KUIH REDAN DAN KUIH ROS

Assalamualaikum kepada para pelawat semua.Hari ini dah 10 hari kita berpuasa. Mungkin ada yang dah mula buat kuih raya agaknya. Oklah, saya akan posting dua resipi kuih tradisional yang sering dihidangkan pada hari raya iaitu Kuih Redan dan Kuih Ros. Selamat Mencuba!

KUIH REDAN

Bahan-bahan :

1 biji kelapa, ambil 3 cawan santan pekat
1 1/2 cawan gula pasir
1 peket tepung pulut
1 biji telur A
1 cawan bijan
minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Cara Membuatnya :

1. Santan dan gula disatukan dalam periuk dan masak hingga mendidih.Angkat dan sejukkan.
2. Telur dipukul dengan garfu dan tuang dalam tepung pulut. Gaul rata.
3. Tuang santan ke dalam tepung sikit-sikit hingga menjadi doh yang lembut dan cukup basah. Tinggalkan sedikit santan untuk melembabkan doh nanti.
4. Ambil secubit tepung dan gentel jadi bulat dan golekkan dengan bijan didalam sebuah dulang. Buat cara yang sama hingga doh habis.
5. Panaskan minyak dan goreng kuih ini hingga kekuningan. Angkat dan toskan.

Tip : Doh lama kelamaan akan kering jika terdedah pada udara. Tutup doh dengan plastik. Jika kering, tambahkan santan dan uli hingga lembut.

KUIH ROS (KUIH GOYANG)

Bahan-bahan :

100 gm tepung beras
200 gm tepung gandum
200 gm gula pasir
400 gm santan
3 biji telur A
secubit garam

Cara Membuatnya :

1. Satukan semua bahan dalam sebuah mangkuk adunan. Kacau dengan pemukul telur (whisk) hingga gula larut.
2. Tapiskan adunan ini dalam sebuah bekas lain. Rehatkan 20 minit.
3. Panaskan minyak dalam kuali. Rendam acuan kuih ros supaya ia cukup panas.
4. Setelah minyak panas, celupkan acuan dalam adunan tepung tadi.Jangan sampai tenggelam semuanya.
5. Masukkan dalam minyak dan biarkan ia tanggal sendiri. Goreng hingga garing.

Tip : Adunan jangan terlalu pekat atau terlalu cair. Acuan hendaklah cukup panas supaya kuih tak melekat.
Kuih redan yang rangup.

Resipi Kuih Buah Melaka dan Biskut Makmur

Mungkin ramai yang dah mula buat biskut raya terutama yang berniaga biskut raya tu. Atas permintaan seorang pelawat ke blog ini, saya siarkan resipi Biskut Makmur  yang dipetik dari buku saya CITARASA BISKUT POPULAR.

BISKUT MAKMUR
Bahan-bahan :

150 gm minyak sapi tulin (QBB atau lain-lain brand)
100 gm minyak masak (yang masih baru)
500 gm tepung gandum
1/2 cawan kacang tanah (disangai dan ditumbuk kasar)
1 cawan gula kastor (untuk salutan)
cawan kertas secukupnya

Cara Membuatnya:

1. Minyak sapi dan minyak masak dipanaskan hingga cair.Sejukkan sebelum digunakan.
2. Tuangkan minyak sedikit-sedikit dalam tepung hingga cukup basah. Jika berderai, tambah lagi minyak.Jika terlembik, tambah tepung.
3.Ambil sejemput sebesar guli dan buatkan lubang. Masukkan kacang dan bulatkan semula.
4. Susun atas dulang pembakar dan bakar selama 20 minit hingga berbau wangi.Gunakan suhu 180 darjah celcius.
5. Sejukkan biskut dalam dulangnya.Apabila sejuk, golekkan dengan gula kastor dan letak dalam cawan kertas.
6. Simpan dalam balang.

Tip :
1. Untuk membakar biskut,panaskan ketuhar 15 minit ke suhu 180 darjah celcius.
2. Dulang pembakar tak perlu digriskan.
3. Untuk biskut lebih sedap , gunakan 100 peratus minyak sapi.Tak perlu dicairkan. Jika minyak sapi berketul, kacau dulu hingga lembut.Gaulkan dengan tepung gandum. Kalau nak berniaga, kenalah campur minyak untuk kurangkan kos sebab minyak sapi sangat mahal sekarang ni.
4. Boleh gaul dengan gula aising, gula kastor atau gula kasar yang dikisar sendiri.


KUIH BUAH MELAKA

Bahan-bahan :

500 gm tepung pulut (apa-apa brand pun boleh)
2 ketul gula Melaka (potong dadu kecil-kecil)
5 helai daun pandan (dikisar dengan 1 cawan air)
1 biji kelapa parut (ambil putih saja)
secubit garam
Sedikit pewarna hijau (jika suka)
Air secukupnya

Cara Membuatnya :
1. Air pandan dicampur dengan pewarna dan 1 cawan air lagi. Tuangkan sikit-sikit dalam tepung pulut dan gaul hingga menjadi doh yang lembut dan cukup basah.Jika kering, tambah air lagi. Hati-hati jangan tuang air terlalu banyak supaya tidak lembik.Kalau lembik, kena tambah tepung lagi.
2. Ambil secubit dan masukkan gula melaka.Bulatkan semula dan susun dalam dulang atau pinggan.Buat begitu hingga habis.
3. Panaskan air dalam periuk sederhana besar.Isikan air 1/2 periuk saja.Apabila mendidih,masukkan buah melaka.Jangan isi banyak sangat.
4. Biarkan buah melaka masak dan ia akan timbul pada permukaan air. Sambil itu kacau supaya buah melaka tak lekat pada dasar periuk.
5. Sediakan loyang dan isikan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.
6. Apabila buah melaka dah timbul,angkat dengan senduk atau tapis, biarkan tos dulu baru masukkan dalam loyang berisi kelapa. Golek-golekkan supaya kelapa merata pada kuih.
7. Pindahkan dalam pinggan yang sesuai dan sedia untuk dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA!

SELAMAT BERPUASA

Assalamualaikum kepada semua pengunjung Resipinoraini.Nampaknya  tidak berapa hari lagi,kita akan melangkah ke bulan Ramadan yang mulia.Bila mulai berpuasa, kaum ibu mulalah sebuk memikirkan apakah juadah istimewa yang akan dihidangkan bila berbuka puasa nanti. Tentulah yang sedap-sedap aje yang difikirkan.Ramai orang yang berpendapat belanja di bulan puasa ni makin meningkat jika dibanding pada hari biasa. Saya memang setuju kerana saya membandingkan budget belanja dapur sebelum puasa dan semasa puasa.Memang naik. Mana taknya.Kat rumah dah masak lauk.Pergi pula pasar Ramadan, nampak semua sedap-sedap belaka. Beli lagi ayam percik, kuih-muih,cendol dan segala macam.Anak pulak nak murtabak,  atau roti John .Bila balik rumah, penuh satu meja.Dah tak habis makan, akhirnya buang.

Saya berharap anda semua janganlah jadi macam tu.Membazir adalah amalan syaitan.Pada saya bila membeli tu biarlah berpada-pada, jangan terlampau ikut nafsu. Bila kat rumah dah dimasak lauk-pauk dalam 2-3 jenis tak perlulah beli lauk lagi. Kalau nak belipun, belilah pencuci mulut seperti kuih-muih serba sedikit atau buah-buahan.Sepatutnya bulan Ramadan ini bulan  bersedekah dan berjimat-cermat tapi dah jadi bulan pesta makan.Walau apapun terpulang kepada anda untuk mengawal budget anda.Yang penting bila hari raya nanti ada peruntukan untuk sedekah duit raya untuk ibubapa dan saudara-mara. Akhir kata, Selamat Berpuasa!

MUFFIN YANG COMEL

Muffin atau kek-kek kecil memang menjadi kegemaran kanak-kanak dan juga orang dewasa. Nak membuatnya tidaklah susah sangat cuma kita kena tahu kaedah yang sesuai. Kalau kita rajin meninjau di bakeri-bakeri, kita boleh lihat ada pelbagai jenis mufin dengan pelbagai perisa .Identiti mufin ialah puncaknya yang tinggi dan membulat. Kadangkala ada yang sampai merekah. Sebenarnya terdapat dua jenis mufin iaitu 1.Bread-like muffin dan 2. Cake-like muffin. Kedua-dua jenis mufin ini mempunyai kaedah membancuh yang berbeza.

Ciri-ciri bread-like muffin
Mufin jenis ini mengandungi kurang gula dan kurang lemak.Ini menyebabkan tekstur dalaman mufin lebih kering dan kasar. Lemak yang digunakan adalah dalam bentuk cecair seperti minyak atau mentega cair.Kaedah membuatnya adalah bahan-bahan cecair dimasukkan ke dalam bahan-bahan kering.Kemudian digaul rata perlahan-lahan.Jangan overmix kerana gluten dalam tepung akan terbina secara berlebihan dan menyebabkan mufin keras.

Ciri-ciri cake-like muffin
Mufin jenis ini mengandungi  mentega dan gula yang lebih banyak.Mentega dan gula diputar hingga berkerim iaitu menggunakan kaedah creaming method, sama seperti membuat kek mentega. Kemudian barulah bahan-bahan lain dimasukkan satu persatu. Tekstur dalaman mufin jenis ini lebih lembut dan gebu seperti kek.

Tetapi anda jangan risau jika mufin anda tidak menjadi. Sekarang ada cara mudah membuat mufin yang enak. Baru-baru ini saya ada menbeli sepeket muffin mix dari kedai menjual bahan kek.Saya hanya ikut resipi yang diberikan pada peket muffin mix itu. Saya campurkan dengan telur, air dan minyak.Kemudian putar dengan hand-mixer selama 3 minit.Nah, ia siap untuk dibakar.Hasilnya, alhamdulillah.Ia naik dengan cantik dan sedap pula rasanya. Saya taburkan dengan cip coklat diatasnya sebelum dibakar. Bertambah bercoklat mufin ni jadinya. Satu peket 500 gm boleh dapat dalam 15 biji mufin bersaiz besar.Jika guna saiz kecil tentu dapat lebih banyak lagi.Anda tidak perlu campurkan serbuk penaik atau soda kerana ia telah dimasukkan dalam muffin mix ini.


Mufin menggunakan tepung Muffin Mix.

Pecal Istimewa

Assalamualaikum, apa khabar para pengunjung semua.Nampaknya kelas sudahpun berakhir maka saya akan mengisi ruangan diblog Resipinoraini ini dengan pelbagai artikel dan  resipi untuk tatapan anda semua. Moga apa yang saya sampaikan di blog ini akan memberi manfaat kepada kita semua. Hari ini saya akan memberikan resipi Pecal yang memang menjadi kegemaran saya dan suami. Anak-anak memang tak minat hidangan ni almaklumlah sayur-sayuran. Rasanya hidangan Pecal ni berasal dari orang-orang Jawa. Hidangan ini hanya mengandungi sayur-sayuran seperti kangkung, kacang panjang, taugeh, timun, tauhu dan yang paling penting kuah kacangnya.Kalau sedap kuah kacangnya, mesti best pecal ni. Sesuai untuk hidangan makan tengahari dan juga untuk berbuka puasa. Selamat Mencuba !

PECAL

Bahan-bahan Kuah Kacang:
2 cawan kacang tanah, telah ditumbuk kasar
8 tangkai cili kering
1 inci belacan
1/2 biji bawang besar ( saiz sederhana)
4 sudu besar gula pasir
3 sudu besar air asam jawa
1/2 cawan air panas
sedikit minyak , untuk menumis
garam, secukup rasa

Bahan Sayur-sayuran :
10 batang kacang panjang, dipotong pendek
1 batang timun, dicincang halus
100 gm taugeh
secekak kangkung
2 keping tauhu,digoreng

Cara Membuat Kuah:
1. Cili kering dibasuh dan toskan.
2. Panaskan minyak dan goreng cili kering, bawang besar dan belacan hingga cili garing, jangan sampai hangus.
3. Tumbuk bahan tersebut dengan lesung batu hingga hancur.
4. Sediakan sebuah mangkuk sederhana.Masukkan cili tumbuk, kacang tumbuk, gula, garam, air asam jawa dan air panas.Kacau sebati. Rehatkan kuah selama 30 minit supaya kuah menjadi pekat sebelum dinikmati.

Cara Menghidang:
1. Sediakan sebuah periuk berisi air. Panaskan hingga mendidih.Celurkan kacang panjang, kangkung dan taugeh satu demi satu. Alihkan kedalam pinggan hidang.Susunkan timun dan tauhu yang telah dipotong dadu.
2. Untuk menikmatinya, ambil setiap sayuran dan tuangkan kuah diatasnya.

Pelbagai sayuran untuk pecal.
Kuah memainkan peranan penting mesti cukup rasa.
Bolehlah menuangkan kuah bila nak menikmatinya.

Nota : Anda boleh menambah sayur-sayuran seperti pucuk ubi, daun cekur dll. mengikut citarasa anda.

Popular Posts