Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Resipi Yogurt


Homemade Yogurt
(sumber : www. recipezaar.com)

Bahan-bahan :
1 quartz susu
1/4 cawan yogurt perisa asli (starter)
3/4 cawan susu tepung tanpa lemak

Cara Membuatnya :
1. Satukan susu dan susu tepung dalam periuk. Panaskan ke suhu 100 - 150 darjah F.
2. Apabila ia hampir mendidih, angkat dari api dan sejukkan dalam bekas berisi air sejuk atau air batu.
3. Satukan air susu tadi dan yogurt perisa asli. Yogurt starter ini boleh beli yang readymade di pasaraya. Ia berperanan sebagai ibu yogurt kerana telah ada bakteria didalamnya. Ia akan membiak dalam susu yang baru itu.
4. Tuang campuran itu dalam bekas tupperware atau periuk yang bersih dan simpan di tempat yang hangat bersuhu 115 darjah F selama 6 jam atau lebih. Anda juga boleh menyimpannya dalam oven.Caranya ialah panaskan oven ke suhu 275 darjah F dan padamkan apinya.Masukkan periuk kedalamnya dan biarkan ia disitu beberapa jam.
5. Setelah yogurt menjadi pekat, bolehlah disimpan di dalam peti sejuk.

Mengenai Sour Cream dan Yogurt



>> Sour cream adalah lebih pekat dari yogurt

Tentu anda biasa mendengar mengenai sour cream (krim masam) dan juga yogurt(dadih). Ia biasa digunakan sebagai bahan perasa tambahan (condiment) dalam masakan-masakan barat. Contohnya seperti topping untuk kentang bakar,salad dressing,bahan tambahan untuk kek dan kek keju, biskut dan juga skon. Saya juga sering menggunakan yogurt untuk dicampurkan dalam kek keju bagi membangkitkan rasa masam-masam manis dalam kek keju itu. Terdapat pelbagai jenis yogurt di pasaran yang terdiri dari pelbagai jenama.Ada yang tiada perisa (original) dan ada yang berperisa dan agak manis. Untuk dicampurkan dalam adunan kek keju, saya gemar menggunakan perisa asli (original).Sour cream pula jarang didapati di pasaraya biasa dan harga juga agak mahal berbanding yogurt.

Apakah dia sour cream atau krim masam itu? Sour cream adalah sejenis produk tenusu yang kaya dengan lemak susu dari 16 - 35 peratus. Ia dihasilkan dari penapaian (fermentasi) krim itu dengan sejenis bakteria asid lactic. Kultur bakteria itu secara naturalnya bertindakbalas dan menjadikan rasa masam dan memekatkan krim itu. Sour cream selalunya mengandungi bahan tambahan seperti gelatin, renin dan enzim sayur-sayuran.

Yogurt pula adalah produk tenusu yang dihasilkan dari penapaian bakteria Lactobacillus dengan susu lembu, susu kambing atau kerbau.Ia juga dinamakan cultured milk.Melalui proses ini, ia memekatkan susu dan menjadikan ia masam. Ada yogurt perisa asli dan ada juga yang ditambah perisa dan gula .Yogurt banyak kegunaan dan khasiatnya.Orang yang alah kepada lactose dalam susu, boleh memakannya kerana lactose telah ditukar kepada asid lactic oleh bakteria itu. Ia juga boleh merawat penyakit usus dan lain-lain penyakit yang berkaitan.Kesimpulannya, yogurt banyak khasiatnya dan sesuai diambil oleh kanak-kanak dan juga dewasa.




Khasiat Madu Lebah


>> Terukir kalimah Allah pada sarang lebah

>>Produk madu asli Iran jenama Kausar

Masuk ke blog http://madulebah.fotopages.com/ saya terpegun dengan sekeping gambar yang dipaparkan dalam entrinya mengenai sarang lebah yang terukir kalimah Allah. Saya kagum bagaimana sang lebah yang hanya seekor binatang yang tidak berakal berupaya mengukir kalimah Allah. Tentunya mereka makhluk yang taat setia kepada penciptanya.Sedangkan manusia yang telah diberikan akal fikiran yang waras,masih teraba-raba mencari kebenaran dan ramai yang sesat jalan.Walaupun mengaku sebagai Muslim, tetapi gagal meletakkan Allah dan agama Islam di dalam hatinya. Berdoalah semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah dari Allah untuk sentiasa berada di jalanNya yang lurus. Amin.

Berbalik kepada cerita madu lebah ,ternyata madu lebah adalah makanan tambahan yang tinggi mutu dan khasiatnya. Ini dinyatakan dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 68-69.Firman Allah :-"Dari perut lebah itu keluar minuman(madu), di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia".

Madu lebah mengandungi bahan seperti Sukros, Glukos,Fruktos,Natrium, Kalsium, Potassium dan Manganase. Ia mengandungi pelbagai zat dan vitamin yang mengekalkan kesihatan manusia dan mencegah pelbagai penyakit seperti keracunan,penyakit usus dan sebagainya. Pendekata, madu lebah banyak sekali khasiatnya jika diamalkan oleh keluarga kita. Kita boleh menambahkan madu lebah dalam masakan , kuih-muih dan kek yang kita buat mengikut kesesuaiannya. Tetapi terdapat bermacam jenis madu lebah di pasaran. Ada yang tulen dan ada yang campuran. Pandai-pandailah kita memilihnya. Jika anda mahu membeli produk madu asli dari Iran, anda boleh membeli jenama Kausar yang diedarkan oleh Ariyan Global Sdn.Bhd.Tel:03-89413090/012-2606273 atau layari http://www.thekausar.com/

Panduan Membeli Oven(Ketuhar)



>>Oven Galy dan oven Europa yang telah banyak berjasa.

Bercerita tentang oven, ramai yang bertanya jenis oven apakah yang paling sesuai membuat kek biasa ataupun kek lapis.Susah juga saya nak rekomen sebab banyak sangat jenama yang terdapat di pasaran.Jika kita berkunjung ke kedai-kedai elektrik atau pasaraya-pasaraya besar,berderet oven berbagai jenama di rak. Tak tahu mana satu nak pilih.Betul tak! Jadi untuk memudahkan anda membeli oven, saya turunkan beberapa panduan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya. Selepas itu, anda bolehlah membuat pertimbangan sendiri.

Oven yang saya gunakan untuk membuat kek samada span,mentega, sifon, keju dan lain-lain adalah Oven jenama Europa Jetcook System-Valencia 328E yang saya beli lebih 7 tahun yang lalu. Oven ini adalah jenis kegunaan domestik (kegunaan rumahtangga) tetapi boleh juga digunakan untuk buat bisnes kecil-kecilan dari rumah. Saya sangat puas hati dengan oven ini kerana semua kek saya masak dengan rata dan tidak pernah hangus. Begitu juga dengan biskut-biskut hari raya yang saya buat . Oven ini ada kipas tetapi saya tak pernah gunakannya kerana pada percubaan pertama dulu, saya dapati kek cepat garing di sekelilingnya tetapi bahagian tengah tak masak. Jadi saya gunakan mode biasa saja iaitu api atas dan bawah. Oven ini bersaiz besar iaitu 50cm x 64cm dan berharga dalam lingkungan RM1000 . Jadi jika anda mahu membeli oven jenis ini pastikan ada tempat untuk meletakkannya. Untuk membuat pelbagai jenis kek yang cantik dan gebu,bergantung juga kepada kualiti ovennya. Pada pendapat saya oven jenis besar seperti Europa dan lain-lain jenama seperti Zanussi, Elba sesuai digunakan. Selalunya oven jenis ini mempunyai fungsi/mode api atas dan bawah yang sesuai untuk membakar pelbagai jenis kek termasuk kek lapis. Kerana saiznya besar,anda boleh membakar 2 atau 3 biji kek sekaligus dan menjimatkan masa anda .

Untuk membakar kek lapis, saya gunakan oven bersaiz kecil berjenama Galy yang saya beli 10 tahun yang lalu.Oven ini bersaiz 40 cm x 28 cm dan boleh diletakkan atas almari atau kabinet.Saya tidak pasti samada jenama ini masih ada di pasaran atau tidak. Tetapi banyak jenama lain yang hampir serupa dengannya seperti Pensonic, Butterfly dan lain-lain.Antara ciri-ciri yang perlu ada ialah heater (besi pemanas) hendaklah dari jenis stainless steel dan mempunyai fungsi api atas dan bawah.Tidak perlu ada kipas. Selalunya oven jenis ini berharga dalam lingkungan RM200 - RM300. Untuk tujuan komersil,anda boleh membeli oven kek lapis dari Sarawak. Saya pernah menghubungi sebuah syarikat menjual oven ini di Sarawak dan kata mereka harga jual adalah RM650 tetapi kos penghantaran agak tinggi.Kos keseluruhan mungkin RM1000. Jadi jika ada yang nak berniaga, lebih elok gunakan oven komersil menggunakan gas ini.

Adakah oven gelombang mikro(microwave) sesuai untuk membakar? Saya pernah membeli sebuah oven jenis ini tetapi malangnya ia tidak sesuai untuk membakar kek. Kecuali jika jenis kombinasi, ia mungkin sesuai.Semak buku panduan oven ini atau tanya jurujual sebelum membelinya.

Tatlet Buah-buahan



Bahan-bahan pastri :
125 gm mentega
60 gm gula kastor
1 biji kuning telur
250 gm tepung gandum
sedikit garam
1/2 sudu teh esen vanila
1/2 sudu besar air

Cara Membuatnya :
1. Pukul mentega, gula ,garam dan esen vanila.
2. Masukkan telur dan pukul sebati.
3. Masukkan tepung dan gaul jadi doh yang lembut. Jika kering, tambah air dan uli lagi.
4. Bulatkan doh sebesar ibu jari dan tekan dalam acuan tat.
5. Bakar selama 20 minit hingga masak.

Krim Kastad :
130 gm kastad segera (instant custard)
330 gm susu segar/uht (air juga boleh digunakan)

1.Untuk membuat kastad ini,tuangkan susu atau air ke dalam serbuk kastad segera dan kacau hingga pekat dan sebati. Anda tidak perlu mencampur gula atau memasaknya. Ia sudahpun manis.
2. Sudukan kastad ke dalam tat dan ratakan. Susun buah-buahan yang disukai seperti peach, kiwi, anggur, mangga dan lain-lain diatasnya. Kemudian bolehlah dihidangkan.


Nota :

Anda boleh menyediakan kulit tat lebih awal. Simpan dalam peti sejuk dan dibakar semula sebelum memasukkan inti kastad.

Kek Brownies Simple


Bahan-bahan:

(A)
200 gm mentega
200 gm coklat masakan

(B)
3 biji telur A
1 sudu teh esen vanila
190 gm gula kastor

(C)
120 gm tepung gandum
sedikit garam

Cara Membuatnya :

1. Satukan bahan A dan panaskan di atas api kecil hingga cair semuanya. Kacau sebati. Angkat dan sejukkan.
2. Satukan bahan B dan pukul kelajuan tinggi hingga kembang dan gebu selama 3 minit.
3. Setelah adunan coklat sejuk, tuangkan ke dalam adunan telur. Gaul sebati.
4. Masukkan tepung gandum yang telah diayak dan juga garam. Gaul perlahan hingga adunan sebati.
5. Sediakan tin empat segi berukuran 9x9 inci. Griskan dan lapik kertas.
6. Tuangkan adunan kedalamnya dan bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 30-40 minit hingga masak.


Best Brownies
Sumber : Allrecipes.com

Bahan-bahan :

115 gm mentega
200 gm gula
2 biji telur
1 sudu teh esen vanila
30 gm serbuk koko
60 gm tepung gandum
1/2 sudu teh serbuk penaik

Cara Membuatnya :

1. Griskan tin 8x 8 inci dan lapik kertas.
2. Cairkan mentega.Angkat dari api dan masukkan gula, telur dan esen vanila.Kacau sebati hingga gula cair.
3. Masukkan serbuk koko, tepung, garam dan serbuk penaik.Gaul sebati dengan senduk.
4. Tuangkan dalam tin dan bakar selama 30 minit atau hingga masak.

Brownies

Tentu anda pernah mendengar tentang brownies iaitu sejenis kek coklat yang padat dan berasal dari Amerika.Nama brownies diberikan kerana warnanya yang keperangan dan gelap. Bahan pentingnya ialah coklat masakan ataupun serbuk koko.Di Amerika ada yang mengkelaskan brownies sebagai cookies dan ada yang mengatakan ia sebagai kek. Sebenarnya ia terletak di tengah-tengah antara cookies dan juga kek kerana ia bergantung kepada teksturnya. Ada brownies yang teksturnya rapuh seperti cookies dan ada yang lembap dan gebu seperti kek. Kaedah membuatnya juga terbahagi kepada dua iaitu foaming method (membuih) dan all in method (kacau terus). Walau apapun, brownies memang enak sebagai snek atau kudapan dan juga untuk minum petang. Walaupun brownies yang asal adalah dibakar, tetapi di Indonesia telah diperkenalkan brownies kukus. Walaupun resipi dan cara membuat kek ini seperti kek span, tetapi kerana ia coklat, maka ia dipanggil brownies juga walaupun dikukus.

Tip dan panduan membuat brownies
1. Anda boleh gunakan coklat masakan ataupun serbuk koko, tetapi lebih enak jika menggunakan coklat masakan.
2. Coklat masakan hendaklah dipotong kecil-kecil supaya mudah dicairkan.
3. Griskan tin pembakar dan lapik kertas serap minyak.
4. Brownies biasanya rendah, tidak tinggi seperti kek biasa. Ini untuk mempercepatkan masa membakarnya.
5. Untuk mempastikan brownies telah masak, cucuk bahagian tengah dengan lidi. Ia telah masak jika tiada adunan yang melekat.
6. Sejukkan brownies sebelum dipotong.
7. Bahan lain yang boleh ditambah pada brownies ialah kekacang seperti walnut, pecan ,badam atau cip coklat.
8. Kekacang hendaklah dibakar dahulu supaya dapat membangkitkan lagi aroma brownies.
9. Setelah sejuk, brownies boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan tahan satu minggu. Jangan simpan dalam peti sejuk kerana akan menjadi kering.

Cotton Cheese Cake Tak Menjadi


>> Gambar Kek Keju Yogurt dari majalah NUR.Resipi dan cara membuatnya lebih kurang sama dengan Japanese Cotton Cake.

Kesian jugak Kak Ani pada beberapa orang pengunjung blog yang cuba membuat Japanese Cotton Cheese Cake tapi tak jadi-jadi.Sebenarnya membuat kek ni bukan setakad baca dan ikut resipi saja,tetapi perlu ada sedikit skil dan pengetahuan asas tentang teknik digunakan. Ini kerana membuat kek ni banyak kaedahnya. Lain jenis kek lain kaedahnya. Contohnya membuat kek span lain kaedahnya dengan membuat kek mentega.Pengetahuan asas ini jarang ada dalam buku tetapi banyak boleh didapati di internet.Itulah kelebihannya orang yang ada internet, mudah meluaskan pengetahuan tanpa batasan. Cuma anda perlu rajin menggali dari pelbagai sumber.Lagi satu yang penting ialah pengalaman, makin banyak kali kita buat makin bertambah skil dan kemahiran kita. Tidak mengapa jika anda sudah beberapa kali menemui kegagalan kerana kegagalan itu sebenarnya mematangkan anda. Tetapi anda perlulah mengambil iktibar dari kegagalan itu. Mengapa gagal?Setiap kali anda gagal tanya diri sendiri apakah yang silap.Adakah adunan terlebih gaul,putih telur terlebih pukul atau suhu oven terlalu perlahan?Bila anda membuat semula, cuba baiki kesilapan-kesilapan tersebut.Itulah yang saya lakukan selama berpuluh tahun yang lepas. Disamping menimba ilmu dengan mengikuti pelbagai kursus,
pengalaman dari kegagalan turut menjadi guru saya yang penting. Jangan mudah berputus asa jika kali pertama, kedua atau ketiga anda gagal. Pasti ada puncanya. Yakinlah dengan diri sendiri.ANDA BOLEH!



Panduan Membuat Cotton Cheese Cake:


1. Sediakan bahan-bahan yang diperlukan di atas meja (rujuk resepi dlm posting yang lalu).

2. Pastikan keju yang anda beli adalah betul iaitu Cream Cheese Philadelphia (jenis ketul 250 gm). Bukannya Cream Cheese Spreadable (dlm botol) , Cheddar Cheese atau lain-lain cheese.

Keluarkan keju dari peti sejuk 30 minit - 1 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah dipotong.

3. Gunakan tepung kek atau superfine , bukan tepung gandum agar tekstur kek lembut.

4. Pastikan telur yang digunakan adalah telur baru. Semasa memisahkan kuning telur dan putih telur, pastikan tidak ada kuning telur masuk ke dalam putih telur. Bekas memukul putih telur juga hendaklah bersih dan tidak berminyak agar putih telur naik dengan elok.Pakai alat whisk untuk memukul putih telur.

5. Susu gunakan susu segar atau uht.

6. Untuk menghasilkan merinque (putih telur),satukan putih telur, gula dan serbuk krim tartar.Pukul kelajuan sederhana dengan alat whisk hingga gebu dan kental. Apabila dicolek dengan jari ia masih berekor. Jangan pukul terlalu lama kerana merinque akan kering.

7. Proses membakar adalah menggunakan cara water-bath iaitu meletakkan sedulang air di bawah tin kek. Suhu adalah 160-170 darjah celcius dan dibakar selama 1 1/2 hingga masak.

8. Selepas kek masak,tutup api oven dan biarkan kek dalam oven selama 30 minit sebelum dikeluarkan. Keluarkan dari dulang air dan sejukkan.



Cara Membuatnya:

1. Krim keju dan mentega di potong kecil-kecil. Masukkan ke dalam sebuah periuk bersama gula dan susu segar. Panaskan secara double-boiler (dimasak atau kuali berisi air yang dipanaskan tetapi air jangan sampai mendidih).Gaul dengan pemukul telur atau senduk hingga lembut dan menjadi pes yang pekat.

2. Masukkan jus lemon dan kuning telur.Kacau hingga sebati.Angkat dan biarkan ia menjadi suam-suam kuku.

3. Ayak tepung dan masukkan ke dalam pes tadi.Gaul sebentar sahaja.Jangan kacau terlalu lama kerana akan overmix.

4. Putih telur diputar bersama gula dan serbuk krim tartar untuk menghasilkan merinque. Putar dengan alat whisk hingga gebu dan kental (soft peak).

5. Pindahkan pes ke dalam mangkuk lebih besar agar mudah digaul.

6. Masukkan merinque 3 bahagian.Masukkan 1 bahagian dan gaul perlahan-lahan dengan senduk atau whisk hingga sebati. Memasukkan merinque hendaklah perlahan dengan cara kaup dan balik supaya gelembung udara dalam putih telur tidak pecah dan menyebabkan kek bantat.

Habiskan menggaul dan adunan batter ini hendaklah tetap gebu.Jika adunan ini cair, mendap dan seakan tiada udara,anda terlebih gaul atau merinque anda tidak cukup kembang.

7. Griskan tin bulat 9 inci atau 10 inci dan lapik kertas serap minyak. Tuangkan adunan ke dalam acuan.

8. Oven hendaklah dipanaskan 15 minit lebih awal ke suhu 160 darjah celcius.

9. Ambil loyang 11 inci dan masukkan air paip 1/3 bahagian. Letakkan tin berisi kek dalam loyang dan masukkan ke dalam oven. Jangan buka pintu oven sehingga 1 1/2 jam.

10. Selepas 11/2 jam tutup api oven dan biarkan kek selama 30 minit sebelum dikeluarkan. Sejukkan.



Nota : Ini dah bagi detail punya panduan. Kalau tak jadi juga mungkin ada masalah dengan peralatan seperti oven atau anda kena attend kelas untuk melihat sendiri bagaimana cara membuatnya.

Kek Brownies Kukus





Bahan-bahannya :

(A)
120 gm coklat masakan
170 gm minyak masak
(B)
130 gm tepung gandum
50 gm serbuk koko
1/2 sudu teh serbuk penaik
(C)
5 biji telur
200 gm gula kastor
10 gm ovalette
1/2 sudu teh esen vanila
3 sudu besar susu pekat manis

Cara Membuatnya :
1. Cairkan coklat masakan di dalam periuk secara double-boiler. Apabila coklat telah cair, masukkan minyak masak dan gaul sebati. Angkat dan sejukkan.
2. Ayak tepung gandum, serbuk koko dan serbuk penaik.Ketepikan.
3. Satukan telur, gula dan ovalette dalam mangkuk pengadun dan putar hingga pekat dan gebu.
4. Masukkan tepung yang telah diayak tadi diikuti dengan coklat cair yang telah sejuk. Gaul sebati. Masukkan esen vanila dan susu pekat.Gaul rata.
5. Sediakan tin bulat 8 inci digriskan dan lapik kertas serap minyak.
6. Tuangkan adunan dan kukus 45 minit hingga masak.Tutup periuk kukus dengan tuala nipis agar air wap tidak menitik pada kek.

Coklat Ganache :
100 gm susu segar/UHT
300 gm coklat masakan, dicincang kecil-kecil
30 gm mentega

Cara Membuatnya:
1. Panaskan susu hingga mendidih.
2. Padamkan api dan masukkan coklat masakan.Kacau hingga coklat cair.
3. Masukkan mentega dan kacau lagi hingga ia sebati.
4. Sejukkan 2 jam supaya ia pekat dan tuangkan atas kek. Hiaskan.




Resipi Kek Dalam Majalah NUR





Baru-baru ini saya menyumbangkan 8 resipi kek yang mudah untuk Majalah NUR. Resipinya dah pun keluar untuk bulan Mac 2008 ni. Kek-kek tersebut ialah Mufin Pisang,Kek Gula Hangus, Kek Keju Yogurt,Kek Mentega Pelangi, Kek Sifon Pandan,Kek Coklat Kukus,Kek Oren Biji Popi dan Kek Cawan Berhias.

Menghias Kek Dengan Krim Putar


>>Sebelum menghias,kek span perlu dibelah 2 atau 3 lapisan

>> Sapukan krim yang telah dipukul untuk filling dan salut keseluruhan

>> Kek Black Forest yang simple

>> Kek boleh dihias coklat dan chocolate rice

>> Coklat juga boleh dilelehkan di tepi kek.


Dinegara kita,Non-Dairy Whipping Cream yang digunakan dalam hiasan kek mudah didapati di kedai-kedai menjual bahan kek.Tetapi saya tidak pasti di negara-negara lain. Krim ini dijual di dalam kotak 1 liter dan mencukupi untuk menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci. Krim ini bewarna putih bersih dan lebih digemari oleh kanak-kanak dan dewasa jika dibandingkan dengan kek beraising mentega. Rasanya tidak terlalu manis dan tidak muak memakannya. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Untuk kek pertunangan dan perkahwinan,kek bersalut krim ini tidak sesuai diletakkan di luar. Ia hendaklah disimpan di dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila hendak dihidangkan.

Kek yang selalu digunakan untuk hiasan krim ini adalah kek span dengan pelbagai perisa seperti vanila, strawberi, coklat dan lain.Untuk mendapatkan resipi kek span , sila rujuk posting terdahulu. Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan sebelum menghias kek iaitu :

1. Sediakan kek span bersaiz 8 inci.
2. Alas meja dengan kertas atau plastik supaya habuk kek tidak bersepah.
3. Letak kek atas papan kek bersaiz 10 inci (2 inci lebih besar dari saiz kek).
4. Gunakan pisau bergerigi dan belah kek dari bahagian bawah. Belah sebanyak 2 atau 3 lapisan. 5. Bersihkan kek dari habuk kek.
6. Masukkan krim putar yang sejuk ke dalam mangkuk adunan dan putar dengan alat whisk hingga gebu dan kental. Jangan terlebih pukul kerana akan menjadi kasar.
7. Kemudian sapukan filling dan salutkan krim disekeliling kek. Hiaskan.

Mufin Pisang


Bahan-bahan :
(A)
4 biji telur
120 gm gula kastor
10 gm ovalette
(B)
150 gm tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 1/2 sudu teh serbuk penaik
180 gm pisang emas atau berangan, dilecek hancur
2 sudu teh esen pisang
135 gm minyak masak
sedikit garam

Cara Membuatnya :
1. Satukan bahan A dan pukul pada kelajuan tinggi hingga adunan kembang dan gebu.
2. Masukkan pisang lecek, garam dan esen pisang.Gaul dengan senduk hingga sebati.
3. Ayak tepung gandum,serbuk penaik dan soda. Masukkan sedikit demi sedikit dalam adunan diatas dan gaul hingga sebati.
4. Masukkan minyak sedikit-sedikit dan gaul rata. Sediakan cawan mufin.
5. Isikan adunan 3/4 penuh. Bakar pada suhu 190 darjah celcius selama 25 minit hingga masak.

Mengenai Whipping Cream


>>Whipping Cream for Topping dari pelbagai jenama

>>Sejenis dairy whipping cream dari jenama Pauls

Baru-baru ini seorang pengunjung blog saya dari Australia bertanyakan tentang whipping cream atau dalam bahasa Melayunya krim segar/krim putar/krim pukul. Beliau mengatakan whipping cream yang telah diputar tidak berapa kembang tetapi berair dan tidak cantik disapukan pada kek.

Saya ingin menjelaskan bahawa terdapat 2 jenis krim putar iaitu Dairy Whipping Cream dan Non-Dairy Whipping Cream For Topping . Dairy Whipping Cream adalah merupakan hasil tenusu dan mengandungi 35 % lemak susu. Ia sesuai digunakan dalam masakan-masakan Barat, membuat kek seperti tiramisu atau hiasan mudah untuk aiskrim atau pencuci mulut ala Barat. Ia hendaklah dipukul dengan kelajuan sederhana hingga ia menjadi kental dan bolehlah dimasukkan dalam masakan-masakan tersebut. Tetapi krim ini tidak sesuai untuk hiasan kek seperti Black Forest dan lain-lain kerana warnanya kekuningan dan kurang stabil. Ini bermakna ia tidak boleh mengekalkan bentuknya dalam masa yang lama. Kesimpulannya, Dairy Whipping Cream yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream tidak sesuai untuk dibuat hiasan kek kerana faktor-faktor yang saya telah jelaskan diatas.Krim ini terdapat dalam pelbagai jenama dan boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar.


Manakala Non-Dairy Whipping Cream For Topping adalah krim yang dibuat khas untuk hiasan kek. Ia dirumus daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit dan tidak megandungi bahan tenusu. Ini menjadikan ia lebih stabil,maknanya corak-corak yang dipaip menggunakan krim ini tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya. Ia juga mudah kembang jika dipukul dan menghasilkan kuantiti yang banyak. 1 liter krim ini boleh menyalut dan menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci.


Keistimewaan krim ini ialah ia lebih baik dari segi kesihatan berbanding krim mentega kerana tidak mengandungi lemak berlebihan.Warnanya putih bersih dan boleh dicampurkan pewarna lain. Rasanya juga enak kerana tidak memuakkan. Tetapi krim ini tidak tahan panas. Ia hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan hanya dikeluarkan jika hendak dihidangkan.Ia tahan seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Terdapat pelbagai jenama krim ini seperti Presto, Vivo, Richs, Trans, Anchor dan lain-lain. Krim ini hendaklah diputar dalam keadaan sejuk (krimnya) dan putar kelajuan sederhana hingga menjadi kembang dan kental. Jangan terlebih putar kerana krim akan menjadi kasar dan susah disapukan pada kek.Oleh kerana krim ini sudahpun manis, anda tidak perlu mencampurkan gula.Krim jenis ini hanya dijual di kedai-kedai bahan kek .


Kursus Kek Lapis (1)


>> Sedang menunjukkan cara membuat Roll Dinda.

>> Sebelum digulung sapu jem dulu.

>>Abang Mat Hidir kita sedang beraksi menggulung kek roll.

>>Kek lapis roll hasil tangan peserta.

>>Peserta kursus yang sentiasa bersemangat.



Kursus Kek Lapis siri pertama telah berjaya dilangsungkan di Akademi Bakeri Ria, Taman Melawati, KL. Seramai enam orang peserta telah menghadiri kursus sehari yang merupakan kelas praktikal(hands-on). Mereka terdiri dari Wani, Normah, Norhaya, Mohd.Hidir, Bahyah dan Ila.
Kursus bermula pada pukul 10.30 pagi dengan taklimat dan penerangan ringkas dari saya tentang jenis-jenis kek lapis, kaedah membuatnya dan masalah-masalah yang sering dihadapi dalam membuat kek lapis ini. Kemudian para peserta mula membuat kek lapis sarawak mereka sendiri dengan pengawasan dan tunjukajar dari saya. Saya berbangga kerana para peserta sangat bersungguh-sungguh membuat tugasan yang telah diberikan. Mereka juga tidak segan untuk bertanyakan pelbagai soalan berhubung pembuatan kek lapis ini. Di akhir program, mereka telah dapat menyiapkan 3 jenis kek lapis iaitu Kek Lapis Semarak, Kek Lapis Prun dan Roll Dinda. Nampaknya mereka sangat gembira dengan kek-kek hasil air tangan mereka untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.

Saya berharap para peserta dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari samada untuk santapan sendiri ataupun membuat perniagaan secara kecil-kecilan. Mana tahu dari kecil-kecilan boleh jadi besar-besaran kerana belum ramai orang di Semenanjung ni yang membuat perniagaan kek lapis samada tradisional mahupun kek lapis sarawak. Jadi pasaran masih terbuka luas untuk anda menceburinya. Saya mendoakan anda semua berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Jika ada masalah boleh hubungi saya .

Aising Fondant











>>Contoh-contoh kek pertunangan dan perkahwinan berhias aising fondant.

Aising fondant adalah sejenis aising keras yang berasal dari negara Barat dan digunakan dengan meluas di Amerika dan negara-negara Eropah yang lain. Mereka membalut aising fondant untuk kek perkahwinan, pertunangan dan juga untuk kek harijadi. Tetapi di negara kita, tidak ramai yang gemarkan aising fondant kerana kulitnya yang keras. Biasanya kek yang dibaluti aising fondant terdiri dari kek buah atau lain-lain kek mentega yang padat. Kek span tidak sesuai kerana terlalu lembut untuk menampung berat fondant. Kek berhias aising fondant sangat indah hasil seninya apatah lagi dihiasai dengan bunga-bunga dari gumpaste.Ia juga sesuai dibawa dalam perjalanan yang jauh. Itulah sebabnya harganya agak mahal sehingga mencecah RM250 untuk sebiji kek bersaiz 9 inci. Tetapi pada hari penting seperti perkahwinan atau pertunangan, apalah salahnya memberi hantaran yang istimewa kepada yang tersayang! Pendekata, tepuk dada tanya selera.

Resipi Aising Fondant

Bahan-bahan :
1 kg. gula aising
500 gm gula aising tambahan
17 gm (2 sudu besar) serbuk gelatin halal
100 gm air
1 sudu besar sirap glukos (glucose syrup)
12 gm krimwell @ shortening
40 gm gliserin

Cara Membuatnya :
1. Tuang air dan gelatin ke dalam periuk kecil dan panaskan atas api perlahan hingga gelatin larut.
2. Masukkan sirap glukos, krimwell dan kacau hingga larut dan mendidih sebentar. Tutup api dan sejukkan.
3. Gula aising (1 kg) diayak dua kali atas meja atau dulang.
4. Buat lubang di tengah gula aising dan tuangkan adunan yang telah sejuk tadi. Kaup dan balikkan guna scrapper hingga adunan sebati. (guna mesin pun boleh). Tuangkan gliserin dan uli lagi 5 minit hingga lembut.
5. Jika adunan agak keras, renjis sedikit air panas dan uli hingga lembut. Jika lembik dan melekit,tambah sedikit gula aising lagi dan uli rata hingga lembut.
6. Masukkan dalam beg plastik dan simpan pada suhu bilik.Tak perlu dimasukkan dalam peti sejuk. Boleh digunakan dalam masa seminggu.


Tip dan panduan:


1. Doh jangan lama didedahkan kerana ia akan kering. Selepas digunakan simpan dalam plastik.
2. Doh adalah lembut dan boleh dibentuk bunga, daun, reben dan sebagainya.
3. Untuk warnakan doh,ambil lidi dan celupkan dalam pewarna.Kemudian calitkan atas doh dan uli hingga warna merata.
4. Doh sesuai dicanai atas meja marble atau meja stainless steel. Meja kayu tidak sesuai kerana akan melekat.
5. Apabila mencanai, taburkan gula aising atas meja supaya tidak melekat.
6. Kek buah yang hendak dibalut fondant hendaklah disapu jem panas atau aising buttercream yang nipis agar lembap.
Untuk dapatkan cara-cara membalut kek dengan fondant, sila layari http://www.shop.pattycakes.com/
http://www.wilton.com/ dan lain-lain laman web yang berkenaan.






Seni Kek Lapis











Di negara kita, kek lapis lebih terkenal di kalangan masyarakat Jawa di Johor dan Selangor. Tradisi kek lapis ini dibawa bersama penghijrahan mereka ke Tanah Melayu beberapa ratus tahun dahulu. Kalau dahulu kek lapis di bakar dengan dapur arang, kini segalanya lebih mudah dengan ketuhar elektrik.Tetapi membuat kek lapis masih juga memerlukan masa yang panjang dan kesabaran tinggi kerana perlu membakarnya selapis demi selapis.Selalunya memakan masa 3 jam untuk menghasilkan sebiji kek lapis. Kek lapis tradisional juga dikenali sebagai Kek Lapis Betawi adalah seakan Lapis Legit dari Indonesia kerana rasa rempahnya yang harum. Kini Lapis Betawi telah dipelbagaikan perisanya seperti mocha, coklat,pandan dan sebagainya.


Di Sarawak pula, masyarakat Melayu di negeri itu telah mempelopori teknik membuat kek lapis moden yang agak berlainan dari lapis tradisional dan lapis legit Indonesia. Kek lapis mereka dikenali sebagai Kek Lapis Sarawak. Ianya mula dikomersilkan sejak tahun 1980 an tetapi pembuatannya telah bermula lebih awal dari itu. Kek Lapis Sarawak mempunyai pelbagai perisa seperti horlick, coklat, mentega kacang, serikaya dan lain-lain yang dicampurkan ke dalam adunan kek bagi menambah kelazatannya. Kek Lapis Sarawak mempunyai pelbagai warna dan corak-corak geometri yang menarik. Ia bukan setakad sejenis masakan, tetapi hasil seni (work of art) yang unik dan tidak terdapat di tempat-tempat lain.


Sebab itulah saya meminati seni kek lapis ini. Walaupun membuatnya agak remeh (bukan susah), perlukan ketelitian dan kreativiti tetapi apabila berjaya menghasilkan satu rekaan, ia menimbulkan kepuasan kepada diri kita. Pendekata, ia berbaloi kerana kelazatan dan keindahannya.

Puding Karamel Feqah



>> Gambar dan resipi dipetik dari http://srsfeqah.fotopages.com/


Semasa akak menjenguk ke fp Feqah di http://srsfeqah.fotopages.com/ akak tengok gambar puding karamelnya sungguh menyelerakan. Jadi akak siarkan resipi dan gambarnya disini,bolehkan Feqah !Puding karamel adalah pencuci mulut yang enak dimakan sejuk. Jadi sejukkan beberapa jam di dalam peti sejuk sebelum dinikmati. Puding ini juga boleh dikukus ataupun di bakar secara water-bath(bain-marie).

Tips membuat puding karamel:
1. Untuk membuat gula hangus, masukkan gula ke dalam periuk dan panaskan dengan api perlahan.Kacau supaya tidak hangit .Jika ia hangit, rasanya akan pahit.
2. Setelah gula hangus cair dan bewarna keperangan, tuangkan air panas atau air paip.
3. Kacau segera supaya gula tidak berketul. Kacau hingga cair.
4. Telur dan susu dikisar hingga sebati.
5. Tapiskan adunan sebelum dituang ke dalam loyang.
6. Biarkan puding sejuk dalam loyang sebelum diterbalikkan dalam pinggan.

Puding Karamel Feqah
Bahan-bahan :
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
4 biji telur
1 tin susu cair
2 sudu besar esen vanila
2 sudu besar tepung jagung/tepung kastad

Cara Membuatnya :
1. Masak gula hangus hingga cair. Tuangkan air panas.Kacau hingga sebati.
2. Kisar telur hingga kembang dan masukkan susu cair. Kisar lagi hingga sebati.
3. Masukkan esen dan tepung jagung dan kisar sebentar.
4. Tuangkan 1/2 adunan gula hangus dalam loyang 8 inci.Tuangkan adunan puding.
5. Kukus 20 minit hingga masak.

Puding Karamel Kak Ani
Dah lama akak cari resipi ni entah terselit kat mana. Baru-baru ni jumpa pulak. Akak pernah buat resipi ini dan jadi perfect. Cuma kaedah yang digunakan adalah secara water-bath dan dibakar dalam oven pada suhu 180 darjah celcius selama 1 jam.

Bahan-bahan :
(A)
230 gm gula pasir
50 ml air

(B)
800 ml susu kotak (segar atau UHT)
150 gm gula
8 biji telur A
2 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Masak gula pasir (A) hingga cair dan keperangan dengan api perlahan.Tuangkan air dan kacau hingga semuanya cair. Tuangkan karamel ke dalam loyang 8 inci. Ketepikan.
2. Satukan bahan-bahan B dalam sebuah bekas dan pukul dengan pemukul telur hingga sebati.Boleh juga guna mixer atau pengisar.
3. Tapiskan adunan ke dalam loyang berisi karamel tadi.
4. Sediakan sebuah loyang 10 inci dan isikan air 1/3 bahagian. Masukkan loyang berisi adunan telur tadi ke dalamnya.
5. Bakar dalam oven selama 1 jam pada suhu 180 darjah celcius.
6. Setelah masak, sejukkan dahulu kemudian masukkan dalam peti ais beberapa jam.
7. Untuk menghidang, terbalikkan loyang atas pinggan yang sesuai. Karamel hendaklah di bahagian atas. Puding ini enak dimakan sebagai pencuci mulut.

Puding Batik Biskut Marie


>> Gambar dipetik dari http://srsfeqah.fotopages.com/
Puding Batik Biskut Marie atau juga dikenali sebagai Kek Batik Marie atau Kek Batik Jawa memang menjadi kegemaran ramai orang tua dan muda. Ini termasuklah akak dan anak-anak . Minggu lepas akak buat tapi tak sempat ambil gambar, pudingnya dah habis. Jadi terpaksalah akak ronda blog-blog lain untuk cari gambar yang sesuai untuk ditampalkan atas resipi akak ni.
Rupa-rupanya ada banyak jenis resipi untuk puding batik ni. Akak terjumpa satu blog http://www.srsfeqah.fotopages.com/. Gambarnya cantik dan resipinya juga simple. Jadi akak mintak izin sama Feqah untuk siarkan resipi dan gambar di blog akak ni supaya lebih ramai di luar sana dapat manfaatnya.Kongsi ilmu lah gitu.

Tips membuat puding/kek batik:
1. Biskut Marie hendaklah dipatahkan 4.Jangan terlalu kecil kerana tak nampak corak batiknya.
2. Mentega hendaklah dicairkan baru dimasukkan bahan-bahan yang lain.
3. Adunan hendaklah dikacau hingga pekat, baru masukkan biskut marie. Kacau sebentar saja supaya biskut marie tidak terlalu lembik.
4. Griskan loyang atau lapikkan dengan plastik agar mudah dikeluarkan.
5. Setelah menuang adunan ke dalam loyang, tekan perlahan dengan plastik supaya padat.
6. Biarkan puding suam baru masukkan dalam peti sejuk. Untuk cepat beku, masukkan dalam freezer atas selama 1 jam.
7. Setelah beku, potong dengan pisau tajam dan hidangkan.

Bahan-bahan :
450 gm biskut Marie
250 gm mentega
100 gm MILO
250 gm susu krimer pekat manis
2 biji telur
350 ml air (2 cawan air)
5 sudu besar koko
1/3 cawan gula
sedikit emulco coklat (jika suka)

Cara Membuatnya :
1. Panaskan mentega dan 1 cawan air hingga mentega itu cair.Gunakan api perlahan.
2. Masukkan milo,susu krimer, gula, koko dan emulco coklat. Kacau sebati.
3. Pukul telur dengan garfu dan masukkan ke dalam periuk. Masak adunan hingga pekat.
4. Masukkan biskut marie yang telah dibelah 4. Kacau hingga semua biskut basah.
5. Sediakan loyang berukuran 10 inci atau 9 inci. Griskan dengan minyak atau lapik plastik.
6. Tuangkan adunan dan ratakan.Apabila agak sejuk,tekan dengan plastik agar padat.
7. Masukkan dalam peti sejuk setelah puding agak suam.Setelah keras, bolehlah dipotong dengan pisau tajam.

Kek Batik Feqah
Bahan-bahan :
1/2 tin susu pekat
125 gm mentega
1/2 cawan milo
1/4 cawan serbuk koko
350 gm biskut marie

Cara Membuatnya :
1. Cairkan mentega, masukkan susu dan kacau. Masukkan milo dan serbuk koko dan kacau lagi.
3. Masukkan biskut marie dan gaul rata sebentar saja.
4. Ratakan dalam loyang bulat 8 inci. Sejukkan.

Apam Gula Merah (Malai Ko)



Apam ini adalah sejenis kuih kukus yang diisikan dalam cawan kertas atau mangkuk plastik yang kecil. Anda juga boleh mengisikannya dalam loyang 9 inci atau 10 inci. Enak untuk hidangan minum petang.Resipi ini boleh menghasilkan 30 biji kuih.

Bahan-bahan :
140 gm gula merah
50 gm air
4 biji telur B
200 gm gula kastor
320 gm tepung gandum
8 gm soda bikarbonat
400 ml santan pekat

Cara Membuatnya :
1. Satukan gula merah dan air. Panaskan hingga gula cair. Tapiskan dan sejukkan.
2. Pukul telur dan gula hingga kembang dan gebu.
3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama soda. Gaul sebati.
4. Tuangkan air gula merah dan santan. Gaul sebati. Rehatkan 20 minit.
5. Sementara itu panaskan air dalam kukusan hingga mendidih.Acuan juga dipanaskan 5 minit.
6. Tuangkan adunan dalam acuan dan kukus 15 minit hingga masak.

Kek Cawan Coklat Kukus



Bahan-bahan :
(A)
150 gm minyak masak/jagung
180 gm susu cair
200 gm gula kastor
220 gm susu krimer manis
1 sudu teh emulco coklat

(B)
50 gm serbuk koko
90 gm tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh serbuk penaik
(C)
3 biji telur, dipukul dengan garfu hingga sebati

Cara Membuatnya :
1. Satukan bahan-bahan A dalam sebuah periuk. Kacau atas api perlahan hingga gula hancur. Jangan sampai mendidih.Angkat dari api dan biarkan suam.
2. Masukkan telur yang telah dipukul tadi dan kacau rata.
3. Ayakkan bahan B dan masukkan ke dalam adunan A. Pukul dengan hand-mixer hingga adunan menjadi licin.
4. Rehatkan adunan 20 minit. Tuangkan ke dalam cawan-cawan kecil atau bekas aluminium dan kukus selama 20 minit hingga masak.

Perihal Coklat



>> Gambar hiasan
Tentu ramai anda di luar sana yang gemarkan coklat.Kalau kita berkunjung ke kedai bahan kek, kita akan dapati bermacam jenis hasilan coklat seperti milk chocolate, cooking chocolate (coklat masakan), coklat putih , cip coklat dan sebagainya.Dalam masakan terutama membuat biskut, kek dan lain-lain,hasilan coklat yang sering digunakan adalah coklat masakan, serbuk koko, cip coklat dan emulco coklat yang merupakan perisa coklat. Coklat putih (white chocolate) secara teknikalnya bukanlah coklat kerana tidak mengandungi pepejal koko. Ia hanya mengandungi mentega koko yang dicampur gula, pepejal susu dan perisa.

Bagaimana untuk menyimpan coklat?
Coklat masakan boleh tahan 2 tahun jika betul cara penyimpanannya. Ia hendaklah disimpan di tempat agak dingin dan kering seperti di dalam almari.Anda tidak perlu menyimpannya dalam peti sejuk. Balutkan lebihan coklat masakan dengan kertas aluminium (foil) atau plastic wrap dan masukkan dalam beg plastik atau bekas plastik.

Bagaimana mencairkan coklat?
Anda boleh menggunakan kaedah double-boiler atau microwave.
1. Cincang coklat kecil-kecil dan masukkan dalam periuk.
2. Panaskan air dalam kuali atau periuk lebih besar dan letakkan periuk berisi coklat di atasnya.
3. Pastikan tiada air yang masuk ke dalam coklat kerana ia akan jadi berketul.
4. Kacau dengan senduk hingga coklat cair.
5. Sekiranya coklat agak pekat, masukkan sedikit shortening sayuran atau mentega koko (cocoa butter)untuk mencairkannya. Tidak digalakkan mengguna minyak, mentega atau majerin kerana mempengaruhi rasa dan bau coklat.
6. Jika menggunakan mikrowave, masukkan coklat dalam bekas microwave-safe.Masak 1 minit hingga ia lembut. Coklat tidak kelihatan cair dalam microwave kerana masih mengekalkan bentuknya.Keluarkan dan kacau hingga cair.

Cuti Tahun Baru Cina

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Bersempena dengan CNY, akak pun turut bercuti dari posting kerana balik kampung beberapa hari. Insyallah, esok akan akan mula semula buka dapur yang tak berasap beberapa hari. Kepada teman-teman siber yang sudi memberi akak award tu, terimakasih banyak-banyak diucapkan.Semoga bertambahlah semangat akak untuk memperbanyakkan info, tips dan resipi-resipi menarik untuk anda semua. Salam bahagia !

Chocolate Cotton Cake

Bahan-bahan :
(A)
500 gm putih telur
350 gm gula kastor
(B)
15 biji kuning telur A
3 biji telur (sebutir)
220 gm susu segar
1 sudu teh esen vanila
(C)
125 gm tepung gandum
50 gm serbuk koko
180 gm mentega
(D)
1 sudu teh pes coklat
1/2 sudu teh pes mocca

Cara Membuatnya :
1. Sediakan tin pembakar 9 inci. Griskan dan lapik kertas serap minyak.
2. Putar bahan A hingga gebu dan kental.
3. Panaskan susu tetapi jangan sampai mendidih, masukkan telur dan esen vanila. Kacau rata dan angkat dari api. Biarkan ia tetap hangat.
4. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum dan serbuk koko. Gaul rata hingga menjadi pes. Satukan 3 dan 4.
5. Masukkan putih telur yang telah dipukul tadi dan gaul rata. Masukkan bahan D dan gaul sebati.
6. Tuangkan dalam tin pembakar dan bakar secara water-bath selama 45 minit hingga masak pada suhu 180 darjah celcius.

Japanese Cotton Cheese Cake


>> Gambar dipetik dari http://food-research.blogspot.com

Bersempena dengan topik cotton cake beberapa hari ini , saya tampalkan resipi Japanese Cotton Cheese Cake yang selalu juga saya buat untuk hidangan keluarga. Jika kek ini dibuat dengan betul, ia akan jadi lembut , gebu dan mempunyai lubang-lubang udara yang halus. Jika ada yang tak kena, ia akan jadi padat dan tak berapa naik. Tetapi masih sedap dimakan seperti kek keju yang lain.Selalunya kek ini jadi rebutan anak-anak. Belum sempat dimasukkan dalam peti sejuk, dah habis separuh. Kek ini enak dimakan sejuk bersama inti blueberi.

Bahan-bahan :
(A)
70 gm gula halus
6 biji putih telur A
1/4 sudu teh serbuk krim tartar
(B)
250 gm krim keju
50 gm mentega
6 biji kuning telur A
100 ml susu segar
1 sudu besar jus lemon @ 1/2 sudu teh pes lemon
70 gm gula halus
(C)
80 gm tepung superfine/kek

Cara Membuatnya:
1. Krim keju dipotong kecil dan masukkan ke dalam periuk kecil bersama mentega, gula dan susu. Cairkan secara double-boiler dan kacau hingga adunan menjadi likat. Masukkan kuning telur dan jus lemon. Kacau sebati.
2. Angkat dari api dan masukkan tepung. Pastikan adunan masih hangat.
3. Pukul putih telur, gula dan krim tartar hingga gebu dan kental. Apabila dicolek dengan jari,adunan masih berekor. Jangan terlalu keras kerana ia akan kering.
4. Alihkan adunan pes tepung ke dalam bekas lebih besar. Masukkan putih telur sedikit-sedikit dan gaul perlahan-lahan hingga sebati.
5. Sediakan tin pembakar bulat berukuran 9 inci atau 10 inci. Griskan dan lapik kertas serap minyak.
6. Tuangkan adunan dan bakar secara water-bath.Sediakan dulang lebih besar dan masukkan air 1/3 penuh. Letakkan tin kek atasnya. Masukkan dalam ketuhar yang telah dipanaskan kepada 170 darjah celcius.
7. Bakar selama 1- 11/2 jam hingga masak. Untuk menguji kek masak, cucuk dengan lidi. Jika masih melekit, bakar semula hingga masak

Karipap Mudah

Karipap ni akak buat semalam. Ianya mudah dan sesuai untuk dibuat jualan atau untuk makan sendiri. Lagi satu ia boleh difrozenkan. Susun karipap dalam bekas plastik atau tupperware tetapi setiap lapisan alas dengan plastik supaya tidak melekat. Masuk dalam peti dinginbeku dan tahan sebulan. Bila hendak digoreng, keluarkan satu jam sebelumnya agar ia lembut dan bolehlah digoreng. Apabila menggoreng karipap, api jangan kuat kerana kulit karipap akan jadi menggerutu atau menggelembung. Panaskan minyak secukupnya dan gorenglah dengan api perlahan. Untuk menjadikan bentuknya sama besar,bolehlah gunakan acuan karipap yang banyak dijual di pasaraya. Untuk satu adunan dibawah, boleh mendapat 45 biji karipap bersaiz sederhana.

Bahan-bahan doh:
600 gm tepung gandum
130 gm majerin
150 ml air
1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan inti :
7 biji kentang bersaiz sederhana, dipotong dadu kecil-kecil
100 gm daging cincang
1/2 biji bawang besar, dicincang
2 ulas bawang putih, dicincang
2 sudu besar serbuk kari
air secukupnya
garam dan perasa secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuat doh :
1. Air dan garam dilarutkan.
2. Gaulkan majerin ke dalam tepung hingga rata.
3. Tuangkan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh.
4. Uli sebentar hingga doh agak licin. Cubitkan doh sebesar bola ping-pong dan rehatkan doh 15 minit. Tutup bekas dengan plastik.
5. Canaikan doh dan masukkan inti. Kelim tepinya dan susun atas dulang. Buat begitu sehingga adunan habis.
6. Setelah siap, bolehlah digoreng. Selebihnya bolehlah disimpan di dalam peti sejuk.

Cara membuat inti :
1. Tumiskan bawang hingga kuning dan masukkan serbuk rempah kari.Masukkan daging dan biarkan ia empuk. Tambah sedikit air.
2. Masukkan kentang yang telah dipotong dadu. Tambahkan air dan biarkan ia masak perlahan-lahan.
3. Apabila air telah kering, masukkan garam dan perasa. Angkat apabila kentang telah empuk. Sejukkan sebelum digunakan.

Kek Lapis Cotton Cake

Bahan-bahan :
(A)
550 gm putih telur
350 gm gula kastor
(B)
15 biji kuning telur
3 biji telur (sebutir)
220 gm susu segar
1 sudu teh esen vanila
(C)
220 gm tepung gandum
180 gm mentega, dicairkan
(D)
1 sudu makan pes coklat (emulco coklat)
1 sudu teh pes mocca

Cara Membuatnya :
1. Sediakan dua loyang bulat berukuran 9 x9 inci. Griskan dan alas kertas serap minyak.
2. Satukan bahan A dan putar hingga kental (soft peak).
3. Panaskan susu segar, jangan sampai mendidih. Masukkan telur dan kuning telur juga esen vanila. Kacau rata dan angkat.
4. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum sekaligus. Kacau hingga jadi pes.
5. Satukan no.3 dan 4 dan gaul rata. Masukkan pula adunan putih telur sedikit demi sedikit hingga menjadi adunan yang ringan.
6. Bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian dibiarkan warna asal dan satu lagi dicampurkan pes coklat dan mocca.
7. Tuangkan dalam loyang dan bakar secara water-bath (steam bake) selama 45 minit pada suhu 180 darjah celcius. Setelah masak, sejukkan.
8. Letakkan warna coklat dibawah. Sapu serikaya atau jem. Letakkan lapisan kuning diatasnya.
9. Hidangkan.


Free Image Hosting at allyoucanupload.com

Sumber : ncc-Indonesia.com

Panduan Membuat Cotton Cake

Cotton Cake atau Kek Kapas masih agak baru di Malaysia tetapi di Indonesia ia sudah lama diperkenalkan. Cotton Cake adalah sejenis kek Taiwan dimana cara pembuatannya hampir serupa tetapi tidak sama dengan Chiffon Cake (Kek Sifon). Kek Sifon mengadunkan adunan pes dengan adunan putih telur tetapi cotton cake dibuat dengan adunan yang dimasak dan kemudian dicampurkan adunan putih telur seperti membuat Japanese Cotton Cheese Cake.

Apakah kunci kejayaan membuat cotton cake?

1. Putih telur dan gula hendaklah diputar hingga kembang dan kental tetapi tidak sampai kering. Ia dinamakan soft peak atau puncak lembut. Untuk mengujinya, colek sedikit dengan jari dan ia masih berekor. Gunakan kelajuan sederhana supaya tidak overbeat.

2. Jaga agar adunan cair (kuning telur, susu dan bahan lain) tetap hangat.

Apa akan jadi jika adunan putih telur terlalu kering?
Cotton cake akan mudah pecah permukaannya. Kedua, cotton cake akan mengembang dan naik dengan elok semasa dibakar tetapi mengempis apabila keluar dari oven.

Apa akan jadi jika adunan cair menjadi sejuk?
Apabila dicampurkan putih telur, adunan akan mencair dan tidak menjadi adunan yang gebu. Kek akan menjadi bantat. Untuk menjaga adunan cair tetap hangat, rendamkan bekasnya didalam air panas. Tekstur cotton cake adalah lembut dan halus tetapi lebih lembab dari kek sifon kerana dibakar secara water-bath (steam-bake).

Free Image Hosting at allyoucanupload.com

Sumber : ncc-Indonesia.com