanah
6. Banyak gunakan tepung ubikayu (tapioca flour)
7. Tiada sukatan tertentu untuk majerin kerana ikut basah
8. Tepung dan gula dijemur atau tepung digoreng kering(sangai)
Saya sangat tertarik untuk mengetahui kenapa orang dulu menjemur tepung dan gula. Apabila ditanya kepada emak saya, jawapnya supaya tepung itu ringan dan tahan lama. Tidak secara langsung biskutpun akan menjadi lebih ringan dan tahan lebih lama. Setelah difikir-fikir, betul juga cakapnya tu, biskut yang emak buat memang rangup dan sedap walaupun guna majerin. Tapi praktikalkah kalau kita mengamalkannya sekarang? Saya sendiripun tak pernah jemur tepung, lagipun alam sekitar kita dah penuh dengan asap dan debu, dah tak bersih lagi. Kalau duduk apartmen atau flat, mana nak jemur. Senang cerita tak payah buat. Beli saja tepung biskut dan guna empleks, pasti rangup biskut kita. Pendek cerita, ada petua orang lama yang boleh kita amalkan dan ada juga yang tak praktikal lagi.Kena adjust dengan kehidupan moden hari ini. Hingga bersua lagi.

Kursus bulan Disember

Ramai sungguh yang bertanya tentang kursus akan datang. Saya telahpun merancang beberapa kursus pada bulan Disember dan Januari. Tetapi tarikhnya belumlah diputuskan lagi kerana masih jauh lagi. Saya akan memasukkan jadual kursus tersebut selepas raya nanti (Oktober). Secara umumnya kursus-kursus yang akan diajar ialah :

1. Hiasan kek dengan Buttercream (Asas)
Anda akan mempelajari cara membuat krim mentega.Teknik membalut krim pada kek, paten-paten seperti star,basketweave, membuat tulisan,bunga-bunga, daun dan lain-lain hiasan atas kek. Kursus secara praktikal dan anda akan membawa pulang kek yang telah anda hiaskan.

2. Hiasan kek (Lanjutan)
Mempelajari hiasan kek dari coklat, krim segar dan juga butercream. Membuat hiasan kartun atas kek. Menghasilkan kek seperti Kek Choc.Fudge, Black Forest dan lain-lain.

3. Hiasan Kek dengan Fondant (Sugarpaste)
Mempelajari cara membancuh fondan, membalut dan menghias kek fondant.

4. Kek Komersil
Cara-cara membuat kek mentega seperti Kek Oren, Marble, Pelangi dan lain-lain kek mentega. Turut mmepalajari cara-cara membuat kek span seperti span pandan, kopi dll.

5. Kek Lapis
Terbahagi kepada 2 jenis iaitu Kek Lapis Asas dan Kek Lapis Bercorak.Mempelajari teknik-teknik membuat kek lapis tradisonal dan juga kek lapis bercorak Sarawak.

6. Roti Ban Manis dan Donat
Mempelajari kaedah membuat roti ban manis seperti Mexico Bun, Potato Ban, Sausage Bun dll.

7. Pastri- Croisant, Puff Pastry, Danish
Mempelajari teknik -teknik membuat dan menghasilkan pastri -pastri yang enak ini.

8. Kuih-Muih Komersil
Mempelajari kuih-muih seperti pelbagai jenis talam, apam, kuih bakar dan lain-lain.

9. Frozen Food
Mempelajari cara-cara membuat kuih-muih, roti atau pastry yang boleh difrozenkan untuk tujuan komersil.

10. Aneka masakan seperti, Western Food,Nasi Briyani, Nasi Ayam dan lain-lain.
Mempelajari cara-cara yang betul menyediakan masakan-masakan ini samada untuk hidangan keluarga atau untuk komersil.

11. Kek Cawan dan Cara Menghiasnya
12. Aneka Kek Kukus
13. Aneka Muffin

Semua kursus adalah kursus praktikal 1 hari (10 - 5 ptg). Semua bahan disediakan. Yuran adalah RM150 . Nota dan sijil disediakan. Anda boleh menghubungi saya di tel: 03-31675408 atau 014-3247478 atau emel ke ani_zakaria@yahoo.com.my

Membuat Biskut Raya

Tentu ramai kaum ibu dan peniaga-peniaga biskut yang sedang sibuk menyediakan pelbagai jenis biskut yang ditempah pelanggan ataupun untuk hidangan keluarga dan tetamu di hari raya nanti. Saya sendiripun sudah mula membuat biskut yang ditempah oleh kawan-kawan dan juga biskut-biskut baru untuk buku saya yang akan datang. Ternyata semua barang dah naik harga, jadi pandai-pandailah meletakkan harga.Jangan sampai rugi sudahlah. Kalau boleh biarlah lebih murah dari harga pasaran supaya boleh menarik ramai pelanggan.

10 Tip Membuat Biskut

1. Gunakan bahan-bahan mentah yang terbaik supaya mendapat produk yang bagus. Umpamanya gunakan tepung biskut seperti Red Rose dan lain-lain. Jika sukar didapati, boleh gunakan tepung gandum biasa.

2. Jika menggunakan kekacang dalam adunan biskut, ia hendaklah dibakar dahulu.

3. Jika mencairkan coklat masakan, hati-hati jangan dimasuki air kerana akan menyebabkan coklat lambat set (beku).

4. Mentega hendaklah dilembutkan supaya mudah dipukul bersama gula.

5. Panaskan ketuhar 15 minit sebelum membakar biskut. Bakar biskut pada suhu 180 darjah celcius selama lebih kurang 20 minit.

6. Tepung dimasukkan akhir sekali dan gaul dengan tangan hingga menjadi doh lembut dan basah.

7. Jika lembik tambah sedikit tepung lagi dan simpan petisejuk 20 minit.

8. Jika doh kering dan berderai, maknanya ia kekurangan mentega. Putar sedikit majerin dan gaul dengan doh tadi hingga cukup basah.

9. Simpan doh dalam beg plastik supaya tidak kering.

10.Sejukkan biskut terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas plastik (container)

Ramadan Bulan Keberkatan

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.Dalam melaksanakan ibadah puasa, seseorang itu hendaklah berusaha untuk melakukan yang terbaik. Bagi menyempurnakannya, maka kita perlu meneladani tatacara puasa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. antaranya seperti :
1. Berniat
2. Bersahur
3. Imsak (menahan diri ketika hampir tamatnya waktu sahur sebagai langkah berjaga-jaga)
4. Mempercepatkan berbuka puasa apabila tiba waktunya.
5. Memperbanyak membaca al-Quran
6. Memperbanyak sedekah
7. Membayar zakat fitrah

Sumber : Ustaz Azhar Yahya

Popular Posts