Selamat datang ke blog ResipiNoraini !

Kek Lapis Kastad Pandan

Hari ini saya membuat dua biji kek lapis iaitu Kek Lapis Kastad Pandan dan Kek Lapis Kastad Keladi.Kedua-dua kek ini adalah berlainan dari kek lapis biasa kerana intinya adalah kek span dan dibaluti dengan kastad pandan dan kastad keladi. Untuk membuat kek ini, anda hendaklah membuat kek spannya dahulu samada span perisa pandan atau perisa keladi. Kastadnya pula diperbuat dari bahan-bahan seperti tepung hoen kwee, santan, gula dan lain-lain. Kek ini sangat enak dibuat pencuci mulut atau hidangan minum petang. Anda boleh dapatkan resipinya dari buku "Variasi Kek Lapis". Cubalah.

Panduan Membuat Kek

Selamat tahun baru 2008 diucapkan kepada semua. Hari ini nak ceritalah sedikit pasal panduan-panduan membuat kek. Ramai antara kita yang minat membuat kek tetapi ada yang tidak ambil kisah tentang beberapa perkara penting sebelum membuatnya. Jadi marilah kita dapatkan informasi tentang panduan membuat kek.

1. Baca resipi dengan teliti untuk mendapatkan maklumat tentang cara memasak samada membakar atau mengukus, juga untuk mengetahui kaedah yang digunakan.

2. Sediakan barang-barang yang diperlukan samada bahan-bahan atau peralatan. Susunkan diatas meja.

3. Timbang bahan-bahan mengikut resipi.Jangan terlebih atau terkurang. Dapatkan bahan-bahan yang segar dan masih belum tamat tempoh.

4. Peralatan seperti pengadun(mixer), mangkuk adunan, pengaut, senduk dan lain-lain hendaklah dalam keadaan yang bersih.

5. Sediakan tin pembakar yang bersesuaian saiz seperti dinyatakan dalam resipi. Griskan dan lapik dengan kertas serap minyak. Tin untuk membuat kek span dan kek sifon tidak perlu digriskan.

6. Ketuhar (oven) hendaklah dibersihkan dari habuk atau tumpahan minyak.Panaskan ia ke suhu 180 darjah celcius selama 15 minit sebelum memasukkan kek.

7. Mentega atau krim keju hendaklah dikeluarkan dari peti sejuk 1/2 jam sebelum digunakan agar ia lembut dan mudah dipukul. Telur juga dikeluarkan agar ia bersuhu bilik.

8. Setelah memasukkan kek ke dalam ketuhar, setkan masa yang diperlukan untuk membakar. Jika kek mentega masa selalunya 1 jam, kek buah mengambil masa 1 1/2 jam dan kek span 45 minit sahaja.

9. Untuk membuat kek lapis, perlukan api atas dan bawah (grill). Gunakan ketuhar yang bersesuaian. Masa membakar juga singkat iaitu 7 -10 minit bergantung kepada jenis ketuhar.

10. Jangan buka pintu ketuhar 30 minit pertama kerana kek belum set. Haba yang keluar akan menyebabkan kek bantat. Selepas 45 minit anda boleh buka untuk menukar kedudukan kek.

11. Jangan masukkan terlalu banyak kek dalam satu ketuhar. Ini akan menyebabkan kekurangan haba dan kek akan jadi bantat.

12.Untuk menguji kek masak, cucuk bahagian tengah kek dengan lidi. Jika tiada melekit, ia sudah masak. Jika masih melekit. bakar untuk 10 minit lagi.

13. Tanda mudah kek telah masak ialah warnanya kekuningan, baunya harum dan ia lekang dari sisi tin pembakar.

14. Apabila kek telah masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan ia sejuk dalam tinnya selama 30 minit sebelum dikeluarkan. Untuk kek span dan kek sifon, telangkupkan tin setelah dikeluarkan dari ketuhar. Ini untuk mencegah kek mendap. Selepas 10 minit, pusingkan kek kedudukan asal dan keluarkan kek dengan mengikis sisinya dengan pisau.

15. Kek boleh dihidangkan apabila sejuk. Untuk menyimpannya, balutkan dengan kertas aluminium atau pembalut plastik. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk.Kek biasa tahan satu minggu sementara kek lapis pula tahan 1 bulan.

Memahami Jenis-jenis Tepung

Untuk membuat pelbagai jenis kuih-muih, roti, pastri,kek atau biskut, anda hendaklah memahami serba sedikit tentang jenis-jenis tepung yang sesuai dengan produk-produk tersebut.

1. Tepung Gandum Serbaguna (All Purpose Flour)
Tepung ini paling mudah didapati di pasaran. Ia sesuai untuk membuat pelbagai jenis kuih-muih, roti, pastri ,kek atau biskut. Tepung ini adalah tepung protin sederhana dan kandungan protinnya adalah 9 - 10.5 %.

2. Tepung Protin Tinggi
Tepung ini juga dikenali sebagai tepung roti dan ia amat sesuai untuk membuat roti dan produk-produk pastri. Kandungan protin adalah tinggi iaitu 12.6 - 13.6 % .Gluten yang terhasil apabila tepung ini diuli memberi kekenyalan kepada roti.

3. Tepung Pau
Tepung ini sesuai untuk membuat pau kerana sangat cerah dan putih. Pau juga akan menjadi lembut dan halus. Kandungan protinnya ialah 9.5 - 10.5 %.

4. Tepung Kek
Ia juga dikenali sebagai tepung superfine . Tepung ini jenis rendah protin dan sesuai untuk membuat pelbagai jenis kek dan pastri.

5. Tepung Ros Merah (Red Rose Flour)
Tepung ini mengandungi sedikit tepung jagung dan bahan perangup biskut. Oleh itu ia sangat sesuai untuk membuat pelbagai jenis biskut.

6. Tepung Hong Kong
Tepung ini juga dikenali sebagai 'water lily flour' dan ia sangat putih. Ia sesuai untuk membuat kek lapis dan menjadikan kek lembut.

7. Tepung Hoen Kwee
Tepung ini diperbuat dari sejenis kacang dan sering digunakan untuk membuat kuih-muih terutama di Indonesia. Ia boleh didapati dalam peket-peket kecil seberat 85 gm dan terdapat dalam pelbagai warna seperti kuning, putih, hijau dan merah.

8. Tepung Naik Sendiri (Self-Raising Flour)
Tepung ini adalah sejenis tepung kek dan ia telah mengandungi serbuk penaik dan soda bikarbonat dalam kadar yang tertentu. Jika anda menggunakan tepung ini untuk membuat kek, tidak perlulah menambah serbuk penaik dalam resepi anda.

Lain-lain jenis tepung yang biasa kita gunakan adalah tepung kastad, tepung jagung, tepung ubi, tepung beras, tepung pulut, tepung susu dan lain-lain yang digunakan hanya sedikit sahaja. Oleh itu, pastikan anda menggunakan tepung yang betul agar hasil produk tersebut memuaskan hati anda.

Kek Mentega Marmar

Bahan-bahan :

250 gm mentega
250 gm tepung kek
220 gm gula kastor
4 biji telur A
secubit garam
1 sudu teh serbuk penaik
sedikit pewarna merah
1 sudu teh esen vanila
50 ml air susu

Cara Membuatnya :

1. Pukul mentega , gula, garam dan esen vanila hingga putih dan berkerim.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul sebati.
3. Masukkan tepung yang telah diayak dengan serbuk penaik, sedikit-sedikit dan berselang-seli dengan air susu. Gaul sebati adunan tersebut.
4. Sediakan tin pembakar bulat bersaiz 8 x 8 inci. Griskan dan lapik kertas serap minyak.
5. Tuangkan 2/3 adunan ke dalam tin dan 1/3 lagi diwarnakan merah.
6. Tompokkan adunan merah atas adunan warna asal.Ambil pisau atau lidi dan lorekkan agar warna merah merata.
7. Taburkan dengan badam keping jika suka.
8. Bakar selama 1 jam pada suhu 180 darjah celcius.

Tip:
Mentega, gula, garam dan esen vanila hendaklah dipukul hingga ringan dan putih pada kelajuan maksima selama 7 - 10 minit supaya kek menjadi ringan dan gebu.

Kek Buah Ringkas




Bahan-bahan :

250 gm mentega
100 gm gula kastor
130 gm gula perang
250 gm tepung kek
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh rempah campuran (mix spices)
4 biji telur A
500 gm buah campuran
50 ml air susu
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :

1.Pukul mentega, gula kastor dan gula perang hingga kembang dan berkerim.
2.Masuk telur sebiji demi sebiji dan pukul sebati.
3. Buah campuran di gaul dengan tiga sudu tepung kek yang sudah ditimbang.
4. Ayak tepung kek bersama serbuk penaik dan rempah campuran.
5. Masukkan ke dalam adunan mentega sedikit demi sedikit berselang-seli dengan air susu.
6. Masukkan buah campuran dan gaul rata adunan tersebut.
7. Sediakan tin pembakar 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci.Griskan dan lapik kertas serap minyak pada dasar dan keliling tin.
8. Tuangkan adunan ke dalam tin dan bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 1 1/2 jam.

Tip :
1. Buah campuran digaul bersama tepung adalah untuk mengelakkan ia mendap.
2. Mentega dan gula jangan dipukul terlalu lama supaya tidak menjadi terlalu ringan.

Kek Lapis Sarawak

Kek Lapis Sarawak adalah kek yang popular masa kini. Keunikannya terletak pada coraknya yang berwarna-warni dan rasanya yang berbeza dengan kek tradisonal atau lapis legit Indonesia. Bagi membuat kek lapis sarawak yang bercorak di tengahnya, memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia perlu dibuat dua kali. Mula-mula buat intinya dahulu. Setelah sejuk barulah dipotong dan disusun mengikut corak yang dikehendaki. Kemudian barulah dibuat lapisan atas dan bawahnya. (Untuk mendapat gambaran jelas tentang pembuatan kek ini, sila rujuk buku "Variasi Kek Lapis".

Kek lapis ini mempunyai kaedah membuatnya yang berbeza dengan kek lapis tradisonal. Kaedah ini sangat penting difahami kerana kesilapan membuatnya akan menyebabkan kek tidak menjadi.Ia akan berminyak dan padat. Ia menggunakan dua kaedah iaitu mengkerim(creaming) dan membuih (foaming).

Kaedah Membuat Kek Lapis Sarawak

1. Mentega, gula, susu pekat/serikaya dan esen vanila dipukul hingga ringan dan gebu .(mengkerim).
2. Dalam bekas berasingan, kuning telur, putih telur, gula dan ovalette dipukul hingga pekat dan gebu selama 10 minit pada kelajuan maksima (mixer Kenwood Chef) - (kaedah membuih).
3. Ayak tepung dan masukkan sedikit-sedikit dalam adunan diatas dan dipukul sebati.
4. Masukkan adunan mentega ke dalam adunan telur dan gaul hingga sebati. Boleh guna tangan atau guna mesin.Adunan telah sedia digunakan.








Kek Pengantin

Baru-baru ini saya telah menyediakan dua biji kek untuk majlis persandingan dua orang saudara. Keknya berbentuk hati dan bentuk segiempat. Jenuh membuat kek yang besar ni. Dah lama tak menghias kek,keras juga tangan. Nak menghias kek ni, kena banyak praktis dan buat selalu baru boleh diperbaiki skillnya. Alhamdulillah, siap juga kek pengantinnya yang berwarna oren dan kek dalamnya adalah kek span oren. Hiasan bunganya saya gunakan bunga gum paste yang siap.Cuma potong dan susun semula. Inilah hasilnya.







>>> Selamat Pengantin Baru Dilla & Man , Jaja & Din

Tat Keju

Hari ini teringin pula nak makan tat keju.Hari tu, ada beli di King's Confectionary tetapi harganya mahal.RM2.40 untuk sekeping tat keju yang kecil. Kebetulan ada pula krim keju dalam peti sejuk. Sayapun mulalah mengadun dan alhamdulillah sukses. Jika ada yang ingin mencuba tat keju ini silakan. Untuk satu adunan anda akan mendapat 16 keping tat keju.

Bahan-bahan :

125 gm mentega
60 gm gula kastor
1 biji kuning telur
250 gm tepung gandum serbaguna
sedikit garam
1/2 sudu teh esen vanila
1-2 sudu besar air

Cara Membuatnya:
1. Pukul mentega, gula, garam dan esen vanila hingga kembang.
2. Masukkan telur dan pukul sebati.
3. Masukkan tepung dan gaul hingga menjadi doh yang lembut. Jika agak kering, tambahkan air dan uli semula.
4. Bulatkan doh sebesar ibu jari dan tekan ke dalam acuan tat. Bakar selama 20 minit pada suhu 180 darjah celcius.

Inti Krim Keju :

250 gm krim keju Philadelpia
50 gm mentega
70 gm gula kastor
1 biji telur
1/2 cawan bluebery pie filling

Cara Membuatnya :

1. Pukul krim keju bersama mentega dan gula hingga kembang dan gebu. Masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
2. Sudukan inti ke dalam tat yang telah dibakar tadi.Letakkan sedikit bluebery pie filling ke tengah tat dan lorekkan dengan lidi.
3. Bakar semula selama 20 minit pada suhu 180 darjah celcius sehingga inti masak.





Membuat Kek Span

Kek span adalah antara kek yang paling mudah dibuat. Bahan-bahan yang digunakan pula tidaklah banyak. Kek span adalah sejenis kek lembut yang sesuai dimakan begitu sahaja ataupun menjadi kek asas untuk pelbagai jenis kek lain seperti kek lapis kastad, kek harijadi, kek keju dan lain-lain lagi.

Bahan-bahan :

125 gm gula kastor
10 gm ovalette
4 biji telur
120 gm tepung kek
1 sudu teh serbuk penaik
40 gm air
60 gm mentega cair/minyak masak
1 sudu teh esen vanila

Cara Membuatnya :

1. Satukan gula, ovalette,telur , tepung kek dan serbuk penaik dalam mangkuk pengadun dan pukul kelajuan maksima selama 5 minit hingga kembang.(Guna mixer Kenwood Chef)
2. Satukan air dan esen vanila dan pukul lagi hingga kembang dan gebu selama 5 minit.
3. Masukkan minyak atau mentega dan gaul sebati.
4. Sediakan acuan bulat 8 inci . Lapik kertas serap minyak .(Tak perlu digriskan)
5. Tuangkan adunan dan bakar 45 minit pada suhu 180 darjah celcius.
6. Keluarkan dari ketuhar dan telangkupkan atas redai selama 10 minit agar permukaannya tidak mendap.
7. Terbalikkan semula kepada asal. Leretkan pisau sekeliling bekas kek dan keluarkan kek.Sejukkan.




Soal-Jawab Berkenaan Kek Lapis

1. Apa perbezaan Kek Lapis Tradisional dan Kek Lapis Sarawak?

Kek lapis tradisional biasanya mempunyai perasa rempah dan kaedah membuatnya adalah berbeza dengan kek lapis sarawak.Contoh kek lapis tradisional adalah Kek Lapis Betawi.

2. Apa fungsi ovalette ?

Ovalette adalah sejenis bahan penstabil atau emulsifier. Nama lain adalah Quick 75 atau super sponge. Ia berbentuk pes atau pekatan bewarna kuning dan boleh didapati di kedai menjual bahan kek.Fungsinya adalah sebagai penstabil dimana ia dipukul bersama telur dan gula.Bahan ini menyebabkan adunan telur tetap gebu dan tidak mendap. Hasilnya kek juga akan menjadi gebu. JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) telah mengesahkan bahan ini halal digunakan oleh orang Islam.

3. Mengapa kek lapis sarawak padat dan berminyak ?

Kek lapis sarawak padat dan berminyak kerana cara membuatnya tidak betul. Telur, gula dan ovalette hendaklah dipukul hingga cukup kembang. Gunakan kelajuan maksima selama 10 minit hingga adunan gebu, barulah dimasukkan tepung (Guna mixer Kenwood Chef)

4. Mengapa kek lapis kering?

Kemungkinan kerana oven terlalu panas, terlalu lama dibakar atau terlebih tepung. Kurangkan kandungan tepung dan tambahkan susu pekat manis.

5. Apakah dia anti-mould ?

Anti-mould adalah sejenis bahan pengawet anti kulat yang dimasukkan ke dalam kek agar tahan lama dan tidak berkulat. Ada pelbagai jenis anti-mould.Yang paling biasa digunakan ialah sodium benzoate, potassium sorbate dan lain-lain.

6. Berapa lama kek lapis boleh tahan?

Kek lapis boleh tahan selama 1 bulan jika disimpan dalam peti sejuk.Caranya balutkan kek dengan kertas aluminium dan masuk plastik. Simpan dalam peti sejuk. Jika letak anti-mould, ia tahan 3 bulan.

7.Apa jenis oven yang sesuai untuk kek lapis?

Oven yang sesuai adalah oven elektrik yang mempunyai api atas dan bawah. Banyak jenama oven ini seperti Europa, Pensonic, Butterfly dan lain-lain. Saya lebih suka gunakan oven kecil(muat-muat tin 9 inci) kerana lebih mudah digunakan.

8. Bolehkah guna krimer pekat manis untuk ganti susu pekat?

Anda boleh gunakan krimer pekat manis kerana susu pekat manis tidak dijual sekarang.Saya gunakan jenama F&N. Sukatan adalah sama.

9. Bolehkah guna majerin menggantikan mentega?

Ya, anda boleh gunakan majerin tetapi rasanya kurang enak. Apa yang selalu saya lakukan ialah mencampurkan mentega dan majerin. Mentega 250 gm dan majerin 200 gm.

10. Apa dia rempah spekok?
Rempah spekok adalah rempah tradisi lapis legit di Indonesia. Baunya sangat harum kerana mengandungi pelbagai rempah seperti kayu manis, bunga lawang, buah pala dan lain-lain. Ia boleh didapati di kedai bahan kek. Jika tiada, anda boleh gunakan rempah campuran (mix spices.)

Perihal Kek Lapis

Kek Lapis adalah sejenis kek yang unik dan istimewa kerana ia tidak didapati di tempat lain di dunia ini kecuali di Kepulauan Melayu Nusantara yang merangkumi Malaysia dan Indonesia. Di Singapura, orang Melayunya turut meminati kek lapis. Tidak dapat dipastikan dengan tepat bilakah evolusi kek lapis ini bermula. Tetapi ada sumber yang mengatakan kek lapis ini bermula sejak penjajahan Belanda di Kepulauan Jawa beberapa ratus tahun dahulu. Ada kemungkinan migrasi penduduk keturunan Jawa ke Tanah Melayu membawa bersama tradisi kek lapis ini. Di negara kita,Kek Lapis Betawi mempunyai persamaan dengan Lapis Legit Indonesia yang mempunyai perasa rempah. Kini , kek lapis telah dipelbagaikan perisanya tidak terhad kepada perasa rempah sahaja. Di Sarawak, penduduk Melayu telah mencipta satu tradisi kek lapis moden yang dikenali sebagai Kek Lapis Sarawak.

Kek Lapis Sarawak unik dari segi rasa dan coraknya.Jika kek lapis tradisional mempunyai satu warna sahaja, kek ini pula bewarna-warni dan dibuat pelbagai corak yang kreatif. Rasanya pula ditambah pelbagai perisa seperti horlick,susu pekat, serikaya dan lain-lain.

Kursus "Fresh Cream & Chocolate Decoration"

Dalam kesibukan mengadakan kursus Kek Lapis, sempat juga saya mengikuti kursus menghias kek di Bagus Baking Center Shah Alam. Chef Han telah menunjukkan kepada kami tentang cara-cara membuat hiasan dari coklat dan menyalut kek dengan krim segar (whipping cream for topping). Diakhir kursus, kami berpeluang menghias kek kami sendiri untuk dibawa pulang.










>>> Chef Han sedang menunjukkan cara menyalut kek dengan
Fresh Cream .
>>> Kek-kek yang dihasilkan oleh peserta kursus.

Kursus Masakan di Bagus Baking Center

Sepanjang bulan November dan Disember 2007, saya telah mengadakan kursus pembuatan Kek Lapis di Bagus Baking Center cawangan Kajang, Taman Permata dan juga Shah Alam. Kursus ini adalah dalam rangka program promosi buku "Variasi Kek Lapis" untuk tahun 2007.
Sambutan sangat menggalakkan dimana ramai peserta yang hadir .Dalam demonstrasi ini, saya menunjukkan kepada peserta cara membuat 3 jenis kek lapis iaitu lapis tradisional dan lapis sarawak. Di akhir kursus, peserta membawa pulang kek-kek yang telah dihasilkan.





>>>kelas di Taman Permata , Shah Alam dan Kajang





>>> Peserta di kelas Kek Lapis di Shah Alam








>>> Kek Lapis Mocha Chip, Kek Lapis Zig Zag dan Kek Roll Semarak
yang diajar di kelas Shah Alam

Buku "Variasi Kek Lapis"

Alhamdulillah,tercapai juga cita-cita saya untuk mempunyai buku masakan sendiri. Buku masakan yang pertama ini adalah merupakan titik tolak atau batu loncatan kearah menghasilkan lebih banyak buku masakan yang berkualiti di masa akan datang. Setelah 4 bulan buku ini berada di pasaran, sambutan sangat menggalakkan dimana saya menerima banyak panggilan telefon,sms dan email dari para pembaca seluruh Malaysia dan Singapura. Ramai yang telah mencuba resipi-resipi dalam buku ini dan berjaya menghasilkan kek-kek yang enak seperti dalam buku.

Buku ini sangat istimewa kerana mengandungi 40 resipi kek lapis jenis bakar dan kukus.Ia dipaparkan dalam bentuk langkah demi langkah yang memudahkan anda mengikutinya. Disamping itu disertakan panduan dan tip-tip berguna. Sehingga kini, buku tersebut masih menduduki Carta Top 10 untuk buku-buku terbitan Alaf 21 Sdn.Bhd. Jika anda berminat untuk mendapatkan buku tersebut, sila dapatkan di kedai-kedai buku atau hubungi Alaf 21 Sdn.Bhd. di talian 55118820/21 atau layari http://www.alaf21.com.my/



>>> Muka depan buku Variasi Kek Lapis, Kek Lapis Sembilu Kasih,
Kek Lapis Dam dan Kek Lapis Pucuk Rebung.

Selamat Datang

Assalamualaikum

Selamat Datang diucapkan kepada pelawat-pelawat laman ini. Saya mengalukan-alukan kunjungan anda ke laman ResipiNoraini. Tujuan saya mewujudkan blog ini adalah untuk menyampaikan sedikit ilmu yang ada kepada anda semua. Saya adalah seorang penulis bebas dan telah menghasilkan sebuah buku masakan bertajuk "Variasi Kek Lapis" terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. Saya berharap kita semua dapat berkongsi ilmu dan resipi dalam bidang masakan.

Saya meminati bidang masakan terutama baking sejak zaman anak dara lagi. Tetapi penglibatan yang serius selepas saya meletakkan jawatan sebagai wartawan majalah kira-kira 10 tahun yang lalu. Saya telah mengikuti pelbagai kursus terutama pembuatan kek dan hiasan kek dari Chef Li Training Center, Azza Culinary Academy, Bagus Baking Center , BS Bakery dan belajar dengan pelbagai Chef terkenal seperti Chef Ismail, Chef Anuar, Chef Alex Goh dan lain-lain lagi. Sehingga kinipun saya masih belajar untuk menambahkan ilmu. Saya berharap kunjungan anda ke laman ini akan memperoleh sedikit ilmu dan pengetahuan. http://resipinoraini.blogspot.com