Salam Maal Hijrah

Assalamualaikum . Selamat Maal Hijrah diucapkan kepada anda semua. Semoga tahun baru Islam ini akan memberi lebih banyak kejayaan kepada anda . Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam Islam dimana ia menjadi detik permulaan perkiraan Hijrah dalam kelendar Islam. Detik hijrah diingati sebagai garis permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.

Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah SWT bermakna ia mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup.Justeru berhijrah adalah sebahagian dari misi ketakwaan kepada Allah SWT.Kita mesti berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah SWT.Mencapai apa jua kejayaan memerlukan pengorbanan dan satu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh yang singkat.Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulangkali sebelum mencapai kejayaan.

Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat hidup setiap Muslim . Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik dari semalam adalah orang yang rugi kerana masa tidak akan berulang.Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa.Allah SWT melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melaksanakan usaha hijrah . Semakin sukar laluan yang ditempuhi, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya."(Surah at-Taubah, ayat 20)
Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian dari maksud hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah SWT.Jadikanlah semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan kebaikan dalam hidup anda semua. Amin.

(Sumber: Berita Harian 8 Januari 2008)

No comments:

Popular Posts