Showing posts with label lauk-pauk. Show all posts
Showing posts with label lauk-pauk. Show all posts

Pecal Istimewa

Assalamualaikum, apa khabar para pengunjung semua.Nampaknya kelas sudahpun berakhir maka saya akan mengisi ruangan diblog Resipinoraini ini dengan pelbagai artikel dan  resipi untuk tatapan anda semua. Moga apa yang saya sampaikan di blog ini akan memberi manfaat kepada kita semua. Hari ini saya akan memberikan resipi Pecal yang memang menjadi kegemaran saya dan suami. Anak-anak memang tak minat hidangan ni almaklumlah sayur-sayuran. Rasanya hidangan Pecal ni berasal dari orang-orang Jawa. Hidangan ini hanya mengandungi sayur-sayuran seperti kangkung, kacang panjang, taugeh, timun, tauhu dan yang paling penting kuah kacangnya.Kalau sedap kuah kacangnya, mesti best pecal ni. Sesuai untuk hidangan makan tengahari dan juga untuk berbuka puasa. Selamat Mencuba !

PECAL

Bahan-bahan Kuah Kacang:
2 cawan kacang tanah, telah ditumbuk kasar
8 tangkai cili kering
1 inci belacan
1/2 biji bawang besar ( saiz sederhana)
4 sudu besar gula pasir
3 sudu besar air asam jawa
1/2 cawan air panas
sedikit minyak , untuk menumis
garam, secukup rasa

Bahan Sayur-sayuran :
10 batang kacang panjang, dipotong pendek
1 batang timun, dicincang halus
100 gm taugeh
secekak kangkung
2 keping tauhu,digoreng

Cara Membuat Kuah:
1. Cili kering dibasuh dan toskan.
2. Panaskan minyak dan goreng cili kering, bawang besar dan belacan hingga cili garing, jangan sampai hangus.
3. Tumbuk bahan tersebut dengan lesung batu hingga hancur.
4. Sediakan sebuah mangkuk sederhana.Masukkan cili tumbuk, kacang tumbuk, gula, garam, air asam jawa dan air panas.Kacau sebati. Rehatkan kuah selama 30 minit supaya kuah menjadi pekat sebelum dinikmati.

Cara Menghidang:
1. Sediakan sebuah periuk berisi air. Panaskan hingga mendidih.Celurkan kacang panjang, kangkung dan taugeh satu demi satu. Alihkan kedalam pinggan hidang.Susunkan timun dan tauhu yang telah dipotong dadu.
2. Untuk menikmatinya, ambil setiap sayuran dan tuangkan kuah diatasnya.

Pelbagai sayuran untuk pecal.
Kuah memainkan peranan penting mesti cukup rasa.
Bolehlah menuangkan kuah bila nak menikmatinya.

Nota : Anda boleh menambah sayur-sayuran seperti pucuk ubi, daun cekur dll. mengikut citarasa anda.

Masakan Berayam Yang Mudah


Ayam goreng bersalut tepung.


Sup ayam lada hitam.

Salam untuk semua pengunjung. Hari ini saya akan berikan beberapa resipi berayam yang mudah, ringkas dan cepat disediakan iaitu Sup Ayam Lada Hitam dan Ayam Goreng Bersalut Tepung. Bolehlah mencuba untuk berbuka puasa nanti.

SUP AYAM LADA HITAM
Bahan :
10 ketul ayam, dibersihkan
2 biji ubi kentang, dipotong 4
2 pokok daun sup dan daun bawang, dimayang halus
1 sudu besar lada hitam, ditumbuk halus
air secukupnya
1 bungkus sop bunjut Adabi
minyak masak secukupnya untuk menumis
garam secukup rasa

Bahan tumis :
1 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia, dihiris halus
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang dan sedikit buah pelaga

Cara Membuatnya :
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bahan tumis diatas hingga naik bau.
2. Masukkan ayam, sup bunjut dan air secukupnya dan masak sampai mendidih.
3. Masukkan kentang dan lada hitam .Masak lagi hingga kentang empuk.
4. Akhir sekali, masukkan daun bawang dan daun sup yg telah dihiris,garam secukup rasa.
5. Biarkan mendidih sebentar dan tutupkan apinya.

Tip : Untuk mengelakkan kentang menjadi hitam, setelah dikupas kulitnya hendaklah direndam dalam mangkuk berisi air.


AYAM GORENG BERSALUT TEPUNG
Bahan-bahan :
10 ketul ayam (ikut suka banyak mana nak)
1 kotak tepung goreng ayam Nona (tepung ala KFC)
1 biji telur
sedikit garam dan lada sulah
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara Membuatnya :
1. Ayam dibersihkan dan gaul garam dan lada sulah.Perap 15 minit.
2. Panaskan minyak. Telur dipukul dengan garfu agar sebati.
3. Celup ayam dalam telur dan golekkan atas tepung goreng hingga bersalut semuanya.
4. Masukkan dalam minyak dan gorenglah hingga bewarna perang.

Nota: Kak Ani suka gunakan kotak warna biru, ada rasa pedas dan rangup. Sedap dicicah dengan sos semasa masih hangat.

Masak Lemak Udang


Bila dah puasa, tekak kita ni teringin nak makan macam-macam. Bagi Kak Ani, lauk-pauk tu memang masak sendiri, tapi kuih-muih tu beli ajelah kat pasar ramadan dekat rumah tu. Macam-macam ada.Kuih-muih aneka macam dan rasanya pun boleh tahanlah, sedap jugak. Oklah hari ni Kak Ani nak berkongsi resipi Masak Lemak Udang yang telah dibuat beberapa hari yang lepas. Nak posting aje yang tak sempat-sempat.


MASAK LEMAK UDANG

Bahan-bahan :

600 gm udang sederhana besar

1 biji kelapa - ambil 3 cawan santan

10 biji cili api

1 inci kunyit hidup

1 biji bawang merah (kecil)

2 batang serai. diketuk

garam secukup rasa


Cara Membuat :

1. Udang dibersihkan.

2. Tumbuk cili api, garam dan kunyit hidup hingga lumat.Masukkan bawang dan tumbuk lagi.

3. Masukkan bahan tumbuk dalam periuk bersama serai dan santan. kacau rata.

4. Buka api sederhana dan masak kuah itu sehingga hampir mendidih. Kacau selalu supaya tidak berketul.

5. Masukkan udang dan biarkan kuah mendidih. Masukkan garam secukup rasa.

Kari Daging dan Sup Sayur Petola


Kari daging.


Sup Sayur Petola.

Resipi kali ini ialah Kari Daging dan juga Sup Petola. Sesuai untuk makan tengahari dan juga juadah berbuka puasa.

Kari Daging
Bahan :

600 gm daging,direbus hingga empuk
3/4 cawan serbuk rempah kari Baba's
3 tangkai daun kari
1 biji kelapa,ambil 3 cawan santan pekat
2 biji kentang, belah 4
1/2 cawan minyak masak
air secukupnya
garam dan perasa secukupnya.

Bahan tumis:
2 ulas bawang putih, dihiris
2 ulas bawang merah, dihiris
1 inci halia,dihiris
Sedikit kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga

Cara Membuatnya:

Daging yang telah direbus dihiris nipis. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air untuk menjadi pes. Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan tumis bersama daun kari. Biarkan hingga bawang hampir garing dan masukkan pes kari dan kacau lagi supaya pes tidak hangus. Masukkan daging dan air rebusan daging (jika ada). Masukkan santan, garam dan perisa.Biarkan kuah mendidih dengan api sederhana.Masukkan kentang dan biarkan mendidih hingga kentang empuk. Tambah air jika kuah pekat.


Sup Sayur Petola

Bahan :
1 biji petola sederhana, dipotong kecil
sedikit fucuk, direndam
sedikit soohun, direndam
2 ulas bawang putih, dimayang
2 ulas bawang merah,dimayang
sedikit ikan bilis,dimayang
sebiji cili merah, dimayang
garam dan perasa secukupnya
sedikit air
sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuatnya :

Tumiskan bawang putih, bawang merah, ikan bilis dan cili hingga naik bau.Masukkan air dan fucuk.Biarkan mendidih dan masukkan petola. Setelah petola empuk, masukkan garam ,perasa dan soohun.Biarkan mendidih sebentar dan angkat dari api.

Asam Pedas Ikan dan Ayam Masak Merah


Cili kisar yang telah siap.


Asam pedas ikan kembung.


Ayam masak merah.


Alhamdulillah, dah dua hari kita berpuasa. Disebabkan Aniz Baking Centre tak ada aktiviti sepanjang bulan puasa ini maka Kak Ani masukkan resipi lauk-pauk kegemaran keluarga Kak Ani. Sesiapa nak mencuba bolehlah masak untuk berbuka puasa nanti. Tapi resipi-resipi ini sesuai dengan tekak Kak Ani sekeluargalah. Tekak anda mungkin lain citarasanya. Pandai-pandailah nak adjust mana-mana yang patut. Untuk buat asam pedas dan juga ayam masak merah ni, Kak Ani kisar sendiri cilinya tak beli yang siap kat kedai. Bagi Kak ani cili boh yang jual kat kedai tu tak sedap dan rasanya masam, banyak sangat bahan pengawet. Jadi Kak ani blend sendiri dan boleh tahan hingga 2 minggu jika dimasukkan dalam botol dan simpan dalam peti sejuk. Bagi yang bekerja memang mudah,tak perlu nak kisar-kisar cili lagi.

Cili Kisar (homemade)

50 gm cili kering,digunting halus dan rendam air panas
5 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 cawan air


Cara Membuatnya :
Basuh cili kering yang telah direndam tadi. Toskan dan masukkan ke dalam blender bersama bawang putih, bawang besar, halia , kunyit hidup dan air. Kisar hingga hancur. Masukkan dalam botol dan simpan peti sejuk. Rahsia cili kisar ini tahan lama ialah kerana ia telah direndam air panas.


ASAM PEDAS IKAN


Bahan :
1 cawan cili kisar
3/4 cawan minyak masak
6 ekor ikan kembung/pari /merah/dll
10 tangkai daun kesum
2 tangkai daun kari
3 cawan air
1 ulas asam keping
garam dan perasa secukupnya


Cara Membuatnya :
Panaskan minyak dan tumiskan cili kisar hingga garing. Masukkan air dan ikan dan masak hingga mendidih. Masukkan daun kesum, daun kari , asam keping, garam dan perasa.Setelah ikan empuk boleh diangkat. Anda boleh tambah kacang bendir atau tomato jika suka. Asam pedas ini istimewa rasanya kerana dimasukkan daun kari yang menambahkan aromanya.


AYAM MASAK MERAH
Bahan-bahan :


10 ketul ayam
1 cawan cili kisar
1/2 cawan sos cili
1/2 biji bawang besar, dimayang
3/4 cawan minyak masak
sedikit air
garam dan gula secukup rasa


Cara Membuat :


Ayam dibersihkan dan digaul garam dan kunyit serbuk. Panaskan minyak dan goreng hingga masak (jangan terlalu garing, ia keras).Angkat dan toskan. Keluarkan separuh minyak hingga lebih kurang 3/4 cawan. Dengan minyak goreng ayam itu, tumiskan bawang besar hingga berbau wangi dan tumiskan cili kisar hingga garing. Masukkan sos cili, garam,gula dan sedikit air supaya tak terlalu pekat.Masukkan ayam dan gaul sebati. Angkat dan hidangkan. Selamat Mencuba.

Acar Buah-buahan


>>Buah-buahan jeruk untuk acar buah

>>Acar buah ini tahan disimpan beberapa minggu.

Bahan-bahan :

(A) -cili kisar:
10 tangkai cili kering,direndam air panas
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia
- Semua bahan dikisar hingga halus

(B)
500 gm buah-buahan jeruk (khas buat acar buah)
1/2 cawan minyak masak
1/3 cawan gula
3 sudu makan cuka
2 sudu besar serbuk kari
1/3 cawan puri tomato
2 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
garam secukupnya
1/4 cawan bijan, telah digoreng kering

Cara Membuatnya :
1. Panaskan minyak dan masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis hingga naik bau wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing dan pecah minyak.
3. Masukkan puri tomato, serbuk kari, cuka, gula dan garam.Tumis lagi hingga masak.
4. Masukkan buah-buahan jeruk yang telah dibasuh dan bijan.Gaul sebati dan masak sebentar.
5. Angkat dan sejukkan.

Tip : Basuh buah jeruk ini dibawah air paip untuk menghilangkan asid yang berlebihan.Untuk lebih tahan lama, simpan dalam peti sejuk.

Siakap Masam Manis

Anak-anak akak memang suka makan lauk ni.Satu ekor tu,sekejap aje licin. Membuat siakap masam manis ni ringkas saje. Tak perlukan banyak barang. 30 minit aje boleh siap. Satu saja masalahnya ialah menyiang ikan siakap. Silap-silap haribulan boleh terluka tangan. Kalau beli di pasaraya,suruh mereka siangkan sekali. Senang kerja kita. Untuk sos, saya gunakan cili kisar yang dibuat sendiri. Ikuti posting sebelum ini.

Bahan-bahan :

1 ekor ikan siakap, sederhana
kunyit, garam - untuk menggaul
minyak untuk menggoreng ikan

Sambal:
4 sudu besar cili kisar
1/3 cawan sos cili
sedikit gula
sedikit garam
1 biji bawang, dipotong bulat
1/3 cawan minyak , untuk menumis

Cara Membuatnya :
1. Ikan dibersihkan dan digaul garam dan kunyit. Panaskan minyak dan goreng hingga garing.Angkat dan toskan. Letakkan dalam pinggan bujur.
2. Kurangkan minyak gorengan tadi hingga menjadi lebih kurang 1/3 cawan.
3. Tumiskan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.
4. Masukkan sos cili , gula dan garam. Gaul sebati. Jika agak pekat,tambahkan sedikit air.
5. Setelah agak pekat sosnya, angkat dan tuangkan ke atas ikan. Hiaskan.

Ayam Ungkep

Hari ini nak perkenalkan satu masakan yang popular di kalangan masyarakat keturunan Jawa di kampung halaman suami saya di Muar. Cara memasaknya lebih kurang macam rendang tetapi bumbunya terdiri dari rempah ratus seperti jintan manis, ketumbar dll.Lauk ini mempunyai aroma yang memikat selera dan enak dimakan bersama kuah lodeh dan nasi putih. Selalunya masakan ini dihidangkan di hari raya bersama ketupat dan kuah kacang.

Bahan-Bahan :
1.5 kg ayam, dipotong kecil
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar, dihiris bulat
2 batang serai, diketuk
1/2 cawan minyak masak
garam dam perasa secukupnya
1 hiris asam keping
air secukupnya

Bumbu (rempah ratus di kisar)
2 sudu besar ketumbar
3 sudu besar jintan putih
3 sudu besar jintan manis
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 biji bawang besar (merah)
4 ulas bawang putih

Cara Membuatnya :
1. Bahan bumbu dibasuh dan kisar hingga lumat bersama sedikit air.
2. Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bawang besar, bunga lawang dan serai hingga naik baunya.
3. Masukkan bumbu kisar dan tumis lagi hingga naik bau dan garing. Jika kurang minyak, tambah sedikit lagi.
4. Masukkan ayam dan kacau sebati.Tambahkan dua cawan air dan asam keping.Kacau biar rata.Tutup kuali dan biarkan rendidih selama 30 minit hingga ayam empuk.
5. Tambahkan air jika ayam belum empuk.Masukkan garam dan perasa.
6. Angkat dan hidangkan.



>>> Ayam Ungkep dinikmati bersama Sayur Lodeh




Membuat Cili Kisar

Bagi kaum wanita, kita sentiasa mencari kaedah yang boleh memudahkan urusan rumahtangga terutama dalam bab masak-memasak. Saya telah mengamalkan petua ini sejak sekian lama dan ia ternyata memudahkan urusan memasak terutama yang menggunakan cili kisar seperti asam pedas, rendang, sambal, mee goreng dan sebagainya. Cili yang kita kisar sendiri lebih enak, segar dan bebas dari bahan pengawet. Ia juga boleh tahan seminggu jika disimpan dalam peti sejuk.

Bahan-bahan :

50 gm cili kering
1 ulas bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia

Cara Membuatnya :

1. Cili kering digunting kecil-kecil.
2. Tuangkan air panas dan rendam hingga ia lembut.
3. Masukkan cili kering dalam pengisar (jangan ambil bijinya)
4. Masukkan bawang besar, bawang putih , halia dan 1/2 cawan air.
5. Kisar hingga lumat.
6. Masukkan dalam botol kaca (botol Nescafe) dan simpan dalam peti sejuk.

Tip:
Cili kering ada yang sangat pedas dan kurang pedas. Belilah jenis kurang pedas iaitu jenis Indian wrinkle (kerinting).

Sambal Udang Selera

Bahan-bahan :

500 gm udang sederhana
1/2 cawan cili kisar
1 biji bawang besar, dipotong bulat
1/2 cawan minyak masak
3 sudu besar sos cili
garam dan gula ikut rasa

Cara Membuatnya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar hingga naik bau wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.
3. Masukkan udang dan sedikit air. Gaul hingga udang masak.
4. Masukkan sos cili, gula dan garam. Tambahkan air jika mahu kuah.

Popular Posts