Pengumuman Kursus

Memandangkan masih ramai yang menalifon bertanyakan kursus sedangkan semua kelas sehingga 3 Ogos telah penuh, maka saya terpaksa menambah 3 kelas lagi pada bulan Ogos iaitu 10 Ogos - Kek Lapis, 17 Ogos - Kek Hariraya dan 24 Ogos - Biskut Raya. Yuran tetap sama iaitu RM150 untuk satu kelas. Sesiapa yang berminat sila telefon saya untuk booking tempat. No.tel 03-31675408 / 014-3247478.

Hari Keluarga Hajah Supiah


Bersedia untuk acara senaman pagi


Si cilik pun dah pandai bersukan


Anak remaja beraksi


Acara renang di kolam.

Pada 24,25 dan 26 Mei yang lalu, telah diadakan majlis Hari Keluarga Hajah Supiah di A Famosa Resort, Air Keroh, Melaka. Seramai lebih 60 orang ahli keluarga Hajah Supiah yang terdiri dari anak menantu, cucu dan cicit beliau telah menghadiri majlis tersebut. Majlis selama 3 hari dua malam itu telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, sukan air, mencari harta karun dan sebagainya.Pendekata, aktiviti tersebut telah dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di kalangan ahli keluarga Hajah Supiah. Semoga beliau akan terus diberikan kesihatan yang baik agar dapat menghadiri majlis yang sama pada tahun hadapan.

Pengumuman Kursus

Alhamdulillah, sambutan orang ramai terhadap kursus yang bakal saya anjurkan sangat baik sekali sehingga semua tarikh-tarikh kursus telah penuh. Bagaimanapun, bagi anda yang tidak dapat masuk, jangan kecewa kerana saya akan meneruskan kursus-kursus pada bulan November, Disember dan tahun depan. Saya juga bercadang untuk menambah lagi kursus-kursus yang akan diajar seperti :-

1. Hiasan Kek Asas (Buttercream) - Anda akan mempelajari teknik-teknik menghias kek menggunakan krim mentega. Mempelajari paten-paten yang biasa digunakan dalam menghias kek dan menghias kek harijadi dari tangan anda sendiri.

2. Hiasan Kek (Krim Putar dan Coklat) - Anda akan mempelajari teknik-teknik menghias kek menggunakan krim putar (whipping cream) dan membuat hiasan kek dari coklat.

3. Mufin dan Kek Cawan - Anda akan mempelajari kaedah-kaedah membuat mufin dan kek cawan. Turut diajar cara-cara menghias kek cawan untuk sebarang majlis seperti perkahwinan, pertunangan dan lain-lain.

Bayaran untuk kursus tetap RM150 sahaja. Kelas adalah hands- on (praktikal).

Apa Itu Kek Cawan


Adunan dimasukkan guna beg piping


Kek cawan yang telah masak


Kek cawan yang telah dihias


Setelah kita mengenali mufin,kita tengok pula apa dia kek cawan. Secara ringkasnya, kek cawan adalah kek kecil yang diisi dalam cawan kertas dan dihias atasnya dengan pelbagai kerim untuk menambah keindahan penampilannya. Ini berbeza dengan mufin yang permukaannya membonjol bulat dan tidak berhias. Sebab mengapa ia tidak dihiasi dengan kerim ialah kerana permukaannya yang tidak rata menyukarkan ia dihias. Kek cawan boleh dibuat dengan menggunakan kek dasar seperti kek mentega atau kek span. Bagaimanapun, untuk rupabentuk yang lebih kukuh, lebih baik menggunakan kek mentega. Jika menggunakan kek span, ia akan nampak cekung di tengahnya kerana ia jenis kek yang lembut. Anda boleh mempelbagaikan perisa kek mentega tersebut seperti perisa vanila, oren, kopi, strawberi dan sebagainya mengikut citarasa anda.

Jika anda sudah pandai membuat kek mentega adalah tidak sukar untuk membuat kek cawan.Caranya sama dengan membuat kek mentega tetapi anda cuma perlu sediakan cawan kertas yang bersesuaian saiznya dan acuan tin mufin berlubang 8 atau 12. Setelah dibancuh, sudukan ke dalam cawan kertas atau isikan dalam beg piping dan picitkan ke dalam cawan kertas tersebut.Jangan disi terlalu penuh, cukup 3/4 penuh saja. Panaskan ketuhar ke suhu 180 darjah celcius selama 15 minit dan masukkan kek cawan anda. Masa membakar kek cawan adalah lebih kurang 20 minit. Untuk memastikan kek telah masak, cucukkan lidi ditengahnya. Jika sudah masak, keluarkan dan sejukkan. Pastikan kek telah sejuk, barulah dihias dengan krim yang anda sukai. Kek cawan tidak membonjol tinggi seperti mufin.Ia hanya naik sedikit di bahagian tengah dan akan surut apabila sejuk. Permukaan yang rata ini memudahkan kita menyapunya dengan krim mentega dan lain-lain.

Menghias kek cawan
Untuk menghias kek cawan kita boleh gunakan krim mentega, ganache coklat, royal aising, krim segar ataupun fondant mengikut kepandaian dan kebolehan anda. Jika ada tidak mahir menghias, buatlah yang ringkas-ringkas saja. Umpamanya menggunakan jem buah-buahan. Sapukan jem nipis di permukaan kek dan taburkan dengan manik-manik gula. Anda juga boleh gunakan krim mentega , sapukan di permukaannya dan taburkan kekacang, manik-manik gula dan sebagainya. Untuk menghias corak-corak tertentu, gunakan beg piping dan nozzle yang sesuai. Jika anda ada asas menghias kek, lagi mudah tugas anda untuk menghias. Anda boleh menghasilkan beranika macam rekaan yang cantik dan menarik. Hiasan kek cawan dari fondant lebih menarik dan ekslusif terutamanya untuk hantaran atau diberi sebagai hadiah kepada tetamu di majlis perkahwinan. Untuk membuat design sebegini, anda perlu ada asas menghias dengan fondant.

Kek cawan menjadi pilihan untuk dihidangkan di majlis harijadi, majlis korporat,pertunangan dan perkahwinan kerana lebih fleksibel dan mudah dibahagikan. Tidak perlu memotong kek yang besar dan menyediakan piring-piring yang banyak untuk menghidang. Ia boleh disusun di atas bekas bertingkat atau dihidangkan dalam pinggan yang besar. Untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu, boleh masukkan kek cawan itu dalam bekas-bekas plastik yang kecil dan penutupnya membonjol bulat supaya tidak merosakkan hiasan atas kek cawan itu. Bekas ini boleh dibeli di kedai-kedai bahan kek atau kedai-kedai bahan plastik. Pendekata, kek cawan menjadi trend masakini kerana keunikan hiasannya dan penggunaannya yang mudah.

Apa Itu Mufin?




Mufin coklat yang diisi dalam cawan kertas tinggi
Secara umumnya memang mufin dan kek cawan nampak seakan-akan sama kerana diisi dalam cawan-cawan kertas yang kecil . Kerana saiznya yang kecil, ia begitu comel jika dihidangkan di dalam pinggan apatah lagi jika dihiasi dengan pelbagai aising yang memikat selera. Mufin diklasifikasikan sebagai quick bread -quickly made and quickly eaten. Ia selalu dihidangkan untuk sarapan pagi atau untuk minum petang. Membuat mufin adalah ringkas sekali, cuma ikuti dua kaedah membuatnya iaitu kaedah mufin (muffin method) dan kaedah kek (cake-like method) .Manakala kek cawan pula adalah kek-kek kecil yang diperbuat dari adunan kek mentega, kek span atau lain-lain kek yang bersesuaian. Ini bermakna untuk membuat kek cawan, boleh menggunakan pelbagai jenis adunan kek.Tetapi kebiasaannya, kek cawan diperbuat dari adunan kek mentega seperti kek vanila, kek oren dan sebagainya. Perbezaan yang nyata antara mufin dan kek cawan ialah dari segi rupabentuknya. Mufin sering menggunakan acuan lebih tinggi dan puncaknya bulat dan menonjol dan kadangkala merekah di permukaannya. Itu sebabnya mufin tidak dihias di bahagian atasnya .Manakala kek cawan lebih rata permukaannya dan memudahkan ia dihiasi dengan pelbagai aising.

Mufin biasanya dibakar dalam tin mufin yang berlubang lapan atau 12. Anda boleh membeli tin ini di kedai-kedai bahan kek. Anda boleh menuangkan terus adunan mufin dalam tin mufin tetapi acuan hendaklah digriskan dahulu agar mudah dikeluarkan. Tetapi untuk nampak lebih cantik, gunakan cawan kertas samada yang kecil atau yang besar. Jika anda memilih cawan kertas tebal yang tinggi, anda tidak perlu menggunakan tin mufin.Susunkan ia terus atas dulang pembakar yang bersesuaian.

Jenis-Jenis Mufin
Terdapat dua jenis mufin iaitu mufin seakan roti (bread-like mufin) dan mufin seakan kek (cake-like muffin). Kedua-duanya mempunyai kaedah membancuh yang berlainan. Bagi mufin seakan roti, kandungan lemak dan gulanya adalah kurang dan isi dalamnya agak padat dan kasar seperti roti. Lemak yang digunakan adalah dalam bentuk cecair seperti minyak masak, minyak jagung ataupun mentega cair. Mufin ini rasanya kurang manis,tidak berminyak dan cepat keras jika disimpan lebih satu hari. Oleh itu mufin jenis ini enak dimakan semasa masih hangat dan tidak tahan disimpan lama.

Mufin yang mempunyai kandungan gula dan mentega yang tinggi lebih menyerupai kek mentega. Gula dan mentega diputar hingga kembang dan berkerim, kemudian barulah dimasukkan telur dan bahan-bahan lain. Tekstur kek lebih lembut dan halus seperti kek mentega . Tidak hairanlah jika di kedai bakeri dan hotel-hotel, mereka lebih gemar menjual mufin jenis kek berbanding mufin seakan roti.

Kaedah Membancuh Mufin
Disebabkan terdapat 2 jenis mufin maka terdapat pula dua kaedah membancuhnya. Kedah membancuh yang betul dapat menghasilkan mufin yang lembut, puncak yang bulat dan cantik bentuknya.
1. Membancuh Kaedah Mufin (Muffin Method)
Kaedah ini digunakan untuk membancuh mufin seakan roti (bread-like muffin).Hanya sediakan dua mangkuk. Satu mangkuk untuk mencampurkan bahan-bahan kering dan satu mangkuk lagi untuk bahan-bahan basah. Untuk hasil yang lebih baik, bahan-bahan basah dituangkan dalam bahan kering dan gaul dengan sudu atau garfu perlahan-lahan hingga setakad basah saja.Adunan masih kelihatan berketul. Jangan digaul dengan kasar atau lama kerana glutin dalam tepung akan terbentuk dan menyebabkan mufin liat dan keras. Adunan mufin ini adalah pekat.

2. Membancuh Kaedah Kek (Cake-like Method)
Kaedah ini digunakan untuk membancuh mufin seakan kek. Ia mempunyai kaedah yang sama seperti membuat kek mentega dimana mentega dan gula diputar hingga kembang dan berkerim. Kandungan gula dan mentega yang tinggi dalam mufin jenis ini menjadikan ia lembut, gebu dan isi dalam lebih halus berbanding mufin seakan roti. Selepas mentega dan gula dikrimkan,masukkan telur, tepung dan susu. Dalam mufin jenis ini penggunaan air susu lebih banyak berbanding kek mentega biasa. Adunan yang telah dibancuh hendaklah licin dan lembut.

Cara Penyimpanan

Untuk mufin seakan roti, ia hendaklah dimakan segera kerana jika disimpan lama ia jadi keras dan sudah tidak enak dimakan. Mufin seakan kek lebih tahan lama sehingga 2-3 hari jika disimpan dalam bekas kedap udara atau dibungkus dalam plastik.

Shooting Kompilasi Kek


Kek harijadi yang dihiasi edible image POOH


Kek Seri Coklat dari kek coklat sifon


Kek Keju Cip Coklat yang sedap !


Shooting ketiga untuk buku Kompilasi Kek telahpun selesai. Saya telah menyediakan 17 resipi antara yang istimewa ialah Brownies Kukus Keju, Kek prun Kukus, Kek Keju Cip Coklat, Kek Harijadi dan sebagainya.Lega rasanya bila dah siapkan 48 resipi untuk buku tersebut. Tinggal 12 resipi lagi yang akan shooting pada 4 Jun nanti. Lepas tu merdekalah akak. Tapi kena mengadap kursus lah pulak. Takpalah demi menunaikan fardu kifayah dan mencari rezeki yang halal, akanku tempohi juga. Semoga Allah memberikan kekuatan dan semangat.

Kursus Kek dan Biskut


Artikel dalam Majalah SAJI Jun 2008

Dalam Majalah Saji keluaran Jun 2008 ada menyiarkan tentang aktiviti saya akan menganjurkan kursus pada bulan Jun, Julai dan Ogos ini. Alhamdulillah, maklumbalas dari para pembaca sangat menggalakkan sekali sehingga hampir semua tarikh-tarikh kursus telah penuh. Dengan sambutan hangat itu, saya terpaksa menambahkan kursus-kursus pada tarikh baru supaya tidak menghampakan harapan anda semua. Berikut adalah senarai tarikh kursus :


15 Jun - Kek Hari Raya (sudah penuh)

29 Jun - Kek Lapis (sudah penuh)

6 Julai - Kek Hari Raya ( masih ada kosong)

13 Julai - Biskut Hari Raya ( sudah penuh)

20 Julai - Biskut hari Raya (sudah penuh)

27 Julai - Kek Lapis (masih ada kosong)

3 Ogos - Biskut Raya (masih ada kosong)


Selepas dari 3 Ogos, saya tiada kelas lagi hinggalah tahun hadapan. Sebarang pertanyaan tentang kursus, bolehlah hubungi saya di tel.no. 03-31675408/014-3247478 atau emel ke ani_zakaria@yahoo.com.my


Membuat Gula Hangus


Masukkan gula pasir dalam periuk tebal


Gula hangus yang telah cair sepenuhnya


Setelah dimasukkan air atau mentega mengikut resipi


Ada banyak resipi kek , kuih-muih dan pencuci mulut yang menggunakan gula hangus atau karamel dalam bahan-bahannya. Umpamanya kek gula hangus, apam gula hangus,kek buah kukus, puding kastad karamel dan lain-lain lagi. Hidangan yang dihasilkan dari karamel ini sangat istimewa rasanya kerana rasa gulanya yang sedap dan wangi . Memang menjadi kegemaran saya terutama puding kastad karamel yang dinikmati semasa ia sudah disejukkan. Ada karamel yang perlu dicampur air dan ada pula yang digunakan pekat-pekat.Bagaimanapun cara membuatnya adalah sama. Berikut adalah panduan menyediakan gula hangus atau karamel ini.


1. Saya lebih suka gunakan gula pasir biasa, tapi gula kastor juga boleh digunakan. Masukkan dalam periuk yang agak tebal dan bertangkai supaya mudah dipegang. Senduk pula gunakan senduk kayu yang panjang.
2. Panaskan atas api yang sederhana. Jangan gunakan api yang besar kerana gula akan cepat hangit. Bila hangit, karamel kita jadi pahit.
3. Apabila sudah nampak ia mencair, kacau perlahan-lahan sehingga semua gula itu cair.
4. Apabila ia cukup cair, ia akan mewarna perang muda dan bertukar perlahan-lahan kepada perang tua.
5. Diperingkat ini, anda boleh memasukkan air atau mentega mengikut resipi anda. Di peringkat ini juga anda boleh angkat dan tuangkan kedalam adunan kek buah yang telah tersedia.
6. Apabila memasukkan air biasa atau air didih, anda hendaklah berhati-hati kerana wap dari gula itu akan naik ke atas dan boleh mencederakan anda. Apabila air telah dimasukkan, kacau perlahan-lahan hingga semuanya mencair. Angkat dari api dan sejukkan. Ia boleh digunakan mengikut resipi anda.

Membuat Kek Keju


Kek Keju Tiramisu


Kek keju yang dibakar secara bain-marie

Alhamdulillah, sesi fotografi kedua telah berjalan dengan lancarnya semalam.Saya telah menyediakan 17 biji kek pelbagai jenis seperti kek keju tiramisu, kek coklat, kek buah kukus dan sebagainya. Tetapi dalam ruangan ini, hanya dapat siarkan beberapa gambar saja manakala resipinya tak dapatlah disiarkan .Kalau nak resipinya, belilah buku Kompilasi Kek yang akan berada di pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.Khabarnya buku tersebut murah saja harganya tak sampai RM10.Memang berbaloi beli buku ni dapat 60 resipi kek istimewa dari Kak Ani yang dijamin menjadi (semua resipi telah kitchen tested, kalau ikut betul caranya pasti menjadi).

Dalam buku Kompilasi Kek ini , saya ada menyediakan beberapa biji kek yang berasaskan keju. Umpamanya Kek Tiramisu (resipi sendiri bukan seperti yang disiarkan dalam blog ini), Kek Keju Jepun, Kek Keju Yogurt Pic, Kek Keju Dingin Blueberi dan beberapa jenis lagi (tengah cari ilham).Yang istimewanya dengan kek-kek keju dalam buku ini ialah ia telah dicipta mengikut citarasa tempatan,mudah, ringkas, bahan yang mudah diperolehi dan yang pentingnya sodap! Bila habis fotografi, kek inilah yang diterkam dulu, masing-masing nak rasa.Responnya, semua kata best! Bukan nak kata, "masuk bakul angkat sendiri" tapi nak tahu rasanya kena cubalah sendiri nanti. Dalam kek keju ciptaan saya, yang pentingnya saya menggunakan bahan-bahan yang halal terutamanya gelatin. Pastikan gelatin yang digunakan adalah jenis halal dari Pakistan yang berbentuk butiran kristal bewarna perang muda. Apabila dicampurkan dengan air panas,ia agak kuat baunya tetapi akan hilang apabila bercampur dengan keju.

Kalau kita membuat sendiri kek keju, kosnya tidaklah sampai RM20. Tetapi kalau kita beli di kedai bakeri harganya mencecah RM60 sebiji. Dan yang pentingnya kita tak pasti samada ianya halal kerana kalau dibuat oleh bukan Islam,tentunya mereka letakkan wain atau likuer dalam kek untuk tahan lama. Untuk jimatkan kos terutama membeli krim keju dan whipping cream, belilah di kedai menjual bahan kek kerana lebih murah berbanding pasaraya biasa. Misalnya, krim keju Philadelphia (250 gm) berharga RM10 di pasaraya biasa, tetapi di kedai bahan kek seperti Bagus Marketing dan lain-lain, harganya cuma RM6.00. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain, lebih murah.

Secara ringkasnya, kek keju boleh dibahagikan kepada dua jenis ialah jenis bakar(bake) dan juga jenis dingin (chill). Jenis dingin lebih mudah kerana tidak perlu membakar. Anda hanya perlu menyediakan lapisan asas (base) yang terdiri dari kek span atau biscuit crust. Tetapi kelemahan kek ini ialah ia perlu sentiasa didinginkan supaya tidak lembik.

Panduan Membuat Kek Keju
1. Keluarkan krim keju, 1 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah diputar.
2. Gunakan jenis krim keju Philadelphia (ketul) bukan jenis spreadable (dalam botol).
3. Gunakan kaedah water-bath,steam bake atau bain marie (caranya sama tapi ada nama berlainan). Caranya, sediakan loyang lebih besar saiznya dari tin kek.Masukkan air 1/4 bahagian dan masukkan tin kek atasnya. Masuk dalam oven dan bakar.
4. Gunakan suhu yang perlahan iaitu 160 darjah celcius dan bakar selama 1 1/2 jam hingga 2 jam.
5. Untuk tin pembakar, gunakan springform atau loose tin supaya mudah dikeluarkan. Jika tiada, boleh gunakan acuan biasa tetapi lapik dengan plastic wrap agar mudah dikeluarkan (utk cara dingin).
6. Jangan putar keju dan gula terlalu kembang kerana overbeat boleh sebabkan kek retak atau mendap apabila keluar dari oven.Kek keju tidak perlukan udara yang banyak.
7. Setelah 1 1/2 jam, cucuk kek di bahagian tengah dengan lidi untuk pastikan ia telah masak. Jika lidi masih ada adunan melekat, bakar untuk 30 minit lagi.
8. Jika permukaan kek sudah overbrown ( terlalu perang), tutup dengan kertas aluminium foil dan bakar semula.
9. Setelah kek masak, tutup api oven dan biarkan kek selama 30 minit.Jangan alihkan bekas airnya.Ini untuk mencegah kek mendap kerana perubahan haba.
10. Keluarkan kek dari ketuhar dan sejukkan.
11. Untuk kek jenis dingin,gelatin adalah bahan yang digunakan untuk setkan kek (mengeraskan kek). Cara membuatnya ialah,didihkan air dan masukkan gelatin.Angkat dari api dan kacau hingga gelatin hancur dan menjadi cair. Sejukkan sebentar sebelum dicampurkan dengan keju.
12. Whipping cream yang digunakan pula adalah jenis Dairy Whipping Cream (apa-apa jenama) yang juga dikenali sebagai Thick Cream atau Double Cream. Jangan gunakan Non-Dairy Whipping Cream (for topping), ianya hanya untuk hiasan atas kek.
13. Setelah bahan-bahan dibancuh, tuangkan atas kek span atau biscuit crust dan simpan dalam peti sejuk (chiller) untuk 4 - 5 jam sehingga keras. Untuk cepatkan proses mengeras, simpan 1 -
2jam dalam freezer (tempat beku) kemudian alihkan ke tempat chiller.

















Alamat Baru Emel

Ingin diberitahu kepada semua pengunjung terutama yang pernah menghantar emel ke ani_z@streamyx.com bahawa alamat tersebut tidak dapat saya log in kerana sistemnya sudah bertukar (menyusahkan orang aje streamyx ni). Oleh itu sesiapa yang telah menghantar emel atau bercadang menghantar emel, sila gunakan alamat baru saya iaitu ani_zakaria@yahoo.com.my . Harap maklum.

Membuat Kek Buah Kukus


Sumber : Resipidiana

TIP UNTUK KEK BUAH @ MIX FRUIT
Pertama :Sebenarnya mix fruit tu diayak dengan sedikit tepung (2-3 sudu besar - jgn ambil tepung yg 600g tu, ambil yg lain). Ini untuk elakkan dari mix fruit tu berat dan mendak ke bawah adunan bila dikukus. Ada orang suka jemur, terpulanglah. Mix fruit tu kalau ada yg besar, potonglah kecil sedikit supaya nampak cantik sikit. Kalau ada masa lapang, cubalah.

Kedua :Aluminium foil tu ditutup pada permukaan mulut tin. Jangan tuang adunan terlalu penuh, cukup sekadar setengan tin kerana kek akan naik dan bahagian atasnya akan melekat pada aluminium foil nanti. Ada orang suka menggunakan plastik, terpulanglah mana yg elok.

Ketiga :Saya tak pasti masanya untuk memukul telur dan gula, selalu saya pukul sehingga adunan tu berbuih dan naik 2 x ganda dari asalnya. Mentega tak payah dikembangkan.

Keempat :Kalau nak warnanya gelap sikit, waktu masak gula hangus tu, biarkan sedikit coklat tapi jangan gelap sangat nanti rasa hangit pulak. Kemudian barulah dituang sedikit air. Kena hati2 jangan terpercik tangan sudahlah.

Kelima :Gula hangus tu memang cepat mengeras, jadi kena handle betul-betul. Ada orang kata kena buat 2 orang satu tuang, satu gaul cepat2. Tapi mana nak cari orang, anak semua kecil2, kenalah buat sorang-sorang.Bila saya masak gula hangus tu, nampak gulanya dah bertukar coklat, letakkan 2 sudu besar air biasa, kacau rata cepat2, terus masuk dalam adunan sebelah tangan, sebelah tangan lagi siap pegang senduk dan gaul cepat-cepat. Penatlah sikit. Make sure kalau anda sedang dalam keadaan berdiri, dekatkan besin tu dekat dgn badan anda, supaya dapat menahan besin tu bila kita tengah kacau cepat2. Don’t worry sangat kalau ada yg tak sempat tergaul rata. Nanti dia akan cair waktu dikukus.

Keenam : (Jawapan utk soalan ngapa buah jatuh ke bawah.)Setahu saya 1) buah2an tu digaul dgn tepung atau dijemur supaya ianya tak basah, ini sebabnya ia berat dan mendak ke bawah. 2) Air kukusan mesti mendidih waktu nak masuk kek, 3) acuan jangan terhentak, ya. Kalau air kukusan tak cukup panas, buah2an akan mendak ke bawah. ‘Steam’ dari air panas tu menolak naik buah-buahan, ia takda can nak duduk di bawah. Lagi satu perkara, 4) selalu masuk buah2an 2nd last kemudian gula hangus dan cepat2 gaul dan masuk dalam acuan, tutup aluminium foil, dan kukus. 5) Tambah air panas mendidih setiap 1 atau 2 jam.

KEK KUKUS BUAH-BUAHAN BASAH (Resipidiana)

Bahan-bahannya:
600 gram tepung gandum
300 gram gula halus
5 biji telur A
400 gram mentega Golden Churn/ SCS
500 gram buah-buahan campuran
2 sudu teh bicarbonate of soda
1 1/2 sudu teh cream of tartar
1 sudu teh esen vanilla
sedikit pewarna coklat
2 cawan gula, untuk dibuat gula hangus
kertas aluminium foil

Cara-cara Membuatnya :

1. Panaskan air dalam kukusan terlebih dahulu.
2. Tepung gandum 600 gram, ambil sedikit dan gaulkan dengan campuran buah-buahan, gaul rata untuk salutkan tepung dengan buah-buahan. Ini akan dapat mengelakkan buah-buahan dari mendak ke dasar kek sewaktu ia dikukus.
3. Tepung gandum, bicarbonate of soda dan cream of tartar diayak. Ketepikan.
4. Menggunakan whisk tangan, pukul mentega, gula sehingga kembang dan sebati. Masukkan esen vanilla dan pewarna coklat sarsaparilla dan pukul dengan tangan sehingga ia sebati.
5. Masukkan telur satu persatu dan pukul dengan tangan agak-agak sudah sebati sudah mencukupi, berhenti. Bila masukkan telur tidak boleh terlalu dipukul ini akan mengakibatkan kek kukus nanti kering. Jadi memadai dengan telur dimasukkan satu persatu dan bergaul sebati dengan adunan mentega.
6. Masukkan tepung yang telah diayak kedalam adunan, gunakan spatula atau senduk plastik dan kaup balikkan satu pusing arah sehingga tepung bergaul sebati dengan adunan telur. Jangan terlalu menggaul adunan tepung, cukup dengan pusing kaup balik sehingga tepung sebati.
7. Menggunakan periuk non-stick yang ada handle, masak 2 cawan gula dengan api yang kecil masak gula sehingga ia cair dan bertukar warna coklat dan berbuih. Hati-hati gula hangus ni panas. Sewaktu gula hangus panas, ia akan cair dan bila ia sejuk selalunya ia akan keras jadi sewaktu ia panas tuang kedalam adunan tepung dan kacau menggunakan senduk kayu (jangan pakai spatula plastic nanti cair) dengan cepat sehingga adunan sebati. Boleh minta pertolongan seseorang untuk tolong tuangkan gula panas jika anda rasa kekok membuat sendiri.
8. Akhir sekali, masukkan campuran buah-buahan dan kaup balik adunan, jangan terlalu digaul cukup hanya bila buah-buahan bergaul rata. Ini untuk menggelakkan buah-buahan mendap kedasar kek bila ia dikukus.
9. Alaskan kertas kuih didalam tin/loyang dan sapukan dengan mentega dan salutkan dengan tepung. Kemudian tuang adunan tepung kedalam loyang dan pastikan air kukusan telah mendidih dan tutup loyang dengan aluminium foil dan kukuslah selama 4 jam. Masa mengukus boleh dikurangkan jika mahu tapi untuk kek tahan lebih lama kukuslah selama 4 jam.

Bagaimana Gunakan Fresh Cream





Bersua kembali. Dah lama tak posting baru kerana banyak hal yang perlu diuruskan. Sessi fotografi pertama untuk buku Kompilasi Kek telahpun diadakan semalam dimana saya menyediakan 14 jenis kek bermacam-macam jenis.Dalam masa 3 jam shooting pun selesai.Nak mengadap 3 kali lagi sesi fotografi, adoi letih akak!Saya ada menyediakan beberapa biji kek yang disaluti dengan fresh cream atau nama lainnya Non-Dairy Whipping Cream. Saya menggunakan Bakers Mix dari brand Anchor.Ada beberapa panduan yang boleh anda ikuti dalam menyediakan topping fresh cream ini.

1. Fresh Cream ini perlu disejukkan, bukan dibekukan.Ia pekat dan boleh terus dituang ke dalam mangkuk adunan.
2. Krim yang telah diputar boleh bertahan dalam peti sejuk selama 4 hari.
3. Goncangkan kotaknya sebelum dituang dan isikan hanya 20 % dari saiz mangkuk pengadun supaya mudah diputar dan tidak terlalu penuh.
4. Putar dengan kelajuan sederhana dengan alat whisk (bulat)selama 5 minit sehingga terbentuk puncak yang lembut(berekor).
5. Jangan diputar terlalu lama kerana krim akan keras dan kering. Ia akan susah disapukan pada kek dan tekstur krim menjadi kasar.
6. Jika terlebih putar, masukkan sedikit krim yang cair dan putar semula kelajuan perlahan sehingga ia menjadi lembut.
7. Semasa menyapu krim pada kek, simpan lebihnya dalam peti sejuk supaya tidak kering dan kasar.
8. Setelah siap menyalut dan menghias, terus simpan dalam peti sejuk. Keluarkan hanya apabila hendak menghidang.
9. Krim yang lebih boleh dimasukkan dalam bekas plastik dan simpan peti sejuk.Kacau semula adunan apabila hendak digunakan.
10.Krim ini juga boleh diwarnakan mengikut warna disukai.
11.Sebaiknya,kerja-kerja menghias dengan krim ini perlu dilakukan di tempat sejuk, supaya krim tidak mudah rosak.

Buku Kompilasi Kek

Alaf 21 Sdn. Bhd akan menerbitkan sebuah buku baru mengenai kek. Kak Ani telah diberi tugas untuk menyediakan 60 resipi pelbagai jenis kek seperti kek mentega, kek span, mufin, cupcake, kek keju dan sebagainya.Buku tersebut dijangka akan berada di pasaran pada awal tahun 2009. Sessi fotografi akan bermula minggu depan dan Kak Ani perlu menyiapkan kira-kira 10 jenis kek untuk setiap sesi.Kerana kesibukan tersebut maka Kak Ani terpaksa mengubah jadual kursus pada bulan Jun. Kursus Kek Hariraya pada 15/6/2008 dan Kursus Kek Lapis pada 29/6/2008.Harap Maklum

Popular Posts