Membuat Kek Keju


Kek Keju Tiramisu


Kek keju yang dibakar secara bain-marie

Alhamdulillah, sesi fotografi kedua telah berjalan dengan lancarnya semalam.Saya telah menyediakan 17 biji kek pelbagai jenis seperti kek keju tiramisu, kek coklat, kek buah kukus dan sebagainya. Tetapi dalam ruangan ini, hanya dapat siarkan beberapa gambar saja manakala resipinya tak dapatlah disiarkan .Kalau nak resipinya, belilah buku Kompilasi Kek yang akan berada di pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.Khabarnya buku tersebut murah saja harganya tak sampai RM10.Memang berbaloi beli buku ni dapat 60 resipi kek istimewa dari Kak Ani yang dijamin menjadi (semua resipi telah kitchen tested, kalau ikut betul caranya pasti menjadi).

Dalam buku Kompilasi Kek ini , saya ada menyediakan beberapa biji kek yang berasaskan keju. Umpamanya Kek Tiramisu (resipi sendiri bukan seperti yang disiarkan dalam blog ini), Kek Keju Jepun, Kek Keju Yogurt Pic, Kek Keju Dingin Blueberi dan beberapa jenis lagi (tengah cari ilham).Yang istimewanya dengan kek-kek keju dalam buku ini ialah ia telah dicipta mengikut citarasa tempatan,mudah, ringkas, bahan yang mudah diperolehi dan yang pentingnya sodap! Bila habis fotografi, kek inilah yang diterkam dulu, masing-masing nak rasa.Responnya, semua kata best! Bukan nak kata, "masuk bakul angkat sendiri" tapi nak tahu rasanya kena cubalah sendiri nanti. Dalam kek keju ciptaan saya, yang pentingnya saya menggunakan bahan-bahan yang halal terutamanya gelatin. Pastikan gelatin yang digunakan adalah jenis halal dari Pakistan yang berbentuk butiran kristal bewarna perang muda. Apabila dicampurkan dengan air panas,ia agak kuat baunya tetapi akan hilang apabila bercampur dengan keju.

Kalau kita membuat sendiri kek keju, kosnya tidaklah sampai RM20. Tetapi kalau kita beli di kedai bakeri harganya mencecah RM60 sebiji. Dan yang pentingnya kita tak pasti samada ianya halal kerana kalau dibuat oleh bukan Islam,tentunya mereka letakkan wain atau likuer dalam kek untuk tahan lama. Untuk jimatkan kos terutama membeli krim keju dan whipping cream, belilah di kedai menjual bahan kek kerana lebih murah berbanding pasaraya biasa. Misalnya, krim keju Philadelphia (250 gm) berharga RM10 di pasaraya biasa, tetapi di kedai bahan kek seperti Bagus Marketing dan lain-lain, harganya cuma RM6.00. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain, lebih murah.

Secara ringkasnya, kek keju boleh dibahagikan kepada dua jenis ialah jenis bakar(bake) dan juga jenis dingin (chill). Jenis dingin lebih mudah kerana tidak perlu membakar. Anda hanya perlu menyediakan lapisan asas (base) yang terdiri dari kek span atau biscuit crust. Tetapi kelemahan kek ini ialah ia perlu sentiasa didinginkan supaya tidak lembik.

Panduan Membuat Kek Keju
1. Keluarkan krim keju, 1 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.
2. Gunakan jenis krim keju Philadelphia (ketul) bukan jenis spreadable (dalam botol).
3. Gunakan kaedah water-bath,steam bake atau bain marie (caranya sama tapi ada nama berlainan). Caranya, sediakan loyang lebih besar saiznya dari tin kek.Masukkan air 1/4 bahagian dan masukkan tin kek atasnya. Masuk dalam oven dan bakar.
4. Gunakan suhu yang perlahan iaitu 160 darjah celcius dan bakar selama 1 1/2 jam hingga 2 jam.
5. Untuk tin pembakar, gunakan springform atau loose tin supaya mudah dikeluarkan. Jika tiada, boleh gunakan acuan biasa tetapi lapik dengan plastic wrap agar mudah dikeluarkan (utk cara dingin).
6. Jangan putar keju dan gula terlalu kembang kerana overbeat boleh sebabkan kek retak atau mendap apabila keluar dari oven.Kek keju tidak perlukan udara yang banyak.
7. Setelah 1 1/2 jam, cucuk kek di bahagian tengah dengan lidi untuk pastikan ia telah masak. Jika lidi masih ada adunan melekat, bakar untuk 30 minit lagi.
8. Jika permukaan kek sudah overbrown ( terlalu perang), tutup dengan kertas aluminium foil dan bakar semula.
9. Setelah kek masak, tutup api oven dan biarkan kek selama 30 minit.Jangan alihkan bekas airnya.Ini untuk mencegah kek mendap kerana perubahan haba.
10. Keluarkan kek dari ketuhar dan sejukkan.
11. Untuk kek jenis dingin,gelatin adalah bahan yang digunakan untuk setkan kek (mengeraskan kek). Cara membuatnya ialah,didihkan air dan masukkan gelatin.Angkat dari api dan kacau hingga gelatin hancur dan menjadi cair. Sejukkan sebentar sebelum dicampurkan dengan keju.
12. Whipping cream yang digunakan pula adalah jenis Dairy Whipping Cream (apa-apa jenama) yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream. Jangan gunakan Non-Dairy Whipping Cream (for topping), ianya hanya untuk hiasan atas kek.
13. Setelah bahan-bahan dibancuh, tuangkan atas kek span atau biscuit crust dan simpan dalam peti sejuk (chiller) untuk 4 - 5 jam sehingga keras. Untuk cepatkan proses mengeras, simpan 1 -
2jam dalam freezer (tempat beku) kemudian alihkan ke tempat chiller.

















1 comment:

Eh! Pop Media said...

mohon izin share info ni ya :)

Popular Posts