Kek Cawan Coklat Pekat


Sumber : internet

Bahan-bahan :
200 gm coklat masakan
340 gm mentega
445 gm gula kastor
8 biji telur
180 gm tepung gandum
30 gm serbuk koko
7 gm serbuk penaik
1/4 sudu teh garam

Cara Membuatnya :
1. Cincang coklat kecil-kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama mentega.Panaskan secara double-boiler hingga semuanya cair.
2. Angkat dari api dan masukkan gula. Kacau sebati dan biarkan sejuk selama 15 minit.
3. Putar campuran coklat tadi dengan mixer kelajuan sederhana selama 3 minit.
4. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar lagi.
5. Ayak tepung, serbuk koko,serbuk penaik dan garam. Masukkan sedikit-sedikit ke dalam adunan tadi dan kacau hingga rata.
6. Sudukan ke dalam cawan kertas sehingga 2/3 penuh. Bakar 25 minit hingga masak.

Nota : Resipi ini boleh mendapat 25 biji kek.

Mufin Pisang Cip Coklat


Sumber : Allrecipes.com
Gambar: Resipi.net

Bahan-bahan :
1 3/4 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula kastor
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda
1 biji telur
1/2 cawan minyak masak
1/2 cawan yogurt perisa asli
1 cawan pisang, dilecek
3/4 cawan cip coklat
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Dalam sebuah mangkuk adunan, satukan tepung gandum, gula, serbuk penaik dan soda.
2. Dalam mangkuk yang lain, satukan telur, minyak, yogurt dan esen vanila. Gaul rata.
3. Tuangkan adunan cecair (2) ke dalam adunan (1). Gaul dengan senduk hingga rata.Jangan overmix.
4. Masukkan pisang dan cip coklat. Gaul lagi sebentar saja.
5. Sediakan tin muffin.Susun mangkuk kertas dalamnya.
6. Sudukan 2/3 penuh. Bakar 25 minit hingga masak. Uji dengan lidi jika sudah masak.

Petua Membuat Kek Untuk Orang Baru



Ada terdapat berbagai jenis kek seperti kek mentega, kek span , kek sifon, kek keju dan lain-lain. Kek yang berlainan jenis ini mempunyai kaedah membuatnya yang berlainan. Sebagai orang yang baru hendak belajar membuat kek, anda hendaklah tahu beberapa perkara penting dalam pembuatan kek ini. Antaranya ialah :

1. Mengenali bahan membuat kek.
Bahan-bahan yang biasa digunakan ialah tepung kek, gula kastor, mentega/majerin, telur, serbuk penaik, soda bikarbonat, serbuk koko dan sebagainya. Anda boleh pergi ke pasaraya atau kedai menjual bahan kek dan mengenali bahan-bahan ini.

2. Peralatan membuat kek
Peralatan yang penting ialah mixer(pengadun). Buat permulaan anda boleh gunakan pengadun tangan untuk membuat kek mentega, kek span dan lain.Peralatan lain ialah pemukul telur (whisk), scrapper, mangkuk pengadun, senduk dan lain-lain. Ketuhar juga sangat penting. Untuk menghasilkan kek yang cantik dan masak dengan rata, sebaiknya gunakan ketuhar bersaiz besar seperti Europa, Zanussi ,Elba dan lain-lain yang berharga dalam lingkungan RM1000.

3. Kaedah Asas
Untuk membuat kek mentega, kaedah yang digunakan ialah kaedah mengkerim. Kaedah mengkerim ialah memukul mentega dan gula hingga kembang dan gebu.Kemudian barulah dimasukkan telur dan bahan-bahan lain. Untuk membuat kek span pula, kaedah membuih (foaming) pula digunakan iaitu memukul telur dan gula hingga betul-betul kembang dan gebu, barulah dimasukkan bahan-bahan lain.

Lain-lain perkara yang perlu diketahui ialah :
(a). Setengah jam sebelum memulakan kerja, keluarkan mentega dan telur dari peti sejuk supaya berada dalam suhu bilik. Jika guna mentega yang keras, agak sukar untuk memukulnya. Telur yang sejuk pula lambat kembang. Sediakan bahan-bahan lain di atas meja.

(b). Panaskan ketuhar kepada 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan kek kedalamnya. Adunan kek akan bertindakbalas lebih cepat dalam ketuhar yang panas.

(d) Jangan buka pintu ketuhar sebelum kek set. Dalam 30 minit pertama , kek sedang naik dan mengembang.Jika dibuka ketuhar,haba akan keluar dan proses mengembang akan terbantut. Kek akan jadi mendap.

(e) Baca arahan dalam resipi dengan teliti untuk menentukan kaedah yang digunakan.

(f) Bahan-bahan kering seperti tepung kek, serbuk penaik, soda atau koko hendaklah diayak bersama.

(g) Buat resipi yang mudah dulu seperti Kek Mentega Vanila, Kek Mentega Oren dan lain-lain.

Kesimpulannya, jangan takut untuk bereksperimen. Tidak mengapa jika percubaan pertama anda tidak menjadi kerana anda mungkin membuat kesilapan di sana-sini.Tetapi anda perlu belajar dari kesilapan pertama itu dan memperbaikinya pada masa akan datang. Good Luck!


Kek Gula Hangus



Bahan-bahan :

5 biji telur A
120 gm tepung kek
150 gm susu pekat manis
300 - 500 gm sirap gula hangus
70 gm mentega cair
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila

Sirap gula hangus :
2 cawan gula pasir
1 cawan air

Cara Membuatnya :

1. Untuk membuat gula hangus, panaskan gula dalam periuk hingga ia cair.Gunakan api kecil supaya tidak hangus dan pahit.Kacau hingga semuanya cair dan masukkan air sedikit-sedikit.Kacau hingga sebati.
2. Setelah gula hangus sejuk, timbang 300 gm untuk digunakan dalam resipi ini. Selebihnya boleh disimpan.
3. Telur dipukul selama 5 minit dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan gebu.
4. Ayak tepung gandum bersama soda bikarbonat dan masukkan ke dalam adunan telur diikuti dengan susu pekat, air gula hangus dan akhir sekali mentega cair. Gaul sebati.
5. Sediakan tin pembakar 8 inci yang berlubang di tengah seperti acuan bingka. Acuan digriskan dan taburkan sedikit tepung .
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan biarkan 30 minit baru dimasukkan dalam ketuhar.
7. Bakar selama 45 minit pada suhu 180 darjah celcius.


Kek Gula Hangus 2
(Sumber :internet - lupa kat mana)

Bahan-bahan :
1 cawan gula
1 cawan air panas
1 cawan tepung gandum
1 cawan susu pekat
2 camt soda bikarbonat
4 biji telur
2 camb mentega
Cara Membuatnya :
1. Masak gula dengan api sederhana hingga hangus.
2. Masukkan air dan masak lagi hingga gula cair. Sejukkan.
3. Masukkan mentega. Sejukkan. Ketepikan dulu.
4. Pukul telur dengan pemukul telur (whisk) hingga sebati.
5. Masukkan susu pekat ke dalam telur tadi, kacau sebati.
6 Masukkan pula tepung dan soda bikarbonat. Gaul hingga sebati.
7. Akhir sekali, masukkan air gula yang sudah disejukkan.
8. Perap adunan selama lebih kurang 3-4 jam.
9. Bakar dalam ketuhar bersuhu 180 darjah celcius selama 1 jam.

Kek Sifon Pandan



Bahan-bahan :
(A)
150 gm tepung kek
1 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh pes pandan
125 gm gula kastor
7 biji kuning telur
75 gm minyak masak
75 gm pati santan

(B)
7 biji putih telur
125 gm gula kastor
1/4 sudu teh serbuk krim tartar

Cara Membuatnya :
1. Sediakan sebuah acuan kek sifon berukuran 24 cm.Tak perlu digriskan.
2. Ayak tepung kek bersama serbuk penaik dan soda.
3. Satukan semua bahan A dalam sebuah mangkuk pengadun. Gaul perlahan-lahan dengan senduk kayu hingga semuanya sebati. Jangan gaul terlalu lama.
4. Satukan bahan B dan pukul kelajuan sederhana hingga gebu dan kental.
5. Masukkan putih telur yang telah dipukul tadi ke dalam adunan A. Gaul perlahan-lahan hingga sebati.
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan kek. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan ke suhu 180 darjah celcius. Bakar selama 45 minit hingga masak.
7. Keluarkan kek dari ketuhar dan telangkupkan acuan supaya permukaan kek tidak mendap.
8. Setelah 10 minit, terbalikkan semula kepada kedudukan asal. Lorekkan pisau pada keliling acuan dan keluarkan kek. Sejukkan sebelum dipotong.

Acar Buah-buahan


>>Buah-buahan jeruk untuk acar buah

>>Acar buah ini tahan disimpan beberapa minggu.

Bahan-bahan :

(A) -cili kisar:
10 tangkai cili kering,direndam air panas
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia
- Semua bahan dikisar hingga halus

(B)
500 gm buah-buahan jeruk (khas buat acar buah)
1/2 cawan minyak masak
1/3 cawan gula
3 sudu makan cuka
2 sudu besar serbuk kari
1/3 cawan puri tomato
2 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
garam secukupnya
1/4 cawan bijan, telah digoreng kering

Cara Membuatnya :
1. Panaskan minyak dan masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis hingga naik bau wangi.
2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing dan pecah minyak.
3. Masukkan puri tomato, serbuk kari, cuka, gula dan garam.Tumis lagi hingga masak.
4. Masukkan buah-buahan jeruk yang telah dibasuh dan bijan.Gaul sebati dan masak sebentar.
5. Angkat dan sejukkan.

Tip : Basuh buah jeruk ini dibawah air paip untuk menghilangkan asid yang berlebihan.Untuk lebih tahan lama, simpan dalam peti sejuk.

Selamat Pengantin Baru


>> Selamat Pengantin Baru Suhana dan Zulkifli

>>Pengantin memotong kek perkahwinan


>>Kek pengantin berhias indah.

Pada 9/3/2008 yang lalu, anak saudara saya Suhana bt Mislan telah melangsungkan perkahwinannya dengan saudara Zulkifli di Kampung Batu 16, Air Hitam, Muar,Johor.Kami mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Suhana dan Zulkifli dan kami mendoakan semoga jodoh anda berkekalan hingga ke anak cucu.

Mengapa Kek Merekah


>>Kek yang mempunyai komposisi bahan yang seimbang dan suhu oven yang stabil tidak akan merekah.
Adakalanya kek yang kita buat menjadi merekah seperti gunung berapi yang meletus.Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa jadi begitu. Saya pernah membuat sebiji kek coklat moist yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi. Apabila hampir masak , ia merekah dan rekahannya sangat luas. Nasib baiklah apabila sejuk, rekahannya kecut sedikit dan bolehlah ditutup dengan topping coklat fudge. Ada beberapa faktor mengapa kek jadi merekah iaitu:

1. Suhu oven terlalu tinggi
Suhu yang biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius.Namun begitu setiap jenis oven mempunyai kepanasan yang berlainan. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang.Apabila bahagian dalam mengembang,ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.


2. Terlebih serbuk penaik atau soda
Jika serbuk penaik atau soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.


3. Kek terlalu kering
Ini berpunca dari kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi atau adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.

4. Acuan terlalu kecil
Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil untuk menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya adunan hendaklah dituangkan hingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.

Kesimpulannya untuk memastikan kek tidak merekah, pastikan perkara-perkara diatas diperbetulkan dan resipi yang digunakan boleh dipercayai. Letak kek di bahagian tengah oven supaya tidak terlalu panas. Masa membakar yang biasa bagi kek mentega ialah 1 jam dan kek span atau sifon pula lebih kurang 45 minit.

Chocolate Fudge Frosting



>>Contoh kek yang dihias dengan chocolate fudge dan choc.cream.

Selain dari chocolate ganache, ada satu lagi aising yang boleh menyalut kek coklat iaitu chocolate fudge frosting. Jika chocolate ganache mempunyai dua bahan asas iaitu coklat dan krim, yang ini pula mempunyai lebih bahan seperti gula aising, mentega, serbuk koko dan lain-lain bergantung kepada resipinya. Apa yang membezakan keduanya ialah chocolate fudge lebih pekat dari chocolate ganache. Ia tidak boleh dituang, tetapi perlu disapu seperti membuat aising krim mentega .Ia juga tidak memberi kekilatan (shine) seperti chocolate ganache. Ia sesuai untuk disapu pada kek, untuk inti (filling) dan juga hiasan tepi kek (border).Untuk bunga ros,perlukan aising yang lebih kental ( stiff) seperti Chocolate Cream.

Resipi Chocolate Fudge
(Sumber ehow.com)

Bahan-bahan :
2 cawan gula kastor
1/4 cawan sirap gula (corn syrup)
1 cawan krim putar (dairy whipping cream)
180 gm coklat masakan
2 sudu besar mentega
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Satukan gula, sirap gula dan krim dalam sebuah periuk.
2. Kacau diatas api yang kecil hingga gula cair dan larut.
3. Didihkan 1 minit dan angkat dari api.
4. Masukkan coklat masakan yang dicincang dan kacau hingga coklat cair.
5. Masukkan mentega dan vanila.Biarkan coklat fudge sejuk dan pekat baru disapukan atas kek.
6. Hiaskan kek mengikut citarasa anda.

Chocolate Fudge Buttercream Frosting

Bahan-bahan :
115 gm mentega
50 gm shortening
30 gm serbuk koko
240 gm gula aising
30 ml susu
350 gm coklat masakan, dicairkan
5 ml esen vanila

Cara Membuatnya :
1. Pukul mentega dan shortening hingga kembang.
2. Masukkan koko dan gula aising.
3. Masukkan susu , coklat masakan dan esen vanila.
4. Putar hingga sebati.
5. Bolehlah disapukan atas kek coklat. Hiaskan.

Chocolate Cream
Bahan-bahan :

750 gm coklat masakan, dicincang
175 gm mentega, dilembutkan
90 gm kuning telur
225 gm telur (seluruh)

Cara membuatnya :

1. Cairkan coklat secara double-boiler dan masukkan mentega. Kacau hingga sebati.
2. Masukkan telur ke dalam mangkuk pengadun dan tuangkan coklat cair.Putar dengan kelajuan sederhana hingga ringan dan berkerim.
3. Biarkan sebentar supaya krim agak pekat.Kemudian bolehlah digunakan untuk membuat bunga ataupun membuat hiasan tepi kek.

Chocolate Ganache


>> Kek yang telah siap disaluti chocolate ganache

>> Ganache yang telah siap dicairkan

>> Salutkan kek dengan aising mentega atau krim putar.Sejukkan hingga keras barulah disiram dengan chocolate ganache yang telah sejuk atau suam-suam.


Tentu anda pernah melihat di kedai-kedai bakeri, kek-kek yang dihiasi topping coklat yang sungguh menyelerakan. Sebenarnya topping coklat tersebut dikenali sebagai Chocolate Ganache. Ganache adalah berasal dari perkataan Peranchis yang bermaksud 'cushion'. Ganache mempunyai pelbagai fungsi seperti penambah perasa kepada puding atau kek, untuk hiasan dan untuk menyalut kek-kek coklat agar tambah lazat dan menyelerakan.

Dalam Ganache yang asas, digunakan dua bahan sahaja iaitu krim pekat/krim putar (Dairy Whipping Cream) dan coklat masakan. Bagaimanapun, anda boleh menambah mentega dan esen vanila ke dalam adunan ganache. Krim pekat pula boleh digantikan dengan air,susu cair (evaporated milk),susu segar(fresh milk) atau susu UHT. Tetapi penggunaan bahan-bahan gantian ini menjejaskan kualiti ganache dari segi kekilatan (shine) dan teksturnya. Oleh kerana itu, di hotel-hotel dan bakeri, mereka lebih suka menggunakan krim pekat/krim putar, kerana hasilnya lebih baik walaupun harganya lebih mahal dari susu biasa.Jika di tempat anda susah untuk mendapatkan krim ini, guna saja bahan gantian.

Kaedah asas membuat ganache:
1.Cincang coklat masakan kecil-kecil.
2.Panaskan krim hingga mendidih. Angkat dari api.
3.Masukkan coklat dalam krim dan kacau hingga coklat cair.
4.Biarkan ia sejuk beberapa jam sebelum digunakan.

Jika anda mahu topping atau glazing yang cair,anda bolehlah gunakan setelah beberapa jam disejukkan. Jika mahu topping yang lebih tebal ,sejukkan semalaman pada suhu bilik. Keesokannya barulah digunakan untuk menyalut kek anda. Ganache yang sudah pekat juga boleh digunakan untuk membuat filling atau isian yang disapu pada bahagian tengah kek. Satu perkara yang perlu diingatkan ialah,coklat tidak boleh dicairkan dalam haba yang terlalu panas kerana akan menyebabkan keluarnya minyak pada permukaan coklat.Ini menjejaskan tekstur ganache. Anda juga tidak boleh memasukkan ganache yang baru dicairkan terus ke dalam peti sejuk. Ganache perlu disejukkan secara perlahan-lahan untuk membantu molekul-molekul dalam coklat dan krim itu menjadi sebati dengan baik.

Resipi Chocolate Ganache
(Sumber : Temptation of Chocolate - Alex Goh)

Bahan-bahan :
300 gm krim pekat/krim putar
500 gm coklat masakan, dicincang
30 gm mentega

Cara Membuatnya :
1. Panaskan krim hingga mendidih. Angkat dari api.
2. Masukkan coklat dan kacau hingga ia cair semuanya.
3. Masukkan mentega dan kacau lagi hingga sebati.
4. Biarkan beberapa jam sebelum digunakan.

Gambar dipetik dari http://myfaverecipes.blogspot.com/
Terimakasih Mamahoney.

Mengenali Bahan Membuat Roti


1.TEPUNG
High Protein Flour atau Tepung Roti(TR) berbeza dengan Tepung Kek(TK). Didalam kandungan TR terdapat bahan-bahan pelembut yang dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan HalEhwal Pengguna dimana pelembut ini akan membuatkan roti menjadi gebu dan lembut. Tetapi bahan tersebut kurang berkesan kerana pengguna perlu membuat penambahan bahan pelembut(Bread Improver) agar roti yang dibuat menjadi lebih berkualiti lagi. Di dalam pasaran sekarang terdapat beberapa jenis Cap TR yang digunakan dalam industri bakeri. Antaranya:- Cap Bangau- Cap Timbang* Biasa digunakan oleh kedai Bakeri (Harga pasaran RM 64/25kg)- Cap Diamond- Cap Gunung Mas* Biasa digunakan dalam sektor perhotelan (Harga pasaran RM 66/25 kg)- Cap Kuda (Untuk pasaran Sabah, Labuan & Sarawak)
*Nota : kalau buat roti guna tepung selain dari yang terdapat diatas, roti akan menjadi keras.

2.GULA
Gunakan gula halus atau PX sugar, kalau rajin "blender" gula tu agar semasa membuat adunan, gula akan hancur. Jika gula tidak hancur, doh roti akan jadi mengerutu dan apabila dibakar roti akan jadi keras.

3.YEAST (Ibu Roti)
Kebanyakan industri pengeluaran roti menggunakan yis kering kerana senang dikawal proses pengembangan doh. Kalau guna yis basah kena timbang 2 kali ganda berat dari yis kering.Kalau belajar di Bakeri Ria Academy, yis keluaran syarikat Mauri akan digunakan.

4.BREAD IMPROVER
Digunakan untuk melembutkan dan meringankan roti. Nama lain bagi Bread Improver adalah:
1. Bread Softner 2. Softner 3. Modular Softner 4. Magi Pro 5. S 500 6. Voltex (cecair).Untuk makluman semua, pihak pembekal akan menjual Bread Improver dengan nama yang berlainan. Jadi pengguna boleh memilih senarai nama di atas, semasa membeli Bread Improver.

5.MARGERINE/BUTTER/SHORTENING
Penggunaan bahan tersebut adalah untuk menambah ikatan struktur dalaman doh, agar menjadi roti yang berkualiti apabila dibakar. Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan disini, mengenai roti jika menggunakan bahan2 tersebut:
* Margerine - kebanyakan pengusaha bakeri menggunakan margerine apabila membuat Bun dan menggunakan Shortening untuk membuat Sandwich Bread. Jika menggunakan Margerine, pengguna tidak perlu menyapu telur pada doh sebelum dibakar.Selepas dibakar, dimana bun masih panas, sapukan Butter atau Apricot glaze, untuk mengilatkan Bun sebelum di pamerkan.
* Butter - Pastinya bun sedap dimakan apabila resepinya menggunakan Butter, tetapi para pengusaha bakeri tidak menggunakan Butter kerana kosnya yang mahal. Anda boleh menggunakan Butter jika hasilan bakeri untuk kegunaan sendiri atau keluarga.
* Shortening - Lemak Sayuran. Kebanyakan pengusaha bakeri menggunakannya apabila membuat roti besar seperti Potatoe Bread, Garlic Bread, Sandwich Bread atau Whole Meal Bread. Sebelum dibakar, hendaklah doh roti tersebut disapukan telur agar hasilan nya tidak kelihatan pucat.

6.SUSU TEPUNG
Pengguna boleh menggunakan susu tepung seperti Dutch Lady, Lactogen,Fernleaf dan lain-lain untuk menghasilkan ban atau roti yang enak dimakan. Tetapi banyak pengusaha bakeri menggunakan Susu Tepung timbang dimana dijual pada harga murah. Boleh juga menggunakan UHT Milk (Yg cair-sejuk) yang akan menghasilkan ban yang lebih sedap lagi.

7.TELUR
Kebanyakan pengusaha bakeri menggunakan telur yang kulitnya berwarna putih. Untuk pengetahuan semua, telur jenis ini mengandungi kandungan air yang tinggi dan dijual pada harga yang murah. Biasanya pengusaha bakeri menggunakan telur gred B, untuk membuat roti atau kek.

8.AIR
Gunakan air sejuk untuk mengawal proses pengembangan doh. Jika menggunakan air yg tidak sejuk, dikhuatiri, pengguna tidak dapat mengawal pengembangan yis kerana jika suhu yang panas, yis akan kembang terlalu cepat, yang pada akhirnya akan menjejaskan kualiti roti.

Sumber : http://cheffarid.blogspot.com

Mengapa Kek Kering


>>Kek yang lembap digemari ramai

Apabila membuat kek samada kek mentega, kek span atau kek lapis, kadangkala anda menghadapi masalah seperti kek anda kering. Banyak faktor mengapa kek itu kering tidak lembap seperti yang anda inginkan.Antara faktornya ialah:

1. Bahan-bahan tidak disukat betul
Kadangkala penimbang jenis spring yang kita gunakan tidak berfungsi dengan betul. Ini menyebabkan sukatan menjadi tidak tepat. Umpamanya tepung menjadi berlebihan ataupun kekurangan cecair dalam adunan kek. Oleh itu, saya menyarankan anda menggunakan penimbang jenis digital kerana timbangannya lebih tepat. Harganya dalam lingkungan RM120 dan boleh dibeli dari kedai-kedai menjual bahan kek. Walaupun harganya sedikit mahal dari penimbang jenis spring, tetapi berbaloi menggunakannya. Anda hanya perlu tukarkan baterinya sahaja dalam masa 2 - 3 tahun sekali.

2. Perbezaan bahan-bahan mentah
Bahan-bahan mentah memainkan peranan yang penting dalam pembuatan kek, kuih-muih atau biskut. Dari bahan-bahan asas seperti mentega, gula, tepung dan telur maka terhasillah sesuatu produk itu.Samada kek anda lembut dan lembap atau kasar dan kering bergantung kepada bahan-bahan yang anda gunakan. Dari pengalaman saya membuat kek mentega,penggunaan mentega tulen seperti Golden Churn lebih menghasilkan kek yang lebih lembap kerana kandungan airnya yang lebih berbanding mentega lepa susu seperti Buttercup. Jika saya menggunakan Buttercup, kek lebih kering dan saya terpaksa menambahkan sedikit air susu ke dalam adunan kek itu agar ia lembap.

Penggunaan tepung seperti tepung gandum , tepung kek dan tepung hong kong juga menghasilkan perbezaan dari segi tekstur dan kelembapan kek anda.Jika anda membuat kek lapis atau lain-lain kek menggunakan tepung gandum biasa (all purpose) kek akan lebih kasar, keras atau lebih kering. Oleh itu seelok-eloknya gunakan tepung kek atau superfine untuk membuat kek biasa dan untuk kek lapis sebaiknya gunakan tepung hong kong kerana ia lebih halus.

Penggunaan telur juga memainkan peranan kerana telur membekalkan cecair kepada adunan kek bagi menjadikan ia lembap. Semua resipi dalam buku Variasi Kek Lapis menggunakan telur gred A. Jika anda menggunakan telur gred B, tambahkan 2 biji extra kerana gred B saiznya lebih kecil. Jika anda tidak menambahkan telur, maka adunan kek kekurangan cecair dan menjadikan ia kering apabila masak.

3. Mengubah kuantiti bahan
Ada sesetengah orang yang suka mengubah kuantiti bahan yang telah ditetapkan dalam resipi.Jika dalam resipi menghendaki 10 biji telur, tapi dia gunakan 9 saja. Jika dalam resipi 100 gm susu pekat, dia kurangkan 50 gm saja, kononnya nak jimat. Jangan amalkan sikap sedemikian kerana anda tidak akan mendapat hasil yang sepatutnya kerana bahan-bahannya telah dikurangkan. Dalam buku Variasi Kek Lapis, semua resipi telah diuji di dapur (kitchen tested) jadi anda boleh yakin dengan resipi-resipi tersebut. Anda perlu cuba resipi yang asal dahulu, kemudian barulah anda boleh ubahsuai mengikut citarasa anda.

4. Suhu ketuhar
Di pasaran terdapat bermacam-macam jenis oven. Ada untuk kegunaan domestik dan ada untuk komersil. Jadi setiap oven adalah berlainan. Biasanya untuk membakar kek seperti mentega atau span suhunya ialah 180 darjah celcius dan memakan masa 45 minit - 1 jam. Tetapi untuk kek lapis, suhu yang biasa saya gunakan untuk oven saya ialah 150 darjah celcius. Kek menjadi kering kemungkinan kerana suhu oven tidak sesuai seperti terlalu panas ataupun dibakar terlalu lama. Bagi kek lapis, masa membakar adalah singkat (5-7 minit) kerana ia nipis. Jika dibakar terlalu lama ia akan menjadi kering. Kesimpulannya, anda perlu sesuaikan oven anda dengan jenis kek ,suhu dan tempoh masa yang paling sesuai untuk kek anda.

5.Penyimpanan
Kek yang baru keluar dari oven memang kering kerana masih lagi panas.Sebaik-baiknya sejukkan kek anda semalaman dan keesokannya barulah dipotong. Ini untuk memberi peluang kepada kek menyerap lembapan udara dan mengeluarkan minyak bagi melembapkan kek tersebut. Ataupun setelah kek anda disejukkan beberapa jam, balutkan ia dengan aluminium foil dan simpan semalaman. Keesokannya ia tentu akan menjadi lembap.Lagi satu kek jangan didedahkan kepada udara persekitaran terlalu lama kerana ia akan kering.Hidangkan yang hendak dimakan sahaja. Jika lebih, bungkus dengan aluminium foil atau plastic wrap dan simpan dalam bekas kedap udara.

Jadi, apakah penyelesaiannya jika kek kering? Penyelesaian secara ad hoc ialah anda balutkan kek dengan alumnium foil dan simpan semalaman,esoknya baru dimakan. Penyelesaian jangka panjang ialah tambahkan sedikit air susu (jika kek mentega) dalam resipi anda. Untuk kek lapis, sila semak maklumat diatas dan buat pembetulan.Anda juga boleh menambahkan kandungan susu pekat atau mengurangkan kandungan tepung dalam resipi.


Kursus Kek Lapis 2


>> Kek-kek roll yang dihasilkan peserta

>>Sedang menunjukkan cara membuat kek roll

>>Kek lapis prun berempah

>>Tekun sekali akak kita melapis kek

>>Begitu caranya nak menyusun kek!

Kursus Kek Lapis 2 telah berjaya di adakan pada 2/3/2008 di Akademi Bakeria di Taman Melawati,KL.Seramai 10 orang peserta telah mengikuti kursus tersebut iaitu Norzie, NorAqlima,Norhanis,Azrinie, Faridah,Ainel,NunEzar,Norfadilawati, Mohamad Yusni dan Zety.Mereka telah memberikan kerjasama yang baik dan bersungguh-sungguh menjalankan tugasan yang diberikan. Tahniah diucapkan kepada anda semua kerana telah berjaya menyempurnakan kursus tersebut. Harapan saya, resipi tu jangan simpan dalam fail saja, kena cuba buat kek lapis ini. Kalau percubaan pertama kurang berjaya, jangan putus asa.Cuba lagi hingga mendapat hasil yang perfect. Kalau ada masalah, boleh hubungi saya.

Popular Posts