Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Aising Krim Mentega


>>Kek perkahwinan disaluti aising krim mentega.


>>Kek cawan disaluti krim mentega.

Ada beberapa orang pengunjung blog yang minta Kak Ani siarkan resipi untuk membuat aising krim mentega. Untuk tidak menghampakan harapan anda semua ,Kak Ani turunkanlah petua-petua membuat aising ini.Aising krim mentega ini sesuai untuk menyalut sebarang kek seperti kek span, kek mentega, kek perkahwinan, harijadi dan hiasan kek cawan (cup cake). Selain
daripada menyalut kek,ia juga boleh membuat corak atau paten atas kek.

Ada banyak resipi untuk membuat aising krim mentega ini. Di Barat, mereka lebih suka mengunakan shortening dan gula aising. Di Malaysia pula kita menggunakan bahan-bahan seperti mentega (Buttercup), krimwell (majerin putih untuk aising),sirap gula, gula aising dan lain-lain. Terpulanglah kepada anda untuk menggunakan resipi yang mana satu. Tetapi di ruangan ini, Kak Ani memberikan resipi-resipi yang ringkas supaya mudah dicuba. Untuk huraian yang lebih detail berkenaan dengan subjek ini,tunggulah kemunculan buku hiasan kek Kak Ani pada masa akan datang (2009 insyaallah).

Aising Krim Mentega 1
Bahan-bahan :
250 gm mentega Buttercup
250 gm majerin krimwell
250 gm gula aising
2 sudu besar air susu

Cara Membuatnya :
1. Satukan mentega dan krimwell dan pukul kelajuan maksima sehingga kembang dan ringan.
2. Ayak gula aising dan masukkan ke dalam adunan diatas bersama air susu.
3. Pukul lagi hingga gebu dan ringan.

Tip : Mentega hendaklah dikeluarkan dari peti sejuk 30 minit sebelum digunakan.Mentega dan krimwell hendaklah dipukul hingga light and fluffy (gebu dan ringan) baru masukkan gula.Jika ia tidak cukup gebu,aising akan mudah cair dan lembik.

Aising Krim Mentega 2
Bahan-bahan :
250 gm mentega
250 gm krimwell
250 gm susu krimer manis @ sirap gula (glucose syrup)
1/2 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Satukan mentega dan krimwell dan pukul kelajuan tinggi hingga gebu dan ringan selama 15 minit.
2. Perlahankan kelajuan dan masukkan susu krimer manis atau sirap gula. Masukkan esen vanila.Pukul lagi kelajuan sederhana selama 5 minit hingga gebu dan rata.

Tip:
Aising ini cukup untuk menyalut dan menghias kek berukuran 9 inci. Krim yang berlebihan boleh disimpan dalam petisejuk selama 3 bulan. Untuk digunakan semula,keluarkan dari peti sejuk agar ia lembut dan kacau atau pukul semula.Sirap gula boleh dibeli di kedai menjual bahan kek. Aising yang telah siap boleh diwarnakan dan ditambahkan perisa seperti oren, pandan, mocca dan sebagainya.

4 comments :

MAK TEH said...

ya..ampun...comenya...slm

Alia Aishah said...

Kak, krimwell tu whipping cream ke?

myda_ahmad said...

mohon cp resepi Asing krim mentega...

Cik Anno said...

kak,air susu tu maksudnye susu cair ye?