Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Kursus bulan Julai dan Ogos 2008

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus Kek Lapis, Kek Hari Raya dan Biskut Raya pada bulan Julai dan Ogos ini, saya masih mengambil peserta untuk senarai simpanan. Memang semua kelas dah penuh tetapi belum confirm semua mereka itu datang.Sesiapa yang confirm tak datang, saya akan hubungi senarai peserta simpanan untuk mengisi tempat yang kosong dalam masa satu minggu sebelum kelas. Jadi sesiapa yang berminat boleh hubungi saya di tel : 03-31675408 dan 014-3247478. Jika ada yang dah hantar emel, sila call saya untuk pengesahan.

Kursus Kek Lapis 29 Jun 2008




Para peserta dan aksi mereka membuat kek lapis

Kursus Kek Lapis telahpun berlangsung semalam dan seramai 20 orang peserta telah menghadiri kursus sehari ini. Peserta bukan setakad datang dari sekitar KL dan Selangor sahaja, malahan dari Kota Bharu dan Batu Pahat pun sanggup datang untuk menimba ilmu. Syabas di ucapkan kepada anda yang kuat semangat ini. Beberapa resipi telah diajar seperti dua jenis kek lapis tradisional, dua jenis kek lapis moden (sarawak) dan 5 paten kek lapis roll. Saya berharap dengan latihan praktikal dan tunjukajar yang telah diberikan, anda semua akan berjaya menghasilkan kek-kek lapis yang cantik dan enak untuk hidangan di hari raya nanti. Bila sudah ada kemahiran dan keyakinan, boleh mengambil tempahan pula. Jadi dapatlah menambah pendapatan keluarga, maklumlah hari ini kos kehidupan dah semakin mahal. Tentang buku Variasi Kek Lapis,ramai yang hampa kerana tidak dapat membeli buku ini. Insyaallah sebulan dua lagi baru ada di pasaran kerana dalam proses cetakan ketiga. Harap bersabarlah ya.

Mengenai Mesin Pengadun


Alat whisk,hook dan K-beater (paddle)
Terdapat pelbagai jenis mesin pengadun di pasaran negara kita. Yang paling biasa digunakan ialah mesin pengadun tangan yang dikenali sebagai hand-mixer. Untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang kecil, hand mixer sesuai digunakan tetapi bukan semua kek boleh menggunakan mesin kecil ini. Dari pengalaman saya menggunakan mesin ini, hanya kek mentega saja yang boleh menjadi jika menggunakan mesin ini. Bila membuat kek span moden atau kek lapis, sering tidak menjadi kerana pukulannya tidak kuat untuk mengembangkan telur pada tahap maksima. Anda boleh menggunakan Kenwood atau lain-lain jenis yang komersil untuk mendapatkan hasil produk yang bagus.

Terdapat tiga alat yang biasa digunakan dengan mesin pengadun iaitu hook, paddle dan whisk.Dengan bentuk berbeza, tentunya penggunaannya juga turut berbeza. Hook yang berbentuk seperti mata kail lebih sesuai untuk kerja-kerja pengadunan pelbagai jenis doh roti. Dengan bentuknya yang sedemikian rupa membolehkan adunan digaul dengan sebati dan tidak melekat pada hook. Manakala paddle atau K beater ,digunakan untuk mengadun bahan-bahan seperti mentega dan gula dalam penyediaan kek yang memerlukan proses mengkerim seperti membuat kek mentega, kek coklat dan lain-lain. Ia juga sesuai untuk mengadun doh biskut, tat, pai dan lain-lain pastri. Alat ketiga iaitu whisk lebih sesuai untuk mengadun bahan-bahan yang perlukan proses pengembangan seperti kaedah membuih (foaming method). Umpamanya dalam proses membuat kek span, kek lapis, kek sifon dan lain-lain.Alat ini bertindak memerangkap udara dengan lebih banyak dan menjadikan adunan kembang dan naik dua kali ganda. Oleh itu, penggunaan alat yang betul dapat memastikan hasil produk yang terbaik.

Oatmeal Raisin Cookies



Oatmeal Raisin Cookies
Dah lama juga saya tak masukkan resipi biskut dalam blog ni. Baru-baru ni ada kelas biskut jadi saya pun mencubalah beberapa resipi baru. Maka terhasillah Oatmeal Raisin Cookies yang sedap dan rangup. Ia juga kaya dengan karbohidrat dan serat dari penggunaan oat dan juga kismis. Anak-anak saya sangat sukakannya dan minta dibuatkan lagi pada hari raya nanti.Bukan sahaja sesuai untuk hidangan hari raya , tetapi juga sesuai untuk hidangan harian sebagai kudapan atau snek.

OATMEAL RAISIN COOKIES
Bahan-bahan :
120 gm mentega
100 gm shortening/lemak putih
200 gm gula perang
80 gm gula putih
2 biji telur A
1 sudu teh esen vanilla
190 gm tepung gandum
1 sudu teh soda
½ sudu teh serbuk penaik
½ sudu teh serbuk kayu manis
Secubit garam
240 gm oat keping
140 gm kismis (kuning)

Cara Membuatnya :

1. Putar mentega, shortening ,gula dan garam sehingga kembang dan berkerim (5 minit).
2. Masukkan telur dan esen vanilla dan putar lagi hingga sebati.
3. Ayak tepung, soda, serbuk kayu manis dan serbuk penaik.
4. Masukkan ke dalam adunan mentega. Masukkan oat keping dan kismis.
5. Gaul kesemuanya hingga menjadi adunan yang sebati. Adunan adalah lembik. Biarkan adunan 15 minit agar adunan kental sedikit.
6. Sudukan adunan ke dalam dulang pembakar. Boleh juga dijemput guna tangan. Susunkan jarak-jarak, jangan terlalu rapat kerana ia akan kembang.
7. Bakar selama 20-25 minit pada suhu 180 darjah celcius sehingga keperangan .

Tip: Tin pembakar dialas dengan kertas patchment agar biskut tak melekat pada tin kerana kandungan gula yang tinggi.

Kursus Biskut Raya 22 Jun 2008


Tekun sungguh mereka dengan tugasan masing-masing.


Peserta sedang mencairkan coklat.


Tersenyum kerana berjaya menyiapkan biskut Almond London.


Masing-masing bergilir-gilir menjalankan tugas.

Kursus Biskut Raya telah diadakan semalam 22 Jun, di Akademi Bakeri Ria, Taman Melawati KL.Seramai 20 orang peserta yang datang dari sekitar KL, Selangor ,N.Sembilan dan Perak telah menghadiri kursus praktikal selama sehari tersebut. Nampaknya ramai yang berminat untuk menjalankan bisnes biskut raya. Saya mendoakan anda semua berjaya dalam bidang yang diceburi. Moga anda semua sukses selalu hendaknya.

Apa Fungsi Bahan Penaik


Serbuk penaik, krim tartar dan soda bikarbonat.
Terdapat 3 jenis bahan penaik yang selalu digunakan dalam pembuatan kek, pastri mahupun kuih-muih. Ianya ialah serbuk penaik (baking powder), serbuk soda (soda bikarbonate/sodium bikarbonate) dan serbuk tartar (cream of tartar). Ketiga-tiga bahan ini juga dikenali sebagai bahan penaik kimia atau chemical leaveners. Ia berbentuk serbuk putih dan boleh dibeli di pasaraya dan kedai-kedai bahan kek. Fungsinya adalah untuk menaikkan dan meringankan adunan kek/kuih agar lebih gebu.

Bahan penaik yang paling sering digunakan ialah serbuk penaik. Terdapat dua jenis serbuk penaik iaitu yang jenis biasa dan jenis berganda (double -action baking powder).Jenis biasa digunakan dalam kebanyakan kek manakala jenis berganda digunakan untuk kek kukus atau kuih-muih kukus seperti pau, apam dan sebagainya. Ia bertindak dua kali lebih kuat dari biasa dan menjadikan kek atau kuih lebih gebu dan mekar.

Soda bikarbonat pula sering digunakan dalam kebanyakan kek, biskut atau kuih yang berasid seperti menggunakan susu masam, jus buah-buahan, serbuk koko, gula hangus , puri buah-buahan dan lain-lain. Soda bikarbonat adalah bersifat alkali dan ia akan bertindak menutralkan asid yang terdapat dalam adunan kek dan kuih tersebut dan menaikkan kek/kuih apabila dimasak.

Serbuk krim tartar agak jarang digunakan tetapi ada juga resipi yang menggunakan soda dan krim tartar bersama. Krim tartar dihasilkan daripada asid tartarik dan tentunya ia bersifat asid.
Biasanya serbuk ini dicampurkan dalam telur putih bagi membuat meringue. Ianya digunakan untuk membuat kek sifon atau membuat kek keju bakar.

Kursus Kek Raya

Assalamualaikum semua. Dah lama juga saya tak update blog. Melihat kepada mesej-mesej yang dihantar dalam CBox, ramai juga orang-orang baru yang pertama kali berkunjung ke blog ini. Saya ingin mengucapkan "Selamat Datang" kepada anda semua. Semoga info dan maklumat yang terdapat dalam blog ini membantu anda mendalami bidang masakan .
Setelah bercuti dari mengajar selama sebulan kerana menyiapkan buku Kompilasi Kek,semalam bermula kelas saya iaitu Kursus Kek Raya. Seramai 22 orang peserta telah menghadiri kursus sehari tersebut. Sebanyak 6 jenis kek pelbagai jenis telah dipelajari dan saya berharap para peserta akan mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Kerana kesibukan melayani para peserta maka saya terlupa untuk mengambil gambar mereka. Tak apalah, lain kelas nanti kita paparkan gambar mereka.

Menyukat Bahan-bahan


Peralatan menyukat bahan- penimbang digital, cawan dan sudu

Ada pelbagai cara menyukat bahan-bahan.Ibu-ibu kita dahulu menyukat bahan dengan gelas, cawan, mangkuk, sudu makan dan ada juga yang main agak-agak saja atau cukup basah. Apabila buat kuih atau kek sekejap jadi dan sekejap tak jadi. Maklumlah, alat penyukatnya berubah-ubah,hari ni pakai cawan, esok lusa pakai mangkuk pula. Dengan kemudahan moden sekarang, pelbagai alat dicipta untuk memudahkan anda menimbang atau menyukat bahan-bahan. Ada penimbang digital, penimbang jarum(spring) atau pun cawan yang standard. Semuanya ada dijual di kedai bahan kek ataupun di pasaraya biasa. Di Malaysia, kita menggunakan timbangan metrik menggantikan timbangan paun (lb) dan aun (oz).Tetapi jika kita rajin melayari internet, kita boleh dapati resipi-resipi orang Amerika banyak yang menggunakan cawan (cup) dan paun. Memang bermasalah jika kita hendak mencuba resipi mereka kerana terpaksa menukarkannya kepada gram.

Berikut adalah carta ringkas sukatan imperial dan juga metrik.
1 oz - 25 gm
9 oz - 250 gm
16oz (1 lb) - 450 gm
2 lb 4 oz - 1 kg
1 cawan mentega - 250 gm
1 cawan gula - 250 gm
1 cawan tepung - 125 gm
2 cawan tepung - 250 gm
1 camca kecil/teh - 5 gm

Tip Menyukat Bahan

1. Adalah lebih mudah dan tepat jika menggunakan penimbang digital.Saya menggunakan jenama Tanita dan telah digunakan selama lebih 5 tahun tanpa sebarang masalah.Memang berbaloi membelinya walaupun harganya agak mahal (RM130).
2. Apabila menyukat tepung, gemburkan atau ayakkan ia dahulu baru disukat atau ditimbang.Jika menyukat dengan cawan, jangan ditekan tepung itu kerana ia akan menjadi padat dan sukatannya telah berlebihan. Ratakan permukaannya dengan pisau.Ia tak sepatutnya disukat membumbung.
3. Sudu/camca kecil atau sudu/camca teh, sukatannya hampir sama tetapi sudu makan dan sudu besar ianya berlainan.
4. Cecair boleh disukat dengan gram atau dengan mililiter (ml). 100 gm air dengan 100 ml air adalah lebih kurang sama sukatannya.

Minyak Naik Lagi!

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 0.78 sen seliter menjadikan harga petrol RM2.70 seliter. Wah! Banyak tu. Bila minyak dah naik maka harga barang-barang keperluan harian pun akan naik mendadak. Jadi apa kesannya kepada peniaga-peniaga kecil seperti home-baker atau peniaga-peniaga biskut musim perayaan nanti? Jawapan yang mudah ialah terpaksa naikkan harga! Kalau tahun lepas ada yang jual 50 biji -RM20 tetapi tahun ini entah berapa pula nak jual.Kalau jual mahal sangat , kesian pulak pada pembeli. Ada juga orang yang meramalkan bahawa pasaran biskut raya pada tahun ini akan merudum kerana harganya mahal. Orang ramai lebih suka buat sendiri, kerana kosnya lebih murah. Entahlah, saya pun tak berani nak mengia atau menidakkan cakap-cakap orang ni. Kita tunggu dan lihat saja. Tapi bagi saya, orang kita kalau nak raya, sanggup berabis. Bak kata orang Perak "biar pape asal bergaye".

Yang pastinya, barang-barang membuat kek , biskut atau roti akan bertambah mahal dan ini meningkatkan kos pengeluaran. Jika tidak dinaikkan harga jualan, margin keuntungan menjadi kecil dan sukar untuk maintain bisnes dan membayar gaji pekerja. Selain dari menaikkan harga jualan, apa lagi yang perlu kita buat untuk mengurangkan kos ini. Antara beberapa perkara yang boleh difikirkan ialah :

1. Membeli barang secara pukal (bulk)
Jika anda seorang baker samada home-baker atau ada kedai bakeri, belilah barang secara pukal kerana anda boleh mendapat harga lebih murah .Umpamanya tepung atau majerin boleh dibeli secara guni atau kotak. Ini boleh menjimatkan kos.

2. Survey pembekal yang lebih murah
Anda boleh survey beberapa kedai menjual bahan kek dan bandingkan harganya. Belilah di kedai yang menjual dengan harga berpatutan.

3. Tingkatkan produktiviti dan pemasaran.
Lebih untung membuat sekali banyak dari membuat sedikit-sedikit. Jika kita membuat banyak, kos akan menurun dan keuntungan meningkat. Oleh itu tingkatkan pemasaran agar kita boleh mendapat lebih ramai pelanggan.

Membuat Kek Perkahwinan atau Pertunangan


Kek berkrim biru.


Kek berkrim kuning


Kek beraising perisa coklat

Dalam majlis perkahwinan, kek adalah barang hantaran yang mesti ada. Bagi anda yang tidak mahir menghias kek, anda masih boleh menghasilkan kek yang mudah lagi ringkas. Hanya salutkan kek anda dengan krim mentega dan hiaskan dengan bunga gumpaste yang banyak dijual di kedai-kedai bahan kek. Ketiga-tiga kek ini adalah kek yang saya sediakan untuk majalah SeriDewi &Keluarga keluaran Ogos nanti. Jika anda mahukan resipi krim mentega dan step by step cara menghias kek ini, dapatkan majalah Keluarga bulan Ogos ini.

Buku Kompilasi Kek


Kek Mousse Keladi


Kek Keju Coklat Dingin


Kek Mousse Strawberi


Alhamdulillah, buku Kompilasi Kek telahpun selesai shootingnya semalam.Lega rasanya satu tugas dah selesai. Insyaallah, buku ini akan berada di pasaran sebelum raya ini. Jadi dapatkanlah senaskah buku ini kerana mengandungi 60 resipi yang menarik, sedap, mudah dan telah diuji. Jika anda ada sedikit asas membuat kek dan mengikut peraturannya dengan betul, insyaallah menjadi. Dalam shooting yang terakhir ini, saya ada menyediakan beberapa jenis kek mousse seperti Kek Mousse Keladi, Kek Mousse Kopi dan lain-lain. Cara membuatnya tidaklah susah sangat tetapi rasanya sedap. Sesuai untuk dijadikan pencuci mulut untuk sebarang majlis.

Anika Jenis Kek Cawan






Anda boleh menghasilkan pelbagai jenis kek cawan mengikut kreativiti anda. Ada kek cawan yang ditaburkan cip coklat dan ada juga yang dihiasi dengan krim mentega dan sugarpaste/fondan. Pendekata, pelbagai jenis rupa , warna dan rasa kek cawan boleh anda hasilkan.


KEK CAWAN OREN
Bahan-bahan :
250 gm mentega
180 gm gula kastor
230 gm tepung kek
2 sudu teh serbuk penaik
4 biji telur A
1 sudu besar emulco oren
sedikit cip coklat, untuk hiasan
sedikit pewarna oren
30 gm air susu

Cara Membuatnya :
1. Putar mentega dan gula hingga berkerim.
2. Masukkan telur satu persatu diikuti emulco oren dan pewarna oren. Putar sebati.
3. Masukkan tepung dan serbuk penaik.Gaul sebati. Campurkan air susu.
4. Sudukan ke dalam cawan kertas dan taburkan cip coklat.