Masak Lemak Udang


Bila dah puasa, tekak kita ni teringin nak makan macam-macam. Bagi Kak Ani, lauk-pauk tu memang masak sendiri, tapi kuih-muih tu beli ajelah kat pasar ramadan dekat rumah tu. Macam-macam ada.Kuih-muih aneka macam dan rasanya pun boleh tahanlah, sedap jugak. Oklah hari ni Kak Ani nak berkongsi resipi Masak Lemak Udang yang telah dibuat beberapa hari yang lepas. Nak posting aje yang tak sempat-sempat.


MASAK LEMAK UDANG

Bahan-bahan :

600 gm udang sederhana besar

1 biji kelapa - ambil 3 cawan santan

10 biji cili api

1 inci kunyit hidup

1 biji bawang merah (kecil)

2 batang serai. diketuk

garam secukup rasa


Cara Membuat :

1. Udang dibersihkan.

2. Tumbuk cili api, garam dan kunyit hidup hingga lumat.Masukkan bawang dan tumbuk lagi.

3. Masukkan bahan tumbuk dalam periuk bersama serai dan santan. kacau rata.

4. Buka api sederhana dan masak kuah itu sehingga hampir mendidih. Kacau selalu supaya tidak berketul.

5. Masukkan udang dan biarkan kuah mendidih. Masukkan garam secukup rasa.

Kari Daging dan Sup Sayur Petola


Kari daging.


Sup Sayur Petola.

Resipi kali ini ialah Kari Daging dan juga Sup Petola. Sesuai untuk makan tengahari dan juga juadah berbuka puasa.

Kari Daging
Bahan :

600 gm daging,direbus hingga empuk
3/4 cawan serbuk rempah kari Baba's
3 tangkai daun kari
1 biji kelapa,ambil 3 cawan santan pekat
2 biji kentang, belah 4
1/2 cawan minyak masak
air secukupnya
garam dan perasa secukupnya.

Bahan tumis:
2 ulas bawang putih, dihiris
2 ulas bawang merah, dihiris
1 inci halia,dihiris
Sedikit kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga

Cara Membuatnya:

Daging yang telah direbus dihiris nipis. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air untuk menjadi pes. Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan tumis bersama daun kari. Biarkan hingga bawang hampir garing dan masukkan pes kari dan kacau lagi supaya pes tidak hangus. Masukkan daging dan air rebusan daging (jika ada). Masukkan santan, garam dan perisa.Biarkan kuah mendidih dengan api sederhana.Masukkan kentang dan biarkan mendidih hingga kentang empuk. Tambah air jika kuah pekat.


Sup Sayur Petola

Bahan :
1 biji petola sederhana, dipotong kecil
sedikit fucuk, direndam
sedikit soohun, direndam
2 ulas bawang putih, dimayang
2 ulas bawang merah,dimayang
sedikit ikan bilis,dimayang
sebiji cili merah, dimayang
garam dan perasa secukupnya
sedikit air
sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuatnya :

Tumiskan bawang putih, bawang merah, ikan bilis dan cili hingga naik bau.Masukkan air dan fucuk.Biarkan mendidih dan masukkan petola. Setelah petola empuk, masukkan garam ,perasa dan soohun.Biarkan mendidih sebentar dan angkat dari api.

Asam Pedas Ikan dan Ayam Masak Merah


Cili kisar yang telah siap.


Asam pedas ikan kembung.


Ayam masak merah.


Alhamdulillah, dah dua hari kita berpuasa. Disebabkan Aniz Baking Centre tak ada aktiviti sepanjang bulan puasa ini maka Kak Ani masukkan resipi lauk-pauk kegemaran keluarga Kak Ani. Sesiapa nak mencuba bolehlah masak untuk berbuka puasa nanti. Tapi resipi-resipi ini sesuai dengan tekak Kak Ani sekeluargalah. Tekak anda mungkin lain citarasanya. Pandai-pandailah nak adjust mana-mana yang patut. Untuk buat asam pedas dan juga ayam masak merah ni, Kak Ani kisar sendiri cilinya tak beli yang siap kat kedai. Bagi Kak ani cili boh yang jual kat kedai tu tak sedap dan rasanya masam, banyak sangat bahan pengawet. Jadi Kak ani blend sendiri dan boleh tahan hingga 2 minggu jika dimasukkan dalam botol dan simpan dalam peti sejuk. Bagi yang bekerja memang mudah,tak perlu nak kisar-kisar cili lagi.

Cili Kisar (homemade)

50 gm cili kering,digunting halus dan rendam air panas
5 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 cawan air


Cara Membuatnya :
Basuh cili kering yang telah direndam tadi. Toskan dan masukkan ke dalam blender bersama bawang putih, bawang besar, halia , kunyit hidup dan air. Kisar hingga hancur. Masukkan dalam botol dan simpan peti sejuk. Rahsia cili kisar ini tahan lama ialah kerana ia telah direndam air panas.


ASAM PEDAS IKAN


Bahan :
1 cawan cili kisar
3/4 cawan minyak masak
6 ekor ikan kembung/pari /merah/dll
10 tangkai daun kesum
2 tangkai daun kari
3 cawan air
1 ulas asam keping
garam dan perasa secukupnya


Cara Membuatnya :
Panaskan minyak dan tumiskan cili kisar hingga garing. Masukkan air dan ikan dan masak hingga mendidih. Masukkan daun kesum, daun kari , asam keping, garam dan perasa.Setelah ikan empuk boleh diangkat. Anda boleh tambah kacang bendir atau tomato jika suka. Asam pedas ini istimewa rasanya kerana dimasukkan daun kari yang menambahkan aromanya.


AYAM MASAK MERAH
Bahan-bahan :


10 ketul ayam
1 cawan cili kisar
1/2 cawan sos cili
1/2 biji bawang besar, dimayang
3/4 cawan minyak masak
sedikit air
garam dan gula secukup rasa


Cara Membuat :


Ayam dibersihkan dan digaul garam dan kunyit serbuk. Panaskan minyak dan goreng hingga masak (jangan terlalu garing, ia keras).Angkat dan toskan. Keluarkan separuh minyak hingga lebih kurang 3/4 cawan. Dengan minyak goreng ayam itu, tumiskan bawang besar hingga berbau wangi dan tumiskan cili kisar hingga garing. Masukkan sos cili, garam,gula dan sedikit air supaya tak terlalu pekat.Masukkan ayam dan gaul sebati. Angkat dan hidangkan. Selamat Mencuba.

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

SAYA BAGI PIHAK ANIZ BAKING CENTRE MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA KEPADA BEKAS-BEKAS PESERTA KURSUS DAN PENGUNJUNG-PENGUNJUNG BLOG INI. SEMOGA KEDATANGAN BULAN RAMADAN INI AKAN MENAMBAHKAN KEBERKATAN DAN KEMURAHAN REZEKI KEPADA ANDA SEMUA.

Salam hormat daripada,

Noraini Zakaria dan Keluarga.

Hati-Hati Dengan Selsema Babi (H1N1)

Nampaknya demam Selsema Babi ini semakin menjadi-jadi di negara kita. Sehingga kini lebih dari 60 orang telah menjadi mangsa dan kes di negara adalah yang tertinggi di Asia. Jadi saya berharap anda semua melindungi ahli keluarga masing-masing dari menjadi mangsa H1N1. Walaupun vaksin penyakit ini belum ditemui , tetapi kita boleh membuat pencegahan sendiri. Apa yang anda perlu lakukan ?

1. Kerap membasuh tangan dengan sabun, terutama sebelum mengambil makanan.
2. Tidur yang cukup dan sentiasa aktif.
3. Minum banyak air dan ambil makanan berkhasiat.
4. Ambil Vitamin C sebagai tambahan.
5. Kurangkan mengunjungi tempat awam dan pakai topeng muka.
6. Perlu segera membawa anak yang demam ke klinik untuk rawatan.

Apakah Tanda-tanda Simptom Virus H1N1?

: Demam, batuk,selsema, sakit tekak, sakit badan,kelesuan, muntah dll.

Setelah kita berusaha,akhirnya kita perlulah bertawakal kepada Allah dan memohon doa kepadaNya agar dijauhkan diri kita, kaum keluarga dan para Muslimin sekelian dari dijangkiti wabak tersebut.

Kursus Kek Cawan 16 Ogos 2009


Peserta sedang menghias kek cawan masing-masing.


Hai, bila nak siap ni?


Akhirnya peserta bergambar kenangan setelah kek berjaya disiapkan.

Nampaknya kelas kita pun dah sampai ke penghujungnya.Untuk kelas yang terakhir ini, seramai 9 peserta telah menghadirinya. Tahniah diatas kesungguhan anda mempelajari teknik membuat kek dan menghiasnya. Bagaimanapun, untuk menambah kemahiran anda, hendaklah selalu praktis ok.Barulah designnya tambah mengancam. Selamat Maju Jaya pada anda semua.

Kursus Terakhir Sebelum Ramadan

Dua kursus terakhir sebelum Ramadan akan diadakan iaitu Kursus Bahulu dan Mufin pada 15 Ogos (Sabtu) dan Kursus Kek Cawan dan Hiasan pada 16 (Ogos). Untuk kursus bahulu anda akan mempelajari kaedah membuat Bahulu Cermai, Bahulu Kemboja, Bahulu Cappucino, Bahulu Pandan Choc Rice, Bahulu Gulung dan Bahulu Lapis.Anda akan turut mempelajari 4 jenis resipi mufin yan enak. Saya juga akan memberikan panduan mengguna bahan pengawet agar tahan lama dan juga pembungkusan yang menarik.Ha, 10 resipi dengan bayaran RM130 saja. Bila dah belajar bolehlah buat jual untuk raya nanti. Kelas ini masih ada kekosongan dan sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya di 014-3247478 . Untuk Kursus Kek Cawan, kelas sudahpun penuh . Insyaallah bulan November nanti kita akan sambung kursus seperti biasa. Untuk jadual boleh rujuk ke blog saya pada bulan Oktober nanti. Ok bye.

Kursus Biskut Raya dan Kek Popular


Peserta kursus Biskut Raya sedang memaip aising pd biskut.


Peserta kursus Biskut Raya bergambar kenangan.


Peserta kursus Kek Popular bergambar ramai.

Pada minggu lepas telah berlangsung dua kursus iaitu kursus Biskut Raya pada hari Sabtu dan kursus Kek Popular pada hari Ahad. Ramai yang telah menyertai kedua-dua kursus ini dan alhamdulillah mereka sungguh bersemangat sekali sehingga berjaya menamatkan kursus. Selamat maju jaya diucapkan kepada anda semua dan sesiapa yang nak buat bisnes biskut raya tu bolehlah buat biskut dari sekarang .

Kursus Hiasan Kek , 2 Ogos 09


Peserta bersama kek yang telah disiapkan.


Kek kartun ni comel sekali, pasti anak-anak suka.


Hiasan kek kartun yang menarik sekali.


Inilah para peserta kelas Hiasan Kek pada kali ini.

Alhamdulillah Kursus Hiasan Kek telahpun berlangsung pada 2 Ogos. Seramai 12 orang peserta telah menghadirinya. Tahniah diucapkan kepada anda yang telah menamatkan kursus ini dengan jayanya. Bolehlah hias kek untuk hari raya nanti ya.

Popular Posts