Kursus Biskut dan Kek Raya

Bulan Ogos ini adalah bulan terakhir saya mengadakan kursus pada tahun ini. Bulan November dan Disember, budak-budak cuti sekolah, saya pun cuti juga. Mungkin mengambil kursus untuk menambahkan ilmu atau merancang projek pada tahun 2009. Jadi untuk bulan Ogos ini ada 4 lagi kursus yang akan berlangsung iaitu 3 Ogos - Biskut Raya, 10 Ogos - Kek Lapis, 17 Ogos - Kek Hari Raya dan 24 Ogos - Biskut Raya. Kursus-kursus di adakan di Akademi Bakeri Ria, No 27, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, Hulu Kelang. Masih ada kekosongan untuk kelas Biskut Raya (3 Ogos) dan Kek Raya (17 Ogos). Sesiapa yang berminat, sila hubungi saya di tel.no. 03-31675408 atau 014-3247478.

Kursus Kek Lapis - 27 Julai 2008


Sebahagian peserta kursus kek lapis.


Baru belajar nak melapis ni.


Seronok nampaknya peserta kita.

Seramai 25 orang peserta telah menghadiri kursus kek lapis pada 27 Julai yang lepas. Saya sungguh berbangga kerana ada yang sanggup datang dari jauh seperti Singapura, Batu Pahat, Gemas, Kuantan dan lain-lain semata-mata untuk menimba ilmu.Syabas diucapkan kepada anda semua. Saya berharap anda semua akan mempraktikkan ilmu yang dipelajari pada hari ini. Sekurang-kurangnya biarlah pulang modal, anda dapat ilmu dan boleh pula dijadikan sumber pendapatan sampingan kerana kek lapis memang popular dan sentiasa ada pasaran.

Panduan Membuat Biskut


Peserta kursus sedang membuat biskut raya.

Membuat biskut tidaklah susah jika kita faham kaedah membuatnya dengan betul. Kebanyakan biskut menggunakan kaedah mengkerim dimana mentega dan gula dipukul hingga kembang dan berkerim barulah dimasukkan telur dan bahan-bahan lain. Akhir sekali masukkan tepung kedalam adunan tadi lalu digaul hingga menjadi doh yang lembut.

Lain-lain perkara yang perlu difahami ialah :
1. Kita boleh membuat biskut dengan menggunakan mentega tulin, mentega lepa susu (cnth Buttercup), majerin dan juga shortening iaitu lemak sayuran bewarna putih. Tetapi untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap, eloklah menggunakan mentega. Anda boleh mencampurkan mentega dengan majerin atau shortening.
2. Untuk membuat biskut, anda boleh gunakan tepung serbaguna atau tepung protin rendah seperti Red Rose, tepung cookies atau tepung superfne.
3. Masa membakar biskut adalah lebih kurang 20 minit pada suhu 180 darjah celcius.
4. Untuk mengelakkan biskut melekat pada tin pembakar, griskan dengan sedikit majerin atau gunakan kertas patchment untuk mengalas tin pembakar.
5. Setelah adunan diuli menjadi doh yang lembut, masukkan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk selama 20 minit agar doh menjadi mantap dan mudah dicanai.
6. Apabila menyusun doh biskut atas tin pembakar, jarakkan agar ia tidak terlalu rapat dan memudahkan ia mengembang.
7. Tahukah anda bahawa doh biskut boleh disimpan beberapa hari didalam peti sejuk. Ini memudahkan anda kerana tidak perlu membancuh doh setiap hari. Apabila hendak digunakan, keluarkan ia dari peti sejuk beberapa jam agar ia lembut pada suhu bilik dan canailah seperti biasa.
7. Biskut yang telah masak, hendaklah sudah cukup sejuk, baru disimpan didalam bekas kedap udara.
8. Biskut tahan tiga bulan walaupun tanpa mengunakan pengawet.

Sekadar Renungan- Fitnah Dalam Masyarakat

Kebelakangan ini banyak sekali fitnah-fitnah yang berlegar dalam masyarakat kita. Fitnah ini menyebabkan masyarakat menjadi resah gelisah yang mana satu hendak dipercayai. Bagi saya kembalilah kepada ajaran Islam kerana didalam kitab suci Al-Quran ada disertakan panduan menghadapi situasi ini. Rujuklah kepada Surah An-Nur,Ayat 1 - 15.

Hukum menuduh wanita/lelaki yang baik-baik berzina:
Ayat 4 : Firman Allah : Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera,dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya.Dan mereka itulah orang yang fasik.

Tuduhan yang bohong terhadap Aishah r.a.,Ummul Mukminin
Ayat 11: Firman Allah : Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap seorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakan. Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar.
Ayat 12 : Mengapa diwaktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri , dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."
Ayat 13 : Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.
Ayat 14 : Sekiranya tiada kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.
Ayat 15 : (Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.

Marilah kita bersama -sama memahami dan menghayati ayat ini dan jauhkan diri dari perbuatan fitnah dan hasad-dengki. Semoga kita diberikan petunjuk ke jalan yang benar oleh Allah SWT. Amin.

Promosi Coklat Collata




Biskut-biskut yang dihias dengan coklat jenama Collata.

Semalam saya telah menghadiri promo coklat jenama Collata di Bagus Marketing, Shah Alam. Chef Khairy telah menunjukkan cara-cara membuat dan menghias biskut menggunakan coklat Collata. Menurut beliau, biskut jika dihias dengan coklat akan nampak lebih ekslusif, menawan dan tentunya enak. Bagi yang berniaga biskut, presentation dengan hiasan coklat ini tentunya menarik minat pelanggan untuk membeli biskut anda. Untuk pengetahuan anda semua, produk coklat Collata didatangkan dalam pelbagai jenis seperti coklat compound, coklat susu, coklat putih dan coklat pelbagai perisa dan pewarna seperti perisa strawberi, perisa oren, lemon, mint dan lain-lain. Walaupun coklat Collata agak mahal dari jenama biasa, tapi rasanya memang sedap.Untuk mencairkan coklat ini mudah saja iaitu menggunakan cara double-boiler. Coklat ini boleh di dapati di kebanyakan kedai-kedai bahan kek.

Pengawet Kek Lapis


Supaya kek tahan lama, boleh gunakan anti-kulat(anti-mould)

Seorang blogger bernama Shida Amir telah bertanya tentang pengawet untuk kek lapis supaya tahan lama. Dari pengalaman saya , kek lapis boleh tahan sehingga 1- 2 bulan jika disimpan dalam peti sejuk bahagian chiller walaupun tanpa pengawet. Untuk tahan lebih lama sehingga 6 bulan, dinginbekukan (frozen) kek itu. Cara membungkusnya ialah balutkan kek yang telah sejuk dengan kertas aluminium foil atau plastic wrap dengan sempurna. Masukkan dalam beg plastik biasa dan simpan dalam freezer atau chiller . Apabila hendak dimakan, keluarkan kek dari chiller 3 jam supaya ia bersuhu bilik. Jika difrozen, keluarkan dan letakkan pada bahagian chiller 1 hari dan keluarkan ia ke suhu bilik beberapa jam.

Jika anda hendak menggunakan anti-kulat atau anti-mould, anda boleh beli bahan ini di kedai menjual bahan kek. Terdapat beberapa jenis anti-kulat yang memenuhi piawaian USFDA dan dijual di negara kita seperti Sodium Benzoate,Potassium Sorbate, Calcium Propionate dan lain-lain. Penggunaan bahan ini bergantung kepada resipi anda. Biasanya satu resipi menggunakan 1/2 sudu teh - 1 sudu teh sahaja. Pengunaan yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan dan khasiat makanan. Bahan pengawet ini adalah dalam bentuk serbuk warna putih. Jika anda berniaga, bolehlah menggunakan anti-mould. Kalau setakat makan sendiri, tidak perlulah menggunakan pengawet ini kerana kek boleh disimpan saja dalam peti sejuk.

Kursus Biskut Raya, 13 Julai 2008




Seronok nampaknya para peserta membuat biskut.

Pada 13 Julai yang lalu, telah berlangsung Kursus Biskut Raya. Seramai 25 orang peserta telah menghadiri kursus sehari ini. Mereka datang dari jauh dan dekat. Ada peserta dari Singapura, Sabah dan Segamat, Johor. Syabas diucapkan kepada anda yang datang dari jauh semata-mata untuk menimba ilmu. Saya berharap semua peserta akan mempraktikkan ilmu yang dipelajari selama sehari ini. Mungkin ada yang berminat untuk bisnes biskut raya pada tahun ini . Saya doakan anda semua berjaya.

Kursus Kek Raya 6 Julai 2008



Peserta sedang sibuk menyediakan kek bagi kumpulan masing-masing.

Apa khabar anda semua? Diharap dalam keadaan sihat wallafiat hendaknya. Hari ini nak ceritalah sedikit pasal kelas kek raya baru-baru ni. Seramai 20 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Mereka telah berjaya menghasilkan 6 biji kek pelbagai jenis seperti Blueberi Cheese Cake, Pandan Layer Cake dan sebagainya. Tahniah diucapkan kepada anda semua . Saya berharap anda akan terus mencuba resipi-resipi ini supaya skil anda bertambah baik dan dapat menghasilkan kek-kek yang enak untuk hari raya nanti. Akhirkata, selamat maju jaya kepada anda semua.

Donat Homemade


Dah lama teringin nak makan donat tapi tak sempat-sempat nak buat kerana banyak sangat hal terutama kursus-kursus yang diadakan saban minggu. Semalam sempatlah buat tapi saya gunakan tepung gandum biasa (all purpose flour). Hasilnya alhamdulillah, lembut. 1 kg tepung saya mendapat lebih kurang 40 biji donat. Dari pengalaman saya membuat donat dengan tepung roti dan tepung gandum, saya dapati gunakan tepung gandum lebih lembut kerana saya menguli dengan tangan. Jika gunakan tepung roti, seeloknya gunakan mesin supaya dapat menghasilkan glutin yang memberi kekenyalan pada donat itu.Kelembutan donat juga bergantung kepada berapa kuat dan berapa lama kita menguli. Biasanya saya menguli dengan tangan selama 15 minit sehingga doh jadi lembut.


Donat homemade
Bahan-bahan :

1 kg tepung gandum
1 peket yis kering Mauripan(11gm)
5 sudu besar gula kastor
50 gm majerin
1 biji telur A
500 gm air (secukupnya)
1 sudu teh serbuk penaik

Cara Membuatnya :
1. Sediakan sebuah besen dan satukan tepung gandum,serbuk penaik, yis kering,gula, majerin dan telur. Gaul hingga rata.
2. Masukkan air sedikit-sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembap . Jika doh agak kering, tambah air sedikit lagi.
3. Pindahkan doh ke atas dulang yang telah ditabur sedikit tepung gandum.Uli dengan tangan selama 15 minit hingga lembut dan kenyal. Untuk memudahkan anda menguli. Bahagi dua doh tersebut dan ulilah satu-satu sehingga lembut.
4.Setelah lembut, satukan dua doh tadi menjadi seketul doh dan masukkan semula dalam besen dan tutup dengan kain atau plastik.Letakkan di tempat hangat seperti dalam bilik bertutup.Rehatkan selama 45 minit hingga doh naik 2 kali ganda.
5. Tumbuk doh untuk keluarkan angin dan uli sebentar.
6. Bulatkan doh kecil-kecil dan bentukkan ia. Susun dalam dulang yang ditabur sedikit tepung dan biarkan ia naik selama 20 minit.
7. Panaskan minyak dan goreng donat kekuningan. Angkat dan toskan.
8. Setelah suam-suam kuku, bolehlah digaul dengan gula kastor.

Tip :
1. Minyak menggoreng jangat terlalu panas kerana mudah hangus. Guna api kecil saja.
2. Donat boleh difrozen atau disimpan chiller. Caranya goreng donat hingga kembang tapi masih putih. Angkat dan toskan.Simpan dalam bekas tupperware dan letak dalam peti sejuk. Apabila hendak dimakan, keluarkan dan goreng semula hingga kuning.
3. Jika doh terlembik, tambahkan sedikit tepung dan uli hingga menjadi lembut.

Popular Posts