Kursus Kek Cawan 28 Dis 2008


Hasil tangan peserta yg kreatif, kek cawan ditabur gula-gula aneka warna.


Masing-masing sibuk menghias kek cawan mereka


Sambil menghias, sempat juga posing tu.

Kursus ini adalah kursus terakhir untuk tahun 2008 ini. Seramai 18 orang peserta telah menghadiri kursus sehari ini. Kebanyakan peserta adalah beginners dalam pembuatan kek cawan ini tetapi dapat menghasilkan rekaan menarik mengikut kreativiti masing-masing. Teruskan usaha anda dan praktislah hingga mahir. Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430.

Kursus Kek Lapis 21 Dis 2008


Sebahagian peserta bergambar ramai. Maaflah jika ada yang tak masuk dalam gambar.


Sesi memotong kek untuk dibawa pulang.

Seramai 28 orang peserta telah mengikuti kursus membuat Kek Lapis Sarawak yang telah diadakan di Aniz Baking Centre, Tmn .Samudra, Batu Caves. Walaupun terpaksa bersesak sikit kerana penyertaan yang ramai, tetapi kelas berjaya juga dihabiskan pada pukul 5.00 ptg. Tahniah kepada para peserta yang hadir dan saya berharap anda semua akan mempraktikkan apa yg telah dipelajari pada hari tersebut.

Kek Lapis Sarawak

Baru-baru ini saya sekeluarga telah berkunjung ke Negeri Sarawak terutama di Bandaraya Kuching. Saya tidak melepaskan peluang untuk melawat perusahaan membuat kek lapis yang diusahakan oleh seorang pengusaha wanita bernama Dayang Salhah di PetraJaya, Kuching.Kek lapis beliau sudah terkenal dan banyak menghantar keknya ke Semenanjung. Oklah kita tengok gambar-gambarnya.



Kek Lapis Dayang Salhah beroperasi di rumahnya di Kpg.Gersik, Petra Jaya



Pelbagai jenis kek lapis dijamu kepada para pengunjung seperti Kek Lapis Evergreen, Tembikai dan lain-lain.


Para pengunjung sibuk memilih kek lapis yang dijual dengan harga RM10 untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.



Pelbagai jenis kek lapis di jual disini termasuk yang bercorak, tapi harganya mahal sikitlah dalam RM15-RM20 satu bekas.



Di kawasan tumpuan pelancong spt di Jalan Main Bazaar, turut dijual kek lapis dari pengusaha-pengusaha yang lain. Yang menariknya, boleh rasa dulu baru beli.



Inilah oven kek lapis yang digunakan oleh pengusaha kek lapis di Sarawak.Ia pakai gas tak gunakan elektrik. Satu oven boleh masuk 6 tray bersaiz 9 inci. Sesiapa yang berminat nak beli oven ni, bolehlah contact saya.




Mari pilih kek lapis, macam-macam rasa ada.

Selamat Hari Raya AidilAdha

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua Muslimin dan Muslimat sekelian. Kepada bekas-bekas anak murid saya, inilah masanya untuk tunjukkan skil yang telah dipelajari masa kelas hari tu. Macam-macam kek telah dipelajari dan buatlah satu biji untuk hidangan hari raya nanti.Akhirkata, semoga anda bergembira di samping keluarga dan salam mesra dari saya.

Jadual Kursus Januari 2009

ASAS MEMBUAT KEK
10/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara membuat Kek Mentega , Kek Span, Kek Sifon,
Kek Cawan dan Kek Buah-Buahan
-Jenis Kek : Kek Mentega Vanilla / Oren ,
Kek Marble , Kek Span CoklatKek Span Pandan, Kek Sifon Oren ,
Kek Sifon Kopi, Kek Cawan

MENGHIAS KEK DENGAN KRIM MENTEGA
(BUTTERCREAM) & KRIM SEGAR

11/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara menbancuh krim mentega & sirap gula
-Belajar pelbagai paten seperti bintang, daun, bunga, tulisan
dan krim segar.

KEK POPULAR
17/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari kaedah membuat kek popular
-Jenis Kek: Kek Tiramisu,
Kek Keju Dingin Blueberry, Kek Lapis Pandan,Kek Buah, Kek Black Forest,
Kek Coklat Lembap, Kek Mentega Oren,Kek Pelangi.

KEK CAWAN DAN MENGHIAS DENGAN
BUTTERCREAM DAN SUGARPASTE
18/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Membuat 4 jenis kek cawan seperti Kek Cip Coklat, Kek Cawan Oren dll.
-Membancuh krim mentega , membuat pes gula dan menghias
kek cawan .

TALAM DAN KUIH-MUIH KOMERSIL
24/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
Jenis-jenis kuih : Seri Muka, Talam Keladi, Talam Labu, Talam Seri
Pandan, Kuih Bakar Pandan, Apam Gula Hangus,Kole Kacang .


KEK LAPIS BAKAR DAN KUKUS (ASAS)
25/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kusus Hands-On RM150
-Mempelajari asas membuat kek lapis menggunakan kaedah
moden dan tradisional
-Jenis-jenis kek : Kek Lapis Asam Manis , Kek Lapis Kukus Keju,
Kek Lapis Zig-Zag, Kek Lapis Prun Berempah, Kek Lapis Horlicks

MAKANAN DINGIN BEKU (FROZEN FOOD)
31/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara mendinginbekukan makanan
-Jenis makanan: Karipap Pusing, Pau, Donat,Keria, Bom Bijan,
Cucur Badak, Apam Mekar dan Popia



Jadual Kursus bulan Januari 2009 dan seterusnya boleh diikuti di
http://www.anizbakingcentre.blogspot.com/

Jadual Disember 2008

Berikut adalah jadual bulan Disember 2008:

6 Disember - Kursus Kek Popular (sudah penuh)

21 Disember - Kursus Kek Lapis Sarawak - Cara membuat Kek Lapis Bercorak.
Kek Lapis Dam, Kek Lapis Roll, Kek Lapis Windmill dan Kek Permata.

28 Disember - Kek Cawan dan Menghiasnya dengan Buttercream . Kek Oren
Popi,KekSeri Pandan,Kek Cawan Cip Coklat,Kek Cawan Blueberi, Kek
Cawan Span Vanila.


Jadual kursus juga boleh dilayari di http://www.anizbakingcentre.blogspot.com/

Kursus 29 dan 30 Nov 2008


Amboi! Nak buat kuih ke nak posing?


Apa tunggu lagi, timbanglah tepung tu!



Sebahagian peserta bergambar ramai.

Alhamdulillah, kursus Kek Popular dan Kek /Kuih Tradisional pada 29 dan 30 Nov 2008 telah diadakan di Aniz Baking Centre, Taman Samudra. Sambutan sangat baik sekali namun ada yang tersesat pergi ke Akademi Bakeri Ria. Mujurlah tempat baru ini mudah dijumpai dan mereka dapat menyertainya. Pada 29 Nov, seramai 19 peserta telah menyertai kursus kek popular dan 15 peserta menyertai kursus kek/kuih tradisional. Tahniah atas kesungguhan anda mengikuti kursus dan saya berharap anda semua akan berjaya menghasilkan kek-kek yang enak nanti samada untuk berniaga atau makan sendiri.

Kursus 23 Nov ditunda ke 29 Nov. 2008

Ingin dimaklumkan bahawa kursus Kek Popular yang sepatutnya di adakan pada 23 November (Ahad) ditunda kepada 29 November (Sabtu) kerana Aniz Baking Centre belum siap sepenuhnya. Kepada para peserta yang telah mendaftar untuk kursus ini akan diberitahu melalui sms. Harap maklum.

Kursus Kek cawan 16 Nov.2008


Para peserta menghias kek cawan masing-masing.



Sebelum menghias, kena buat kek dulu.



Sebahagian kek cawan yang dihasilkan

Kursus Kek Cawan dan Menghias dengan Krim Mentega telah diadakan baru-baru ini. Para peserta yang datang dari Melaka, Seremban, Shah Alam dan sekitar KL telah menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam menghasilkan kek-kek cawan yang cantik dan menarik. Syabas diucapkan dan selamat maju jaya kepada anda semua.

Aniz Baking Centre Ditubuhkan









Aniz Baking Centre telah ditubuhkan bagi memenuhi permintaan anda yang berminat mempelajari pelbagai kemahiran membuat kek, biskut, roti, pastri, kuih-muih tempatan dan masakan komersil. Matlamat kami adalah untuk membimbing kaum wanita khasnya dan masyarakat amnya untuk menceburkan diri dalam industri pembuatan makanan halal sebagai perniagaan sambilan ataupun sepenuh masa. Golongan surirumah juga digalakkan menyertai kursus-kursus anjuran kami agar dapat menjalankan perniagaan kecil dari rumah bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Kursus-kursus kami juga sesuai buat kaum wanita yang gemar memasak untuk hidangan keluarga sahaja.

Bermula dengan kursus 23 hb. November, semua kursus-kursus masakan anjuran Puan Noraini Zakaria akan diadakan di premis baru kami di Anis Baking Centre, No.589 B, Jalan Samudra Utara 2, Taman Samudra, 68100 Batu Caves, Selangor (atas Kedai Kek Hidayah). Kedai ini terletak di tepi Lebuhraya MRR2 dan berdekatan dengan Pasar Besar Giant.

Kursus Kek Lapis 9 Nov 2008


Sebahagian peserta bergambar kenangan.

Seramai 19 orang peserta telah mengikuti kursus Kek Lapis Bakar dan Kukus (asas) yang telah diadakan di Akademi Bakeri Ria pada minggu yang lepas. Nampaknya para peserta telah menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam menghasilkan kek lapis yang cantik. Bagaimanapun kerana para peserta masih baru mempelajari pembuatan kek lapis, tentulah ada kekurangan disana-sini. Saya berharap anda semua mempraktikkan apa yang telah dipelajari dan tentunya kek lapis buatan anda akan bertambah baik dari masa ke semasa. Selamat maju jaya diucapkan kepada para peserta semua.

Kursus Bulan Disember 2008

Memandangkan sambutan yang sangat baik dari anda semua , satu lagi kelas tambahan akan diadakan pada bulan Disember iaitu Kursus Kek Popular dan Cara Menghiasnya pada 6 Disember (Sabtu). Kelas ini diadakan bagi memenuhi hasrat anda yang ingin membuat kek untuk Hari Raya AidilAdha nanti. Insyaallah, kursus bulan Disember akan diadakan di tempat yang lebih luas dan selesa. Tempatnya akan diberitahu kemudian. Bagi anda yang berminat, bolehlah menghubungi saya untuk booking tempat. Berikut jadual bulan Disember 2008.

6 Disember (Sabtu) - 7 jenis kek popular dan Cara Menghiasnya.
Black Forest Cake, Tiramisu Cheese Cake, Blueberry Chilled Cheese Cake, Pandan Layer Cake, Choc.Moist Cake, Orange Buttercake dan Pelangi Buttercake.

21 Disember (Ahad) - 5 jenis kek lapis Sarawak dan Roll Lapis. Belajar melapis , memotong dan menyusun kek lapis pelbagai corak.Kek Lapis Dam, Kek Lapis Roll Semarak, Kek Lapis Roll KIncir Angin,Kek Lapis Windmill dan Kek Lapis Permata.

28 Disember (Ahad) - Mempelajari 7 jenis kek cawan pelbagai perisa , cara membancuh krim mentega dan menghias kek cawan dengan krim mentega.Kek Cawan Marble, Kek Cawan Oren Popi, Kek Cawan Kismis Walnut, Kek Cawan Seri Pandan, Kek Cawan Pisang, Kek Cawan Bercoklat dan Kek Cawan Span Vanila.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya di tel no. 03-31675408/014-3247478.
Yuran RM150 untuk kursus hands-on sehari ini.Yuran dibayar pada hari kursus.

Demonstrasi Produk Puratos


Kek Coklat Ala Krismas dari Chef Oh Her Min


Chef Oh sedang menunjukkan demonstrasi membuat kek

Baru-baru ini saya menghadiri demonstrasi produk Puratos yang memperkenalkan tepung premix jenama Tegral Moist Chocolate Cake. Tepung premix adalah tepung campuran segera yang telah dicampur dengan gula, bahan penaik dan lain-lain. Pendekata tak payah timbang-timbang tepung lagi. Tapi harganya boleh tahan RM12.00 untuk 1 kg. Anda hanya perlu mencampur telur, minyak dan air sahaja. Demonstrasi disampaikan oleh Chef Oh Her Min. Tepung premix ini boleh didapati di kedai menjual bahan kek seperti Bagus Marketing Sdn.Bhd.
Dengan tepung ini, anda boleh membuat Kek Coklat,Kek Cawan dan Brownies Walnut.







Kursus Kek Cawan 2 November 2008


Bersungguh-sungguh para peserta menghias kek cawan mereka.


Design apa pulak yang nak dibuat ni.



Antara design yang diajar dalam kelas, simple tapi menarik, sesuai untuk beginnners.

Alhamdulillah, kursus Kek Cawan dan Cara Menghiasnya telahpun berlangsung dengan jayanya. Seramai 26 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Mereka telah diajar asas-asas membuat kek cawan, membancuh buttercream dan menghias kek cawan dengan aising ini. Walaupun ramai yang tidak mempunyai asas menghias kek, tetapi saya kagum dengan kesungguhan mereka menyiapkan tugasan yang diberikan. Nasihat saya kepada para peserta, praktikkan ilmu yang dipelajari itu supaya anda bertambah mahir. Jika percubaan pertama anda kurang berjaya atau kurang cantik, jangan cepat berputus asa. Cuba lagi hingga anda berpuas hati dengan hasil yang diperolehi.Jika ada yang hendak mendalami seni menghias kek dengan buttercream (krim mentega) bolehlah mengikuti kelas menghias kek pada tahun depan.

Beli Peralatan Bakeri

Ada pengunjung yang bertanya di mana nak beli peralatan bakeri seperti oven dan mixer. Sebelum menjawap, saya pula ingin bertanya adakah untuk kegunaan sendiri atau untuk bisnes. Kalau untuk kegunaan sendiri (rumahtangga) memadailah membeli oven elektrik seperti Europa, Zanussi dan lain-lain jenama seumpamanya .Harganya dalam lingkungan RM1000 atau lebih sikit. Ia mempunyai fungsi api atas dan bawah. Boleh membakar kek biasa, kek lapis, roti dan biskut. Untuk beginners, eloklah oven jenis ini. Saya sendiripun gunakan oven jenis ini kerana saya bukannya buat bisnes dan buat kek hari-hari. Untuk membakar biskut, saya lebih suka gunakan oven dapur gas. Lebih jimat . Pengadun atau mixer pula ada yang berharga dari RM1000 - RM2000. Pengadun dan oven ini ada dijual di kedai-kedai elektrik. Di JUSCO saya tengok banyak jenama Kenwood dijual disana. Bolehlah pergi survey harga.

Untuk bisnes , eloklah dapatkan peralatan yang lebih komersil kerana ia heavy -duty, tahan lasak.Boleh layari www.yellowpages.com.my dan cari dibawah tajuk Bakers Supply atau Bakers Equipment. Antara syarikatnya ialah Solid Cool Marketing Sdn.Bhd, Bandar Puteri Puchong Tel: 03-80618080 dan CKE Marketing Sdn.Bhd tel: 03-92823333 (Cheras)/ 03- 40228632(Setapak).

Bolehkah Jadi Pandai?

Sering juga saya menerima pertanyaan dari pengunjung blog atau peserta kursus"Bolehkah jadi pandai buat kek bila datang kursus?" Susah juga saya nak menjawapnya kerana perkara ini begitu subjektif. Selalunya orang-orang yang bertanya begini tidak ada keyakinan dalam dirinya tentang apa yang dilakukannya. Datang kursus kerana ikut kawan, emak /suami yang suruh atau tak berminat tapi terpaksa.. Jarang pertanyaan ini datang dari orang-orang yang memang menunjukkan kesungguhan untuk belajar.Pendek cerita, belajar dalam apa bidangpun asalkan bermanfaat kepada kehidupan di dunia mahupun akhirat adalah dituntut oleh agama Islam. Besar pahalanya menuntut ilmu dan besar pahalanya untuk orang yang mengajarkan ilmu itu.Menjadi tuntutan fardu kifayah kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu-ilmu yang boleh membantu meningkatkan ekonomi umat Islam sendiri. Kalau kita tengok kedai-kedai bakeri di bandar-bandar atau dimana saja, berapa peratuskah bilangannya yang dipunyai oleh orang Islam? 5 peratuspun tak ada!Lebih 95 % dipunyai oleh orang bukan Islam. Adakah terjamin makanan seperti roti atau kek yang dijual itu ditanggung halal? Tentu saja tidak. Dari maklumat yang saya terima dari beberapa orang chef, pengusaha bukan Islam sering meletakkan wain dalam kek supaya tahan lama, jadi apa tindakan kita? Buat tak tahu saja dan terus membelinya atau membuat sesuatu tindakan yang boleh menyelamatkan umat Islam amnya dan kaum keluarga kita khasnya, dari terjebak ke dalam amalan subahat memakan benda yang haram?

Tepuk dada tanya iman!.Memanglah tak semua orang boleh berniaga dan mempunyai modal yang cukup tetapi anda boleh mempraktikkan ilmu yang dipelajari itu untuk makanan anak-anak dan ahli keluarga. Sekurang-kurangnya anda dapat menjimatkan wang membeli kek yang belum tentu halalnya yang kini mencecah RM55 - RM75 untuk sekilo kek saja. Kalau anda berminat berniaga untuk menambah pendapatan keluarga,bolehlah membuatnya secara kecil-kecilan di rumah. Bila ada modal dan ilmu yang cukup bolehlah buka kedai pulak.

Dari pengalaman saya sendiri,walaupun saya tak menpelajari ilmu baking ini semasa belajar di universiti, tetapi kerana minat dan kerana kewajipan fardu kifayah, saya berhabis beribu ringgit untuk mempelajari pelbagai ilmu pembuatan kek ini dari pelbagai institusi dan chef-chef yang terkenal. Dan satu hal yang sangat penting ialah mempraktikkan apa yang dipelajari. Jangan anggap tugas anda selesai apabila menghadiri kursus. Ia tidak berhenti di situ saja,praktikkan apa yang dipelajari. Balik rumah buat kek yang dipelajari, jangan simpan saja resipi itu dalam almari.Dengan membuatnya anda akan dapat pengalaman dan mempelajari teknik yang betul. Tugas seorang pengajar/baking instructor adalah menunjukkan cara yang betul bagaimana cara membuat sesuatu produk itu tetapi untuk menjadikan anda pandai membuat kek/roti/biskut dll terpulang kepada tangan anda sendiri. Banyak kali anda membuat praktis, semakin anda mahir (pandai). Kalau tak membuat praktis, anda setakad tahu saja tetapi tidak pandai.Bak kata orang putih,"Practice Make Perfect".

Jangan anggap belajar ilmu ni membuang duit dan membuang masa saja. Mungkin hari ini langit kelihatan cerah, tetapi esok lusa belum tentu.Takdir kita tak siapa yang tahu kecuali Allah SWT.
Bila berlaku kematian suami/ahli keluarga atau perceraian, dah menggelabah tak tahu bagaimana nak mencari rezeki.Bak kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan. Ilmu yang dipelajari itu takkan hilang selagi mana kita mempraktikkannya.

Tahniah kepada anda yang sudah mengambil keputusan untuk menyertai kursus. Bagi yang belum bercadang atau masih ragu-ragu atau tak yakin, fikir-fikirkanlah.Kita semua dikurniakan akal untuk berfikir. Insyaallah sebagai pengajar, saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada anda. Dan saya merasa sangat seronok apabila ramai bekas-bekas pelajar saya yang menalifon dan memberitahu sudah mendapat banyak order untuk kek dan biskut untuk hari raya yang lepas. Semoga anda semua akan terus berjaya melaksanakan kewajipan fardu kifayah.
Bukan untuk saya, tetapi sebagai bekalan anda di akhirat kelak.

KURSUS

Assalamualaikum dan bersua lagi di halaman Resipinoraini. Dah lama juga tak posting ni kerana tak ada apa-apa perkembangan yang baru. Tentang kursus, alhamdulillah sambutan sangat baik sekali. Kursus 2 Nov,16 Nov dan 23 Nov sudah penuh kerana hampir 30 peserta. Kebiasaannya, tidak semua yang datang.Ada 4-5 orang yang tak hadir kerana pelbagai alasan.Tak apalah itu hak masing-masing. Hanya kursus bulan Disember aje yang masih banyak kosong. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya untuk booking. Sekiranya anda tidak dapat menghadiri kursus pada tahun ini, tahun depan ada lagi kursus.Ramai yang bertanya tak adakah kursus buat biskut?Alahai, kita baru saja habis raya. Relaklah dulu. Insyallah tahun depan akan dibuat.Sabarlah ye.
Baru-baru ini saya pulak pergi berkursus, buat donat yang sedap dan ada inti dengan Chef Daniel dan membuat nasi ayam Hainan dengan Chef Li. Insyaallah bila saya dah mahir nanti, bolehlah saya ajarkan pula kepada anda semua.

Perkembangan Terbaru Tentang Kursus

Kursus pada 2 November iaitu Kek Cawan dan Cara Menghiasnya telah penuh (25 peserta)sedangkan masih ramai yang menalifon untuk menyertainya. Oleh itu saya telah membatalkan kursus Aneka Muffin pada 16 November kerana kekurangan peserta. Tarikh tersebut telah digantikan dengan kursus Kek Cawan dan Cara Menghiasnya. Jadual baru ialah :

2 November - Kek Cawan dan Cara Menghiasnya (telah penuh)
16 November - Kek Cawan dan Cara Menghiasnya (masih ada kosong)
Kursus-kursus lain masih tetap pada tarikh yang sama.

Jadual Kursus Bulan November dan Disember 2008

Kepada anda yang berminat untuk mengikuti kursus -kursus anjuran saya, bolehlah menghubungi saya di talian 03-31675408 , h/p : 014-3247478 atau emel ke: ani_zakaria @yahoo.com.my Tempat kursus adalah di Akademi Bakeri Ria, No.27, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor (tidak jauh dari Zoo Negara). Kursus bermula pukul 10.00 pg hingga 5 petang dan kelas secara praktikal. Yuran RM150 dibayar pada hari kursus. Anda tidak perlu membawa barang kerana semua disediakan oleh pihak kami.

JADUAL KURSUS

2 November - Kek Cawan dan Menghias Dengan Buttercream
Kek Cawan Oren Popi, Kek Cawan Cip Coklat, Kek Cawan Seri Pandan, Kek Cawan Blueberi, Kek Cawan Marble. Cara Membuat krim mentega (buttercream) dan menghias kek cawan.
Nota : Jika anda ada nozzle sendiri, sila bawa ke kelas.

9 November - Kek Lapis Cara Bakar dan Kukus
Kek Lapis Asam Manis (kukus), Kek Lapis Prun Harmoni (kukus), Kek Lapis Aranza, Kek Lapis Strawberi Chip dan Kek Lapis Ceria.

16 November - Aneka Muffin.
Rich Chocolate Muffin, Cheddar Cheese Muffin, Banana Muffin, Corn Pandan Muffin, Carrot Muffin dan Bluebery Flavour Muffin.

23 November - Kek Popular dan Cara Menghiasnya.
Kek Pelangi (Buttercake), Pandan Layer Cake, Blueberry Chilled Cheese Cake, Black Forest Cake, Tiramisu Cake dan Choc.Moist Cake.

30 November - Kek dan Kuih Tradisional
Kek Gula Hangus, Kek Buah Kukus, Bahulu Cermai,Bahulu Mocha Cip, Bahulu Lapis, Kuih Bakar Pandan.

21 Disember - Kek Lapis Bercorak/Lapis Sarawak
Kek Lapis Dam, Kek Lapis Roll Semarak, Kek Lapis Roll Gurindam,Kek Lapis Kincir Angin, Kek Lapis Permata Hati.

28 Disember - Kek Cawan dan Menghiasnya dengan Buttercream
(Resipi sama seperti 2 Nov)

Menyambut Hariraya Aidilfitri


Kak Ani sekeluarga bersama ibu mertua, Hjh .Sopiah.


Anak dan menantu perempuan Hjh.Sopiah.


Cucu-cucu lelaki Hjh.Sopiah.


Hjh.Sopiah bersama anak-anaknya.




Alhamdulillah, kita selamat menyambut Aidilfitri pada tahun ini. Apabila seluruh ahli keluarga berkumpul memang meriah suasana hari raya. Yang pentingnya, kita saling bermaaf-maafan dan mengeratkan tali silaturrahim.

Seni Membuat Ketupat


Menganyam ketupat pun ada caranya.


Kelongsong yang telah siap.


Beras yang telah dibasuh diisi dalam kelongsong ketupat


Ketupat yang telah siap sedia untuk direbus.

Ketupat memang sinonim dengan hari raya Aidilfitri atau Aidiladha. Di kawasan bandar ramai yang tidak membuat ketupat lagi dan digantikan dengan ketupat segera dalam plastik. Tapi kalau dikampung ketupat memang menjadi hidangan istimewa di pagi raya. Di kampung mertua saya di Muar, Johor mereka menganyam sendiri kelongsong ketupat sehingga beratus biji. Maklumlah kaum keluarga ramai. Saya memang tak pandai menganyam ketupat tapi melihat saja mereka membuatnya. Rupanya menganyam ketupat inipun ada seninya juga. Bukan senang membuatnya.Kalau tak tahu memang tak menjadi bentuknya.Menurut ibu mertua saya, Hjh Sopiah membuat ketupat ini juga ada petuanya, bukan main buat saja. Antara petuanya ialah ,beras diisi kurang dari separuh kelongsong.Kalau isi lebih nanti ketupatnya keras. Merebus pula mengambil masa sehingga 4 jam supaya ketupat betul-betul lembut dan kembang. Lagi satu jangan gunakan beras wangi atau beras siam kerana ketupatnya akan lembik.Gunakan beras tempatan untuk membuat ketupat.Setelah ketupat masak, gantungkan ia supaya tus airnya. Ketupat tahan 2-3 hari jika tidak terlalu lembik.




Selamat Hari Raya Aidilfitri

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI , MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA ANDA SEMUA. Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya dan saya sekeluarga akan pulang ke kampung suami di Muar,Johor pada hari ini hingga hari raya kedua. Kemudian kami akan beraya pula di Selayang Baru iaitu rumah ibu-bapa saya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun jari memohon kemaafan dari anda semua seandainya ada tersilap kata atau terkasar bahasa samada didalam kelas-kelas yang dianjurkan ataupun didalam blog ini. Kita hanya manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Harap maafkan saya.

Selama seminggu ini,tidak dapatlah saya menjawap pertanyaan didalam blog ataupun emel. Harap kita dapat berhubungan semula pada minggu hadapan. Kepada anda semua yang akan pulang ke kampung masing-masing, diharapkan akan tiba dengan selamat dan moga anda bergembira menyambut hari raya bersama sanak saudara .

Salam Ikhlas dari,

Noraini Zakaria dan keluarga

Buku Kompilasi Hidangan Kek Dah Terbit


Buku Kompilasi Hidangan Kek



Antara resipi yang terdapat didalamnya.



Alhamdulillah, buku saya yang kedua iaitu Kompilasi Hidangan Kek telahpun berada di pasaran. Dalam buku ini mengandungi 60 jenis pelbagai kek seperti kek mentega, kek span, sifon, bahulu dan sebagainya. Saya ingin memberi jaminan bahawa semua resipi yang disediakan didalam buku ini telahpun diuji dan berjaya. Jadi anda tidak perlu ragu-ragu untuk mencuba resipi-resipi ini. Bagaimanapun, kerana penggunaan bahan yang berlainan, pengalaman , skil dan teknik yang berbeza antara saya dan anda, mungkin akan didapati hasilnya sedikit berbeza dengan kek yang seperti dalam gambar tetapi ianya bukanlah menjadi masalah yang besar. Yang pentingnya, kek itu menjadi.Mungkin anda boleh menghasilkan kek-kek yang lebih baik dari saya, siapa tahu. Untuk menghasilkan kek-kek yang enak dan cantik rupanya perlukan banyak praktis.Banyak kali anda buat, hasilnya akan menjadi lebih sempurna.


Buku ini hanya berharga RM7.00 dan boleh didapati di kedai-kedai buku dan majalah seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Akhirkata, Selamat Mencuba diucapkan kepada anda semua.
Sekiranya ada kemusykilan, bolehlah emelkan sebarang soalan kepada ani_zakaria@yahoo.com.my

Biskut Menggunakan Minyak Sapi

Alhamdulillah, puasa kita dah masuk minggu ke tiga. Seminggu lagi kita akan berhari raya. Bagaimana dengan persiapan anda semua? Bagi saya dan keluarga persiapan adalah secara sederhana sahaja. Okaylah, hari ini nak bercerita tentang biskut yang menggunakan minyak sapi atau ghee.Ada banyak jenis jenama di pasaran seperti QBB, Windmill dan lain-lain. Tapi saya lebih suka gunakan QBB . Sekarang harga minyak sapi boleh tahan mahalnya. 500 gm harganya RM14 lebih. Itu sebab ada pengusaha biskut yang mencampurkan minyak masak dengan minyak sapi untuk membuat biskut makmur.Nak jimatkan kos agaknya.

Apa bezanya biskut makmur, arab dan suji? Pada pendapat saya nama saja yang berlainan tetapi rasanya lebih kurang sama. Kalau biskut makmur, saya letakkan inti kacang didalamnya dan biskut arab atau suji tiada inti kerana dohnya telah manis. Biskut makmur dilumurkan dengan gula kastor supaya rasanya manis.


BISKUT MAKMUR

Bahan-bahan :

200 gm minyak sapi
400 gm tepung gandum
1/2 cawan kacang tanah , digoreng kering dan tumbuk
1 cawan gula kastor
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya :

1. Minyak sapi digaulkan dengan tepung gandum hingga menjadi doh yang lembut. Jika agak lembik, tambah lagi tepung.Jika kering tambah minyak sapi lagi.
2. Ambil sedikit doh dan bulatkan.Leperkan dan isi inti kacang kedalamnya.
3. Susun atas dulang dan bakar hingga masak.Sejukkan
4. Apabila biskut telah sejuk, golekkan dengan gula kastor
5. Masukkan dalam cawan kertas dan simpan dalam bekas.


BISKUT SUJI
(Sumber : Majalah RASA)

Bahan-bahan :

250 gm minyak sapi
150 gm gula aising
150 gm tepung suji
300 gm tepung gandum
30 gm susu tepung
secubit garam
ceri merah - untuk hiasan
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya :

1. Pukul gula dan minyak sapi hingga kembang.
2. Masukkan garam, tepung suji, tepung gandum dan tepung susu.
3. Adunkan hingga jadi doh yang lembut. Rehatkan 15 minit.
4. Bulatkan dan masukkan dalam mangkuk kertas. Hiaskan dengan ceri yang telah dihiris kecil.
5. Bakar selama 20 minit hingga masak.

Mencuba Biskut Baru








Kalau tahun lepas tak ada masa nak cuba biskut baru, alhamdulillah tahun ini saya berpeluang untuk mencuba dan mencipta biskut-biskut baru yang akan diajar dalam kelas biskut tahun depan dan juga untuk buku baru saya. Biskut-biskut ini gerenti sedap dan rupanya juga sangat menarik dengan hiasan-hiasan terkini. Nak buat biskut ni bukan saja rasanya perlu sedap tetapi yang penting rupanya perlu menarik perhatian orangramai untuk membelinya. Apa yang saya perhatikan dalam majalah dan gerai-gerai menjual biskut raya, hiasan-hiasan dari coklat menjadi trend masa kini. Ada yang dihias dengan coklat biasa, coklat putih, coklat perisa strawberi, coklat perisa oren dan lain-lain. Pendekata, kita perlulah kreatif untuk menghasilkan biskut-biskut yang unik. Memanglah menghias dengan coklat ni agak remeh dan mengambil masa, tapi yang penting kepuasan.Walaupun penat membuat biskut, tapi melihat hasilnya kita akan tersenyum puas.

Sibuk Buat Biskut Raya

Selamat Berpuasa kepada para pembaca semua. Saya berharap anda semua sihat wallafiat menjalani ibadah berpuasa. Dah start ke dengan projek biskut raya? Saya rasa ramai yang dah mulakan terutama yang ambil tempahan biskut. Bagi pihak saya, tempahan dari kawan-kawan dan saudara-mara dah saya siapkan. Kini saya menyiapkan 30 resipi biskut untuk buku terbaru saya " Aneka Biskut". Sebanyak 15 resipi baru dan lama telah saya siapkan dan 15 lagi akan disiapkan sepanjang minggu depan. Minggu keempat saya akan sibuk buat kek pula, untuk makan sendiri dan dibawa ke kampung saya dan kampung suami. Ada juga yang telefon untuk menempah kek lapis tetapi minta maaf banyak-banyak, saya tak ambil tempahan kek.
Seronok juga mencuba pelbagai jenis biskut baru dan lama, resipi dari emak saya dulu seperti biskut semperit, biskut bangkit kelapa, bangkit asli dapat saya mencubanya tahun ini.Biskut-biskut ini memang jadi kegemaran saya kecil-kecil dulu.Tahun-tahun lepas takada peluang nak cuba kerana sibuk dengan tempahan orangramai yang sampai berpuluh ribu.Tahun ni, saya relaks sikit maka dapatlah mencubanya. Tapi masalahnya, resipi orang lama ni semua pakai cawan dan majerin ikut basah. Terpaksalah saya adjust supaya resipinya dalam sukatan gram. Beberapa perkara yang menarik tentang cara pembuatan biskut cara tradisonal ini ialah :
1. Menggunakan majerin Planta
2. Pukul majerin dengan senduk dalam besen
3. Majerin dipukul berasingan dari gula
4. Banyak gunakan kuning telur
5. Bakar guna oven Butterfly dan dapur minyak tanah
6. Banyak gunakan tepung ubikayu (tapioca flour)
7. Tiada sukatan tertentu untuk majerin kerana ikut basah
8. Tepung dan gula dijemur atau tepung digoreng kering(sangai)
Saya sangat tertarik untuk mengetahui kenapa orang dulu menjemur tepung dan gula. Apabila ditanya kepada emak saya, jawapnya supaya tepung itu ringan dan tahan lama. Tidak secara langsung biskutpun akan menjadi lebih ringan dan tahan lebih lama. Setelah difikir-fikir, betul juga cakapnya tu, biskut yang emak buat memang rangup dan sedap walaupun guna majerin. Tapi praktikalkah kalau kita mengamalkannya sekarang? Saya sendiripun tak pernah jemur tepung, lagipun alam sekitar kita dah penuh dengan asap dan debu, dah tak bersih lagi. Kalau duduk apartmen atau flat, mana nak jemur. Senang cerita tak payah buat. Beli saja tepung biskut dan guna empleks, pasti rangup biskut kita. Pendek cerita, ada petua orang lama yang boleh kita amalkan dan ada juga yang tak praktikal lagi.Kena adjust dengan kehidupan moden hari ini. Hingga bersua lagi.

Kursus bulan Disember

Ramai sungguh yang bertanya tentang kursus akan datang. Saya telahpun merancang beberapa kursus pada bulan Disember dan Januari. Tetapi tarikhnya belumlah diputuskan lagi kerana masih jauh lagi. Saya akan memasukkan jadual kursus tersebut selepas raya nanti (Oktober). Secara umumnya kursus-kursus yang akan diajar ialah :

1. Hiasan kek dengan Buttercream (Asas)
Anda akan mempelajari cara membuat krim mentega.Teknik membalut krim pada kek, paten-paten seperti star,basketweave, membuat tulisan,bunga-bunga, daun dan lain-lain hiasan atas kek. Kursus secara praktikal dan anda akan membawa pulang kek yang telah anda hiaskan.

2. Hiasan kek (Lanjutan)
Mempelajari hiasan kek dari coklat, krim segar dan juga butercream. Membuat hiasan kartun atas kek. Menghasilkan kek seperti Kek Choc.Fudge, Black Forest dan lain-lain.

3. Hiasan Kek dengan Fondant (Sugarpaste)
Mempelajari cara membancuh fondan, membalut dan menghias kek fondant.

4. Kek Komersil
Cara-cara membuat kek mentega seperti Kek Oren, Marble, Pelangi dan lain-lain kek mentega. Turut mmepalajari cara-cara membuat kek span seperti span pandan, kopi dll.

5. Kek Lapis
Terbahagi kepada 2 jenis iaitu Kek Lapis Asas dan Kek Lapis Bercorak.Mempelajari teknik-teknik membuat kek lapis tradisonal dan juga kek lapis bercorak Sarawak.

6. Roti Ban Manis dan Donat
Mempelajari kaedah membuat roti ban manis seperti Mexico Bun, Potato Ban, Sausage Bun dll.

7. Pastri- Croisant, Puff Pastry, Danish
Mempelajari teknik -teknik membuat dan menghasilkan pastri -pastri yang enak ini.

8. Kuih-Muih Komersil
Mempelajari kuih-muih seperti pelbagai jenis talam, apam, kuih bakar dan lain-lain.

9. Frozen Food
Mempelajari cara-cara membuat kuih-muih, roti atau pastry yang boleh difrozenkan untuk tujuan komersil.

10. Aneka masakan seperti, Western Food,Nasi Briyani, Nasi Ayam dan lain-lain.
Mempelajari cara-cara yang betul menyediakan masakan-masakan ini samada untuk hidangan keluarga atau untuk komersil.

11. Kek Cawan dan Cara Menghiasnya
12. Aneka Kek Kukus
13. Aneka Muffin

Semua kursus adalah kursus praktikal 1 hari (10 - 5 ptg). Semua bahan disediakan. Yuran adalah RM150 . Nota dan sijil disediakan. Anda boleh menghubungi saya di tel: 03-31675408 atau 014-3247478 atau emel ke ani_zakaria@yahoo.com.my

Membuat Biskut Raya

Tentu ramai kaum ibu dan peniaga-peniaga biskut yang sedang sibuk menyediakan pelbagai jenis biskut yang ditempah pelanggan ataupun untuk hidangan keluarga dan tetamu di hari raya nanti. Saya sendiripun sudah mula membuat biskut yang ditempah oleh kawan-kawan dan juga biskut-biskut baru untuk buku saya yang akan datang. Ternyata semua barang dah naik harga, jadi pandai-pandailah meletakkan harga.Jangan sampai rugi sudahlah. Kalau boleh biarlah lebih murah dari harga pasaran supaya boleh menarik ramai pelanggan.

10 Tip Membuat Biskut

1. Gunakan bahan-bahan mentah yang terbaik supaya mendapat produk yang bagus. Umpamanya gunakan tepung biskut seperti Red Rose dan lain-lain. Jika sukar didapati, boleh gunakan tepung gandum biasa.

2. Jika menggunakan kekacang dalam adunan biskut, ia hendaklah dibakar dahulu.

3. Jika mencairkan coklat masakan, hati-hati jangan dimasuki air kerana akan menyebabkan coklat lambat set (beku).

4. Mentega hendaklah dilembutkan supaya mudah dipukul bersama gula.

5. Panaskan ketuhar 15 minit sebelum membakar biskut. Bakar biskut pada suhu 180 darjah celcius selama lebih kurang 20 minit.

6. Tepung dimasukkan akhir sekali dan gaul dengan tangan hingga menjadi doh lembut dan basah.

7. Jika lembik tambah sedikit tepung lagi dan simpan petisejuk 20 minit.

8. Jika doh kering dan berderai, maknanya ia kekurangan mentega. Putar sedikit majerin dan gaul dengan doh tadi hingga cukup basah.

9. Simpan doh dalam beg plastik supaya tidak kering.

10.Sejukkan biskut terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas plastik (container)

Ramadan Bulan Keberkatan

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.Dalam melaksanakan ibadah puasa, seseorang itu hendaklah berusaha untuk melakukan yang terbaik. Bagi menyempurnakannya, maka kita perlu meneladani tatacara puasa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. antaranya seperti :
1. Berniat
2. Bersahur
3. Imsak (menahan diri ketika hampir tamatnya waktu sahur sebagai langkah berjaga-jaga)
4. Mempercepatkan berbuka puasa apabila tiba waktunya.
5. Memperbanyak membaca al-Quran
6. Memperbanyak sedekah
7. Membayar zakat fitrah

Sumber : Ustaz Azhar Yahya

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Alhamdulillah, kita telahpun memasuki hari pertama bulan Ramadan. Seronok rasanya dah melangkah ke bulan Ramadan. Bukannya apa, seronok berpuasa, seronok nak beraya dan berkumpul saudara-mara .Juga seronok nak buat biskut raya dan kek-kek yang sedap untuk santapan keluarga di pagi raya nanti.Seronok punya seronok, jangan lupa tingkatkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.Akhirkata, Selamat Menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada anda semua.

Pertanyaan di CBox

Assalamualaikum dan bersua kembali kepada para pengunjung ResipiNoraini. Beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadan AlMubarak. Jadi para peniaga biskut dan kek raya pun sebuklah membuat persediaan seperti membeli barang dan membuat sample.Termasuk jugalah saya. Tahun ini saya tak ambil banyak tempahan cuma saudara-mara , kawan-kawan dan jiran-jiran sahaja. Disamping menyiapkan tempahan, saya juga akan membuat biskut-biskut baru yang akan diajar dalam kelas biskut tahun depan juga untuk buku terbaru saya "Biskut Perayaan" yang akan muncul pada tahun depan.
Saya menerima banyak sekali pertanyaan dalam CBox , emel , mesej dan panggilan telefon yang bertanyakan tentang pelbagai perkara mengenai pembuatan kek dan biskut. Maklumlah, masing-masing sebuk nak buat kek dan biskut raya.Kadang-kadang tu, soalan yang sama tetapi ditanya oleh orang lain pula. Jenuh juga nak menjawabnya satu-satu.Disini saya turunkan beberapa soalan anda agar dapat dikongsi bersama pembaca lain.
1. Mengenai Oven (Ketuhar)
Kalau nak beli oven kenalah survey di kedai-kedai elektrik atau pasaraya besar seperti Jusco dan lain-lain. Banyak dijual pelbagai model.Saya hanya boleh cadangkan Europa kerana saya menggunakan oven ini. Cari jenis Jetcook System. Harganya dalam RM1000.Oven ini mempunyai mode api atas dan bawah. Sesuai untuk kek biasa, kek lapis , biskut dan pastri. Kalau untuk kek lapis, boleh guna oven elektrik yang kecil jenama Pensonic, Butterfly dan sebagainya.Harganya dalam RM200 - 400. Yang penting mesti ada api atas dan bawah. Jangan beli microwave oven kerana tak sesuai .
2. Kenapa Kek Lapis Kering
Kek kering ada banyak faktor.Antaranya oven terlalu panas, masa bakar terlalu lama, cara simpan tak betul atau guna telur yang kecil, jadi kurang cecair dalam adunan. Jika kek cepat hangus, kurangkan suhunya atau jangan bakar terlalu lama.Suhu yang saya gunakan antara 150 - 180 C bergantung kepada jenis oven. Dalam buku kek lapis saya, gunakan telur saiz A. Selepas kek sejuk, balut dengan kertas aluminium atau plastik wrap dan simpan peti sejuk semalaman. Esoknya keluarkan pada suhu bilik beberapa jam supaya lembut. Bila ia diperap,ia akan keluar minyak dan jadikan kek lebih lembut. Masa baru masak memang kering kerana masih panas.Jika kek masih kering, kurangkan tepung dan tambahkan susu pekat manis dalam resipi anda.
3. Pasal handmixer
Hand mixer adalah pengadun yang kecil dan powernya juga kecil. Jika buat kek atau biskut guna creaming method tiada masalah, tapi jika buat kek span atau kek lapis moden guna foaming method, ada masalah sikit kerana ia kurang power untuk memukul telur sehingga betul-betul kembang. Anda boleh buat separuh adunan atau pukul lebih lama hingga ia cukup kembang.Jika jadi alhamdulillah, tapi kalau tak jadi juga belilah mixer yang besar sikit.
4. Harga Biskut
Harga biskut tahun ni tentu naik dari harga tahun lepas. Kalau tahun lepas di pasaran jual rm20 untuk satu bekas (50 biji) tahun ini mungkin rm22 keatas. Tapi harga saya lebih murah dari itu. Saya jual rm18 untuk satu bekas.Kalau adik-beradik dan saudara-mara lagi murah. Semua biskut saya letak sama harga, senang cerita. Terpulang kepada anda untuk letakkan harga. Yang penting, lebih murah dari harga pasaran.
5. Nak Dapatkan Barang Murah
Saya tinggal di Klang dan saya nak beritahu tentang sebuah kedai yang jual barang-barang buat kek /biskut yang lebih murah dari kedai-kedai lain. Badam biji 1 kg -rm22.30,kedai lain rm25.00. Bekas kuih 1 kotak(24)- rm24.00 (kedai lain rm32) dan banyak lagi barang yang murah. Nama kedai TWO PLY SDN. BHD terletak di Jalan Meru ,Klang berdekatan Pasar Besar Klang. Tel : 03-33444222.
Nampaknya sampai setakad ini dulu kita berbicara. Lain kali sambung lagi.Bye.

Kursus Terakhir Biskut Raya - 24 Ogos 2008


Sebahagian peserta bersama biskut yang dihasilkan.

Kursus terakhir biskut raya telah diadakan semalam.Seramai 27 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Peserta yang datang dari pelbagai tempat seperti Kedah, Melaka dan sebagainya, menunjukkan kesungguhan masing-masing mempelajari kaedah membuat biskut ini. Saya berharap anda semua akan berjaya menghasilkan biskut-biskut yang enak untuk hari raya nanti.

Kursus Seterusnya.

Ramai yang bertanya tentang kursus seterusnya selepas ini. Yang pastinya, bulan September, Oktober dan November saya tidak mengadakan sebarang kursus. Insyallah bulan Disember dan seterusnya tahun depan akan ada kursus lagi. Pelbagai kursus baru akan diperkenalkan seperti Hiasan Kek (Cake Decoration) dari Krim Mentega, Coklat, Krim Segar dan Fondant. Kita juga akan turut memperkenalkan kursus roti, pastri, kek cawan, kuih-muih,frozen food, kek komersil dan lain-lain. Jadual kursus akan dimasukkan pada bulan November nanti. Harap anda semua dapat mengikuti info di blog ini.

Fungsi Bahan Membuat Kek


Terdapat beberapa jenis bahan asas yang sering digunakan dalam pembuatan kek.Bahan-bahan tersebut ialah tepung gandum, gula, lemak dan telur. Apakah fungsi bahan-bahan ini? Setiap satunya memainkan peranan penting untuk menghasilkan sebiji kek yang enak dan menyelerakan.
1. Tepung gandum - Dalam pembuatan kek, tepung yang sering digunakan adalah tepung protin rendah (low protein) seperti tepung kek, tepung superfine, Red Rose dan sebagainya. Anda boleh gunakan tepung gandum biasa(serbaguna/protin sederhana) tetapi teksturnya lebih kasar berbanding jika menggunakan tepung protin rendah yang menjadikan kek lebih halus.Tepung gandum berfungsi sebagai agen penyerap cecair dari telur/air dan membentuk struktur yang kukuh buat kek itu. Tanpa tepung yang cukup, kek menjadi lembik seperti puding.

2. Gula - Gula berfungsi memberikan rasa manis dan melembutkan adunan.Ada sesetengah kek yang mempunyai kandungan gula yang tinggi agar menjadi pengawet semulajadi supaya kek tahan lebih lama, contohnya kek buah. Dalam kek mentega, gula dicampur dengan mentega dan dipukul hingga kembang dan gebu.Gula ini membantu lemak memerangkap sel-sel udara yang penting untuk menaikkan adunan kek nanti. Dalam kek yang menggunakan kaedah membuih (foaming method) seperti membuat kek span, gula membantu menstabilkan buih-buih telur supaya mudah digaul dengan bahan-bahan lain seperti tepung gandum.

3. Lemak - Dalam pembuatan kek, lemak yang digunakan adalah seperti mentega atau majerin. Lemak berfungsi melembut dan melincirkan glutin dalam tepung dan menjadikan kek lembut dan halus. Dalam kek mentega, lemak yang digunakan adalah dalam bentuk pepejal seperti mentega atau majerin. Untuk mendapatkan kek yang lebih sedap, mentega adalah dicadangkan tetapi kebanyakan pengusaha bakeri mencampurkan mentega dan majerin untuk menjimatkan kos dan volume yang lebih baik bagi kek tersebut.Lemak ini dipukul bersama gula untuk memerangkap sel-sel udara dan menjadikan ia ringan dan gebu. Lemak yang digunakan dalam kek span adalah dalam bentuk cecair samada mentega cair, majerin cair atau minyak masak. Ia memberi kelembutan dan kelembapan kepada kek.

4. Telur - Telur berperanan menyebatikan semua adunan dan memberikan kelembapan kepada kek. Dalam kek mentega, telur yang merupakan cecair membantu menyebatikan mentega dan gula . Ia juga membantu mencairkan gula . Dalam kek span, telur adalah sumber penaik yang utama dimana sel-sel udara yang terperangkap dalam buih-buih telur itu akan mengembang apabila dibakar. Proses ini akan menaikkan kek dan menjadikan ia kembang dan gebu. Telur juga menyediakan rasa lemak dan warna kuning kepada kek.

Begitulah serba sedikit tentang peranan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan kek. Disamping bahan-bahan diatas, ada banyak lagi bahan-bahan tambahan yang dimasukkan untuk memberikan perbezaan rasa dan warna kepada kek.


Kursus Membuat Kek - 17 Ogos

Alhamdulillah, kursus membuat kek yang diadakan pada minggu lepas sudahpun selamat diadakan. Seramai 23 orang peserta telah menghadirinya. Masing-masing bersemangat untuk mempelajari cara-cara membuat kek yang popular seperti Blueberi Cheese Cake , Pandan Layer dan lain-lain.Saya berharap anda akan mempraktikkannya dan menjadikan kek-kek yang telah dipelajari sebagai hidangan istimewa di hari raya nanti.

Kursus Kek Raya


Kek Mentega Zebra


Kek Buah-buahan


Kek Keju Tiramisu


Pada hujung minggu ini (17 Ogos), saya akan mengadakan kursus kek raya yang terakhir. Sebanyak 8 jenis kek akan dipelajari di dalam kelas iaitu 1. Kek Mentega Oren 2. Kek Mentega Pelangi/Zebra 3. Blueberi Cheese Cake 4. Kek Span Vanila 5. Kek Span Pandan 6. Pandan Layer Cake 7. Kek Buah-buahan 8. Kek Chocolate Moist. Disamping itu saya akan memberi 4 resipi bonus yang gerenti jadi kerana ianya resipi yang sering saya gunakan iaitu 1. Kek Buah Kukus 2. Kek Gula Hangus 3. Kek Keju Tiramisu 4. Kek Coklat Brownies Kukus. Semuanya sedap-sedap belaka dan sangat sesuai untuk hidangan di hariraya nanti. Saya juga akan turut memberikan tip-tip dan panduan membuat kek supaya anda semua mendapat maklumat yang jelas tentang cara-cara pembuatan kek ini. Kelas ini masih ada kekosongan dan bagi anda yang berminat, bolehlah menghubungi saya di tel.no. 03-31675408 atau 014-3247478.

Kursus Kek Lapis - 10 Ogos


Sebahagian peserta bergambar kenangan.


Dua peserta dari Singapura,Mastura dan Mazna bergambar bersama cikgu.

Alhamdulillah, kursus kek lapis yang terakhir untuk tahun ini telahpun selesai. Seramai 27 orang peserta telah menghadiri kursus sehari itu. Ada yang datang dari Perak, Johor, Pahang, Melaka , Singapura dan juga sekitar Selangor dan KL. Masing-masing menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk mempelajari pembuatan kek lapis tradisional dan kek lapis moden terutama kek lapis Sarawak. Saya berharap ilmu yang dipelajari selama sehari itu dapat dipraktikkan. Makin banyak kita mencuba dan membuat praktikal makin bertambah kemahiran atau skill kita. Mula-mula buat kek lapis mungkin tidak perfect jadinya tetapi lama kelamaan anda akan bertambah pandai dan kek lapis yang dihasilkan juga akan bertambah cantik rupanya. Kek lapis ini boleh dibuat awal dan tahan 1- 2 bulan jika dibalut dengan plastic wrap atau kertas aluminium dan simpan di dalam petisejuk (chiller). Ia juga boleh dibekukan (frozen) sehingga 3 bulan walaupun tanpa pengawet. Jangan lupa menghidangkan kek lapis untuk hari raya nanti.

Membuat Kek Lapis


Hujung minggu ini saya akan mengadakan kelas kek lapis yang terakhir pada tahun ini.Insyaallah tahun depan akan disambung semula. Sudah ramai yang confirm untuk hadir pada minggu ni.Maklumlah ada yang nak bisnes dan ada juga yang nak buat makan sendiri atau hidangan istimewa pada hari raya nanti. Pastinya dalam banyak-banyak hidangan,kek lapis adalah 'ratu' kuih. Nak membuat kek lapis ni, bukanlah susah sangat jika kita tahu kaedah yang betul dalam proses membuatnya. Disamping itu, ia perlukan lebih kesabaran kerana hendak menghasilkan sebiji kek lapis memerlukan masa lebih tiga jam. Kita juga perlu mempunyai peralatan yang cukup seperti pengadun (mixer) dan oven yang bersesuaian. Untuk kek lapis tradisional, pakai hand-mixer pun boleh jadi, tapi kalau nak buat kek lapis moden seperti kek lapis Sarawak, kena pakai mixer berkuasa tinggi kerana dapat memukul telur supaya cukup kembang. Kalau telur tak cukup kembang , kek lapis gerenti tak jadi. Ia jadi padat dan berminyak.

Kalau setakad nak makan sendiri, tak perlulah beli oven hijau dari Indonesia tu. Hanya gunakan oven kecil yang banyak di jual di kedai-kedai elektrik tapi pastikan ia ada fungsi api atas dan bawah.'Built in oven' seperti Elba, Zanussi, Europa dan lain-lain juga boleh digunakan. Pendekata, walaupun membuat kek lapis ini agak 'leceh dan rumit' dari membuat kek biasa, tetapi ada kepuasan yang tersendiri jika kita berjaya menghasilkan sebiji kek lapis. Keunikannya menjadikan ia begitu istimewa. Sesuai sekali untuk dijamu kepada tetamu di hari raya nanti.

Popular Posts