Selamat Hari Raya AidilAdha

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua Muslimin dan Muslimat sekelian. Kepada bekas-bekas anak murid saya, inilah masanya untuk tunjukkan skil yang telah dipelajari masa kelas hari tu. Macam-macam kek telah dipelajari dan buatlah satu biji untuk hidangan hari raya nanti.Akhirkata, semoga anda bergembira di samping keluarga dan salam mesra dari saya.

Jadual Kursus Januari 2009

ASAS MEMBUAT KEK
10/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara membuat Kek Mentega , Kek Span, Kek Sifon,
Kek Cawan dan Kek Buah-Buahan
-Jenis Kek : Kek Mentega Vanilla / Oren ,
Kek Marble , Kek Span CoklatKek Span Pandan, Kek Sifon Oren ,
Kek Sifon Kopi, Kek Cawan

MENGHIAS KEK DENGAN KRIM MENTEGA
(BUTTERCREAM) & KRIM SEGAR

11/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara menbancuh krim mentega & sirap gula
-Belajar pelbagai paten seperti bintang, daun, bunga, tulisan
dan krim segar.

KEK POPULAR
17/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari kaedah membuat kek popular
-Jenis Kek: Kek Tiramisu,
Kek Keju Dingin Blueberry, Kek Lapis Pandan,Kek Buah, Kek Black Forest,
Kek Coklat Lembap, Kek Mentega Oren,Kek Pelangi.

KEK CAWAN DAN MENGHIAS DENGAN
BUTTERCREAM DAN SUGARPASTE
18/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Membuat 4 jenis kek cawan seperti Kek Cip Coklat, Kek Cawan Oren dll.
-Membancuh krim mentega , membuat pes gula dan menghias
kek cawan .

TALAM DAN KUIH-MUIH KOMERSIL
24/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
Jenis-jenis kuih : Seri Muka, Talam Keladi, Talam Labu, Talam Seri
Pandan, Kuih Bakar Pandan, Apam Gula Hangus,Kole Kacang .


KEK LAPIS BAKAR DAN KUKUS (ASAS)
25/1/2009 Ahad 10pg-5ptg Kusus Hands-On RM150
-Mempelajari asas membuat kek lapis menggunakan kaedah
moden dan tradisional
-Jenis-jenis kek : Kek Lapis Asam Manis , Kek Lapis Kukus Keju,
Kek Lapis Zig-Zag, Kek Lapis Prun Berempah, Kek Lapis Horlicks

MAKANAN DINGIN BEKU (FROZEN FOOD)
31/1/2009 Sabtu 10pg-5ptg Kursus Hands-On RM 150
-Mempelajari cara mendinginbekukan makanan
-Jenis makanan: Karipap Pusing, Pau, Donat,Keria, Bom Bijan,
Cucur Badak, Apam Mekar dan Popia



Jadual Kursus bulan Januari 2009 dan seterusnya boleh diikuti di
http://www.anizbakingcentre.blogspot.com/

Jadual Disember 2008

Berikut adalah jadual bulan Disember 2008:

6 Disember - Kursus Kek Popular (sudah penuh)

21 Disember - Kursus Kek Lapis Sarawak - Cara membuat Kek Lapis Bercorak.
Kek Lapis Dam, Kek Lapis Roll, Kek Lapis Windmill dan Kek Permata.

28 Disember - Kek Cawan dan Menghiasnya dengan Buttercream . Kek Oren
Popi,KekSeri Pandan,Kek Cawan Cip Coklat,Kek Cawan Blueberi, Kek
Cawan Span Vanila.


Jadual kursus juga boleh dilayari di http://www.anizbakingcentre.blogspot.com/

Kursus 29 dan 30 Nov 2008


Amboi! Nak buat kuih ke nak posing?


Apa tunggu lagi, timbanglah tepung tu!



Sebahagian peserta bergambar ramai.

Alhamdulillah, kursus Kek Popular dan Kek /Kuih Tradisional pada 29 dan 30 Nov 2008 telah diadakan di Aniz Baking Centre, Taman Samudra. Sambutan sangat baik sekali namun ada yang tersesat pergi ke Akademi Bakeri Ria. Mujurlah tempat baru ini mudah dijumpai dan mereka dapat menyertainya. Pada 29 Nov, seramai 19 peserta telah menyertai kursus kek popular dan 15 peserta menyertai kursus kek/kuih tradisional. Tahniah atas kesungguhan anda mengikuti kursus dan saya berharap anda semua akan berjaya menghasilkan kek-kek yang enak nanti samada untuk berniaga atau makan sendiri.

Kursus 23 Nov ditunda ke 29 Nov. 2008

Ingin dimaklumkan bahawa kursus Kek Popular yang sepatutnya di adakan pada 23 November (Ahad) ditunda kepada 29 November (Sabtu) kerana Aniz Baking Centre belum siap sepenuhnya. Kepada para peserta yang telah mendaftar untuk kursus ini akan diberitahu melalui sms. Harap maklum.

Kursus Kek cawan 16 Nov.2008


Para peserta menghias kek cawan masing-masing.



Sebelum menghias, kena buat kek dulu.



Sebahagian kek cawan yang dihasilkan

Kursus Kek Cawan dan Menghias dengan Krim Mentega telah diadakan baru-baru ini. Para peserta yang datang dari Melaka, Seremban, Shah Alam dan sekitar KL telah menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam menghasilkan kek-kek cawan yang cantik dan menarik. Syabas diucapkan dan selamat maju jaya kepada anda semua.

Aniz Baking Centre Ditubuhkan









Aniz Baking Centre telah ditubuhkan bagi memenuhi permintaan anda yang berminat mempelajari pelbagai kemahiran membuat kek, biskut, roti, pastri, kuih-muih tempatan dan masakan komersil. Matlamat kami adalah untuk membimbing kaum wanita khasnya dan masyarakat amnya untuk menceburkan diri dalam industri pembuatan makanan halal sebagai perniagaan sambilan ataupun sepenuh masa. Golongan surirumah juga digalakkan menyertai kursus-kursus anjuran kami agar dapat menjalankan perniagaan kecil dari rumah bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Kursus-kursus kami juga sesuai buat kaum wanita yang gemar memasak untuk hidangan keluarga sahaja.

Bermula dengan kursus 23 hb. November, semua kursus-kursus masakan anjuran Puan Noraini Zakaria akan diadakan di premis baru kami di Anis Baking Centre, No.589 B, Jalan Samudra Utara 2, Taman Samudra, 68100 Batu Caves, Selangor (atas Kedai Kek Hidayah). Kedai ini terletak di tepi Lebuhraya MRR2 dan berdekatan dengan Pasar Besar Giant.

Kursus Kek Lapis 9 Nov 2008


Sebahagian peserta bergambar kenangan.

Seramai 19 orang peserta telah mengikuti kursus Kek Lapis Bakar dan Kukus (asas) yang telah diadakan di Akademi Bakeri Ria pada minggu yang lepas. Nampaknya para peserta telah menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam menghasilkan kek lapis yang cantik. Bagaimanapun kerana para peserta masih baru mempelajari pembuatan kek lapis, tentulah ada kekurangan disana-sini. Saya berharap anda semua mempraktikkan apa yang telah dipelajari dan tentunya kek lapis buatan anda akan bertambah baik dari masa ke semasa. Selamat maju jaya diucapkan kepada para peserta semua.

Kursus Bulan Disember 2008

Memandangkan sambutan yang sangat baik dari anda semua , satu lagi kelas tambahan akan diadakan pada bulan Disember iaitu Kursus Kek Popular dan Cara Menghiasnya pada 6 Disember (Sabtu). Kelas ini diadakan bagi memenuhi hasrat anda yang ingin membuat kek untuk Hari Raya AidilAdha nanti. Insyaallah, kursus bulan Disember akan diadakan di tempat yang lebih luas dan selesa. Tempatnya akan diberitahu kemudian. Bagi anda yang berminat, bolehlah menghubungi saya untuk booking tempat. Berikut jadual bulan Disember 2008.

6 Disember (Sabtu) - 7 jenis kek popular dan Cara Menghiasnya.
Black Forest Cake, Tiramisu Cheese Cake, Blueberry Chilled Cheese Cake, Pandan Layer Cake, Choc.Moist Cake, Orange Buttercake dan Pelangi Buttercake.

21 Disember (Ahad) - 5 jenis kek lapis Sarawak dan Roll Lapis. Belajar melapis , memotong dan menyusun kek lapis pelbagai corak.Kek Lapis Dam, Kek Lapis Roll Semarak, Kek Lapis Roll KIncir Angin,Kek Lapis Windmill dan Kek Lapis Permata.

28 Disember (Ahad) - Mempelajari 7 jenis kek cawan pelbagai perisa , cara membancuh krim mentega dan menghias kek cawan dengan krim mentega.Kek Cawan Marble, Kek Cawan Oren Popi, Kek Cawan Kismis Walnut, Kek Cawan Seri Pandan, Kek Cawan Pisang, Kek Cawan Bercoklat dan Kek Cawan Span Vanila.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya di tel no. 03-31675408/014-3247478.
Yuran RM150 untuk kursus hands-on sehari ini.Yuran dibayar pada hari kursus.

Demonstrasi Produk Puratos


Kek Coklat Ala Krismas dari Chef Oh Her Min


Chef Oh sedang menunjukkan demonstrasi membuat kek

Baru-baru ini saya menghadiri demonstrasi produk Puratos yang memperkenalkan tepung premix jenama Tegral Moist Chocolate Cake. Tepung premix adalah tepung campuran segera yang telah dicampur dengan gula, bahan penaik dan lain-lain. Pendekata tak payah timbang-timbang tepung lagi. Tapi harganya boleh tahan RM12.00 untuk 1 kg. Anda hanya perlu mencampur telur, minyak dan air sahaja. Demonstrasi disampaikan oleh Chef Oh Her Min. Tepung premix ini boleh didapati di kedai menjual bahan kek seperti Bagus Marketing Sdn.Bhd.
Dengan tepung ini, anda boleh membuat Kek Coklat,Kek Cawan dan Brownies Walnut.







Kursus Kek Cawan 2 November 2008


Bersungguh-sungguh para peserta menghias kek cawan mereka.


Design apa pulak yang nak dibuat ni.



Antara design yang diajar dalam kelas, simple tapi menarik, sesuai untuk beginnners.

Alhamdulillah, kursus Kek Cawan dan Cara Menghiasnya telahpun berlangsung dengan jayanya. Seramai 26 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Mereka telah diajar asas-asas membuat kek cawan, membancuh buttercream dan menghias kek cawan dengan aising ini. Walaupun ramai yang tidak mempunyai asas menghias kek, tetapi saya kagum dengan kesungguhan mereka menyiapkan tugasan yang diberikan. Nasihat saya kepada para peserta, praktikkan ilmu yang dipelajari itu supaya anda bertambah mahir. Jika percubaan pertama anda kurang berjaya atau kurang cantik, jangan cepat berputus asa. Cuba lagi hingga anda berpuas hati dengan hasil yang diperolehi.Jika ada yang hendak mendalami seni menghias kek dengan buttercream (krim mentega) bolehlah mengikuti kelas menghias kek pada tahun depan.

Beli Peralatan Bakeri

Ada pengunjung yang bertanya di mana nak beli peralatan bakeri seperti oven dan mixer. Sebelum menjawap, saya pula ingin bertanya adakah untuk kegunaan sendiri atau untuk bisnes. Kalau untuk kegunaan sendiri (rumahtangga) memadailah membeli oven elektrik seperti Europa, Zanussi dan lain-lain jenama seumpamanya .Harganya dalam lingkungan RM1000 atau lebih sikit. Ia mempunyai fungsi api atas dan bawah. Boleh membakar kek biasa, kek lapis, roti dan biskut. Untuk beginners, eloklah oven jenis ini. Saya sendiripun gunakan oven jenis ini kerana saya bukannya buat bisnes dan buat kek hari-hari. Untuk membakar biskut, saya lebih suka gunakan oven dapur gas. Lebih jimat . Pengadun atau mixer pula ada yang berharga dari RM1000 - RM2000. Pengadun dan oven ini ada dijual di kedai-kedai elektrik. Di JUSCO saya tengok banyak jenama Kenwood dijual disana. Bolehlah pergi survey harga.

Untuk bisnes , eloklah dapatkan peralatan yang lebih komersil kerana ia heavy -duty, tahan lasak.Boleh layari www.yellowpages.com.my dan cari dibawah tajuk Bakers Supply atau Bakers Equipment. Antara syarikatnya ialah Solid Cool Marketing Sdn.Bhd, Bandar Puteri Puchong Tel: 03-80618080 dan CKE Marketing Sdn.Bhd tel: 03-92823333 (Cheras)/ 03- 40228632(Setapak).

Bolehkah Jadi Pandai?

Sering juga saya menerima pertanyaan dari pengunjung blog atau peserta kursus"Bolehkah jadi pandai buat kek bila datang kursus?" Susah juga saya nak menjawapnya kerana perkara ini begitu subjektif. Selalunya orang-orang yang bertanya begini tidak ada keyakinan dalam dirinya tentang apa yang dilakukannya. Datang kursus kerana ikut kawan, emak /suami yang suruh atau tak berminat tapi terpaksa.. Jarang pertanyaan ini datang dari orang-orang yang memang menunjukkan kesungguhan untuk belajar.Pendek cerita, belajar dalam apa bidangpun asalkan bermanfaat kepada kehidupan di dunia mahupun akhirat adalah dituntut oleh agama Islam. Besar pahalanya menuntut ilmu dan besar pahalanya untuk orang yang mengajarkan ilmu itu.Menjadi tuntutan fardu kifayah kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu-ilmu yang boleh membantu meningkatkan ekonomi umat Islam sendiri. Kalau kita tengok kedai-kedai bakeri di bandar-bandar atau dimana saja, berapa peratuskah bilangannya yang dipunyai oleh orang Islam? 5 peratuspun tak ada!Lebih 95 % dipunyai oleh orang bukan Islam. Adakah terjamin makanan seperti roti atau kek yang dijual itu ditanggung halal? Tentu saja tidak. Dari maklumat yang saya terima dari beberapa orang chef, pengusaha bukan Islam sering meletakkan wain dalam kek supaya tahan lama, jadi apa tindakan kita? Buat tak tahu saja dan terus membelinya atau membuat sesuatu tindakan yang boleh menyelamatkan umat Islam amnya dan kaum keluarga kita khasnya, dari terjebak ke dalam amalan subahat memakan benda yang haram?

Tepuk dada tanya iman!.Memanglah tak semua orang boleh berniaga dan mempunyai modal yang cukup tetapi anda boleh mempraktikkan ilmu yang dipelajari itu untuk makanan anak-anak dan ahli keluarga. Sekurang-kurangnya anda dapat menjimatkan wang membeli kek yang belum tentu halalnya yang kini mencecah RM55 - RM75 untuk sekilo kek saja. Kalau anda berminat berniaga untuk menambah pendapatan keluarga,bolehlah membuatnya secara kecil-kecilan di rumah. Bila ada modal dan ilmu yang cukup bolehlah buka kedai pulak.

Dari pengalaman saya sendiri,walaupun saya tak menpelajari ilmu baking ini semasa belajar di universiti, tetapi kerana minat dan kerana kewajipan fardu kifayah, saya berhabis beribu ringgit untuk mempelajari pelbagai ilmu pembuatan kek ini dari pelbagai institusi dan chef-chef yang terkenal. Dan satu hal yang sangat penting ialah mempraktikkan apa yang dipelajari. Jangan anggap tugas anda selesai apabila menghadiri kursus. Ia tidak berhenti di situ saja,praktikkan apa yang dipelajari. Balik rumah buat kek yang dipelajari, jangan simpan saja resipi itu dalam almari.Dengan membuatnya anda akan dapat pengalaman dan mempelajari teknik yang betul. Tugas seorang pengajar/baking instructor adalah menunjukkan cara yang betul bagaimana cara membuat sesuatu produk itu tetapi untuk menjadikan anda pandai membuat kek/roti/biskut dll terpulang kepada tangan anda sendiri. Banyak kali anda membuat praktis, semakin anda mahir (pandai). Kalau tak membuat praktis, anda setakad tahu saja tetapi tidak pandai.Bak kata orang putih,"Practice Make Perfect".

Jangan anggap belajar ilmu ni membuang duit dan membuang masa saja. Mungkin hari ini langit kelihatan cerah, tetapi esok lusa belum tentu.Takdir kita tak siapa yang tahu kecuali Allah SWT.
Bila berlaku kematian suami/ahli keluarga atau perceraian, dah menggelabah tak tahu bagaimana nak mencari rezeki.Bak kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan. Ilmu yang dipelajari itu takkan hilang selagi mana kita mempraktikkannya.

Tahniah kepada anda yang sudah mengambil keputusan untuk menyertai kursus. Bagi yang belum bercadang atau masih ragu-ragu atau tak yakin, fikir-fikirkanlah.Kita semua dikurniakan akal untuk berfikir. Insyaallah sebagai pengajar, saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada anda. Dan saya merasa sangat seronok apabila ramai bekas-bekas pelajar saya yang menalifon dan memberitahu sudah mendapat banyak order untuk kek dan biskut untuk hari raya yang lepas. Semoga anda semua akan terus berjaya melaksanakan kewajipan fardu kifayah.
Bukan untuk saya, tetapi sebagai bekalan anda di akhirat kelak.

Popular Posts