Apa Itu Kek Cawan


Adunan dimasukkan guna beg piping


Kek cawan yang telah masak


Kek cawan yang telah dihias


Setelah kita mengenali mufin,kita tengok pula apa dia kek cawan. Secara ringkasnya, kek cawan adalah kek kecil yang diisi dalam cawan kertas dan dihias atasnya dengan pelbagai kerim untuk menambah keindahan penampilannya. Ini berbeza dengan mufin yang permukaannya membonjol bulat dan tidak berhias. Sebab mengapa ia tidak dihiasi dengan kerim ialah kerana permukaannya yang tidak rata menyukarkan ia dihias. Kek cawan boleh dibuat dengan menggunakan kek dasar seperti kek mentega atau kek span. Bagaimanapun, untuk rupabentuk yang lebih kukuh, lebih baik menggunakan kek mentega. Jika menggunakan kek span, ia akan nampak cekung di tengahnya kerana ia jenis kek yang lembut. Anda boleh mempelbagaikan perisa kek mentega tersebut seperti perisa vanila, oren, kopi, strawberi dan sebagainya mengikut citarasa anda.

Jika anda sudah pandai membuat kek mentega adalah tidak sukar untuk membuat kek cawan.Caranya sama dengan membuat kek mentega tetapi anda cuma perlu sediakan cawan kertas yang bersesuaian saiznya dan acuan tin mufin berlubang 8 atau 12. Setelah dibancuh, sudukan ke dalam cawan kertas atau isikan dalam beg piping dan picitkan ke dalam cawan kertas tersebut.Jangan disi terlalu penuh, cukup 3/4 penuh saja. Panaskan ketuhar ke suhu 180 darjah celcius selama 15 minit dan masukkan kek cawan anda. Masa membakar kek cawan adalah lebih kurang 20 minit. Untuk memastikan kek telah masak, cucukkan lidi ditengahnya. Jika sudah masak, keluarkan dan sejukkan. Pastikan kek telah sejuk, barulah dihias dengan krim yang anda sukai. Kek cawan tidak membonjol tinggi seperti mufin.Ia hanya naik sedikit di bahagian tengah dan akan surut apabila sejuk. Permukaan yang rata ini memudahkan kita menyapunya dengan krim mentega dan lain-lain.

Menghias kek cawan
Untuk menghias kek cawan kita boleh gunakan krim mentega, ganache coklat, royal aising, krim segar ataupun fondant mengikut kepandaian dan kebolehan anda. Jika ada tidak mahir menghias, buatlah yang ringkas-ringkas saja. Umpamanya menggunakan jem buah-buahan. Sapukan jem nipis di permukaan kek dan taburkan dengan manik-manik gula. Anda juga boleh gunakan krim mentega , sapukan di permukaannya dan taburkan kekacang, manik-manik gula dan sebagainya. Untuk menghias corak-corak tertentu, gunakan beg piping dan nozzle yang sesuai. Jika anda ada asas menghias kek, lagi mudah tugas anda untuk menghias. Anda boleh menghasilkan beranika macam rekaan yang cantik dan menarik. Hiasan kek cawan dari fondant lebih menarik dan ekslusif terutamanya untuk hantaran atau diberi sebagai hadiah kepada tetamu di majlis perkahwinan. Untuk membuat design sebegini, anda perlu ada asas menghias dengan fondant.

Kek cawan menjadi pilihan untuk dihidangkan di majlis harijadi, majlis korporat,pertunangan dan perkahwinan kerana lebih fleksibel dan mudah dibahagikan. Tidak perlu memotong kek yang besar dan menyediakan piring-piring yang banyak untuk menghidang. Ia boleh disusun di atas bekas bertingkat atau dihidangkan dalam pinggan yang besar. Untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu, boleh masukkan kek cawan itu dalam bekas-bekas plastik yang kecil dan penutupnya membonjol bulat supaya tidak merosakkan hiasan atas kek cawan itu. Bekas ini boleh dibeli di kedai-kedai bahan kek atau kedai-kedai bahan plastik. Pendekata, kek cawan menjadi trend masakini kerana keunikan hiasannya dan penggunaannya yang mudah.

2 comments:

Ainazli said...

salam..saya memang berminat dng cupcake nie, tp takder alatan yg bersesuaian, pn, ader tak menjual alatan tok menbuat cupcake nie, cam nozel tu ker? n saya berminat utk membelinya.tq

Reen said...

slm...kak noraini leh ajar sy mcm mane nk buat buttercream icing vanila n chocolate? TQ.

Popular Posts