Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Donat Coklat Kayumanis


Hari minggu ni nak buat apa untuk minum petang? Apa kata anda buat Donat Coklat Kayumanis . Selalunya kita buat donat yang bentuk roda tu tapi kali ini kita cipta kelainan pula. Buat donat yang bulat dan letakkan inti coklat di dalamnya.Lepas itu gaulkan dengan serbuk kayu manis dan gula kastor .Pasti sedap. Ada satu lagi donat ala Malaysia yang diletakkan sambal ikan bilis didalamnya. Biasa dijual di gerai-gerai di tempat tinggal saya.

Bahan-bahan :
300 gm tepung protin tinggi (tepung roti)
200 gm tepung gandum biasa
14 gm yis segera
70 gm gula kastor
3 gm garam
40 gm mentega
1 biji telur A
310 gm air
inti:
coklat masakan secukupnya
sedikit serbuk kayu manis dan gula kastor - untuk sadur

Cara Membuatnya:
1. Satukan semua bahan doh ke dalam sebuah mangkuk adunan kecuali air.
2. Gaul rata dan masukkan air sedikit-sedikit hingga habis.
3. Uli dengan tangan atau mesin hingga menjadi doh yang lembut.Pakai mesin uli 10 minit kelajuan sederhana. Uli dengan tangan ambil masa 15 - 20 minit.
4. Masukkan doh dalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik. Rehatkan 30 minit di tempat hangat hingga naik 2 kali ganda.
5. Tumbuk doh dan uli semula sekejap. Bahagikan doh kepada bebola kecil seberat 40 gm.
6. Canaikan dan masukkan seketul coklat masakan seberat 5 gm . Rehatkan doh 15 minit .
7. Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.
8. Serbuk kayu manis di gaul dengan gula kastor. Gaulkan donat yang suam itu ke dalam gula tadi. Hidangkan.

0 comments :