Resipi Kuih Buah Melaka dan Biskut Makmur

Mungkin ramai yang dah mula buat biskut raya terutama yang berniaga biskut raya tu. Atas permintaan seorang pelawat ke blog ini, saya siarkan resipi Biskut Makmur  yang dipetik dari buku saya CITARASA BISKUT POPULAR.

BISKUT MAKMUR
Bahan-bahan :

150 gm minyak sapi tulin (QBB atau lain-lain brand)
100 gm minyak masak (yang masih baru)
500 gm tepung gandum
1/2 cawan kacang tanah (disangai dan ditumbuk kasar)
1 cawan gula kastor (untuk salutan)
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya:

1. Minyak sapi dan minyak masak dipanaskan hingga cair.Sejukkan sebelum digunakan.
2. Tuangkan minyak sedikit-sedikit dalam tepung hingga cukup basah. Jika berderai, tambah lagi minyak.Jika terlembik, tambah tepung.
3.Ambil sejemput sebesar guli dan buatkan lubang. Masukkan kacang dan bulatkan semula.
4. Susun atas dulang pembakar dan bakar selama 20 minit hingga berbau wangi.Gunakan suhu 180 darjah celcius.
5. Sejukkan biskut dalam dulangnya.Apabila sejuk, golekkan dengan gula kastor dan letak dalam cawan kertas.
6. Simpan dalam balang.

Tip :
1. Untuk membakar biskut,panaskan ketuhar 15 minit ke suhu 180 darjah celcius.
2. Dulang pembakar tak perlu digriskan.
3. Untuk biskut lebih sedap , gunakan 100 peratus minyak sapi.Tak perlu dicairkan. Jika minyak sapi berketul, kacau dulu hingga lembut.Gaulkan dengan tepung gandum. Kalau nak berniaga, kenalah campur minyak untuk kurangkan kos sebab minyak sapi sangat mahal sekarang ni.
4. Boleh gaul dengan gula aising, gula kastor atau gula kasar yang dikisar sendiri.


KUIH BUAH MELAKA

Bahan-bahan :

500 gm tepung pulut (apa-apa brand pun boleh)
2 ketul gula Melaka (potong dadu kecil-kecil)
5 helai daun pandan (dikisar dengan 1 cawan air)
1 biji kelapa parut (ambil putih saja)
secubit garam
Sedikit pewarna hijau (jika suka)
Air secukupnya

Cara Membuatnya :
1. Air pandan dicampur dengan pewarna dan 1 cawan air lagi. Tuangkan sikit-sikit dalam tepung pulut dan gaul hingga menjadi doh yang lembut dan cukup basah.Jika kering, tambah air lagi. Hati-hati jangan tuang air terlalu banyak supaya tidak lembik.Kalau lembik, kena tambah tepung lagi.
2. Ambil secubit dan masukkan gula melaka.Bulatkan semula dan susun dalam dulang atau pinggan.Buat begitu hingga habis.
3. Panaskan air dalam periuk sederhana besar.Isikan air 1/2 periuk saja.Apabila mendidih,masukkan buah melaka.Jangan isi banyak sangat.
4. Biarkan buah melaka masak dan ia akan timbul pada permukaan air. Sambil itu kacau supaya buah melaka tak lekat pada dasar periuk.
5. Sediakan loyang dan isikan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
6. Apabila buah melaka dah timbul,angkat dengan senduk atau tapis, biarkan tos dulu baru masukkan dalam loyang berisi kelapa. Golek-golekkan supaya kelapa merata pada kuih.
7. Pindahkan dalam pinggan yang sesuai dan sedia untuk dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA!

2 comments:

Izza Hani said...

baru berangan nak buat kuih buah melaka ni. bahan2 semua dah beli. insya-allah petang ni sy nak cuba

sumay~ said...

bukan ke kena tambah sdikit kapur makan ke dlm adunan tu?
selepas bulatkan trus kene msukkan ke dlm air mendidih sbb kalau biar lme2 dlm dulang nanti pecah. trima kasih :)

Popular Posts